Saturday, 16 March 2019

'Mangsa serangan tiba, tanpa henti-henti...'

Dr Mohamad Firdaus(kiri) ketika melawat Rahimi Ahmad 39 yg menjalani pembedahan membuang peluru.

KEADAAN menjadi terlalu cemas dan sibuk di Jabatan Kecemasan Hospital Christchurch pada hari serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Sebaik menerima berita kejadian berkenaan, semua jabatan di hospital itu bersiap sedia menerima mangsa yang dihantar ke situ termasuk pasukan doktor kecemasan, pembedahan, anestetik serta onkologi yang turut bergegas ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

Seorang daripada petugas perubatan yang menghulurkan bantuan itu adalah rakyat Malaysia berasal dari Sungai Petani, Kedah iaitu Pegawai Onkologi Hospital Christchurch Dr Mohamad Firdaus Mohamad Hanib.

“Situasi waktu itu amat cemas dan sibuk. Saya yang ketika itu sedang bersama pesakit onkologi segera pergi ke Jabatan Kecemasan untuk cuba membantu.

“Pesakit mangsa serangan yang tiba dengan ambulans datang tak henti-henti. Sekejap sahaja Jabatan Kecemasan dipenuhi dengan mangsa serangan.

“Kebanyakan mangsa pula mengalami kecederaan serius memerlukan rawatan segera. Kecederaan dialami setiap pesakit adalah di pelbagai tempat anggota badan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Doktor berusia 30 tahun itu berkata, setiap pegawai perubatan segera merawat mangsa dan mangsa pertama dibantunya adalah seorang lelaki yang parah ditembak.

Katanya, dia merasa sedih serta tidak menyangka berlaku tragedi itu sebab masyarakat majmuk New Zealand amat bertolak-ansur, walaupun berlainan agama.

“Saya tiada pengalaman berhadapan situasi perang tetapi Jabatan Kecemasan Hospital Christchurch waktu kejadian itu memang sangat cemas dan sibuk,” katanya yang turut menjadi sukarelawan untuk kejadian berkenaan.

Seorang lelaki warga Australia, Brenton Tarrant, 28, sudah didakwa di mahkamah tempatan atas tuduhan membunuh berhubung kejadian itu.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari Jumaat lalu, 49 maut, manakala 48 lagi cedera.

Sunday, 10 March 2019

Sufian buru gadis cantik, matang dan ada pakej

Sufian (kiri) teliti sepanjang proses uji bakat berlansung

PENCARIAN #GadisMencuba bagi membintangi muzik video lagu Mencuba nyanyian Sufian Suhaimi menerima ribuan permohonan di Instagram sejak mula diiklankan empat hari lalu.
Daripada jumlah itu, Sufian, 27, berkata, pihaknya sudah menyenarai pendek 30 wanita yang layak berdasarkan kriteria yang diinginkan.
"Sekarang saya sedang mengadakan uji bakat mereka yang terpilih. Setiap daripada mereka perlu melalui dua peringkat yang mana satu daripadanya memerlukan mereka berlakon.
"Kriteria yang dicari bukan saja cantik, comel dan matang tetapi kena ada pakej. Apa yang penting dia boleh melakonkan pelbagai karakter.
"Pencarian ini juga terbuka dan tidak dikhususkan kepada gadis bertudung saja. Kalau yang terpilih tidak bertudung, kita akan sesuaikan MV dengan penampilan mereka. Begitu juga sebaliknya," katanya kepada Harian Metro.
Sufian yang popular menerusi lagu Di Matamu berkata, gadis yang terpilih akan terus menjalani penggambaran muzik video Mencuba esok.
"Hari ini, saya dan pihak produksi, The Affiliates kena buat pilihan sebab esok kami sudah menjalani penggambaran selama dua hari. Jadi, gadis yang terpilih juga kena bersedia.
"Saya terharu dengan sambutan diberikan kerana ada yang sanggup datang dari Melaka, Kedah dan beberapa negeri lain.
"Selain orang biasa, ada antaranya terdiri daripada model sambilan dan influencer. Macam saya katakan tadi, apa yang penting adalah bakat mereka dalam lakonan," katanya.
Menurut Sufian, gadis yang gagal terpilih akan ditawarkan untuk projek lain pada masa akan datang.
"Apa dibuat ini bukan saja untuk MV semata-mata, tetapi saya ingin menyediakan platform kepada mereka bagi mencipta nama dalam bidang ini.
"Mungkin selama ini mereka tidak ada peluang nak menjadi model, jadi ini mungkin batu loncatan kepada mereka," katanya.

Saturday, 9 March 2019

Sambutan Hari Wanita di Turki diselubungi gas pemedih mata


ISTANBUL, Turki - Polis Istanbul menembak gas pemedih mata ke arah ribuan wanita yang berarak di jalan-jalan raya di pusat bandar raya ketika sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disifatkan sebagai mengingkari satu larangan pihak berkuasa.
Pasukan keselamatan menolak peserta-peserta himpunan di pintu masuk sebuah pusat beli-belah di Istiklal Avenue di bandar raya itu, menurut seorang koresponden agensi berita AFP.
Polis turut melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap kumpulan peserta dan mengancam mereka dengan kawanan anjing lalu menyebabkan ramai peserta lari ke kawasan tepi jalan.
Acara sambutan Hari Wanita berlangsung secara aman pada tahun lalu tetapi pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan melarang sebarang kegiatan demonstrasi di kawasan tengah bandar sebelum perarakan tahun ini.
Sebelum bantahan diadakan, kawasan itu dikawal polis yang mendirikan penghadang di sekitar Dataran Taksim ketika banyak kedai ditutup.

Beribu-ribu penunjuk perasaan pada awalnya dibenarkan masuk ke kawasan kecil di situ untuk mengadakan bantahan.
Bagaimanapun, kumpulan himpunan itu kemudiannya terperangkap di antara dua kawasan yang dikepung polis dan diusir oleh anggota keselamatan menggunakan gas pemedih mata.
Kumpulan aktivis wanita me­nuduh kerajaan pimpinan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan gagal menjalankan usaha menghentikan kekejaman terhadap wanita.
Pada tahun 2018, kira-kira 440 wanita terbunuh dalam kes pembunuhan berkait jantina mereka berbanding seramai 210 pada 2012, menurut kumpulan aktivis We Will Stop Femicide. – AFP

Friday, 8 March 2019

Kahwin pakai sut Kamen Rider


TUMPAT - Tindakan seorang pemuda yang mengenakan sut cosplay watak Kamen Rider Faiz pada sesi fotografi sempena majlis perkahwinannya pada 8 Febuari lalu tular di media sosial selepas gambar itu dimuat naik semalam.
Alif Hakim Azhar, 27, berkata, dia sama sekali tidak menyangka gambar yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya itu telah mencuit hati warganet sekaligus berkongsi detik-detik indah pasangan itu.
Menurutnya, tindakannya sebagai tanda menzahirkan minatnya terhadap adiwara dari negara matahari terbit itu pada hari yang cukup bersejarah dalam hidupnya.
"Alhamdulillah, bila saya bagi tahu isteri, Nor Afizam Mohd. Utama, 25, niat untuk pakai sut Kamen Rider dia terus memberikan sokongan.
"Begitu juga dengan keluarga kerana mereka sudah memahami minat saya terhadap adiwira itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Alif Hakim yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di Pasir Pekan dia membelanjakan sebanyak RM3,000 untuk melengkapkan keseluruhan cosplay watak tersebut.
Katanya, melalui cosplay itu juga dia turut terlibat dengan kerja-kerja amal mengutip derma bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Saya harap usaha murni ini terus mendapat sokongan daripada keluarga dan masyarakat," ujarnya yang merupakan salah seorang ahli Cosplay Kelantan.
Kamen Rider Faiz merupakan siri adiwira yang popular di Jepun sekitar tahun 2003 dan 2004.-K! ONLINE

Saturday, 2 March 2019

Hentikan kecaman terhadap ibu, Aliff memohon maaf


KUALA LUMPUR - Tidak tahan melihat ibunya terus menjadi mangsa kecaman netizen, penyanyi dan pelakon, E akhirnya tampil membuat permohonan maaf menerusi siaran langsung Instagramnya semalam.

Selepas empat hari mendiamkan diri, Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28, terpanggil untuk membersihkan nama ibunya, Siti Hafiza Sheikh Mohamad gara-gara memuat naik status yang didakwa ditujukan kepada menantunya Bella Astillah.
Mengaku bersalah kerana curang untuk kali kedua, Aliff juga merayu kepada netizen untuk menghentikan cacian terhadap ibunya.
"Saya kesal atas apa yang terjadi dan saya tidak mahu menafikan kesalahan saya. Setiap manusia pasti buat salah. Dalam kes saya, diakui ia memang berpunca daripada saya.
“Nak caci, maki dan hamun saya silakan. Cuma, jangan komen apa yang anda tidak tahu. Kasihan umi (Siti Hafiza) kena hentam dan kritik gara-gara status itu," katanya menerusi siaran langsung Instagramnya semalam.

Menurut Aliff enggan kerjayanya merudum berikutan kontroversi antara dirinya dan pelakon, Oktavia Manrose, dia memohon diberi ruang untuk memperbetulkan kesilapannya.
"Soal hubungan dan rumah tangga saya dengan isteri, biar saya yang selesaikan. Banyak perkara yang perlu dibuat dan diperbetulkan. Kesilapan saya pada Allah, biar saya uruskan. Kesalahan saya pada ibu bapa, itu tanggungjawab saya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan perbalahan terbuka Bella dan Oktavia menerusi Instagram masing-masing selepas Bella mendedahkan suaminya telah curang untuk kali kedua.
Memetik kenyataan Bella, dia mendakwa mempunyai rakaman video Oktavia dan Aliff berpelukan dalam sebuah kelab malam.
Enggan meneruskan perbalahan, akhirnya Oktavia membuat permohonan maaf dan mengaku bersalah kerana keluar berdua-duaan dengan Aliff.
Manakala Siti Hafiza, menjadi mangsa serangan netizen gara-gara status yang dimuatnaik menerusi Instagramnya yang didakwa bertujuan menutup kesalahan Aliff. - K! ONLINE