Sunday, 5 October 2014

‘Annyunghigaseyo, kami gagal’

 ATLET negara berjalan masuk ke Stadium Utama Asiad Incheon dengan diketuai oleh pemenang emas karate, Syakilla Salni Jefry Krisnan (depan, empat dari kiri) dan ketua kontinjen Datuk Danyal Balagopal Abdullah (dua dari kiri) malam tadi. - REUTERS

INCHEON - Upacara penutup Sukan Asia XVII berlangsung meriah di Stadium Utama Asiad semalam, namun tidak banyak keceriaan dirasai oleh kontinjen Malaysia apabila pulang bersama kegagalan memenuhi sasaran lapan pingat emas.
Ketua kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mungkin tidak suka menggunakan perkataan gagal, tetapi pulang dengan kurang tiga emas daripada yang disasarkan, apa lagi perkataan yang sesuai untuk digunakan?

Menamatkan 16 hari cabaran dengan lima pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa meletakkan Malaysia di anak tangga ke-14 kedudukan negara yang bertanding. Ini pencapaian terburuk dalam tempoh 16 tahun sejak kontinjen negara pulang bersama lima emas, 10 perak dan 14 gangsa di Bangkok 1998.

Secara spesifik, kesemua sasaran Malaysia diletak menerusi karate (dua), skuasy (dua), boling (1+1), pelayaran (1+1), wusyu (satu) dan basikal (satu). Tetapi hanya karate, skuasy dan pelayaran memenuhi sasaran, manakala wusyu dipalit insiden hitam.

Selain gagal memenuhi misi lapan pingat emas, temasya kali ini juga dipalit insiden hitam melibatkan atlet wusyu, Tai Cheau Xuen yang gagal ujian doping dan dibatalkan kemenangannya dalam nanquan-nandao all-around wanita.
Atlet berusia 23 tahun itu didapati positif mengambil dadah sibutramine. Malaysia mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Ad Hoc Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) kerana meragui proses yang dijalankan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) tetapi gagal dalam rayuan tersebut.
Selain insiden dadah, kontinjen Malaysia turut diselubungi malang di beberapa venue, antara faktor yang turut mempengaruhi pencapaian tidak seberapa mereka.
Di trek basikal, Azizulhasni Awang mengalami hari paling malang apabila pingat perak yang sepatutnya diraih dalam acara keirin telah dibatalkan kerana didakwa menghalang laluan pelumba lawan dari Jepun sewaktu perlumbaan akhir 25 September lalu.

Dua hari selepas itu, malang terus menimpa kontinjen negara. Syed Omar Abu Bakar Al Mohdzar menerima khabar buruk apabila diberitahu, dia tidak boleh beraksi dalam acara ekuestrian kerana kudanya gagal mendapat kelulusan untuk dibawa ke Korea Selatan.

Tuah turut tidak memihak sukan pelayaran apabila atlet muda yang beraksi dalam acara Optimis lelaki, Muhammad Dhiauddin Rozaini dinafikan untuk meraih sebarang pingat kerana protes dibuat oleh Singapura pada perlumbaan ke-11.
Dhiauddin begitu hampir meraih sekurang-kurangnya perak selepas beraksi baik sejak perlumbaan pertama hingga ke-10, namun semuanya berubah apabila bot pelayar muda itu didakwa melanggar bot milik pelayar Singapura.
Protes dibuat Singapura menyebabkan Muhammad Dhiauddin sekadar mampu menamatkan aksi di tempat keempat selepas 12 perlumbaan.
Annyunghigaseyo (selamat ting­gal) edisi ke-17 Sukan Asia yang melabuhkan tirai di Incheon dengan pertunjukan bunga api dan persembahan kumpulan K-Pop terkenal, Bigbang. Pertunjukan ‘Selamat Datang’ turut dipersembahkan oleh tuan rumah Sukan Asia 2018, Jakarta.
China mengekalkan reputasi sebagai gergasi sukan Asia apabila menutup temasya sebagai juara keseluruhan dengan 151 pingat emas, 108 perak dan 83 gangsa, meninggalkan tuan rumah di tangga kedua dengan 79 emas, 71 perak dan 84 gangsa.

Perenang Jepun, Kosuke Hagino pula diumumkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP). - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment