GUA MUSANG – Kurus kering sehingga nampak tulang, tidak bermaya, kelaparan dan ketakutan.
Itulah keadaan Mirsudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, dua daripada tujuh kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui bersembunyi di dalam akar sebatang pokok di tebing Sungai Perias, kira-kira tiga kilometer dari sekolah berkenaan di sini semalam.
Kedua-dua kanak-kanak itu yang lengkap berpakaian dijumpai oleh seorang anggota polis bersama dua penduduk kampung ketika sedang mengadakan operasi mencari dengan menaiki bot di sungai tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Pada masa sama, pasukan mencari turut menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang kemudian disahkan sebagai Ika Ayel, 9, di lokasi berhampiran Mirsudiar dan Norieen dijumpai.
Lebih memilukan, mayat tersebut difahamkan telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang bersembunyi di dalam akar pokok tersebut sedang menangis teresak-esak dan cuba melarikan diri.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak perempuan itu pula ditemui bersebelahan dengan lokasi penemuan kedua-dua murid terbabit.
Katanya, mayat kanak-kanak perempuan itu masih dalam keadaan sempurna dan pihaknya percaya mangsa meninggal dunia beberapa hari lalu dan dijaga oleh dua kanak-kanak tersebut.
“Kedua-dua kanak-kanak ini dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan rapi dan proses pemulihan.
“Pihak hospital di sini akan melakukan bedah siasat terhadap mayat Ika sebelum diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang semalam.
Hilang berat badan 10kg {metro}
Kota Bharu: Dua kanak-kanak Orang Asli yang ditemui semalam kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg).
Berat badan Noreen Yaacob, 10 dan Mirsudiar Aluj, 11, sebelum hilang adalah 25 kg.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, mereka kini dipantau pakar kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nik Nasiruddin Nik Leh dan mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk pulih.
"Dua kanak-kanak itu juga dalam keadaan trauma dan perlu diberi kaunseling oleh pakar psikologi," katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Wad 5 HRPZ II, di sini, hari ini.
Harian Metro semalam melaporkan dua kanak-kanak itu ditemui kira-kira jam 12 tengah hari bersama mayat seorang kanak-kanak.
Noreen (gambar kecil) bersama ibunya, Midah Angah, m anakala Mirsudiar bersama ibunya Rosita Bahil di HRPZ II. FOTO Nik Abdullah Nik Omar -
Noreen Yaacob, 10, (kiri) dan Mirsudiar Aluj, 11, ketika ditemui semalam. - Foto NSTP
No comments:
Post a Comment