Setiap sesuatu kejadian tidak pernah berlaku mengikut jangkaan yang tepat. Ada kalanya ia akan menjadi kenyataan atau sebaliknya. Namun bagi penyanyi lelaki ini, tuah kini menjadi miliknya.
Gara-gara memuat naik sebuah video berdurasi 15 saat, penyanyi yang berasal dari Kuwait, Humood AlKhudher berjaya melebarkan sayap sebagai penghibur di Malaysia.
Mencetuskan fenomena, video yang dikongsi hampir di seluruh dunia itu berjaya menambat hati peminat tempatan sehingga mereka merakam semula lagu tersebut menerusi aplikasi Dubsmash termasuk dalam kalangan selebriti popular tanah air.
Tuah daripada perkongsian video itu, ia bagai mengiringi perjalanan karier lelaki tinggi lampai yang memiliki pakej lengkap dalam memperjuangkan karyanya.
Terkenal menerusi lagu bertajuk Kun Anta yang membawa maksud Be Yourself atau jadilah diri sendiri, Humood mengakui lebih selesa mengetengahkan mesej positif sebagai subjek penting dalam penulisan liriknya.
Meskipun begitu, Humood tetap mempunyai perancangan untuk menghasilkan lagu berkonsep ketuhanan namun enggan melabelkan karyanya dengan elemen keagamaan.
"Meskipun ramai berpendapat saya membawa lagu lebih menjurus kepada ketuhanan sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Maher Zain sebelum ini, sebenarnya ia kurang tepat. Lagu yang cuba saya tonjolkan lebih bersikap positif sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Bagaimanapun ini tidak bermaksud saya sempurna, namun elemen seperti ini agak jarang ditonjolkan berbanding lagu bertemakan cinta," jelasnya ketika ditemui dalam satu majlis temu bual eksklusif di Restoran Savaro, Publika Solaris, Dutamas, Selangor kelmarin.
Hadir dalam keadaan bersahaja dan santai tanpa perlu dikawal oleh pengawal peribadi, penyanyi berusia 26 tahun itu nyata bijak dalam menyusun setiap kata saat menjawab persoalan yang ajukan.
Hal itu termasuk ketika dia menjawab persoalan mengenai kejayaannya meraih populariti hanya menerusi satu lagu hit sahaja.
"Jujurnya, mesti saya ingin mempromosikan kesemua lagu yang ada di dalam album ini tetapi perkara mengejutkan telah berlaku di Malaysia apabila Kun Anta mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat Malaysia termasuk selebriti.
Pelakon dan pengacara
"Lebih mengejutkan, lagu itu juga berjaya berada pada kedudukan teratas dalam carta lagu iTunes di Malaysia," jelasnya yang merupakan artis di bawah naungan Awakening Records.
Memiliki pengalaman menyanyi sejak berusia 10 tahun, Humood kini gigih merencana agenda demi mempromosikan album pertamanya yang dilengkapi dengan 10 buah lagu bertajuk Aseer Ahsan.
Mengambil kesempatan apabila namanya berada di puncak, dia berhasrat untuk menghasilkan lagu ciptaan sendiri dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan dalam bahasa Melayu buat album keduanya.
Mula dilancarkan di Malaysia sejak dua minggu lalu, pihak pengurusan Interm Records diberi kepercayaan selaku pengedar album sulung penyanyi kelahiran Asia Barat itu untuk pasaran tempatan.
Sementara itu, melihat kepada pakej lengkap yang dimiliki, Humood mampu menjadi pelaris sekiranya terlibat dalam dunia perfileman mahupun pengacaraan.
Biarpun sering menerima pujian kerana wajahnya yang tampan, Humood tidak mengambil kesempatan yang ada untuk menambah portfolionya dengan bergelar pelakon mahupun pengacara.
Dia juga mengakui perkara itu tidak termasuk dalam perancangan kerjaya seninya dalam tempoh waktu terdekat tetapi sukar menolak jika ia berlaku pada masa akan datang.
"Pada masa sekarang saya tidak terfikir untuk menjadi pelakon ataupun mendambakan karakter yang ingin dibawa kelak. Barangkali hal itu akan berlaku suatu masa nanti.
"Sementelah, cita-cita saya bukanlah menjadi seorang pelakon mahupun pengacara. Sejak kecil saya sememangnya menanam impian hanya untuk bergelar penyanyi," jelasnya.
Cinta jarak jauh
Beralih kepada soal peribadi, Humood yang memegang status suami orang mengakui terpaksa hidup berjauhan dengan isteri tercinta atas dasar tuntutan kerja.
Humood begitu sibuk di Kuwait, sementara isterinya kini menetap di Amerika Syarikat.
Mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu, Humood bersyukur dipertemukan dengan seorang isteri yang memahami. Dia hanya memperkenalkan wanita bertuah itu sebagai Marfazz.
"Pasti sebagai wanita normal dia ada menyimpan perasaan cemburu namun Alhamdulillah dia seorang isteri yang baik, positif dan menyokong kerjaya serta minat saya sebagai penyanyi.
"Sebelum berkahwin, saya terlebih dahulu bergelar penyanyi di Kuwait. Jadi pada saya isu cemburu itu tidak perlu timbul kerana dia sendiri sudah biasa menangani perkara tersebut," jelas Humood sambil melemparkan senyuman.
Mengulas lanjut, Humood mengakui terpaksa mengorbankan masa dan hidup berjauhan dengan isteri yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Boston, AS.
Marfazz kata Humood sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Penulisan Kreatif sejak dua tahun lalu. Demi cinta, dia akan berulang-alik dari Kuwait ke AS semata-mata untuk melepaskan rindu bertemu isterinya.
"Saya mengakui kami kini berada dalam fasa hubungan jarak jauh. Dia memilih untuk menyambung pelajaran manakala saya pula sibuk menguruskan kerjaya.
"Selain itu, jika ada masa terluang, saya akan terbang ke Boston untuk melihat bagaimana keadaannya di sana. Namun yang pasti bohong jika saya katakan tidak merindui dia di sana.
"Bagaimanapun saya berasa amat bertuah kerana dipertemukan dengan insan istimewa sepertinya serta berterima kasih kerana mempercayai dan menerima saya seadanya," jelas Humood mengenai isterinya.
Konsert amal
Dalam perkembangan lain, Humood bakal kembali ke Malaysia untuk menjayakan sebuah konsert amal anjuran Islamic Relief sekitar Oktober hadapan.
Perkara itu bagaimanapun masih berada dalam peringkat perbincangan, namun yang pasti pengisian konsert tersebut lebih fokus kepada memberi inspirasi dan semangat motivasi kepada penonton.
Tidak hanya mahu menyanyi dalam bahasa Arab, Humood memasang impian menghasilkan sebuah lagu berbahasa Inggeris.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada selebriti yang membuat persembahan dalam majlis itu nanti. Sebelum ini saya sendiri pernah terlibat dengan persembahan berskala besar namun jarang diberi peluang untuk melibatkan diri dengan aktiviti amal," katanya.
Selain itu, Humood turut menjawab saat disoal sekiranya diberi kesempatan untuk berkolaborasi dengan artis tempatan berdasarkan penerimaan positif daripada peminat.
"Saya ada mengenali beberapa artis Malaysia yang popular di luar negara namun pada masa ini tiada sebarang perancangan untuk menghasilkan lagu bersama.
"Sementelah, banyak perkara yang perlu diambil kira seperti cita rasa peminat dan konsep sebelum membuat sebarang keputusan," ulas Humood menutup bicara.
No comments:
Post a Comment