PASIR MAS – Murid cemerlang yang memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu lalu meninggal dunia semalam selepas bertarung nyawa melawan penyakit kanser kelenjar darah atau limfoma sejak September lalu.
Wan Mazlan (tengah) menurunkan jenazah Wan Adibah Farhani ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemal semalam.
Bapa kanak-kanak perempuan itu, Wan Mazlan Wan Hassan, 50, berkata, Wan Adibah Farhani menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 4 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kota Bharu.
“Arwah dilihat cukup gembira pada Khamis lalu selepas dia diberitahu memperoleh keputusan 6A dalam UPSR. Itu merupakan detik dia paling gembira sepanjang mendapat rawatan di hospital.
“Bagaimanapun, pada sebelah petang hari yang sama, tahap kesihatan Wan Adibah Farhani semakin menurun sehinggalah dia menghembuskan nafas awal pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Monday, 21 November 2016
Thursday, 27 October 2016
Saya tak hidup melarat (Utusan)
Memang sesuatu yang mengejutkan melihat bekas penyanyi Raihan, Nazrey Johani menyanyi di pasar tani beberapa tahun lalu. Jika sebelum ini pentas besar menjadi lokasi dia melontarkan suara, ternyata pasar tani dilihat terlalu asing buat Nazrey.
Melalui gambar yang tersebar itu ada yang berpendapat dia sebenarnya kini sudah hidup melarat. Malah apa yang lebih teruk ada yang menggambarkan Nazrey kini hanya mendambakan bantuan untuk meneruskan hidup selepas memilih untuk meninggalkan kumpulan Raihan.
Itu persepsi yang bermain pada fikiran peminatnya ketika melihat dia mengadakan persembahan di pasar tani. Bagaimanapun Nazrey tidak menyalahkan sesiapa untuk mempunyai persepsi seperti itu. Baginya manusia bebas menilai dengan apa yang mereka lihat. Namun untuk menjelaskan perkara sebenar, kata Nazrey, pilihan dia untuk menyanyi di pasar tani itu tidaklah menggambarkan kehidupan sebenarnya kini.
“Jangan menilai seseorang itu melalui luarannya sahaja. Tetapi jujurnya saya memang tidak kisah apa juga persepsi orang mengenai diri saya. Melihat gambar saya membuat persembahan di pasar tani, saya juga sebenarnya tidak percaya Allah beri kekuatan buat saya untuk melakukan perkara tersebut.
“Sebenarnya tujuan utama saya turun ke pasar tani itu untuk bertemu dengan orang. Dalam masa yang sama memberitahu mereka mengenai kewujudan Al-Tahfiz Bayu Syahadah yang dibangunkan saya. Jadi tidak salah rasanya untuk saya dalam masa yang sama turun ke pasar itu, untuk meneruskan niat saya ini,” katanya.
Sudah meninggalkan bumi Kuala Lumpur dan menetap terus di Sabah. Kata Nazrey, bukanlah bermakna dia menutup terus periuk nasinya dalam bidang nyanyian. Namun dalam masa yang sama dia yakin menguruskan sebuah sekolah tahfiz memerlukan tumpuan yang banyak menyebabkan dia berkorban untuk memantau hasil usahanya itu dari dekat.
“Memang selepas berniat untuk membuka sebuah sekolah tahfiz. Saya nekad untuk berpindah terus ke Sabah. Sebab saya mahu bantu orang Sabah, bagi saya tiada orang lain yang faham mengenai tempat ini selain orang yang dibesarkan di sini seperti saya.
“Tetapi tidaklah saya menutup terus peluang saya untuk membuat persembahan. Ironinya selepas ramai yang tahu saya buka sekolah ini, makin banyak pula tawaran untuk bernyanyi. Malah tidak sekadar di Sabah tetapi seluruh negara dan beberapa negara luar,” katanya.
Membuka rahsia sebenar kehidupannya kini, Nazrey tidak menolak sebenarnya untuk membuka sebuah rumah tahfiz, dia perlu menjadi lebih kaya dari apa yang orang bayangkan. Katanya, pandangan orang yang mengatakan dia hidup melarat dan miskin langsung tidak benar kerana untuk menjalankan sebuah sekolah memerlukan perbelanjaan yang banyak.
“Saya memerlukan hampir RM20,000 sebulan untuk memastikan sekolah tahfiz itu berjalan dengan baik. Jadi khabar angin mengatakan saya hidup miskin adalah tidak benar. Bahkan saya sebenarnya perlu lebih kaya dari dahulu.
“Namun bukan itu yang mahu sampaikan, apa juga cabaran yang dilalui, saya buat dengan ikhlas untuk membantu menegakkan syiar Islam di bumi Sabah. Alhamdulillah setakat ini ada bantuan yang sampai kepada saya untuk sama-sama membantu sekolah tahfiz ini,” katanya.
Mempunyai tiga orang tenaga pengajar dan hampir 20 orang murid yang sedang mendalami ilmu agama di sekolah tersebut. Nazrey tidak melihat usahanya ini akan terbantut di situ sahaja. Malah sudah ada perancangan untuk membuka beberapa pusat pembelajaran lagi, khas untuk mereka yang berumur dan pelajar perempuan pula.
“Lokasi sekolah saya ini terletak di Ranau, kebanyakan pelajar pula bukan mudah mahu diuruskan. Tetapi dalam beberapa tahun ini saya belajar untuk mendalami keperluan sekolah ini. Tetapi bukan mudah sebenarnya, saya anggap ini ujian yang harus diterima untuk berdakwah di sini.
“Perancangan untuk membuka lebih banyak sekolah pengajian islam ini memang ada. Sebabnya di Sabah ini berbeza, tidak banyak sekolah agama. Jadi saya sahut cabaran,” katanya.
Menyebut nama Raihan kita sudah boleh membayangkan zaman kegemilangan kumpulan ini pada awal tahun 2000. Selain penjualan album yang membanggakan, populariti Raihan ketika itu juga memberi sebab untuk mereka berlakon dalam sebuah filem. Ketika itu nama Raihan tidak sekadar fenomena di Malaysia tetapi juga seluruh dunia melalui lagu-lagu nasyid mereka yang tidak pernah dilupakan sehingga kini.
Bertanyakan semula apakah melalui popularili yang diraih, Raihan seakan tidak langsung menyimpan harta menerusi perniagaan. Namun, jawapan yang diberikan Nazrey mudah, mereka hanya diberikan jalan untuk Allah untuk menyanyi tetapi bukan dalam bidang perniagaan.
“Kalau ikutkan saya memang suka berniaga, tetapi rakan-rakan saya ketika itu tidak. Saya anggap Allah lebih memberi kami rezeki dalam bidang nyanyian sahaja dan bukan perniagaan.
“Sehingga ke hari ini juga saya sebenarnya masih mendapat royalti melalui lagu-lagu Raihan. Tetapi tidaklah banyak mana,” katanya.
Saturday, 15 October 2016
Tanam ini untuk halau nyamuk
KKMN saran tanam bunga tahi ayam, serai wangi & lidah buaya utk halau nyamuk
Kuala Lumpur: Tumbuh-tumbuhan seperti bunga tahi ayam, serai wangi, lidah buaya dan tongkat Ali boleh digunakan untuk menghalau nyamuk dalam usaha mencegah demam denggi dan jangkitan virus Zika.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga menamakan lima tumbuhan lain yang turut mempunyai fungsi sama iaitu akar wangi, bunga selasih, 'floramaster', mahogani atau mambu dan jeremin.
"KKM menyarankan masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan menggunakan kaedah lain untuk mencegah demam denggi dan jangkitan Zika sebagai tambahan kepada aktiviti kawalan sedia ada.
"Antaranya menggunakan beberapa tumbuhan yang berfungsi sebagai penghalau nyamuk yang boleh ditanam di kawasan perumahan," kata KKM dalam kenyataan di Facebook.
Beberapa kajian oleh Zaridah et.al (2005) di Kepong, Ferreira et.al (2011) di London, Pattanayak et.al (2015) dan Satpute et.al (2015) di India mendapati tumbuhan itu juga boleh menghalau serangga lain.
Menurut KKM sepanjang minggu ke-40 tahun ini iaitu dari 2 hingga 8 Oktober lalu, 1,550 kes demam denggi dilaporkan, menurun 151 kes berbanding minggu ke-39 yang mencatatkan 1,701 kes.
Pada minggu ke-40 itu, empat kematian akibat demam denggi dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian 190 berbanding 261 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Tuesday, 11 October 2016
Murid terperangkap 20 minit gagal keluar longkang [kosmo]
BEGINILAH keadaan mangsa yang terperangkap dalam longkang di sekolahnya di Klang semalam.
KLANG – Seorang murid lelaki berusia 8 tahun berjaya diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap selama 20 minit di dalam longkang di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Belah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa dikatakan cuba mengambil duit belanja sekolahnya sebanyak RM1 yang terjatuh ke dalam longkang sedalam 0.4 meter itu.
Ketua Balai Bomba Sungai Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, mangsa yang gagal mengambil duit itu menggunakan tangannya kemudian bertindak masuk ke dalam longkang dan berjaya mengambil wangnya.
Bagaimanapun katanya, mangsa gagal keluar semula daripada longkang itu.
Monday, 3 October 2016
Anugerah khas bagi menghargai sumbangan Haron Din [kosmo]
SERDANG – Pemilihan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din (gambar) sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1438H bagi menghargai sumbangan besar ulama tersebut dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global.
Anugerah itu diterima oleh anak sulung Allahyarham, Dr. Huda Haron yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Huda ketika ditemui, menyifatkan anugerah berkenaan amat bermakna bagi keluarganya dan merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan dan juga pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengusahakan pengiktirafan tersebut.
“Secara peribadi, anugerah ini amat bermakna bagi keluarga kami.
“Tidak ketinggalan ia juga sangat bererti bagi semua anak murid Allahyarham yang pernah menimba ilmu daripada ayahanda saya selama ini di seluruh dunia dan sesiapa sahaja yang mengenali beliau,” katanya ketika ditemui di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini semalam.
Sejarah manis Caliph Buskers di APM 2016
“Kami sangat berterima kasih kepada beliau kerana memberi kepercayaan kepada Caliph Buskers untuk membawa lagu ini. Jadi, kami anggap kemenangan ini adalah hak bersama,” ujar vokalis kumpulan itu, Azmi.
Tergamam saat nama mereka disebut selaku penerima anugerah utama iaitu Lagu Terbaik APM, Caliph Buskers menambah bicara, mereka sememangnya tidak menyangka mampu melakar sejarah dan menewaskan ramai artis besar yang lain.
“Perasaannya seperti kami bermimpi. Sewaktu mula-mula bernyanyi di kaki lima dahulu, dalam kepala kami tidak pernah terlintas akan sampai ke tahap sebegini, apatah diiktiraf di atas sebuah pentas besar membabitkan negara jiran yang lain,” ujar Azmi terharu.
Pernah dijulang sebagai pemenang tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30) pada awal tahun ini, Caliph Buskers mengakui kemenangan ini adalah tanda aras baharu kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti mereka.
“Apa yang kami harapkan, kemenangan sebegini dapat memberi kesedaran dan membuka peluang kepada bukan sahaja buskers seperti kami, tetapi semua golongan OKU untuk mencipta kejayaan dalam apa sahaja kerja yang dilakukan.
“Seperti kejayaan atlet paralimpik negara dalam Sukan Paralimpik Rio baru-baru ini, ia menjadi bukti bahawa manusia seperti kami juga boleh berdiri sama tinggi dengan orang lain,” ujar Azmi yang berharap agar kejayaan dalam APM2016 akan membuka ruang untuk mereka menembusi pasaran negara jiran.
Sejarah Ayda Jebat, Yuna
Jika Caliph Buskers diiktiraf sebagai terbaik, lain pula dengan kejayaan yang diraih oleh penyanyi Ayda Jebat apabila membawa pulang tiga kategori anugerah popular.
Pada malam tersebut, Ayda, 24, yang tercalon dalam lima kategori merangkul kemas anugerah Artis Paling Popular APM2016, Lagu Paling Popular APM2016 dan Ikon Media Sosial.
“Kejayaan pada malam ini menjadi saksi kepada jatuh bangun saya dalam industri. Terima kasih semua,” ujarnya.
Paling membanggakan, APM2016 memilih penyanyi kelahiran negara yang semakin galak membina nama di persada antarabangsa, Yuna selaku penerima Anugerah Rentas Planet.
Pengiktirafan itu diberi kepada Yuna atau nama penuhnya, Yunalis Zarai kerana kejayaan yang dilakar penyanyi itu dalam bidang nyanyian di negara Amerika Syarikat. Yuna bagaimanapun tidak dapat hadir kerana terikat dengan siri jelajah konsertnya di New York.
Menerusi satu kiriman video, Yuna merakamkan perasaan syukur atas pengiktirafan itu selain mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan keluarga kerana sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti seninya.
Bukan hanya itu, beberapa kategori dalam APM2016 juga menobatkan beberapa muka baharu antaranya penyanyi dari Indonesia, Raisa yang membawa pulang dua kategori iaitu Artis Terbaik Wanita menerusi lagu Kali Kedua dan Duo/Kumpulan Terbaik bersama Afgan menerusi lagu Percayalah.
Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasi 2015 (AF2015), Sufi Rashid turut membawa pulang dua anugerah bagi kategori Lagu Paling Popular menerusi lagu Kisah Dua Muka dan Artis Paling Popular (Singapura) APM2016.
Malam anugerah APM2016 turut mengiktiraf komposer terkenal S. Atan sebagai penerima Anugerah Khas Planet Muzik.
Biarpun era kegemilangan komposer itu bukanlah pada masa kini, tetapi jasanya kepada industri dunia hiburan sangat besar. Sejak menjadi komposer sekitar tahun 1972, beliau sudah bekerja dengan banyak nama besar seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah dan Allahyarham Sudirman Arshad selain menjadi pencipta lagu-lagu popular antaranya Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Kenangan Manis.
Tidak hanya itu, kumpulan Musikimia turut melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan selaku pemenang anugerah Band Terbaik dan Lagu Terbaik (Indonesia) menerusi lagu Dan Bernyanyilah.
Apa yang pasti, objektif pentas APM menjadi medan sebenar untuk mengiktiraf karya-karya terbaik dan popular dari gabungan tiga buah negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura tercapai.
Sejak APM2011 sehingga kini, sudah enam kali APM yang turut dibawakan oleh One Drop Perfumes bersiaran secara langsung dari negara Singapura selepas kali terakhir diadakan di negara ini menerusi APM2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Tuesday, 20 September 2016
Harta benda rosak dilanda ‘tsunami kecil’
Beberapa kawasan di Banting yang terjejas ekoran air pasang besar melanda Pantai Bagan Makmur, Kampung Sungai Nibong, semalam. – Sumber laman sosial
KLANG 19 Sept. – Penduduk di Kampung Tok Muda, Kapar di sini yang rumah mereka terjejas teruk akibat fenomena air pasang besar mengeluh kerana terpaksa menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM10,000 akibat barangan serta kelengkapan masing-masing rosak.
Antara harta benda milik mereka yang rosak adalah mesin basuh, peti sejuk, perabot dan kenderaan kerana dimasuki air masin.
Fenomena air pasang besar yang melanda kampung berkenaan sejak semalam juga disifatkan mereka sebagai yang terburuk dalam tempoh 25 tahun.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan penduduk menyatakan tidak sempat menyelamatkan barangan masing-masing kerana paras air naik begitu pantas.
Seorang penduduk, Adanan Suratman, 52, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana sejak 25 tahun menetap di kampung berkenaan, tidak pernah kawasan tersebut dilanda air pasang besar.
“Ketika kejadian iaitu kira-kira pukul 7 pagi semalam, saya bersama ahli keluarga sedang tidur sebelum terdengar bunyi air yang kuat.
“Pada mulanya, saya menyangka hanya hujan lebat tetapi sebaik sahaja melihat ke luar, air laut telah sampai ke pekarangan rumah, seolah-olah tsunami kecil melanda kediaman saya.
“Air naik sehingga paras betis dan banyak barangan elektrik termasuk buku-buku sekolah anak saya rosak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Ahmad Azhari Soraji, 45, pula memberitahu, air naik dengan pantas iaitu dalam tempoh hanya kira-kira seminit.
“Walaupun rumah saya terletak beberapa ratus meter dari pantai, tetapi ini kejadian pertama rumah saya dilanda air pasang besar.
“Sebab itu kami tidak membuat persediaan. Air pula naik terlalu pantas menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang kami.
“Banyak barangan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, sofa, almari rosak, selain kereta jenis Proton Persona saya turut tenggelam hingga paras tempat duduk,” jelasnya.
Menurut Rudyari Rosmin, 30, kereta Proton Iswara miliknya ditenggelami air hingga paras cermin manakala dua motosikalnya turut tenggelam.
Pemilik Restoran Aroma Ikan Bakar di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor, Mohd. Naim Omar memberitahu, kejadian air pasang besar itu turut melanda premisnya.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, kejadian di kawasan itu merupakan yang paling buruk sejak 15 tahun lalu sehingga mewujudkan trauma kepada penduduk.
Menurutnya, berdasarkan maklumat penduduk kampung Tambak Jawa, ban pecah menyebabkan air laut begitu deras memasuki kawasan rumah mereka manakala golongan nelayan melaporkan ribut kuat berlaku di tengah laut.
Sunday, 21 August 2016
Harap kekasih peluk Islam [utusan]
Raja Ilya rela undur diri andai tiada titik persamaan
OLEH IFQDAR RAHMAN | 19 Ogos 2016 6:00 PM
TIGA tahun menyulam cinta dengan seorang jejaka warganegara Australia beragama Kristian, pelakon jelita Raja Ilya meletakkan harapan tinggi. Dia mahu supaya hubungan itu berakhir di jenjang pelamin.
Belum memikirkan lagi untuk berumah tangga dalam masa terdekat, Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohamad, 31, mengakui mahukan yang terbaik. Ini termasuklah agar lelaki itu dilembutkan hati, diberi hidayah untuk memeluk agama Islam suatu hari nanti. Bertemu dengannya ketika hadir menjayakan sesi fotografi lima calon terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) pada Selasa lalu, Ilya menganggap hubungan mereka sebagai satu cabaran.
“Andai suatu hari nanti apabila tiba masanya saya perlu membawa hubungan ini kepada ikatan yang sah, saya harap ia dipermudah. Jika agama menjadi penghalang buat kami, saya rela undur diri dan berharap kami dapat terus berkawan baik sampai bila-bila,” kata calon Pelakon Baharu Wanita Terbaik menerusi filem Suamiku Encik Perfect 10.
Ilya faham,
isu bertukar agama bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia terlalu subjektif untuk diperkata secara terbuka.
Disebabkan itu, aktres berkenaan reda dan menyerahkan kepada takdir. “Memeluk Islam bukan sekadar untuk mengahwini seseorang yang beragama Islam. Sebaliknya perlu atas dasar cinta terhadap agama tersebut. Jiwa dan raga kena betul-betul ikhlas untuk mencintai Islam, bukan sebab mencintai seseorang semata-mata. “Jadi, biarlah masa menentukannya.
Kalau ada jodoh, syukur kepada Allah. Jika sebaliknya, diharap kami tetap boleh menjadi sahabat baik,” tuturnya. Sementara itu, mengulas lanjut pencalonan dalam FFM28, dia terkejut apabila dicalonkan sebagai pelakon baharu sedangkan sudah lapan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan. Namun selepas difikirkan semula pengalamannya di layar perak, Suamiku Encik Perfect 10 adalah filem awal yang dibintangi, sekali gus layak bertanding merebut trofi Pelakon Baharu Wanita Terbaik bersaing dengan empat lagi calon iaitu Marianne Tan (Ola Bola), Falisha Crossley (Mat Moto), Zara Zya (Rembat) dan Risteena Munim (Girlfriend Kontrak).
“Bagaimanapun, saya dapat merasakan ada pelakon lain lebih menyerlah dalam filem lakonan mereka untuk memenangi trofi berkenaan. Tak apa, semoga ini pembuka jalan yang baik dan saya akan terus diberi peluang untuk membintangi filem pada masa akan datang,” katanya. - Gambar AMIN FARIJ HASAN -
‘Terpulang bila mahu kahwin’ Keluarga restui hubungan Liu Ying, Jian Guo [utusan]
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Selepas impian Goh Liu Ying untuk memenangi pingat Sukan Olimpik berjaya dicapai, Goh Chak Whee menyerahkan sepenuhnya kepada anak sulungnya itu sama ada mahu menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Chak Whee mengakui, dia dan keluarga merestui
hubungan Liu Ying dengan kekasihnya yang dikenali sejak zaman kanak-kanak, Ong Jian Guo.
Namun, sejauh mana
hubungan yang sudah terjalin sejak lapan tahun lalu itu mahu ditamatkan, ia terpulang kepada Liu Ying.
“Ketika ini, saya tidak pernah dengar dia kata nak kahwin (selepas pulang dari Rio). Dia pun tidak pernah cerita tentang perkara itu.
“Mungkin buat sementara waktu... lebih-lebih lagi Liu Ying baru dapat keputusan baik dalam Olimpik, dia belum memikirkan tentang perkahwinan.
GOH CHAK WHEE (kanan) dan isterinya, Yoong Ooi Lin sentiasa merestui hubungan Goh Liu Ying dan Ong Jian Guo. Instagram Goh Liu Ying -
“Bagaimanapun terserah kepadanya untuk buat keputusan. Saya ikut apa sahaja apa yang dia mahu,” ujar Chak Whee, 59, ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Chak Whee, Liu Ying dan Jian Guo, yang juga bekas beregu badminton negara mengenali satu sama lain sejak di bangku sekolah.
“Masa umur 11 tahun, mereka berlatih di tempat yang sama. Mereka dari Melaka pergi pula SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil), jadi pelapis kebangsaan, lepas itu masuk pasukan senior... semua sama-sama,” katanya.
Menyentuh mengenai perjalanan karier Liu Ying, Chak Whee berkata, minat anaknya terhadap badminton dikesan seawal usia tiga tahun lagi.
“Mulanya saya bawa dia ke gelanggang badminton. Lama kelamaan, dia sendiri minat badminton. Pada umur lima tahun, saya ajar dia cara pegang raket dan pukul bulu tangkis.
“Masuk umur 11 tahun, baru saya pasang (upah) jurulatih berpengalaman untuk ajar dia. Dari situ, dia mendalami badminton,” katanya sambil menambah Liu Ying seorang anak yang baik, bertanggungjawab dan menghormati keluarga.
Liu Ying-Chan Peng Soon melakar sejarah muncul beregu campuran pertama negara mara ke final Olimpik.
Mereka mengejutkan beregu pilihan dari China, Xu Chen-Ma Jin pada separuh akhir, sebelum tewas kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia.
Saiful Apek dah tak lakon komedi? [metro]
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my
Selama 20 tahun mengabdikan diri dalam bidang seni, pelbagai asam garam dalam kehidupan dilalui Saiful Apek, 47.
Membintangi puluhan filem sebagai watak utama hingga dijulang Bintang Paling Popular 2003 sekali gus mencipta sejarah pelawak pertama memegang gelaran itu, Apek juga terpalit kontroversi apabila didakwa terbabit penyalahgunaan dadah pada 2010.
Pelakon yang sinonim dengan dialog “yang gitu-gitu” bersyukur masih diberi peluang berlakon dalam pelbagai produksi tempatan. Terbaru dalam filem KL Vampire arahan Devan R yang kini dalam proses penggambaran.
Katanya, dia terima tawaran berlakon filem itu sebab mahukan kelainan. Malah sejak mula dberi ruang berlakon dalam filem bukan genre komedi, ia satu perkembangan yang bagus pada usianya kini.
“Saya gembira kerana kini banyak tawaran watak berbeza dan anggap ia benda baru sebab orang sedari dulu kenal saya untuk watak komedi. Dulu selalunya saya dah tahu untuk penyeri atau perosak majlis sahaja!” katanya seloroh.
Katanya, industri hiburan semakin membesar dan melahirkan banyak produksi baru.
“Pembikinan filem tempatan berdasarkan pasaran tapi sedari dulu penonton dipupuk dengan filem corak bermusim.
“Tapi bila ada peluang seperti ini, saya rasa terhormat sebab pembikin filem bukan Melayu yang banyak beri peluang berlakon dalam genre lain bukan bahasa Malaysia.
“Contohnya pertama kali ditawarkan berlakon filem Mandarin, Wedding Game pada 2007, saya terkejut pembikin mahukan saya.
“Malah selepas itu banyak lagi tawaran daripada pembikin bukan Melayu. Komitmen mereka terhadap filem berbeza berbanding pembikin filem Melayu. Saya harap isu ini dilihat dari sudut positif,” katanya.
Rancang Reunion Senario
Dalam segala pencapaian dan kejatuhan dilalui, Saiful Apek atau Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff akui pengalaman bersama Senario paling bermakna sejak menganggotai kumpulan itu pada 1998.
Kumpulan lahir daripada program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan itu bersilih ganti keahlian sejak ditubuhkan pada 1996 seperti Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Shamsul Ghau Ghau, Farouk Hussein, Ilya Buang, Hamdan Ramli dan Yassin Yahya.
Bukan saja muncul dengan sitkom menggunakan judul sendiri, mereka turut membina jenama Senario melalui 10 filem dan lima album penuh.
Riak wajah Apek jelas ceria tatkala bercerita mengenai impian untuk menggabungkan semua ahli kumpulan Senario. Apatah lagi, impian itu pernah disuarakan awal Januari lalu di media masa tempatan.
Apek akui untuk kumpulkan semua ahli bukan mudah. Masing-masing sudah ada arah tuju sendiri. Tapi atas nama persahabatan yang dibina sejak dua dekad lalu, mereka mungkin akan kembali bersatu.
“Kami akan kembali dalam bentuk ‘showcase’ dan mungkin mengadakan siri jelajah seluruh Malaysia. Buat masa ini judul awal projek khas itu ialah Senario Reunion 20 Tahun dan saya akan memastikan projek itu dilaksana pada tahun ini juga.
“Lebih tepat, dua acara besar Senario Reunion 20 Tahun akan diadakan iaitu pertama pada Oktober dan kedua pada Disember,” katanya.
Apek juga yakin Senario masih relevan untuk penonton kini. Katanya, apabila bercakap soal releven, dia sendiri tidak tahu kepada siapa harus dirujuk sisi ‘relevensi’ itu.
“Jika bercakap di segi pasaran besar (mass-market), kami ada pengikut majoriti yang sangat meminta. Tambah pula permintaan bukan saja dari dalam negara, malah dari Indonesia, Singapura dan Brunei. Untuk projek ini, kita akan fokus dalam negara terlebih dulu,” katanya.
Apek berkata, untuk jadi fenomena bukan mudah. Seperti Senario, tahap komedi bukan saja melalui sitkom dan sketsa tapi melalui konsert juga sebab pernah melahirkan album.
Katanya, lagu dihasilkan yang sihat dan baik tapi tetap ada ciri-ciri jenaka dan hal ini membuatkan ia melekat seperti pita pelekat kepada generasi muda yang membesar bersama mereka.
“Apabila masyarakat menonton Senario, pasti akan mengimbau kembali zaman muda. Program lama Senario yang sering ditayangkan semula juga antara faktor utama memberi keyakinan kepada kami untuk merealisasikan Reunion Senario.
“Idea tercetus bukan sebab cuba nak bersaing dengan pelawak sedia ada tapi kagum tengok generasi baru masih kenal kami. Ia seolah legasi yang dilahirkan semula dan tidak akan habis.
“Kami pun belum tua sangat. Lagipun kami masih sekepala dan rindu untuk buat persembahan atas pentas. Percayalah, apabila dah ada atas pentas, dia jadi lain macam,” katanya ketawa.
Chong Wei kekal wira rakyat (metro)
PUTRAJAYA: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, tetap menjadi wira di hati rakyat Malaysia walaupun gagal membawa pulang pingat emas pertama negara dalam penampilan ketiga di pentas final Sukan Olimpik.
Chong Wei terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara perseorangan lelaki, yang ketiga untuknya selepas 2008 dan 2012, apabila tewas 18-21, 18-21 kepada Chen Long dari China di Pavilion 4, Riocentro di Rio de Janeiro, Brazil, malam tadi.
Bagi Mohd Fahmi Husin, 32, yang menyokong Chong Wei lebih 10 tahun lalu, pemain itu tetap wira baginya selepas menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga mata terakhir perlawanan tersebut.
"Memang seluruh Malaysia mengharapkan Chong Wei menang tetapi nasib masih lagi tidak menyebelahi kita kali ini. Saya berharap beliau akan terus bangkit daripada kekalahan ini dan fokus kepada kejohanan seterusnya.
"Saya juga berharap beliau kekal wakili negara pada Olimpik seterusnya di Tokyo 2020 kerana kita masih belum nampak pelapis yang boleh menggantikannya," kata pegawai bomba itu.
Mohd Fahmi yang hadir menyaksikan perlawanan itu bersama keluarganya adalah antara ribuan rakyat Malaysia yang hadir menonton aksi tersebut di Dataran Putrajaya di sini, anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya.
"Saya rasa hanya sukan sahaja yang boleh menyatukan kesemua rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Walaupun kita tidak mendapat emas, sukan sekali lagi menyatukan rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, seorang pemandu lori dari Puchong, Harry Lee, 50, yang sedih kerana Malaysia terlepas peluang meraih emas, berkata perlawanan itu cukup mendebarkan untuknya.
"Sedih kerana Malaysia sekali lagi tak berpeluang menang emas di Olimpik. Kita kena tunggu empat tahun lagi.
"Namun tahniah kepada Chong Wei dan juga atlet-atlet lain yang berjuang untuk negara di Rio," katanya.
Bagi penuntut Universiti Malaya, S Indiran, 24, walaupun aksi yang ditunjukkan Chong Wei pada hari ini bukan persembahan terbaiknya, beliau tetap bangga dengan pencapaian tiga pingat perak menerusi acara badminton di Olimpik kali ini.
"Saya jangkakan pingat emas hari ini. Chong Wei telah melakukan yang terbaik tetapi Chen Long terlalu kuat untuknya kali ini. Chong Wei bermain lebih baik ketika berdepan Lin Dan semalam.
"Saya harap beliau mampu mengekalkan ranking nombor satu dunia sehingga bersara tapi jika boleh saya mahu melihatnya menang emas di Sukan Olimpik seterusnya," katanya.
Atlet berusia 33 tahun dari Pulau Pinang itu melakarkan sejarah apabila mara ke final buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan musuh tradisinya Lin Dan 15-21, 21-11, 22-20 pada aksi separuh akhir semalam. Ia juga merupakan kali pertama Chong Wei mengalahkan Lin Dan di pentas Olimpik selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas kepada lawan sama dalam dua final berturut-turut, iaitu edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London.
Chen Long pula mara ke final selepas mengetepikan pemain muda Denmark, Viktor Axelsen 21-14, 21-15.
Terdahulu Axelsen meraih gangsa selepas menewaskan Lin Dan 15-21, 21-10, 21-17 pada aksi penentuan tempat ketiga. - Bernama
Saturday, 20 August 2016
Karya Lat jadi tema kotak Burger Syok (metro)
Lat menyampaikan lukisan karikatur kepada Azmir pada pelancaran Burger Syok di Putrajaya
Putrajaya: Restoran perkhidmatan segera, McDonald’s Malaysia kembali dengan kempen ‘Discover the World’ buat kali kedua dengan menampilkan Burger Syok yang boleh didapati di semua rangkaian mulai 22 Ogos hingga 16 September depan.
Burger Syok diinspirasikan daripada keistimewaan yang sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu kegemaran kepada sebarang hidangan pedas.
Menerusi pelancarannya semalam, McDonald’s turut bekerjasama dengan kartunis terkenal tanah air, Datuk Lat dan melalui inisiatif ini, karya beliau akan ditampilkan di rangkaian restoran itu di seluruh negara selain menjadi tema bagi kotak bungkusan Burger Syok.
Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, Lat menjadi pilihan kerana kebanyakan rakyat negara ini membesar dengan karya beliau selain peluang kepada peminat melihat gambaran diri menerusi hasil seni berkenaan.
“Bagi pihak McDonald’s Malaysia, kami bertapak di sini lebih 34 tahun dan melakar pelbagai pengalaman manis bersama pelanggan.
“McDonald’s berkembang menjadi antara restoran paling digemari jadi, kerjasama ini disifatkan sungguh bermakna tatkala kami berusaha menyatukan rakyat Malaysia menerusi cita rasa dan minat yang sama,” katanya pada pelancaran Burger Syok di McDonald’s Putrajaya, Presint 2 di sini semalam.
Pada masa sama, Azmir berkata, langkah yang dilaksanakan itu sesuai dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bakal disambut tidak lama lagi.
Burger Syok adalah hidangan dengan gandingan isi paha ayam panggang empuk, limpahan sos ‘syok’ pedas dan sayur campuran segar diapit dengan roti bijan.
Ia boleh didapati dengan harga RM11.95 (Ala carte) serta RM14.99 (set) dengan kentang goreng dan minuman Frozen Fanta.
Semasa pelancaran semalam, turut berlangsung karnival sempena pembukaan restoran cawangan Putrajaya yang turut dihadiri Lat sekali gus membolehkan peminat beramah mesra dan menonton lakaran karakter kartun secara langsung.
'Spiderman' tambah menu
Siti Rohana Idris
an@hmetro.com.my
Kota Bharu: Lebih sembilan bulan menjual nasi lemak, ‘Spiderman’ kini muncul dengan menu kedua iaitu nasi berlauk.
Nasi putih berlaukkan ikan tongkol gulai dijadikan menu kedua memandangkan masyarakat di Kelantan agak sinonim dengan menu sebegitu selain mudah dan ringkas untuk disediakan.
Sebagai percubaan, lebih 200 bungkus nasi berlauk ikan tongkol diagihkan bermula pagi tadi secara percuma di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu antaranya Kadok, Wakaf Che Yeh, Lundang, Peringat dan Melor.
Zawawi Ghazali, 30,yang memakai kostum adiwira itu turut muncul di pejabat New StraitsTimes Press (NSTP) di sini dan mengagihkan 25 bungkus sebagai percubaan.
Zawawi berkata, menu kedua itu dibuat berdasarkan permintaan pelanggan yang inginkan kepelbagaian jualannya kerana tidak semua yang gemarkan nasi lemak.
"Di Kelantan, nasi lemak biasanya dinikmati pada waktu pagi sahaja dan sebab itu lah ada pelanggan yang mencadangkan agar saya menambah menu lain selain nasi lemak.
"Memandangkan lauk ikan tongkol turut popular di sini selain mudah untuk disediakan, saya memilih menu itu yang akan dijual pada harga RM3 bermula esok," katanya ketika ditemui di sini pagi tadi.
Monday, 8 August 2016
Jakim sokong haram Pokemon Go [kosmo]
PENGGUNA telefon pintar di Malaysia mula memburu watak Pokemon sejak kelmarin di pelbagai lokasi termasuk pusat beli-belah, masjid, taman dan pejabat
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu yang tidak membenarkan umat Islam di negara ini bermain aplikasi Pokemon Go atas pelbagai faktor termasuk membawa kepada kemudaratan.
Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha (gambar kecil) berkata, keputusan tersebut selari dengan pandangan hukum oleh negara-negara Islam lain termasuk Arab Saudi yang telah mengharamkan permainan Pokemon Go kerana boleh mengancam keselamatan sehingga meragut nyawa.
“Permainan ini juga nyata mendatangkan kesan yang negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Jakim di sini semalam.
Justeru itu, Othman berkata, pihaknya menyeru umat Islam di negara ini agar menghindarkan diri daripada terjebak dengan permainan Pokemon Go.
“Saranan ini juga selaras dengan kaedah syarak Saddu Al-Zara’i iaitu kita perlu mencegah atau menyekat jalan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada diri kita,” jelas beliau.
Permainan Pokemon Go yang menjadi fenomena dunia semakin hangat diperkatakan di Malaysia selepas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan memutuskan permainan tersebut haram.
Wednesday, 27 July 2016
Mangsa tembak baru dua minggu tukar kereta {sinar}
KUALA LUMPUR - Pengurup wang yang ditembak maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di sini hari ini baru dua minggu membeli kereta baharu setelah mendapati ada pihak mengekorinya, menurut seorang rakan mangsa.
Rakan yang enggan dikenali itu berkata mangsa yang menjalankan perniagaan itu sejak kira-kira 10 tahun lepas, sebelum ini menggunakan Toyota Camry.
"Baru dua minggu dia beli kereta baharu jenis Honda Accord. Dia tukar kereta setelah mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya," katanya kepada Bernama.
"Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia tidak mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti biasa," katanya.
Menurut polis, mangsa maut serta-merta dalam kejadian 3.35 petang itu yang menyaksikan 18 das tembakan - 10 daripadanya mengenai mangsa dilepaskan dua penembak yang merupakan pembonceng dua motosikal
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta paha.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Seorang saksi kejadian berkata bunyi tembakan bertalu-talu yang didengari ketika kejadian disangkakannya bunyi mercun.
"Saya ingatkan hanya bunyi orang main mercun, tak sangka pula ia datang dari tembakan yang bertalu-talu," kata saksi yang hanya ingin dikenali sebagai sebagai Sazwan.
Sazwan berkata, beliau dan dua rakan sedang minum petang di gerai berhampiran tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu orang ramai bergegas mengerumuni kereta mangsa.
"Saya terkejut apabila mendekati kereta itu, terdapat banyak kesan tembakan.
Saya nampak pemandu kereta seorang lelaki dah terkulai dengan kesan tembakan pada badannya," katanya.
Beliau berkata tiada penumpang dalam kereta berkenaan.
Katanya sejurus kejadian, orang awam menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian. - Bernama
Rakan yang enggan dikenali itu berkata mangsa yang menjalankan perniagaan itu sejak kira-kira 10 tahun lepas, sebelum ini menggunakan Toyota Camry.
"Baru dua minggu dia beli kereta baharu jenis Honda Accord. Dia tukar kereta setelah mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya," katanya kepada Bernama.
"Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia tidak mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti biasa," katanya.
Menurut polis, mangsa maut serta-merta dalam kejadian 3.35 petang itu yang menyaksikan 18 das tembakan - 10 daripadanya mengenai mangsa dilepaskan dua penembak yang merupakan pembonceng dua motosikal
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta paha.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Seorang saksi kejadian berkata bunyi tembakan bertalu-talu yang didengari ketika kejadian disangkakannya bunyi mercun.
"Saya ingatkan hanya bunyi orang main mercun, tak sangka pula ia datang dari tembakan yang bertalu-talu," kata saksi yang hanya ingin dikenali sebagai sebagai Sazwan.
Sazwan berkata, beliau dan dua rakan sedang minum petang di gerai berhampiran tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu orang ramai bergegas mengerumuni kereta mangsa.
"Saya terkejut apabila mendekati kereta itu, terdapat banyak kesan tembakan.
Saya nampak pemandu kereta seorang lelaki dah terkulai dengan kesan tembakan pada badannya," katanya.
Beliau berkata tiada penumpang dalam kereta berkenaan.
Katanya sejurus kejadian, orang awam menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian. - Bernama
Maut dihujani 16 das tembakan [kosmo]
CCTV menunjukkan dua lelaki dalam bulatan sedang melepaskan tembakan ke arah kereta dipandu Kanthasamy dalam kejadian di Danau Kota semalam.
KUALA LUMPUR – Suasana sekitar pusat beli-belah Setapak Central di Danau Kota di sini semalam gempar apabila seorang ahli perniagaan yang memandu kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat dihujani 16 das tembakan.
Dalam kejadian bagaikan adegan filem koboi pukul 3.35 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Kanthasamy, 43, mati dalam kereta Honda Accord dipandunya dengan 10 kesan tembakan pada badan manakala enam lagi terkena di kepala dan pahanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang ketika itu memandu seorang diri dan menunggu lampu bertukar hijau untuk membuat pusingan U.
Dia dikatakan mahu berhenti di pusat beli-belah Setapak Central atau sebelum ini dikenali sebagai KL Festival untuk berjumpa dengan seorang saudaranya.
Saturday, 23 July 2016
Pelajar cedera cuba bunuh diri [metro]
guru & pelajar sedang memeberi bantuan kpd pelajar yg tercedera dipercayai cuba membunuh diri dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah dekat sini. (foto ihsan pembaca)
Kulim: Seorang pelajar perempuan patah paha kiri dan cedera di kepala serta badan selepas terjun dari tingkat dua sebuah sekolah menengah setinggi 12 meter di Padang, Serai, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa berusia 15 tahun bertindak demikian dipercayai selepas dimarahi ibunya kerana berhutang dengan rakannya sebanyak RM30.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian dipercayai berpunca dimarahi ibunya ketika pulang ke rumah selepas sesi persekolahan akibat mangsa berhutang dengan rakannya.
Menurutnya, sebelum kejadian itu, rakannya datang ke rumah dan berjumpa dengan ibu mangsa sebelum memberitahu masalah hutang itu.
"Akibatnya sebaik mangsa pulang kira-kira jam 1.30 petang, dia terus dimarahi ibunya menyebabkan dia yang tidak tahan keluar semula menaiki motosikal.
"Tidak lama kemudian beberapa pelajar terlihat mangsa berada di atas tembok koridor di tingkat dua sekolahnya namun mereka tidak sempat menolongnya apabila dia terus terjun," katanya.
Barudin berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim dan kini dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Tuesday, 12 July 2016
Mohon maaf kerana gagal atasi kesesakan jalan raya (metro)
Jakarta: Kerajaan Indonesia memohon maaf kepada penduduk negara itu yang menghadapi kesukaran termasuk terperangkap selama berjam-jam dalam kesesakan jalan raya sepanjang cuti perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tjahjo Kumolo berkata, masalah yang dihadapi rakyat terutama berkaitan pengangkutan awam ketika musim perayaan sangat dikesali.
Pada minggu lalu, kesesakan luar biasa di susur keluar lebuh raya Brebes Timur menyebabkan 12 pengguna jalan raya maut akibat terlalu lama berada di dalam kenderaan.
Keadaan diburukkan lagi oleh ketiadaan kawasan rehat di sepanjang lebuh raya bertol yang baru siap dibina itu.
Agensi kesihatan Brebes memberitahu, kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan keletihan.
“Sebagai menteri dalam negeri dan mewakili kerajaan, saya memohon maaf kepada orang ramai terutama mereka yang terjejas dalam kesesakan jalan raya ini,” katanya kepada portal kompas.com kelmarin.
Menurutnya, kerajaan berusaha menyediakan infrastruktur jalan raya yang sempurna bagi memudahkan perjalanan orang ramai.
Tambahnya, kerajaan akan membuat penilaian penuh untuk memperbaiki mutu dan perkhidmatan pengangkutan awam negara itu. - Agensi
Saturday, 2 July 2016
Bakti Ina, Suhaimi [metro]
Sekian lama menyepi, Ina Naim kembali mengasah bakat nyanyian dengan berpadu suara dengan suaminya, Mohd Suhaimi Saad menerusi lagu Jutawan Pemurah.
Lagu itu menyeru mereka yang berkemampuan menghulurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik terutama pada Ramadan dan Syawal.
Menurut Suhaimi, semua orang mahu jadi jutawan, tetapi jadilah orang berharta yang dermawan.
“Kalau hidup kaya raya, jadilah orang yang pemurah agar dapat membantu mereka yang susah. Namun, andai kita miskin, janganlah cepat berputus asa, sebaliknya jadilah orang yang bersabar dan bersyukur dengan apa yang ada.
“Itulah antara mesej yang saya dan Ina cuba sampaikan dalam lagu Jutawan Pemurah. Setiap daripada kita yang hidup di dunia ini ada bahagian masing-masing dan kita saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Bercerita lebih lanjut mengenai penghasilan lagu itu, Suhaimi berkata, ia dibuat sempena pembabitan mereka dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pembangunan Insan Sabah Care yang rancak mengumpul dana di sekitar Lembah Klang bagi menjalankan misi dakwah di kawasan pedalaman Sabah.
“Terdapat beratus-ratus kampung di pedalaman Sabah yang memerlukan perhatian daripada sudut pembangunan insan. Sabah Care adalah NGO yang bertanggungjawab menguruskan dan melaksanakan amanah ini. Pertubuhan itu juga sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti seperti memantau perkembangan prasarana yang sudah dibangunkan semula atau dibaikpulih dan dibina baru serta membantu menjana pendapatan penduduk pedalaman negeri itu dengan membantu memasarkan produk kampung.
“Aktiviti lain, mengadakan motivasi dan menjaga kebajikan pelajar sekolah, mewujudkan sistem keluarga angkat agar hubungan lebih akrab demi pembangunan insan dan mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma secara berterusan.
“Sabah Care juga sudah menghantar 100 imam ke kawasan pedalaman Sabah untuk menyampaikan ajaran Islam. Turut diedarkan telekung dan al-Quran,” katanya.
Bawa anak ke bazar
Menurut Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Mohd Naim, sepanjang Ramadan ini hampir setiap hari dia dan Suhaimi berada di bazar Ramadan sekitar Lembah Klang menyanyi sambil mengumpul sumbangan daripada orang ramai.
Mereka turut bawa bersama empat cahaya iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 8, Salman Elkhoyri 6, Phyrosh Elfadwah, 4 dan Nur Layla Elghufrony, 18 bulan untuk memberi pendedahan membuat persembahan depan orang ramai memandangkan mereka juga berbakat dalam bidang seni suara.
Di bawah syarikat penerbitan mereka sendiri, Karya Mosus, Ehmad dan Salman sudah merakamkan album doa serta selawat.
“Keempat-empat anak kami minat menyanyi dan senang bekerja dengan Ehmad serta Salman kerana mereka mudah ingat doa serta selawat yang diajar. Rakaman siap dalam masa tiga hari tanpa melakukan banyak kesilapan,” katanya.
Dengan pembabitan seluruh keluarga itu dalam bidang seni, ia merapatkan lagi hubungan mereka apabila Suhaimi yang juga bekas guru mengajar sendiri anaknya di rumah.
Selain itu, setiap Selasa, Rabu dan Khamis, Suhaimi dan Ina mengajar anak-anak jiran seramai 15 orang mengaji al-Quran di rumah mereka di Setia Alam, Shah Alam.
Pasangan itu juga mengeluarkan produk minda untuk kanak-kanak dan Ina juga akan mengeluarkan purdah jenama Ina Naim. Mereka sedang mencari kain yang sesuai dan selesa untuk dipakai.
Subscribe to:
Posts (Atom)