Tuesday, 7 October 2014

Sikap dan misi baharu Sara Ali [kosmo]


Mesra, tidak lokek dengan senyuman dan petah berbicara suatu hal yang agak luar biasa buat pelakon Sara Ali atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali.
Sebaliknya, label berlagak diva dan pelakon bermasalah lebih sinonim dengannya sepanjang empat tahun bergelar anak seni. Namun, pertemuan dengannya dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini menggubah segala persepsi kurang baik tentang pelakon bermata galak itu.
Dia kini dilihat lebih mudah mesra dan memberi kerjasama yang baik sepanjang sesi fotografi berlangsung. Kata gadis berusia 24 tahun itu, tahun ini genap empat tahun usia penglibatannya sebagai anak seni. Tempoh tiga tahun yang penuh sensasi telah ditinggalkan jauh dan tahun ini merupakan tahun kemunculan semulanya sebagai Sara Ali yang baharu.
“Saya akui tiga tahun lepas saya banyak main dan tidak serius dalam kerjaya. Memang salah saya apabila orang label saya sebagai artis yang berlagak diva atau sombong sebab saya yang memilih untuk jadi begitu. Waktu itu usia baru 21 tahun, fikiran belum matang. Sekarang, saya sudah berusia 24 tahun, rasanya sudah cukup zaman bermain.
“Mulai tahun ini saya berazam untuk menjadi Sara Ali yang baharu, seorang yang serius dengan kerjaya sebagai pelakon. Saya mahu cabar diri sendiri dan lihat sejauh mana yang saya boleh pergi dalam bidang lakonan,” ujar Sara penuh serius.
Ditanya adakah suatu peristiwa atau keadaan yang signifikan menjadi kayu ukur yang membuatkan sedar diri dan berubah secara mendadak, lama Sara terdiam. Barangkali gadis ini sedang mencari jawapan yang tepat untuk diterjemahkan. Sara kemudian mula berbicara. Katanya sepanjang tiga tahun bermain dalam bidang lakonan, banyak pengalaman yang dikutip. Baik dan buruk industri seni dikajinya sehabis baik lalu dia menilai diri sendiri dan sedar dirinya sudah hanyut jauh dalam kehidupan penuh glamor.
Dikelilingi oleh orang popular setiap hari dan dipuja peminat yang meminatinya membuatkan Sara terbang terlalu tinggi sehingga terlupa untuk berpijak di bumi yang nyata buat seketika. Bagaimanapun, pada saat hampir sahaja dia lemas dalam dunia penuh fantasi itu, Sara bernasib baik apabila diselamatkan oleh seorang rakan yang sayang dengan bakatnya tetapi dilihat tenggelam dengan sikap angkuh dan egonya sendiri.
“Dulu saya rasa diri saya paling bagus dan paling betul. Juga menyimpan cita-cita untuk jadi pengarah. Hakikat sebenarnya banyak lagi perkara yang harus dipelajari dari bawah sebelum boleh menjadi seorang pelakon yang bagus dan pengarah yang baik. Saya juga tidak malu mengaku dulu saya seorang yang tidak sabar dalam segala hal sekarang, saya sudah kenal apa itu erti sabar.
“Apabila saya lebih bersabar ia telah mengubah banyak perkara ke arah lebih positif, Saya bersyukur mempunyai seorang rakan yang menyelamatkan saya daripada terlalu hanyut dalam ego saya sendiri,” katanya yang enggan mendedahkan identiti orang yang banyak mendorong perubahan menjadi Sara Ali yang baharu,
Sungguhpun begitu, Sara sedar bukan mudah untuk orang ramai menerimanya semula selepas memori hitam yang ditinggalkan kepada pihak media dan orang industri tetapi Sara tetap berusaha yang terbaik demi minat yang mendalam dalam dunia lakonan.
 PADA usia 24 tahun, Sara mahu lebih fokus terhadap kariernya. Katanya, sudah cukup dia mensia-siakan peluang tiga tahun pertama menjadi anak seni dengan terlalu banyak bermain dan larut dalam dunia glamor.
“Saya tahu bukan mudah untuk mengubah persepsi orang, saya cuma berharap berilah peluang kepada saya dan cuba kenal Sara Ali yang baharu. Saya tahu, saya tidak boleh paksa orang untuk suka pada saya. Jika perlu mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun untuk memulihkan imej Sara Ali, saya harus bersabar sebab sensasi yang tercipta sebelum ini kerana salah saya sendiri bukannya orang lain,” luah Sara.

Kemunculan semula
Awal kemunculan Sara pada Mac 2010 bermula dengan filem Sesuatu Yang Tertinggal. Keberkesanan lakonannya menjadikan nama Sara menjadi bualan sebagai pendatang baharu yang perlu diberi perhatian. Namun, disebabkan dia tidak serius dalam bidang lakonan, namanya agak tenggelam dalam lambakan pelakon baharu wanita. Akuinya, selain sikap yang tidak serius, terlalu memilih karya juga menyebabkan dirinya tertinggal jauh di belakang pelakon baharu.

Walaupun begitu, Sara yakin bakat lakonannya mampu dijual dan memikat hati peminat. Dia kini benar-benar mahu kembali khalayak menyedari dirinya berada dalam radar yang baik di dalam dunia seni.
“Memang dulu saya terlalu memilih karya sehingga nama saya agak tenggelam. Kini, saya tidak lagi memilih, jika tawaran datang kena pada waktunya dan tidak bercanggah dengan jadual kerja, saya akan terima biarpun saya terpaksa melakukan tiga kerja dalam satu masa yang sama. Soal apa bezanya saya dengan pelakon wanita lain, bagi saya peminat hari ini sudah pandai menilai mutu lakonan pelakon.
“Semua orang mempunyai ‘rasa’ termasuk peminat. Saya tidak kata lakonan saya bagus. Namun, jika saya mampu memberi ‘rasa’ dalam setiap lakonan, saya yakin peminat akan menghargainya dengan memberi sokongan kepada saya. Tentang saya tertinggal ke belakang daripada pelakon baharu, bagi saya itu soal rezeki.
“Jika sudah rezeki mereka lebih dahulu daripada saya, apa salahnya. Itu bukan kuasa saya dan belum rezeki saya,” balas Sara merendah diri.
 SARA kini sedang mempersiapkan dirinya untuk penggambaran sebuah drama baharu berganding dengan Remy Ishak.

Terbaharu wajah Sara boleh ditatap menerusi drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna yang sedang hangat ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam. Drama lakonannya bersama pelakon Fahrin Ahmad itu memberi impak yang besar apabila peminat mula memberi perhatian yang luar biasa kepadanya.
Masih terkejut dan membiasakan diri dengan perhatian yang diberikan, Sara memberitahu drama bersiri 32 episod itu merupakan drama pertamanya untuk slot Akasia.
“Sebelum ini saya tidak pernah berlakon drama romantik untuk siaran slot Akasia. Saya tahu slot itu mempunyai jumlah penonton yang tinggi bahkan saya sudah menjangkakan perhatian peminat tetapi tidak sangka ia terbawa-bawa sehingga ke luar drama.
“Ada peminat yang saya temui marah kerana tidak menyukai watak Melina yang saya bawakan dalam drama itu. Selain itu, ada juga peminat yang memberitahu suka andai saya bercinta bersama Fahrin dalam dunia realiti. Mulanya saya terkejut tetapi dalam masa yang sama saya seronok kerana itu menandakan lakonan saya meninggalkan kesan kepada penonton,” tutur Sara dalam tawa.
Luah Sara lagi, drama itu memberinya peluang mengumpul peminat yang baharu.
“Watak Melina dalam drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna memberi impak yang besar kepada saya. Saya lebih dikenali dan mengumpul peminat yang baharu. Jika sebelum ini peminat saya lebih banyak daripada golongan muda tetapi kerana drama ini, ramai golongan usia pertengahan mula meminati saya,” akuinya.
Dalam pada itu, laman sosial Sara juga dibanjiri peminat gara-gara drama bersiri arahan Suhaimi Lua Abdullah itu. Bagaimanapun Sara tetap menjaga privasinya dengan menapis setiap gambar yang ingin dimuat naik dalam akaun laman sosial.
Ujarnya sebelum itu dia tidak pernah berfikir panjang saat memuat naik sebarang status dan gambar di laman sosial. Namun, selepas dua minggu berada di set penggambaran drama berkenaan, dia telah dinasihati oleh Fahrin supaya berfikir panjang sebelum memuat naik sebarang gambar di laman sosial.
“Abang Fahrin pernah berkata kepada saya, apa niat kita ketika memuat naik status dan gambar di laman sosial. Semuanya berbalik kepada niat. Jadi, janganlah naik angin andai status atau gambar yang dimuat naik itu dihentam peminat atau menimbulkan sebarang kontroversi kerana kita mempunyai kuasa untuk meletakkan gambar itu atau tidak.
 
“Jika tidak mahu dihentam peminat, janganlah letak gambar dan status yang bukan-bukan. Nasihat itu saya pegang sehingga hari ini. Sebab itu, sebelum meletakkan sebarang status dan gambar saya akan berfikir panjang kerana saya seorang yang sangat menjaga privasi diri,” hujah Sara panjang lebar.
Masam muka

Dalam pada itu, nama Sara Ali panas kembali apabila dia didakwa oleh pengarah drama tersebut, Suhaimi Lua mempunyai masalah ketika menjalani penggambaran drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Sara dikatakan bermasam muka dengan kru penggambaran dan perkara itu secara tidak langsung menyukarkan pihak produksi.
Menurut Suhaimi, perkara itu berlaku kerana Sara terlalu menjiwai watak Melina dan hubungan yang keruh itu kembali jernih pada penghujung penggambaran drama tersebut.
Sara yang diminta mengulas tentang isu terbaharu itu enggan memberi sebarang komen walaupun sedar isu tersebut menjatuhkan kredibilitinya sebagai pelakon.
“Saya enggan beri sebarang komen bukan kerana saya bersalah sebaliknya saya enggan memanjangkan isu itu. Penggambaran telah pun tamat, bagi saya kurang manis untuk saya bercakap mengenainya. Kalau saya turut bersuara, saya akan meletakkan diri saya satu tahap dengan orang yang memulakan isu ini. Jadi saya anggap isu ini sudah boleh ditutup tanpa mendapat ulasan dari saya,” katanya yang sedar sikap tolak ansur dan lebih bersabar dalam segala hal mampu mengendurkan ketegangan hubung­an yang keruh.

No comments:

Post a Comment