Friday, 23 March 2018

Komentar : Pengasuh bukan jururawat terlatih anak kita [kosmo]

Komentar : Megat Ramli Megat Raof

MEMIKUL tanggungjawab sebagai seorang ibu dan bapa pada zaman serba moden ini menuntut mereka untuk be¬kerja keras mencari rezeki buat anak-anak.

Jika hanya salah seorang daripada suami atau isteri yang keluar bekerja, bebanan kos sara hidup pastinya tinggi ter¬utama bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

Maka tidak hairanlah setiap pagi kita dapat lihat sepasang suami isteri menunggang motosikal atau menaiki kereta menuju ke tempat kerja mereka.

Dalam kesibukan mengejar harta dunia, ibu bapa terpaksa meninggalkan anak-anak kepada pengasuh atau taman asuhan kanak-kanak (taska) sejak awal pagi lagi sebelum mengambil semula mereka lewat petang.

Ada ketikanya ibu bapa perlu mengorbankan kesibukan bekerja dengan menjaga anak-anak jika mereka mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun, terdapat ibu bapa yang tetap menghantar anak-anak mereka yang sedang mengalami demam panas teruk ke rumah pengasuh atau taska dengan alasan sibuk bekerja.

Ada pula ibu bapa yang mengeluh jika taska tidak mahu menerima budak-budak yang mengalami demam panas, batuk atau selesema dan meminta supaya ibu bapa menghantar mereka ke klinik.
Kita perlu faham bahawa penjaga di taska bukan seorang jururawat terlatih yang mampu merawat kanak-kanak. Mereka juga bukan hanya menjaga anak anda seorang, sebaliknya kanak-kanak lain perlu diberi perhatian rapi.

Lagipun kanak-kanak yang sedang menghidap demam, batuk atau selesema mudah menyebarkan penyakit kepada orang lain selain sering meragam.

Anak yang sedang sakit memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi daripada ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa yang patut berada di sisi anak mereka, bukannya pengasuh atau penjaga taska.
Kita faham ada ibu bapa yang tidak boleh mengambil cuti sebab kerja di pejabat yang bertimbun-timbun sehingga memaksa mereka berbuat demikian walaupun rasa bersalah.

Situasi ini kerap dialami ibu bapa yang bekerja namun terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan dalam menanganinya.


Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah berbincang dengan suami yang merupakan ketua keluarga. Tanggungjawab menjaga anak bukan terletak sepenuhnya kepada isteri sebaliknya suami juga perlu memainkan peranan.

Suami juga boleh mengambil cuti tahunan atau kecemasan secara bergilir dengan isteri untuk menjaga anak yang sedang sakit.

Selain itu, hubungan baik dengan majikan atau penyelia adalah penting supaya sebarang masalah yang sedang kita lalui dapat mereka bantu selesaikannya.

Tidak semua majikan kejam sehingga memaksa kita be¬kerja walaupun anak sedang sakit teruk kerana mereka juga manusia yang mempunyai anak-anak. Setiap pekerja mempunyai cuti tahunan atau kecemasan, jadi gunakan sebaiknya.

Bagaimanapun, janganlah guna alasan anak sedang sakit semata-mata kita tidak mahu bekerja pada hari tersebut.
Sebagai ibu bapa, anak-anak perlu diutamakan terutama ketika mereka sedang sakit teruk. Terdapat ibu bapa yang sengaja melengah-lengahkan untuk membawa mereka berjumpa doktor dengan alasan hanya demam biasa sedangkan sudah tiga hari sakit berlarutan.


Jika penyakit sudah menjadi kronik, rawatan akan bertambah rumit.

Jangan kita menyesal pada kemudian hari apabila insan yang dianugerahkan oleh Allah hilang dalam sekelip mata angkara kealpaan kita sebagai ibu bapa untuk menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

No comments:

Post a Comment