Sunday, 12 October 2014

Penceritaan kota metropolitan

 Jorg Bruggemann menerangkan tentang foto yang dipamerkan pada pameran fotografi The City: Becoming and Decaying di Galeri Petronas KLCC.

TAMADUN dunia menyaksikan kemajuan sesebuah negara dinilai daripada pembangunan ibu negara, bandar raya, kepadatan penduduk dan keupayaan teknologi.

Pembinaan bandar baharu mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi, peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf sesebuah negara selain menarik minat pelabur asing.
Bagaimanapun tidak kesemua pembinaan bandar membawa kesan positif kepada masyarakat. Pembinaan bandar raya sering kali menjadi faktor kepada peningkatan kos sara hidup, persaingan sengit dalam sektor pekerjaan dan kegagalan sesebuah kerajaan mengimbangi ekosistem alam semula jadi dan kepesatan pembangunan.
Bertempat di Galeri Petronas, Suria KLCC di Kuala Lumpur, sebuah pameran fotografi bertajuk The City: Beco­ming and Decaying merungkai sisi berbeza kota metropolitan di 22 buah negara terpilih di seluruh dunia yang ditinggalkan kerana terbengkalai, kesan perang dan kota yang dibangunkan semula.
Lebih 176 foto melibatkan subjek seperti manusia, isu alam sekitar dan peperangan hasil 18 jurufoto ternama dari agensi Ostkreuz di Berlin, Jerman membongkar kesan pembangunan bandarraya secara holistik terhadap manusia.
SEBUAH rumah terletak di atas lokasi projek pembangunan bandar yang tergendala di Ordos, China.

Pengarah Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim berkata, uniknya pameran foto pada tahun ini membawa pencinta seni ke sebuah dimensi pengembaraan persis berada di lokasi sebenar foto dirakamkan.
“Setiap hasil kerja di sini menuntut setiap jurufoto mempunyai fokus yang tinggi, semangat yang jitu dan idealistik. Bukan mudah untuk menyampaikan sesebuah penceritaan dan peralihan bandar melalui foto. Apatah lagi sedaya upaya menyampaikan emosi setiap subjek dalam pameran ini,” ujarnya.
Rosli menambah, pameran itu membuatkan pemerhati berfikir secara kritis terutama membabitkan usaha mengekalkan budaya dan mengimbangi kuasa ekonomi masyarakat bandar dan luar bandar sepanjang mengejar arus kemodenan negara.
Dibedil Israel
Setiap jurufoto merantau ke seluruh dunia sejak tahun 2010 semata-mata mencari kisah di sebalik kejatuhan sesebuah bandar, pembangunan semula dan bandar yang terbiar.
Karya jurufoto Heinrich Volkel bertajuk Gaza-the destroyed city yang dirakamkan pada tahun 2009 menyaksikan jurufoto bijak mengilhamkan bangunan yang dibedil Israel kepada foto yang indah.
BANGUNAN yang ditinggalkan di Ukraine antara foto yang dirakamkan jurufoto agensi Ostkreuz.

Foto itu merakamkan keadaan sebuah syiling rumah bertingkat di Gaza yang musnah akibat tembakan peluru dan terbakar membentuk imej seakan-akan bintang gemerlapan di langit.
Terdapat juga imej bandar yang terbiar antaranya ialah di Las Vegas, Amerika Syarikat yang menyaksikan komuniti di daerah itu berjuang meneruskan kehidupan walaupun kekurangan peluang pekerjaan dan infrastruktur yang terjejas teruk.
Peluang menemui sendiri seorang daripada jurufoto Ostkreuz iaitu Jorg Bruggemann Mas Austral menceritakan pengalamannya merakamkan foto di Ushuaia, Argentina.
Komuniti Ushuaia sukar untuk didekati dan tidak ramah. Katanya, dia berkunjung ke daerah itu pada musim sejuk.
Keunikan Ushuaia ialah penempatan itu dibina khas menempatkan bekas banduan dan mereka diberi peluang untuk memulakan kehidupan baharu.
“Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Kebanyakan penduduk di situ datangnya daripada keturunan banduan tetapi setelah mengenali mereka ternyata komuniti di situ bijak melayan tetamu,” katanya.
Infrastruktur yang kurang baik antara isu yang cuba disampaikan melalui fotonya. Jorg menambah, melihat wajah polos kanak-kanak dan golong­an belia di daerah itu membuatkan dirinya bersyukur kerana dibesarkan dalam suasana yang sempurna seperti pendidikan, keluarga dan sumber makanan.

Hilang nyawa selamatkan rakan [kosmo]

 ANGGOTA penyelamat berusaha menyelamatkan Mohamad Fariz yang lemas di Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor Gajah kelmarin. Gambar kecil ialah Mohamad Fariz.

ALOR GAJAH – Niat murni seorang pelajar untuk menyelamatkan rakannya daripada lemas bertukar menjadi tragedi apabila dia terkorban manakala rakannya terselamat dalam kejadian di Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Mohamad Fariz Kamil Jaafar yang baru menyambut hari lahir ke-22 kelmarin cuba membantu Mohammad Firdaus Zainal Abidin, 22, yang tiba-tiba tenggelam timbul ketika mandi di pantai berkenaan.
Bagaimanapun, selepas berjaya menolak rakannya ke permukaan, dia pula lemas sebelum kedua-dua mereka berjaya dibawa ke pantai oleh orang awam.

5.4 juta penduduk putus bekalan air [kosmo]

 kesan pencemaran di Sungai Selangor yang menyebabkan empat loji rawatan air dari sungai itu terpaksa dihentikan operasi malam kelmarin. – Gambar ihsan LUAS

KUALA LUMPUR – Kira-kira 5.4 juta pengguna di tujuh kawasan sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air selepas empat loji rawatan air Sungai Selangor dihentikan operasi berikutan pencemaran minyak di sungai tersebut semalam.
Kawasan yang terlibat dengan gangguan tersebut ialah Gombak, Klang, Shah Alam, Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Tumpahan minyak tersebut atau diklasifikasikan sebagai pencemaran bahan hidrokarbon menyebabkan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 dan Fasa 3 yang diuruskan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) serta loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2 dan Rantau Panjang di bawah Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. terpaksa dihentikan operasi pada pukul 8 malam kelmarin.
Operasi loji rawatan air itu dapat disambung semula pada pukul 8 pagi semalam, bagaimanapun pemulihan sepenuhnya di seluruh kawasan dijangka mengambil masa tiga hari.

Pelajar sekolah bakar bilik darjah [kosmo]


KUALA LUMPUR – Akibat tidak puas hati dengan pertengkaran yang berlaku di laman sosial, seorang pelajar nekad membakar sebuah kelas dan menconteng bilik darjah serta koridor dengan perkataan kesat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa di sini kelmarin.
Pelajar yang melakukan perbuatan terkutuk tersebut dipercayai seorang pelajar lelaki tingkatan lima yang menyimpan perasaan dendam terhadap sekumpulan pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan.
Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Nabila berkata, kata-kata kesat yang diconteng di koridor kelasnya menyasarkan kepada pelajar-pelajar tertentu.

Tuesday, 7 October 2014

Sikap dan misi baharu Sara Ali [kosmo]


Mesra, tidak lokek dengan senyuman dan petah berbicara suatu hal yang agak luar biasa buat pelakon Sara Ali atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali.
Sebaliknya, label berlagak diva dan pelakon bermasalah lebih sinonim dengannya sepanjang empat tahun bergelar anak seni. Namun, pertemuan dengannya dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini menggubah segala persepsi kurang baik tentang pelakon bermata galak itu.
Dia kini dilihat lebih mudah mesra dan memberi kerjasama yang baik sepanjang sesi fotografi berlangsung. Kata gadis berusia 24 tahun itu, tahun ini genap empat tahun usia penglibatannya sebagai anak seni. Tempoh tiga tahun yang penuh sensasi telah ditinggalkan jauh dan tahun ini merupakan tahun kemunculan semulanya sebagai Sara Ali yang baharu.
“Saya akui tiga tahun lepas saya banyak main dan tidak serius dalam kerjaya. Memang salah saya apabila orang label saya sebagai artis yang berlagak diva atau sombong sebab saya yang memilih untuk jadi begitu. Waktu itu usia baru 21 tahun, fikiran belum matang. Sekarang, saya sudah berusia 24 tahun, rasanya sudah cukup zaman bermain.
“Mulai tahun ini saya berazam untuk menjadi Sara Ali yang baharu, seorang yang serius dengan kerjaya sebagai pelakon. Saya mahu cabar diri sendiri dan lihat sejauh mana yang saya boleh pergi dalam bidang lakonan,” ujar Sara penuh serius.
Ditanya adakah suatu peristiwa atau keadaan yang signifikan menjadi kayu ukur yang membuatkan sedar diri dan berubah secara mendadak, lama Sara terdiam. Barangkali gadis ini sedang mencari jawapan yang tepat untuk diterjemahkan. Sara kemudian mula berbicara. Katanya sepanjang tiga tahun bermain dalam bidang lakonan, banyak pengalaman yang dikutip. Baik dan buruk industri seni dikajinya sehabis baik lalu dia menilai diri sendiri dan sedar dirinya sudah hanyut jauh dalam kehidupan penuh glamor.
Dikelilingi oleh orang popular setiap hari dan dipuja peminat yang meminatinya membuatkan Sara terbang terlalu tinggi sehingga terlupa untuk berpijak di bumi yang nyata buat seketika. Bagaimanapun, pada saat hampir sahaja dia lemas dalam dunia penuh fantasi itu, Sara bernasib baik apabila diselamatkan oleh seorang rakan yang sayang dengan bakatnya tetapi dilihat tenggelam dengan sikap angkuh dan egonya sendiri.
“Dulu saya rasa diri saya paling bagus dan paling betul. Juga menyimpan cita-cita untuk jadi pengarah. Hakikat sebenarnya banyak lagi perkara yang harus dipelajari dari bawah sebelum boleh menjadi seorang pelakon yang bagus dan pengarah yang baik. Saya juga tidak malu mengaku dulu saya seorang yang tidak sabar dalam segala hal sekarang, saya sudah kenal apa itu erti sabar.
“Apabila saya lebih bersabar ia telah mengubah banyak perkara ke arah lebih positif, Saya bersyukur mempunyai seorang rakan yang menyelamatkan saya daripada terlalu hanyut dalam ego saya sendiri,” katanya yang enggan mendedahkan identiti orang yang banyak mendorong perubahan menjadi Sara Ali yang baharu,
Sungguhpun begitu, Sara sedar bukan mudah untuk orang ramai menerimanya semula selepas memori hitam yang ditinggalkan kepada pihak media dan orang industri tetapi Sara tetap berusaha yang terbaik demi minat yang mendalam dalam dunia lakonan.
 PADA usia 24 tahun, Sara mahu lebih fokus terhadap kariernya. Katanya, sudah cukup dia mensia-siakan peluang tiga tahun pertama menjadi anak seni dengan terlalu banyak bermain dan larut dalam dunia glamor.
“Saya tahu bukan mudah untuk mengubah persepsi orang, saya cuma berharap berilah peluang kepada saya dan cuba kenal Sara Ali yang baharu. Saya tahu, saya tidak boleh paksa orang untuk suka pada saya. Jika perlu mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun untuk memulihkan imej Sara Ali, saya harus bersabar sebab sensasi yang tercipta sebelum ini kerana salah saya sendiri bukannya orang lain,” luah Sara.

Kemunculan semula
Awal kemunculan Sara pada Mac 2010 bermula dengan filem Sesuatu Yang Tertinggal. Keberkesanan lakonannya menjadikan nama Sara menjadi bualan sebagai pendatang baharu yang perlu diberi perhatian. Namun, disebabkan dia tidak serius dalam bidang lakonan, namanya agak tenggelam dalam lambakan pelakon baharu wanita. Akuinya, selain sikap yang tidak serius, terlalu memilih karya juga menyebabkan dirinya tertinggal jauh di belakang pelakon baharu.

Walaupun begitu, Sara yakin bakat lakonannya mampu dijual dan memikat hati peminat. Dia kini benar-benar mahu kembali khalayak menyedari dirinya berada dalam radar yang baik di dalam dunia seni.
“Memang dulu saya terlalu memilih karya sehingga nama saya agak tenggelam. Kini, saya tidak lagi memilih, jika tawaran datang kena pada waktunya dan tidak bercanggah dengan jadual kerja, saya akan terima biarpun saya terpaksa melakukan tiga kerja dalam satu masa yang sama. Soal apa bezanya saya dengan pelakon wanita lain, bagi saya peminat hari ini sudah pandai menilai mutu lakonan pelakon.
“Semua orang mempunyai ‘rasa’ termasuk peminat. Saya tidak kata lakonan saya bagus. Namun, jika saya mampu memberi ‘rasa’ dalam setiap lakonan, saya yakin peminat akan menghargainya dengan memberi sokongan kepada saya. Tentang saya tertinggal ke belakang daripada pelakon baharu, bagi saya itu soal rezeki.
“Jika sudah rezeki mereka lebih dahulu daripada saya, apa salahnya. Itu bukan kuasa saya dan belum rezeki saya,” balas Sara merendah diri.
 SARA kini sedang mempersiapkan dirinya untuk penggambaran sebuah drama baharu berganding dengan Remy Ishak.

Terbaharu wajah Sara boleh ditatap menerusi drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna yang sedang hangat ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam. Drama lakonannya bersama pelakon Fahrin Ahmad itu memberi impak yang besar apabila peminat mula memberi perhatian yang luar biasa kepadanya.
Masih terkejut dan membiasakan diri dengan perhatian yang diberikan, Sara memberitahu drama bersiri 32 episod itu merupakan drama pertamanya untuk slot Akasia.
“Sebelum ini saya tidak pernah berlakon drama romantik untuk siaran slot Akasia. Saya tahu slot itu mempunyai jumlah penonton yang tinggi bahkan saya sudah menjangkakan perhatian peminat tetapi tidak sangka ia terbawa-bawa sehingga ke luar drama.
“Ada peminat yang saya temui marah kerana tidak menyukai watak Melina yang saya bawakan dalam drama itu. Selain itu, ada juga peminat yang memberitahu suka andai saya bercinta bersama Fahrin dalam dunia realiti. Mulanya saya terkejut tetapi dalam masa yang sama saya seronok kerana itu menandakan lakonan saya meninggalkan kesan kepada penonton,” tutur Sara dalam tawa.
Luah Sara lagi, drama itu memberinya peluang mengumpul peminat yang baharu.
“Watak Melina dalam drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna memberi impak yang besar kepada saya. Saya lebih dikenali dan mengumpul peminat yang baharu. Jika sebelum ini peminat saya lebih banyak daripada golongan muda tetapi kerana drama ini, ramai golongan usia pertengahan mula meminati saya,” akuinya.
Dalam pada itu, laman sosial Sara juga dibanjiri peminat gara-gara drama bersiri arahan Suhaimi Lua Abdullah itu. Bagaimanapun Sara tetap menjaga privasinya dengan menapis setiap gambar yang ingin dimuat naik dalam akaun laman sosial.
Ujarnya sebelum itu dia tidak pernah berfikir panjang saat memuat naik sebarang status dan gambar di laman sosial. Namun, selepas dua minggu berada di set penggambaran drama berkenaan, dia telah dinasihati oleh Fahrin supaya berfikir panjang sebelum memuat naik sebarang gambar di laman sosial.
“Abang Fahrin pernah berkata kepada saya, apa niat kita ketika memuat naik status dan gambar di laman sosial. Semuanya berbalik kepada niat. Jadi, janganlah naik angin andai status atau gambar yang dimuat naik itu dihentam peminat atau menimbulkan sebarang kontroversi kerana kita mempunyai kuasa untuk meletakkan gambar itu atau tidak.
 
“Jika tidak mahu dihentam peminat, janganlah letak gambar dan status yang bukan-bukan. Nasihat itu saya pegang sehingga hari ini. Sebab itu, sebelum meletakkan sebarang status dan gambar saya akan berfikir panjang kerana saya seorang yang sangat menjaga privasi diri,” hujah Sara panjang lebar.
Masam muka

Dalam pada itu, nama Sara Ali panas kembali apabila dia didakwa oleh pengarah drama tersebut, Suhaimi Lua mempunyai masalah ketika menjalani penggambaran drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Sara dikatakan bermasam muka dengan kru penggambaran dan perkara itu secara tidak langsung menyukarkan pihak produksi.
Menurut Suhaimi, perkara itu berlaku kerana Sara terlalu menjiwai watak Melina dan hubungan yang keruh itu kembali jernih pada penghujung penggambaran drama tersebut.
Sara yang diminta mengulas tentang isu terbaharu itu enggan memberi sebarang komen walaupun sedar isu tersebut menjatuhkan kredibilitinya sebagai pelakon.
“Saya enggan beri sebarang komen bukan kerana saya bersalah sebaliknya saya enggan memanjangkan isu itu. Penggambaran telah pun tamat, bagi saya kurang manis untuk saya bercakap mengenainya. Kalau saya turut bersuara, saya akan meletakkan diri saya satu tahap dengan orang yang memulakan isu ini. Jadi saya anggap isu ini sudah boleh ditutup tanpa mendapat ulasan dari saya,” katanya yang sedar sikap tolak ansur dan lebih bersabar dalam segala hal mampu mengendurkan ketegangan hubung­an yang keruh.

Sunday, 5 October 2014

‘Annyunghigaseyo, kami gagal’

 ATLET negara berjalan masuk ke Stadium Utama Asiad Incheon dengan diketuai oleh pemenang emas karate, Syakilla Salni Jefry Krisnan (depan, empat dari kiri) dan ketua kontinjen Datuk Danyal Balagopal Abdullah (dua dari kiri) malam tadi. - REUTERS

INCHEON - Upacara penutup Sukan Asia XVII berlangsung meriah di Stadium Utama Asiad semalam, namun tidak banyak keceriaan dirasai oleh kontinjen Malaysia apabila pulang bersama kegagalan memenuhi sasaran lapan pingat emas.
Ketua kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mungkin tidak suka menggunakan perkataan gagal, tetapi pulang dengan kurang tiga emas daripada yang disasarkan, apa lagi perkataan yang sesuai untuk digunakan?

Menamatkan 16 hari cabaran dengan lima pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa meletakkan Malaysia di anak tangga ke-14 kedudukan negara yang bertanding. Ini pencapaian terburuk dalam tempoh 16 tahun sejak kontinjen negara pulang bersama lima emas, 10 perak dan 14 gangsa di Bangkok 1998.

Secara spesifik, kesemua sasaran Malaysia diletak menerusi karate (dua), skuasy (dua), boling (1+1), pelayaran (1+1), wusyu (satu) dan basikal (satu). Tetapi hanya karate, skuasy dan pelayaran memenuhi sasaran, manakala wusyu dipalit insiden hitam.

Selain gagal memenuhi misi lapan pingat emas, temasya kali ini juga dipalit insiden hitam melibatkan atlet wusyu, Tai Cheau Xuen yang gagal ujian doping dan dibatalkan kemenangannya dalam nanquan-nandao all-around wanita.
Atlet berusia 23 tahun itu didapati positif mengambil dadah sibutramine. Malaysia mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Ad Hoc Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) kerana meragui proses yang dijalankan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) tetapi gagal dalam rayuan tersebut.
Selain insiden dadah, kontinjen Malaysia turut diselubungi malang di beberapa venue, antara faktor yang turut mempengaruhi pencapaian tidak seberapa mereka.
Di trek basikal, Azizulhasni Awang mengalami hari paling malang apabila pingat perak yang sepatutnya diraih dalam acara keirin telah dibatalkan kerana didakwa menghalang laluan pelumba lawan dari Jepun sewaktu perlumbaan akhir 25 September lalu.

Dua hari selepas itu, malang terus menimpa kontinjen negara. Syed Omar Abu Bakar Al Mohdzar menerima khabar buruk apabila diberitahu, dia tidak boleh beraksi dalam acara ekuestrian kerana kudanya gagal mendapat kelulusan untuk dibawa ke Korea Selatan.

Tuah turut tidak memihak sukan pelayaran apabila atlet muda yang beraksi dalam acara Optimis lelaki, Muhammad Dhiauddin Rozaini dinafikan untuk meraih sebarang pingat kerana protes dibuat oleh Singapura pada perlumbaan ke-11.
Dhiauddin begitu hampir meraih sekurang-kurangnya perak selepas beraksi baik sejak perlumbaan pertama hingga ke-10, namun semuanya berubah apabila bot pelayar muda itu didakwa melanggar bot milik pelayar Singapura.
Protes dibuat Singapura menyebabkan Muhammad Dhiauddin sekadar mampu menamatkan aksi di tempat keempat selepas 12 perlumbaan.
Annyunghigaseyo (selamat ting­gal) edisi ke-17 Sukan Asia yang melabuhkan tirai di Incheon dengan pertunjukan bunga api dan persembahan kumpulan K-Pop terkenal, Bigbang. Pertunjukan ‘Selamat Datang’ turut dipersembahkan oleh tuan rumah Sukan Asia 2018, Jakarta.
China mengekalkan reputasi sebagai gergasi sukan Asia apabila menutup temasya sebagai juara keseluruhan dengan 151 pingat emas, 108 perak dan 83 gangsa, meninggalkan tuan rumah di tangga kedua dengan 79 emas, 71 perak dan 84 gangsa.

Perenang Jepun, Kosuke Hagino pula diumumkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP). - MINGGUAN