KUALA LUMPUR – “Tuhan masih sayangkan saya, mungkin masanya (ajal) untuk saya belum sampai.”
Itu luahan aktres terkenal, Vanidah Imran, mengenai tragedi kereta yang dipandunya terbakar kira-kira satu kilometer selepas susur keluar Serdang, Selangor pada pukul 3 pagi semalam.
Walaupun keretanya model Mini Cooper yang dianggarkan berharga RM150,000 itu hampir musnah, heroin filem Wanita Melayu Terakhir itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar dari kereta sebelum ia terbakar.
Ketika kejadian, Vanidah atau nama sebenarnya Vanidah Amran, 42, memandu sendirian dalam perjalanan pulang dari lokasi penggambaran drama untuk siaran hari raya berjudul Rekah di Serdang, Selangor.
“Saya sangat berterima kasih kepada seorang pemandu lelaki yang bersungguh-sungguh menekan hon dan memberi isyarat agar saya memberhentikan kereta sambil menunjukkan bahagian enjin kereta saya mengeluarkan asap,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Vanidah berkata, dia kemudian melihat ke arah bahagian enjin yang sudah mengeluarkan asap sebelum menekan brek.
“Apabila brek sudah tidak lagi berfungsi, saya kemudian menukar gear dan mengangkat brek tangan dan kereta mula perlahan sebelum berhenti di tepi lebuh raya.
“Saya sempat mencapai telefon dan beg tangan dan keluar dari kereta.
Nasib baik juga, kereta saya tidak dilengkapi sistem berkunci secara automatik sekiranya ada kecemasan,” katanya.
No comments:
Post a Comment