TAMADUN dunia menyaksikan kemajuan sesebuah negara dinilai daripada pembangunan ibu negara, bandar raya, kepadatan penduduk dan keupayaan teknologi.
Pembinaan bandar baharu mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi, peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf sesebuah negara selain menarik minat pelabur asing.
Bagaimanapun tidak kesemua pembinaan bandar membawa kesan positif kepada masyarakat. Pembinaan bandar raya sering kali menjadi faktor kepada peningkatan kos sara hidup, persaingan sengit dalam sektor pekerjaan dan kegagalan sesebuah kerajaan mengimbangi ekosistem alam semula jadi dan kepesatan pembangunan.
Bertempat di Galeri Petronas, Suria KLCC di Kuala Lumpur, sebuah pameran fotografi bertajuk The City: Becoming and Decaying merungkai sisi berbeza kota metropolitan di 22 buah negara terpilih di seluruh dunia yang ditinggalkan kerana terbengkalai, kesan perang dan kota yang dibangunkan semula.
Lebih 176 foto melibatkan subjek seperti manusia, isu alam sekitar dan peperangan hasil 18 jurufoto ternama dari agensi Ostkreuz di Berlin, Jerman membongkar kesan pembangunan bandarraya secara holistik terhadap manusia.
SEBUAH rumah terletak di atas lokasi projek pembangunan bandar yang tergendala di Ordos, China.
Pengarah Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim berkata, uniknya pameran foto pada tahun ini membawa pencinta seni ke sebuah dimensi pengembaraan persis berada di lokasi sebenar foto dirakamkan.
“Setiap hasil kerja di sini menuntut setiap jurufoto mempunyai fokus yang tinggi, semangat yang jitu dan idealistik. Bukan mudah untuk menyampaikan sesebuah penceritaan dan peralihan bandar melalui foto. Apatah lagi sedaya upaya menyampaikan emosi setiap subjek dalam pameran ini,” ujarnya.
Rosli menambah, pameran itu membuatkan pemerhati berfikir secara kritis terutama membabitkan usaha mengekalkan budaya dan mengimbangi kuasa ekonomi masyarakat bandar dan luar bandar sepanjang mengejar arus kemodenan negara.
Dibedil Israel
Setiap jurufoto merantau ke seluruh dunia sejak tahun 2010 semata-mata mencari kisah di sebalik kejatuhan sesebuah bandar, pembangunan semula dan bandar yang terbiar.
Karya jurufoto Heinrich Volkel bertajuk Gaza-the destroyed city yang dirakamkan pada tahun 2009 menyaksikan jurufoto bijak mengilhamkan bangunan yang dibedil Israel kepada foto yang indah.
BANGUNAN yang ditinggalkan di Ukraine antara foto yang dirakamkan jurufoto agensi Ostkreuz.
Foto itu merakamkan keadaan sebuah syiling rumah bertingkat di Gaza yang musnah akibat tembakan peluru dan terbakar membentuk imej seakan-akan bintang gemerlapan di langit.
Terdapat juga imej bandar yang terbiar antaranya ialah di Las Vegas, Amerika Syarikat yang menyaksikan komuniti di daerah itu berjuang meneruskan kehidupan walaupun kekurangan peluang pekerjaan dan infrastruktur yang terjejas teruk.
Peluang menemui sendiri seorang daripada jurufoto Ostkreuz iaitu Jorg Bruggemann Mas Austral menceritakan pengalamannya merakamkan foto di Ushuaia, Argentina.
Komuniti Ushuaia sukar untuk didekati dan tidak ramah. Katanya, dia berkunjung ke daerah itu pada musim sejuk.
Keunikan Ushuaia ialah penempatan itu dibina khas menempatkan bekas banduan dan mereka diberi peluang untuk memulakan kehidupan baharu.
“Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Kebanyakan penduduk di situ datangnya daripada keturunan banduan tetapi setelah mengenali mereka ternyata komuniti di situ bijak melayan tetamu,” katanya.
Infrastruktur yang kurang baik antara isu yang cuba disampaikan melalui fotonya. Jorg menambah, melihat wajah polos kanak-kanak dan golongan belia di daerah itu membuatkan dirinya bersyukur kerana dibesarkan dalam suasana yang sempurna seperti pendidikan, keluarga dan sumber makanan.
No comments:
Post a Comment