Saturday, 31 October 2015

Jual laksa, bihun sup cuma RM1 (kosmo)



JITRA – Ketika ramai peniaga makanan di negara ini mengeluh dan terpaksa menaikkan harga, seorang usahawan di Jalan Industri Darul Aman 1 di sini masih mampu menawarkan pelbagai hidangan pada harga serendah RM1 sahaja.
Dikenali dengan nama Warung Menu Sejahtera, pelanggan hanya perlu membayar RM1 untuk menikmati semangkuk laksa, mi dan bihun sup, air batu campur, laici kang dan cendol.
Bagi penggemar nasi ayam, ia dijual pada harga RM2 sepinggan manakala minuman pula dijual antara 80 sen hingga RM1.50.
Pemiliknya, Mohd. Nazeri Hashim, 45, berkata, sejak bero­perasi lima bulan lalu, warungnya sering menjadi tumpuan orang ramai terutama para pelajar di institut pengajian tinggi tempatan yang terletak berhampiran.

Lelaki Kashmir tampar imam didenda RM12,000 [kosmo]

Shabir dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Lelaki warga India yang menampar Imam II Masjid Negara, Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim ketika beliau sedang mengimamkan solat Jumaat di masjid tersebut bulan lalu dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhi hukuman tersebut ke atas tertuduh, Shabir Ahmad Khan, 31, selepas dia mengaku bersalah setelah ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Lelaki yang berasal dari Kashmir, India itu berdepan dengan tiga pertuduhan iaitu mencede­rakan imam, mengganggu perjalanan solat Jumaat dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan sosial.
Mengikut pertuduhan, Shabir didakwa menyebabkan kece­deraan terhadap Mohd. Zuhairee, 39, di Masjid Negara, Jalan Perdana, Dang Wangi di sini pada pukul 1.30 petang 18 September lalu.

Saturday, 10 October 2015

Bekas ADUN ditembak > Ketuk pintu sebelum bedil (Metro)

Marang: Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman mengesahkan Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat di sini, selepas solat Jumaat tadi.


Mangsa dipercayai mati akibat ditembak di kepala dalam jarak dekat kira-kira jam 2 petang.
Mangsa ditembak dua lelaki menaiki motosikal Yamaha 125Z sebelum dia dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong namun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Sementara itu, bekas ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad berkata, beliau dimaklumkan oleh isteri bekas wakil rakyat Barisan Nasional itu, Noriha Muhammad, suaminya ditembak di kepala dalam jarak dekat di rumah mereka.

Katanya, kejadian dipercayai selepas Allahyarham pulang daripada solat Jumaat itu dipercayai berlaku selepas mangsa membuka pintu rumah yang diketuk individu tidak dikenali.

"Mengikut apa yang dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, tidak lama selepas pulang dari solat Jumaat, ada individu mengetuk pintu rumah dan arwah membuka pintu sebelum ditembak.

"Tembakan daripada jarak dekat itu dikatakan terkena pada kepala sebelum arwah rebah," katanya.
Allahyarham yang memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dipilih sebagai ADUN Alor Limbat sejak 2004 hingga 2008.

Perkahwinan Annahita berakhir

Tak ada angin tak ada ribut, khabarnya rumah tangga model, pelakon dan pengacara, Annahita Bakavoli, 33, dengan suaminya Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad sudah berakhir baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan bekas suaminya, dia melafazkan cerai talak satu terhadap Annahita pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

“Perkahwinan yang dibina atas rasa cinta itu berakhir selepas lima tahun kami hidup bersama. Kenyataan ini dibuat atas dasar keikhlasan tanpa ada maksud yang terselindung.

“Ia dibuat untuk mengelakkan timbulnya fitnah pada masa akan datang sekiranya masing-masing mengambil keputusan membina hidup baru pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Saiful, keputusan untuk berpisah itu dibuat kerana mereka tiada persefahaman lagi.
“Saya mendoakan Annahita menemui kebahagiaan,” katanya.

Sementara itu, Annahita ketika dihubungi belum bersedia memberi kenyataan berhubung perceraiannya itu.

“Saya kini sedang bercuti di luar negara. Insya-Allah apabila pulang nanti saya akan menjelaskan segala-galanya,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 2010 selepas berkenalan kurang dari setahun. Bagaimanapun, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.


Ibu tak kenal wajah anak (kosmo}

GUA MUSANG – Kurus kering sehingga nampak tulang, tidak bermaya, kelaparan dan ketakutan.
Itulah keadaan Mirsudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, dua daripada tujuh kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui bersembunyi di dalam akar sebatang pokok di tebing Sungai Perias, kira-kira tiga kilometer dari sekolah ber­kenaan di sini semalam.
Kedua-dua kanak-kanak itu yang lengkap berpakai­an dijumpai oleh seorang anggota polis bersama dua penduduk kampung ketika sedang mengadakan operasi mencari dengan menaiki bot di sungai tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Pada masa sama, pasukan mencari turut menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang kemudian disahkan sebagai Ika Ayel, 9, di lokasi berhampiran Mirsudiar dan Norieen dijumpai.
Lebih memilukan, mayat tersebut difahamkan telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang bersembunyi di dalam akar pokok tersebut sedang menangis teresak-esak dan cuba melarikan diri.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak perempuan itu pula ditemui berse­belahan dengan lokasi penemuan kedua-dua murid terbabit.
Katanya, mayat kanak-kanak perempuan itu masih dalam keadaan sempurna dan pihaknya percaya mangsa meninggal dunia beberapa hari lalu dan dijaga oleh dua kanak-kanak tersebut.
“Kedua-dua kanak-kanak ini dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan rapi dan proses pemulihan.
“Pihak hospital di sini akan melakukan bedah siasat terhadap mayat Ika sebelum diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang semalam.
Hilang berat badan 10kg {metro}

Kota Bharu: Dua kanak-kanak Orang Asli yang ditemui semalam kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg).

Berat badan Noreen Yaacob, 10 dan Mirsudiar Aluj, 11, sebelum hilang adalah 25 kg.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, mereka kini dipantau pakar kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nik Nasiruddin Nik Leh dan mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk pulih.

"Dua kanak-kanak itu juga dalam keadaan trauma dan perlu diberi kaunseling oleh pakar psikologi," katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Wad 5 HRPZ II, di sini, hari ini.
Harian Metro semalam melaporkan dua kanak-kanak itu ditemui kira-kira jam 12 tengah hari bersama mayat seorang kanak-kanak.

 
Noreen (gambar kecil) bersama ibunya, Midah Angah, m anakala Mirsudiar bersama ibunya Rosita Bahil di HRPZ II. FOTO Nik Abdullah Nik Omar - 

 
Noreen Yaacob, 10, (kiri) dan Mirsudiar Aluj, 11, ketika ditemui semalam. - Foto NSTP