HULU TERENGGANU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai agar menghentikan perbuatan memuat naik dokumen pengenalan diri termasuk MyKad milik sendiri mahu pun orang lain di laman sosial bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pendedahan dokumen peribadi berkenaan di media sosial boleh mengundang perbuatan manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Ramai juga memuat naik kad pengenalan atau salinannya di media sosial untuk meminta bantuan termasuk melibatkan mangsa kes kemalangan atau bencana. Walaupun ia berniat baik namun perbuatan itu mengundang penjenayah dan pengodam untuk menggunakannya untuk mencari mangsa dengan memanipulasi maklumat berkenaan.
"Pengguna media sosial yang memuat naik kad pengenalan milik orang lain pula boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 sekiranya terbukti perbuatannya itu menceroboh dan menggunakan maklumat tanpa kebenaran sehingga boleh memudaratkan pemilik data," katanya kepada pemberita.
*contoh (gambar hiasan)
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Liga Sukan Untuk Semua di Padang Bola Kampung Butut, Kuala Berang di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment