Dr Mohamad Firdaus(kiri) ketika melawat Rahimi Ahmad 39 yg menjalani pembedahan membuang peluru.
KEADAAN menjadi terlalu cemas dan sibuk di Jabatan Kecemasan Hospital Christchurch pada hari serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.
Sebaik menerima berita kejadian berkenaan, semua jabatan di hospital itu bersiap sedia menerima mangsa yang dihantar ke situ termasuk pasukan doktor kecemasan, pembedahan, anestetik serta onkologi yang turut bergegas ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.
Seorang daripada petugas perubatan yang menghulurkan bantuan itu adalah rakyat Malaysia berasal dari Sungai Petani, Kedah iaitu Pegawai Onkologi Hospital Christchurch Dr Mohamad Firdaus Mohamad Hanib.
“Situasi waktu itu amat cemas dan sibuk. Saya yang ketika itu sedang bersama pesakit onkologi segera pergi ke Jabatan Kecemasan untuk cuba membantu.
“Pesakit mangsa serangan yang tiba dengan ambulans datang tak henti-henti. Sekejap sahaja Jabatan Kecemasan dipenuhi dengan mangsa serangan.
“Kebanyakan mangsa pula mengalami kecederaan serius memerlukan rawatan segera. Kecederaan dialami setiap pesakit adalah di pelbagai tempat anggota badan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Doktor berusia 30 tahun itu berkata, setiap pegawai perubatan segera merawat mangsa dan mangsa pertama dibantunya adalah seorang lelaki yang parah ditembak.
Katanya, dia merasa sedih serta tidak menyangka berlaku tragedi itu sebab masyarakat majmuk New Zealand amat bertolak-ansur, walaupun berlainan agama.
“Saya tiada pengalaman berhadapan situasi perang tetapi Jabatan Kecemasan Hospital Christchurch waktu kejadian itu memang sangat cemas dan sibuk,” katanya yang turut menjadi sukarelawan untuk kejadian berkenaan.
Seorang lelaki warga Australia, Brenton Tarrant, 28, sudah didakwa di mahkamah tempatan atas tuduhan membunuh berhubung kejadian itu.
Dalam kejadian 1.40 tengah hari Jumaat lalu, 49 maut, manakala 48 lagi cedera.
No comments:
Post a Comment