TUMPAT - Tindakan seorang pemuda yang mengenakan sut cosplay watak Kamen Rider Faiz pada sesi fotografi sempena majlis perkahwinannya pada 8 Febuari lalu tular di media sosial selepas gambar itu dimuat naik semalam.
Alif Hakim Azhar, 27, berkata, dia sama sekali tidak menyangka gambar yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya itu telah mencuit hati warganet sekaligus berkongsi detik-detik indah pasangan itu.
Menurutnya, tindakannya sebagai tanda menzahirkan minatnya terhadap adiwara dari negara matahari terbit itu pada hari yang cukup bersejarah dalam hidupnya.
"Alhamdulillah, bila saya bagi tahu isteri, Nor Afizam Mohd. Utama, 25, niat untuk pakai sut Kamen Rider dia terus memberikan sokongan.
"Begitu juga dengan keluarga kerana mereka sudah memahami minat saya terhadap adiwira itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Alif Hakim yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di Pasir Pekan dia membelanjakan sebanyak RM3,000 untuk melengkapkan keseluruhan cosplay watak tersebut.
Katanya, melalui cosplay itu juga dia turut terlibat dengan kerja-kerja amal mengutip derma bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Saya harap usaha murni ini terus mendapat sokongan daripada keluarga dan masyarakat," ujarnya yang merupakan salah seorang ahli Cosplay Kelantan.
Kamen Rider Faiz merupakan siri adiwira yang popular di Jepun sekitar tahun 2003 dan 2004.-K! ONLINE
No comments:
Post a Comment