Selepas empat hari mendiamkan diri, Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28, terpanggil untuk membersihkan nama ibunya, Siti Hafiza Sheikh Mohamad gara-gara memuat naik status yang didakwa ditujukan kepada menantunya Bella Astillah.
Mengaku bersalah kerana curang untuk kali kedua, Aliff juga merayu kepada netizen untuk menghentikan cacian terhadap ibunya.
"Saya kesal atas apa yang terjadi dan saya tidak mahu menafikan kesalahan saya. Setiap manusia pasti buat salah. Dalam kes saya, diakui ia memang berpunca daripada saya.
“Nak caci, maki dan hamun saya silakan. Cuma, jangan komen apa yang anda tidak tahu. Kasihan umi (Siti Hafiza) kena hentam dan kritik gara-gara status itu," katanya menerusi siaran langsung Instagramnya semalam.

Menurut Aliff enggan kerjayanya merudum berikutan kontroversi antara dirinya dan pelakon, Oktavia Manrose, dia memohon diberi ruang untuk memperbetulkan kesilapannya.
"Soal hubungan dan rumah tangga saya dengan isteri, biar saya yang selesaikan. Banyak perkara yang perlu dibuat dan diperbetulkan. Kesilapan saya pada Allah, biar saya uruskan. Kesalahan saya pada ibu bapa, itu tanggungjawab saya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan perbalahan terbuka Bella dan Oktavia menerusi Instagram masing-masing selepas Bella mendedahkan suaminya telah curang untuk kali kedua.
Memetik kenyataan Bella, dia mendakwa mempunyai rakaman video Oktavia dan Aliff berpelukan dalam sebuah kelab malam.
Enggan meneruskan perbalahan, akhirnya Oktavia membuat permohonan maaf dan mengaku bersalah kerana keluar berdua-duaan dengan Aliff.
Manakala Siti Hafiza, menjadi mangsa serangan netizen gara-gara status yang dimuatnaik menerusi Instagramnya yang didakwa bertujuan menutup kesalahan Aliff. - K! ONLINE