Thursday, 29 March 2018

Ganti rugi kepada waris Aminulrasyid kekal RM114,800

IBU, Norsiah Mohamad (tengah), ditenangkan oleh Peguam, Lateefa Koya (kiri). - Foto Faiz Anuar

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, menolak permohonan kerajaan bagi mendapatkan kebenaran merayu berhubung jumlah ganti rugi kepada keluarga Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak, pada 2010.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 adalah jelas dan tidak perlu dibuat penafsiran lanjut.
Seksyen 7 dan Seksyen 8 adalah berhubung ganti rugi bagi tuntutan berdasarkan kematian serta-merta.
Oleh itu, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan ganti rugi sebanyak RM114,800 dibayar kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, kerajaan dan polis mengemukakan permohonan kebenaran untuk merayu bagi mengurangkan jumlah ganti rugi yang dibayar kepada keluarga Aminulrasyid daripada RM114,800 kepada RM14,800 sahaja.
Turut bersidang bersama adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan ganti rugi sebanyak RM414,800 dibayar kepada keluarga bagaimanapun Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah itu kepada RM114,800.
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke hadir bagi mewakili Ketua Polis Daerah Shah Alam; bekas Ketua Polis Selangor, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini bekas Ketua Polis Negara) dan kerajaan.
Sementara keluarga Aminulrasyid diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, N Surendran, Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin.
Sementara itu, ibu mangsa, Norsiah Mohamad, berkata beliau berpuas hati keadilan akhirnya diperoleh keluarga mereka.
Katanya, wang sebanyak mana pun tidak akan mengembalikan Aminulrasyid tetapi ia adalah untuk keadilan bagi membuktikan anaknya tidak bersalah.
Pada 24 Mac 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM414,000 kepada keluarga Aminulrasyid selepas beliau mendapati Koperal Jenain Subi bertanggungjawab atas kematian remaja itu pada 26 April 2010.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi itu.

Friday, 23 March 2018

Komentar : Pengasuh bukan jururawat terlatih anak kita [kosmo]

Komentar : Megat Ramli Megat Raof

MEMIKUL tanggungjawab sebagai seorang ibu dan bapa pada zaman serba moden ini menuntut mereka untuk be¬kerja keras mencari rezeki buat anak-anak.

Jika hanya salah seorang daripada suami atau isteri yang keluar bekerja, bebanan kos sara hidup pastinya tinggi ter¬utama bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

Maka tidak hairanlah setiap pagi kita dapat lihat sepasang suami isteri menunggang motosikal atau menaiki kereta menuju ke tempat kerja mereka.

Dalam kesibukan mengejar harta dunia, ibu bapa terpaksa meninggalkan anak-anak kepada pengasuh atau taman asuhan kanak-kanak (taska) sejak awal pagi lagi sebelum mengambil semula mereka lewat petang.

Ada ketikanya ibu bapa perlu mengorbankan kesibukan bekerja dengan menjaga anak-anak jika mereka mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun, terdapat ibu bapa yang tetap menghantar anak-anak mereka yang sedang mengalami demam panas teruk ke rumah pengasuh atau taska dengan alasan sibuk bekerja.

Ada pula ibu bapa yang mengeluh jika taska tidak mahu menerima budak-budak yang mengalami demam panas, batuk atau selesema dan meminta supaya ibu bapa menghantar mereka ke klinik.
Kita perlu faham bahawa penjaga di taska bukan seorang jururawat terlatih yang mampu merawat kanak-kanak. Mereka juga bukan hanya menjaga anak anda seorang, sebaliknya kanak-kanak lain perlu diberi perhatian rapi.

Lagipun kanak-kanak yang sedang menghidap demam, batuk atau selesema mudah menyebarkan penyakit kepada orang lain selain sering meragam.

Anak yang sedang sakit memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi daripada ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa yang patut berada di sisi anak mereka, bukannya pengasuh atau penjaga taska.
Kita faham ada ibu bapa yang tidak boleh mengambil cuti sebab kerja di pejabat yang bertimbun-timbun sehingga memaksa mereka berbuat demikian walaupun rasa bersalah.

Situasi ini kerap dialami ibu bapa yang bekerja namun terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan dalam menanganinya.


Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah berbincang dengan suami yang merupakan ketua keluarga. Tanggungjawab menjaga anak bukan terletak sepenuhnya kepada isteri sebaliknya suami juga perlu memainkan peranan.

Suami juga boleh mengambil cuti tahunan atau kecemasan secara bergilir dengan isteri untuk menjaga anak yang sedang sakit.

Selain itu, hubungan baik dengan majikan atau penyelia adalah penting supaya sebarang masalah yang sedang kita lalui dapat mereka bantu selesaikannya.

Tidak semua majikan kejam sehingga memaksa kita be¬kerja walaupun anak sedang sakit teruk kerana mereka juga manusia yang mempunyai anak-anak. Setiap pekerja mempunyai cuti tahunan atau kecemasan, jadi gunakan sebaiknya.

Bagaimanapun, janganlah guna alasan anak sedang sakit semata-mata kita tidak mahu bekerja pada hari tersebut.
Sebagai ibu bapa, anak-anak perlu diutamakan terutama ketika mereka sedang sakit teruk. Terdapat ibu bapa yang sengaja melengah-lengahkan untuk membawa mereka berjumpa doktor dengan alasan hanya demam biasa sedangkan sudah tiga hari sakit berlarutan.


Jika penyakit sudah menjadi kronik, rawatan akan bertambah rumit.

Jangan kita menyesal pada kemudian hari apabila insan yang dianugerahkan oleh Allah hilang dalam sekelip mata angkara kealpaan kita sebagai ibu bapa untuk menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

Usaha tangani kenderaan terbiar



KUALA LUMPUR – Dua jawatankuasa bakal ditubuhkan bagi mengkaji undang-undang khusus berkaitan kenderaan terbiar termasuk kaedah pelupusannya. 

Jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan akan disertai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Jabatan Perdana Menteri.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang itu penting kerana masalah kenderaan terbiar semakin membimbangkan.

“Setakat ini, saya dimaklumkan ada kira-kira 6,000 aduan dari lapan kawasan terutama di bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor diterima daripada orang awam berhubung masalah kenderaan terbiar.

“Kita sedar ia berbahaya kepada pengguna jalan raya, berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk termasuk aedes, mengganggu kawasan parkir awam, selain memiliki bahan toksik yang boleh mendatangkan pencemaran alam sekitar,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini semalam.


SKMM minta henti perbuatan muat naik salinan Mykad di laman sosial


HULU TERENGGANU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai agar menghentikan perbuatan memuat naik dokumen pengenalan diri termasuk MyKad milik sendiri mahu pun orang lain di laman sosial bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber.



Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pendedahan dokumen peribadi berkenaan di media sosial boleh mengundang perbuatan manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Ramai juga memuat naik kad pengenalan atau salinannya di media sosial untuk meminta bantuan termasuk melibatkan mangsa kes kemalangan atau bencana.  Walaupun ia berniat baik namun perbuatan itu mengundang penjenayah dan pengodam untuk menggunakannya untuk mencari mangsa dengan memanipulasi maklumat berkenaan.

"Pengguna media sosial yang memuat naik kad pengenalan milik orang lain pula boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 sekiranya terbukti perbuatannya itu menceroboh dan menggunakan maklumat tanpa kebenaran sehingga boleh memudaratkan pemilik data," katanya kepada pemberita.

*contoh (gambar hiasan)

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Liga Sukan Untuk Semua di Padang Bola Kampung Butut, Kuala Berang di sini hari ini. - K! ONLINE

Saturday, 10 March 2018

Pengkritik Ini Melihat ‘Badang’ Dan Aliff Syukri Umpama Badut [mstar]





Filem: Badang
Pengarah: Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen
Pelakon: Datuk Seri Aliff Syukri, Fasha Sandha, Azhari Zain, Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi, Aminah Raphor, Norman Hakim dan Esma Daniel.
Genre: Aksi/Komedi
Durasi: 105 minit
Pengedar: Empire Film Solution
Tarikh Tayangan: 15 Februari 2018


SEORANG teman pernah bertanyakan kepada penulis mengapa sanggup ‘membazirkan’ wang menonton filem tempatan khusunya berbahasa Melayu di pawagam.
Sedangkan katanya, sebagai pengkritik filem dan bekas wartawan, bukankah penulis diberikan kelebihan untuk menghadiri tayangan prebiu yang dianjurkan.

Secara sinikalnya penulis mengatakan itu salah satu cara penulis untuk menyokong filem Melayu. Dalam erti kata lain, berjiwa patriotik menerusi seni. Jika tidak, siapa lagi yang akan berbuat demikian walaupun majoriti filem Melayu hari ini tiada apa yang perlu dibanggakan.

Malah, kata penulis juga, menjadi pengkritik filem dan penulis bebas membuatkan penulis lebih terbuka untuk memberikan kritikan membina dan bukannya mahu membunuh seperti mana dakwaan sesetengah pihak.

Penulis harus akui bahawa bukan semua filem Melayu itu buruk dan teruk tetapi memandangkan majoritinya mempamerkan kualiti yang semakin hari semakin tidak membanggakan. Maka, jangan tudingkan jari kepada penonton seandainya mereka tidak mahu ke panggung untuk menonton.
Dalam konteks ini, penulis merujuk kepada filem baharu arahan Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen berjudul Badang yang baru sahaja ditayangkan minggu lalu.

Bayangkan, belum pun memulakan tayangan dan hanya posternya sahaja dipromosikan terlebih dahulu, Badang sudah dikritik dengan cukup hebat sekali.
Tidak perlu salahkan mereka kerana kualiti penghasilan poster filem Badang pun memang layak dipertikaikan. Jadi, daripada pandangan pertama itu sahaja, ia sudah meruntuhkan dan menghapuskan minat penonton untuk pergi menonton.

Sebagai pengkritik filem, penulis dengan jujur mengakui bahawa tidak dapat menyembunyikan perasaan negatif terhadap filem Badang terutama memikirkan bagaimana seorang watak mitos Melayu yang cukup dikenali dengan kekuatannya dibawakan oleh seorang usahawan kosmetik bernama Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Tapi kata orang, tak kenal maka tak cinta bukan? Mana tahu, mungkin segala telahan dan hukuman penulis itu silap. Jadi, seandainya penulis silap, penulis akan menggunakan ruang ini untuk mengakui kesilapan itu dengan memberi kritikan yang selayaknya.
Tidak mahu terus dibelenggu dengan perasaan itu, penulis sempat meluangkan masa menonton Badang beberapa hari lalu yang mana hanya dua orang sahaja di pawagam termasuk penulis di dalam panggung. Bukan tiket percuma, bukan dibayar oleh sesiapa tetapi mengeluarkan wang sendiri.
Sebaik sahaja tamat tayangan, penulis menarik nafas lega kerana seksaan menonton Badang selama satu jam 45 minit hilang juga akhirnya.

Penulis hilang kata-kata dan tidak percaya bahawa itu adalah hasil kerja seorang ahli akademik yang juga seorang pengarah filem prolifik kerana Badang sememangnya tidak berada menepati piawaian yang diharapkan.


Justeru, apabila penonton mengecam dan mengkritik tanpa menonton Badang terlebih dahulu, ternyata mereka memang ahli nujum yang bijak dan hebat kerana tidak perlu membazirkan wang menontonnya di pawagam.

Kegagalan ketara dan utama filem Badang adalah garapan cerita dan lakon layar yang sangat lemah dan memang tidak masuk dek akal. Pertamanya, dalam filem ini, watak Badrul Hisham atau Bad (lakonan Aliff Syukri) dikatakan memperolehi kuasa ajaib sebaik usianya mencecah 25 tahun.

Ini bermakna Bad dilahirkan pada tahun 1992 (mengambil kira tahun 2017 pada ketika filem ini menjalani penggambaran). Tetapi, secara logiknya dan persoalan yang bermain di minda penulis, pada tahun Bad dilahirkan itu, masih ada lagikah kepercayaan masyarakat terhadap perkara tahyul seperti penemuan seorang puteri bunian (Nadia Brian) dan juga bayi dalam buluh?

Sedangkan realitinya, pada tahun 1992 itu, masyarakat sudah mula menerima pemodenan walaupun tinggal di kampung.

Dalam filem Badang, Mak Siah (Aminah Raphor) dan suaminya, Pak Tam (Esma Daniel) digambarkan tinggal di kampung tanpa ada masyarakat sekeliling. Ia seperti hanya mereka berdua tinggal di situ dan seolah-olah menjadi orang pertama yang membuka kampung itu.

Penulis boleh menerima logikanya seandainya cerita itu digambarkan Bad mewarisi kuasa ajaib itu daripada keturunannya. Sebagai contoh, daripada datuk dan bapanya barangkali kerana mungkin moyang Bad dilahirkan di dalam buluh.


Disebabkan itu, plot cerita itu sudah menampakkan kelompongannya lalu ia mencacatkan keseluruhan jalan cerita Badang. Maka, sudahnya, Bad yang berusia 25 tahun itu digambarkan sebagai seorang pelajar kolej yang tidak tahu apakah jurusan akademiknya dan hanya ke hulu ke hilir sambil membawa fail dan beg sandang.

Begitu juga dengan rakan karibnya, Sarip (Azhari Zain) yang secara jelas menampakkan sudah berusia tetapi menjadi seorang pelajar kolej juga. Tidak hanya itu, watak Tisha (Fasha Sandha) juga diletakkan sebagai pelajar kolej sehingga kelihatan canggung dan pelik apabila melihat Bad, Sarip dan Tisha dalam satu adegan menjadi pelajar kolej.
Dalam satu aspek lain mempersoalkan logik cerita Badang ini apabila Bad digambarkan sebagai seorang yang hidup sederhana, tidak mewah dan tidaklah juga miskin.
Masalah yang dihadapinya apabila dia perlu mendapatkan wang sebanyak RM31,000 bagi membiyai kos pembedahan Mak Siah.
Tetapi, dari awal hingga habis filem ini, Bad umpama seorang pelajar kaya apabila memakai pakaian yang dari mata kasar, memang layak untuk orang yang berkemampuan beserta aksesori jam tangan dan juga kasut yang kelihatan serba baru. Jadi, bukankah itu juga boleh dipersoalkan dari sudut logik ceritanya?
Penulis juga tidak percaya pelakon berpengalaman seperti Fasha sanggup untuk berlakon dalam filem seperti ini yang ternyata langsung tidak menampakkan kematangannya sebagai seorang pelakon yang memiliki portfolio yang bukan calang-calang.
Watak Tisha amat lemah dan rasanya watak seperti itu hanya layak dibawakan oleh pelakon tambahan mahupun pelakon baharu yang baru hendak menjinakkan diri dalam dunia lakonan. 

Percaya atau tidak, watak Tania yang dilakonkan oleh Fasha dalam dua filem Cicak-Man (2006 dan 2008) adalah jauh lebih baik daripada kualiti persembahannya dalam filem Badang.
Selain jalan cerita dan lakon layar yang lemah, kegagalan utama Badang untuk menyerlah adalah kerana risiko mengambil Aliff Syukri sebagai teraju utama.

Penulis menyifatkan keputusan itu adalah kesilapan besar kerana ternyata usahawan popular itu langsung tidak memiliki bakat lakonan yang boleh dibanggakan.
Sebaliknya, sepanjang menonton Badang, penulis berasa jelik dan rimas dengan persembahan lakonannya yang sama seperti dalam mana-mana iklan produknya di televsiyen.

Nasihat penulis kepada Aliff Syukri tidak perlu lagi mengaktifkan diri dalam dunia seni yang sememangnya sudah berada pada tahap ‘menyedihkan’ ini dan fokus sahajalah kepada dunia perniagaan.

Penulis akan lebih menghormati filem Badang seandainya ruang itu diberikan kepada pelakon yang benar-benar hidup atas kapasiti sebagai seorang aktor dan bukannya kepada seseorang yang hanya gemar mencari publisiti murahan setiap masa.

Jika Profesor A. Razak Mohaideen optimis bahawa Aliff Syukri mampu menarik perhatian penonton ke pawagam lalu mengharapkan Badang mencatatkan kutipan berjuta-juta ringgit, ternyata semua itu silap. Penonton hari ini diibaratkan seperti hanya jauhari yang mengenal manikam.

Persoalan utamanya di minda penulis adalah mengapa ruang itu tidak diberikan kepada mereka yang digelar seorang pelakon sejati yang tidak menjadikan lakonan sebagai hobi semata-mata.
Jika hendak menjadikan filem Badang sebuah filem adiwira komedi sepertimana Cicak-Man, tidak salah untuk mengambil pelakon yang layak dan relevan untuk membawakan watak utama yang berusia 25 tahun.

Daripada aspek cerita dan mutu lakonan sahaja, sudah menampakkan Badang tidak berupaya menjadi sebuah karya yang dapat meletakkannya pada satu peringkat yang bukan hanya dapat menaik tarafkan dunia sinema tempatan tetapi juga  A. Razak Mohaideen sebagai pengkarya dan pembikin filem.
Seharusnya cerita Badang boleh menjadi lebih positif dan menarik jika bekas calon Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18 (2005) menerusi filem Hingga Hujung Nyawa ini menggandakan usahanya untuk berfikir di luar kotak dan bekerjasama dengan para pelajarnya dalam menghasilkan cerita yang bergerak seiring dengan senario semasa.

Kedengaran agak kejam tetapi penulis harus katakan bahawa standard dan kualiti cerita serta lakon layar Badang adalah setara dengan filem Mendam Berahi (2002) dan No Problem (2001) yang masing-masing diarahkan oleh Z. Lokman dan diterbitkan oleh Metrowealth Movies Production yang kini dikenali sebagai MIG.

Penulis cuba mahu mengimbangi kritikan ini dengan menyelitkan sisi positif tetapi malangnya, begitu tipis untuk mencarinya. Penulis suka dengan idea untuk mengangkat mitos Melayu ini tetapi lakukanlah dengan penuh terhormat dan berhemat.
Dari sudut teknikalnya seperti penataan seni, tata rias dan skor muziknya juga tidak ubah seperti sebuah filem yang diterbitkan pada zaman 1980-an serta lokasinya yang hanya berlegar pada tempat yang sama sahaja.



Paling melucukan apabila melihat kualiti kostum Badang yang kelihatan cukup murah dan tidak kemas penghasilannya sehingga menampakkan karakter Badang itu tidak ubah menjadi seorang badut dan bukannya adiwira.

Penulis ada terbaca juga bahawa A. Razak Mohaideen mengatakan penonton sasaran filem Badang adalah kanak-kanak. 

Pernahkan beliau terfikir bahawa adakah kanak-kanak zaman ini memiliki pemikiran yang sama dengan kanak-kanak yang hidup di tahun 1970-an dan 1980-an yang mudah digula-gulakan dengan naskhah seperti ini?

Dan, apakah cerita Badang itu sendiri layak dipertontonkan kepada golongan kanak-kanak dengan pemaparan beberapa adegan yang sememangnya jelas tidak sesuai untuk kanak-kanak terutama dari kalangan mereka yang beragama Islam dan berbangsa Melayu?

Penghasilan filem seperti Badang ini adalah salah satu contoh mengapa penonton tidak berselera untuk menyokong filem tempatan. Penulis tidak menolak filem komersial tetapi bikinlah dengan bijak walaupun hanya sekadar mahu memberikan hiburan.

Waima apa jua keadaan sekalipun, pembikin filem harus menghormati karya mereka sendiri jika mahukan orang lain melakukan perkara yang sama.

Lebih membimbangkan apabila Badang adalah produk terbitan FITA Studios bawah Fakulti Animasi, Televisyen dan Filem, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pastinya akan membuatkan ramai mempersoalkan kualiti para pelajar dan graduan daripada salah sebuah universiti terulung negara itu dalam membawa hala tuju sinema tempatan ke peringkat lebih tinggi.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017  (Akifma) dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Thursday, 1 March 2018

Surat terbuka Mufti WP buat Neelofa

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menulis surat terbuka menerusi laman Web rasminya berhubung majlis pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahiran pengacara dan pelakon Neelofa di pusat hiburan di Kuala Lumpur, semalam.
“Assalamualaikum WBT. Kami menerima berita hangat melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain berkaitan isu pelancaran produk Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur.
“Kami mendapat pelbagai pandangan sama ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan itu. “Justeru kami terpangil untuk menulis surat terbuka kepada Hajjah Neelofa berkenaan hal ini.
“Tudung lambang kehormatan wanita. Tudung simbol kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya. Tudung juga satu bentuk kesempurnaan dalam beragama.
“Sebenarnya, tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.
“‎Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Indahnya pemakai tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada itu.
“Mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan Rasul-Nya.
“‎Sangat sukar sebenarnya untuk konsisten bertudung dengan memelihara perilaku dan adab kesopanan. Sehinggakan ada yang menolak untuk bertudung kerana tidak mahu hipokrit.
“Sedangkan perubahan daripada tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri tetapi juga penghijrahan hati dalam usaha menggapai reda Ilahi. Jika bukan reda-Nya yang kita impi, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?
“‎Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan.
“Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.
“Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung.
“Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat.
“Kepada para ikhwah dan akhawat, masyarakat Muslim Malaysia yang memberi teguran dan saranan, kami merasakan banyak manfaat dan istifadah yang dapat dikutip. “Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri sesama kita.
“InsyaAllah itulah yang terbaik. Memalukan, mengaibkan dan memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang Muslim. Semoga amar ma’ruf dan nahi mungkar yang dijalankan dengan kaedah dakwah yang baik akan membekas dalam sanubari kita.
“Kami mengenali Hajjah Neelofa sebagai simbol Muslimah berjaya. Tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai ‘wanita besi’ dan ‘gergasi’ dalam perniagaan dan kerjaya. Tetapi anda sudah membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam.
Akhir kalam, kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya. Kami noktahnya di sini tiga perkara:
(i) Tanyalah ulama sebelum bertindak
(ii) Sentiasa memelihara imej wanita bertudung
(iii) Carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.
“Kami berdoa semoga Hajjah Neelofa terus maju di dalam kehidupan dan kerjaya serta sentiasa memperoleh taufiq, hidayah dan rahmat-Nya.
Akhukum fillah,”
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan