Thursday, 26 September 2019

Netizen mohon maaf kepada anak Jasmin Hamid

Jasmin Hamid (dua dari kanan) menyaksikan permohonan maaf seorang netizen, Izzatul Hairiyah Abdullah (Kiri sekali) kepada anaknya, Rohana (kanan sekali) sambil diperhatikan oleh peguam Nasser Yusof (dua dari kiri) pada sidang media kes saman fitnah kepada netizen yang menghina anaknya di FINAS, Petaling Jaya, di sini hari ini. - Foto oleh ABDUL NAZIR


PETALING JAYA - Pelakon Jasmin Hamid lega apabila netizen yang memfitnah rupa fizikal anak angkatnya, Rohana Abd. Hamid telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menurut Jasmin, tohmahan yang dilemparkan kepada anaknya dalam media sosial Instagram dianggap keterlaluan kerana menyentuh fizikal dan perwatakan anaknya, Rohana, 32. 
“Niat saya mengadakan sidang akhbar permohonan maaf secara rasmi ini hanya mahu melihat individu yang membuat fitnah terhadap anak saya menarik balik tohmahan mereka.
“Nasib anak saya perlu dibela. Dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan kepada netizen, tetapi mengapa diperlakukan seperti itu? 
“Urusan fizikal tidak perlu dibuat main kerana semua itu kurniaan Allah,” katanya pada sidang akhbar khas yang diadakan di Kompleks Filem Negara di sini, semalam.
Salah seorang daripada tiga individu yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut iaitu Izzatul Hairiyah Abdullah hadir bagi membuat permohonan maaf dan menarik semula fitnah yang telah dibuatnya.
Menurut Izzatul, tindakan menggelarkan Rohana sebagai ‘bapok’ (mak nyah) hanya sekadar gurauan dan suka-suka sahaja tidak ada membawa maksud yang serius.
“Saya kesal dengan tindakan saya. Laman sosial Instagram saya masih ada, tetapi sudah ditukar nama.
“Niat saya hanya mahu main-main. Saya sangat terkejut apabila menerima surat tuntutan maaf daripada peguam. Harap Kak Rohana dapat maafkan perbuatan,” ujarnya Izzatul.
Jasmin Hamid dan anaknya diwakili peguam Naseer Yusof dari Tetuan The Law Chambers Of Fauzi & Nasser.
Bagi Jasmin sendiri, tindakan memfailkan saman tersebut dilihat sebagai satu cara mengajar netizen agar tidak melakukan buli siber.
Jika sebelum ini khalayak hanya menganggap saman daripada selebriti hanya mainan dan tidak serius, tetapi kini dia membuktikan bahawa artis juga mempunyai hak untuk bersuara.
“Buat dua orang lagi individu, sila beri kerjasama untuk selesaikan masalah ini. Saya juga tidak mahu panjangkan kes sehingga perlu ke mahkamah.
“Jangan berpendapat artis boleh dipijak. Artis bukan milik masyarakat, tetapi penghibur masyarakat. Harap netizen boleh ambil pengajaran dan lebih berjaga-jaga sebelum menghantar komen dalam media sosial,” ujarnya lagi.
Terdahulu, sekitar Mac 2019, gambar Rohana dan Jasmin menjadi tular apabila netizen mula mengutuk dan memberi gelaran melampau batas tentang fizikal anak angkat dramatis popular itu.
Dia juga telah memfailkan saman terhadap tiga individu yang dikenali pasti terlibat pada April lalu. - K! ONLINE

Monday, 23 September 2019

Mira Filzah Bintang Paling Popular

Saat namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ke 32 (ABP32) pada malam Ahad lalu, wanita yang hadir dengan busana serba putih itu tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut.

Masakan tidak, selepas 6 tahun bergelar anak seni inilah kali pertama aktres yg popular dgn drama Pujaan Hati Kanda itu memenangi anugerah besar dalam ABP.


Selain Bintang Paling Popular, Mira turut membawa pulang anugerah Pelakon TV Popular, Pelakon filem wanita popular & gandingan serasi drama popular menerusi Pujaan Hati Kanda bersama aktor Remy Ishak.

Ironinya, nama Mira awal-awal lagi telah diramal menang besar dalam ABP32 bersandarkan populariti yang diraih menerusi deretan drama fenomena lakonannya termasuk Sweet Dream bersama Ben Amir yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Meskipun begitu, pemilik nama Nur Amirah Filzah Badioezaman itu mendedahkan, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk merangkul anugerah paling berprestij dalam ABP32.
“Alhamdulillah, ini adalah rezeki dari Allah. Saya sendiri tidak menjangkakan untuk membawa pulang anugerah Bintang Paling Popular walaupun tahun ini menerima enam pencalonan secara keseluruhannya.
“Saya ada meletakkan harapan, tetapi pada beberapa kategori sahaja. Sejujurnya, saya memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk kategori utama. Bagaimanapun syukur, rezeki berpihak kepada saya dan ini adalah hasil sokongan peminat yang tidak berhenti mengundi siang malam,” ujarnya yang turut membawa pulang trofi kemenangan dan sebuah kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid.
Anugerah terindah
Pelakon berumur 26 tahun itu menyifatkan kemenangan yang dirangkul adalah anugerah terindah buat dirinya.
Bukan mudah untuk Mira sampai ke tahap yang dicapai pada hari ini. Sungguhpun merasakan dirinya masih terlalu hijau dalam bidang lakonan, Mira tetap memastikan setiap naskhah lakonannya memberi impak dan kepuasan kepada penonton.
“Saya percaya kemenangan kali ini adalah impak daripada drama lakonan yang secara kebetulan baru menamatkan siarannya dan filem Sangkar masih ditayangkan di pawagam. Mungkin kerana itu nama saya masih menjadi sebutan.
“Oleh itu, saya berharap peminat dan penonton lebih menghargai bakat seni saya berbanding kontroversi mahupun gosip,” kata Mira yang baharu sahaja menapak dalam layar perak menerusi karya Sangkar.

Sokongan peminat
Menjawab jika ada pihak mempersoalkan kemenangannya dalam ABP32 memandangkan bersaing dengan nama-nama besar lain, Mira menegaskan kemenangan yang diraih adalah atas sokongan peminat.
“Kita semua tahu undian ABP adalah 100 peratus atas talian. Saya hanya duduk diam, sebaliknya peminat yang berusaha keras. Terima kasih diucapkan kepada kumpulan peminat yang tidak putus-putus mengundi.
“Saya berasa masih seorang pelakon baharu biarpun telah enam tahun berada dalam industri. Sebenarnya bakat saya hanya benar-benar diberi perhatian pada tahun kelima. Oleh sebab itu, saya sangat bersyukur apabila drama-drama lakonan saya diterima peminat,” tutur Mira.
Selepas memenangi anugerah Bintang Paling Popular, secara automatik saham Mira dalam industri seni naik mendadak Ditebak, adakah kemungkinan akan bersikap selektif terhadap karya dan meningkatkan harga bayaran selepas ini, jawapan balas Mira cukup spontan: “Tidak ada harga paling popular bagi saya.
“Hal ini kerana, sejak dari awal kemunculan dalam dunia lakonan, saya berpegang pada bakat. Jika kita dikenali dengan bakat perjalanan seni boleh pergi lebih jauh.
“Biarlah bakat saya selari dengan gelaran Bintang Paling Popular. Saya mahu meningkatkan usaha dan kualiti lakonan seiring kepercayaan yang telah diberikan kepada saya.
Pencapaian
Sementara itu, kumpulan nasyid Raihan telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka selama 23 tahun dalam pembangunan industri seni tempatan mahupun luar negara.
Bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular dan Artis Baharu Wanita Popular masing-masing dimenangi oleh pelakon Adam Lee dan Haneesya Hanee, manakala Janna Nick mengungguli kategori Artis Versatil Popular.
“Biarpun memenangi kategori Artis Versatil Popular, tetapi bakat lakonan, nyanyian dan pengacaraan saya masih perlu digilap. Saya masih belum berada pada tahap terbaik dalam bidang seni,” ujar Janna.
Selain itu, pelawak dan pelakon Zizan Razak berjaya mempertahankan trofi Artis Komedi Popular selama tiga tahun berturut-turut, manakala DJ Lin yang terkenal dengan segmen Suria Cinta membawa pulang anugerah Penyampai Radio Popular buat kali kedua.
“Saya telah mengendalikan segmen Suria Cinta selama 13 tahun, jadi kekuatan saya adalah jenama DJ Lin yang begitu kukuh dalam industri radio.
“Pengorbanan yang saya berikan untuk fokus terhadap karier telah terbalas dengan kemenangan ini,” ulas DJ Lin yang merupakan penyampai radio Suria FM.
Tidak ketinggalan, penyanyi Siti Nordiana berjaya memenangi trofi Penyanyi Wanita Popular dan Pengacara TV Popular, manakala pasangan ‘sedang ingin bercinta’ Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini pula diumumkan sebagai pemenang Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.
Dalam pada itu, dua kategori baharu yang diperkenalkan pada ABP32 iaitu Artis Indonesia Popular telah dirangkul oleh aktres Laudya Cynthia Bella, manakala Artis Korea Popular menjadi milik kumpulan BTS.
Menyentuh tentang perjalanan keseluruhan acara, ABP32 boleh disifatkan sebagai cukup menghiburkan.
Biarpun terdapat beberapa isu berbangkit, seperti pakaian kontroversi Stacy dan gurauan kasar Datuk AC Mizal kepada pasangan pengacaranya Elly Mazlein, namun penonton tetap dapat menikmati persembahan hebat daripada barisan penyanyi seperti Aishah, Liza Hanim, Ernie Zakrie dan nyanyian duet Akim bersama Hazama yang berjaya memukau penonton di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad lalu.
Bakat seni dan pengaruh yang dibina pelakon Mira Filzah selama enam tahun, akhirnya terbayar apabila diiktiraf merangkul empat anugerah termasuk Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-32.

Saturday, 21 September 2019

'Uncle Yew' terima penghargaan daripada MyCar

Ah Tat (dua dari kiri) dan Siti Nur Hanini menerima replika cek sumbangan daripada Shamsul Kamal (paling kanan) selepas kisah mereka tular di media sosial. Foto oleh MOHD. SHAHARANI SAIBI

SHAH ALAM - Keprihatinan seorang pemandu perkhidmatan e-hailing MyCar yang membantu pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini kehilangan wang pada pada Jumaat lalu berbalas apabila diberikan penghargaan pengendali perkhidmatan itu.
Yew Ah Tat, 45, yang mudah disapa sebagai 'Uncle Yew', yang dipuji netizen atas tindakannya itu telah menerima sumbangan RM1,000 daripada pengurusan MyCar kerana telah membantu pelanggan yang dalam kesusahan.
Turut menerima sumbangan adalah pelajar semester pertama jurusan Undang-Undang UiTM, Siti Nur Hanini Kamaruddin, 19, sebanyak RM700 sebagai wang saku.
Kedua-dua sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pengurusan Pemandu dan Operasi MyCar, Shamsul Kamal.
Menceritakan semula kisah yang tular di laman sosial itu, Ah Tat yang baharu lima bulan menjadi pemandu MyCar memberitahu menerima tempahan daripada Siti Nur Hanini atau mesra dipanggil Ninie pada hari kejadian untuk pulang ke kampusnya di UiTM Shah Alam daripada sebuah pasar raya di Seksyen 13 di sini. 
Katanya, sebaik tiba di lokasi penumpangnya itu memaklumkan tidak mempunyai wang mencukupi membayar perkhidmatan MyCar susulan kehilangan wang RM50 di dalam sebuah pasar raya. 
"Saya kemudian cuba menenangkan Ninie sebelum membawanya ke sebuah kedai makan untuk membeli makanan.
"Selain itu, saya turut memberikan sedikit wang saku kepada Ninie sebaik tiba di kampusnya dan tidak mengenakan sebarang bayaran atas perkhidmatan yang ditempahnya itu,"katanya ketika ditemui di pejabat MyCar di Setia Alam di sini hari ini. 
Ah Tat menjelaskan pertolongan itu merupakan satu tanggungjawab sebagai rakyat negara ini meskipun berlainan bangsa dan agama. 
"Kita orang Malaysia, tidak kira agama dan bangsa, kita kena tolong semua orang. Bila kita susah orang tolong kita balik," ujarnya yang menetap di Klang.
Sementara itu, Ninie berkata, dia sekadar berkongsi pengalaman tersebut di laman sosial Twitter miliknya dalam menunjukkan sikap prihatin masyarakat di negara ini. 
“Saya tidak sangka ciapan di Twitter tular berikutan hanya mempunyai 97 pengikut saja di platform berkenaan.
“Niat saya hanya berkongsi cerita itu sekadar untuk berkongsi kebaikan dilakukan 'Uncle Yew' dengan harapan sikapnya menjadi contoh buat kita semua,”jelasnya. 
Dalam pada itu, Shamsul Kamal berkata, pihaknya amat berbangga dengan sikap Ah Tat yang merupakan pemandu perkhidmatan itu separuh masa dan mampu menjadi inspirasi kepada pemandu-pemandu Mycar yang lain selepas ini," katanya. - K! ONLINE

Waris tanah bantah pengambilan Kampung Baru

KUALA LUMPUR - Beberapa orang pemuda yang mendakwa mereka sebagai waris dan pemilik tanah di Kampung Baru hari ini mengadakan Himpunan di luar pekarangan Dewan Perdana Felda di sini bagi membantah cadangan pembangunan semula kawasan tersebut oleh kerajaan.

Azrul Azri (depan kanan) bersama pemuda yang mendakwa sebagai waris dan pemilik tanah di Kampung Baru mengadakan Himpunan di luar pekarangan Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur hari ini. Foto: ROSLI TALIB

Mereka hadir lengkap mengenakan pakaian serba hitam dengan membawa sepanduk yang tertera tulisan mempertahankan Kampung Baru.

Wakil jurucakap kumpulan berkenaan, Azrul Azri Mohd Sani berkata, dalam isu tersebut kerajaan jelas bersikap meminggirkan suara belia di kawasan berkenaan.

"Majlis Perbadanan Kampung Baru dan Kementerian Wilayah tidak memanggil kami untuk berkongsi, apakah pelan pembangunan yang mereka mahu lakukan.

"Mereka juga seperti mahu mengambil kesempatan dalam kesempitan dengan keadaan ekonomi sekarang yang teruk, mereka tawarkan seperti bulan dan bintang, yang kita tidak tahu apa pucuk pangkalnya," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia berharap agar pewaris dan pemilik tanah di kawasan berkenaan berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil tindakan untuk menjual tanah-tanah milik mereka kepada kerajaan.

"Saya berharap pewaris dan pemilik tanah berfikir banyak kali sebelum mengambil sebarang tindakan dan keputusan," katanya.

Dakwaan pembangunan Kg. Baru sisih orang Melayu tidak benar

KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa pembangunan Kampung Baru akan 'mengeluarkan' orang Melayu dari ibu kota adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, kepentingan dan kedudukan orang Melayu menjadi teras kepada sesuatu usaha pembangunan Kampung Baru, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.
"Ia (akta) sendiri meletakkan bahawa kepentingan orang Melayu termasuk kepentingan sosial, ekonomi, warisan budaya dan nilai sejarah akan diberi keutamaan dalam setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan.
"Saya juga diberitahu telah ditetapkan bahawa sebarang pembangunan di Kampung Baru juga perlu tepati garis panduan seni bina Melayu Islam yang telah disediakan. Ini bermakna pembangunan Kampung Baru mengambil kira setiap aspek warisan dan sejarahnya dan ia akan kekal sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu tayangan video lima minit bagi merasmikan sesi townhall bersama pemilik dan pewaris Kampung Baru yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad di sini hari ini.
Mahathir berkata, idea pembangunan semula Kampung Baru telah lama dibincangkan seawal tahun 80-an dan 90-an dan kerajaan menerima pelbagai cadangan serta maklum balas mengenainya.
"Ada yang sokong dan ada yang sebaliknya. Malangnya setelah berabad berlalu, Kampung Baru masih seperti mana tahun-tahun terdahulu. Ia pamer dua wajah yang bercanggah.
"Di satu pihak ia sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di ibu kota, dan di satu pihak lain ketika Kuala Lumpur pesat membangun menjadi metropolis, masa seolah-olah terhenti di Kampung Baru dan keadaan yang tidak teratur dan kesesakan membuatkan ia bukan satu tempat selesa," katanya.
Oleh itu, untuk mengatasi masalah tersebut, Mahathir berkata, rombakan diperlukan untuk membangunkan semula Kampung Baru, dan sekiranya tidak dilakukan, ia akan bertentangan dengan keadaan sekeliling yang menyebabkan Kampung Baru kelihatan 'terhimpit' di tengah kepesatan pembangunan dan terpinggir daripada arus pemodenan.
Beliau berkata, sebahagian besar orang Melayu sendiri tidak lagi memilih untuk tinggal di Kampung Baru dan lebih malang lagi, orang asing mula mendiami dan menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.
"Saya andaikan ia adalah kerana suasana Kampung Baru tidak lagi selesa, oleh itu adalah lebih baik jika kawasan ini dibangunkan dan disusun semula, lengkap dengan kemudahan awam dan mempunyai jaringan infrastruktur efisien di samping kawasan lapang untuk aktiviti riadah dan kemasyarakatan.
"Sudah tentu ramai orang Melayu berminat untuk tinggal di sini (nanti), dan secara langsung ia tingkatkan nilai pasaran hartanah. Mereka yang telah tinggalkan (Kampung Baru) pun mungkin balik," katanya.
Sementara itu kerajaan hari ini menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru di sini dengan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan tersebut.
Khalid berkata, tawaran tersebut merupakan kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.
Lebih 3,000 pemilik dan pewaris Kampung Baru hadir pada sesi townhall itu yang dikendalikan Khalid. - Bernama

Radhi OAG serik bercinta

Dua kali gagal dalam perkahwinan memberi tamparan hebat buat vokalis kumpulan OAG Radhi. Perkahwinan keduanya berakhir dengan perceraian selepas dia dan bekas isterinya Nur Syahira Ayu Zahiri berpisah di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari Selangor pada 16 Julai lalu.

Sebelum itu perkahwinan pertamanya bersama Shazlin Sharif juga musnah apabila mereka berpisah pada 8 Jun 2010.


Hasil dua perkahwinan tersebut, Radhi dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Rifdi, 14, hasil perkahwinan pertama, manakala Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3, daripada perkahwinan kedua.
Tidak menyalahkan bekas isteri atas kegagalan perkahwinannya, Radhi berazam untuk memperbaiki diri sebelum bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami semula.
Mengaku kini hatinya sepi, namun tegas Radhi, dia perlu kuat bukan sahaja untuk masa depan sendiri, tetapi juga buat tiga orang anaknya.
KOSMO!: Bagaimana keadaan Radhi selepas melalui fasa perpisahan sejak dua bulan lalu?
RADHI: Alhamdulillah, saya semakin baik dan fokus. Sudah tentu kehidupan sedikit berubah kerana tidak lagi bersama anak-anak pada setiap masa.
Namun, demi anak-anak, saya mahu membaiki hubungan bersama bekas isteri. Biarpun tidak lagi sebagai pasangan, saya ingin berkawan dengannya.
Semua yang dilakukan adalah demi anak-anak. Saya sayang anak-anak saya.
Adakah anda masih berhasrat untuk rujuk semula dengan bekas isteri?
Pada fasa awal perpisahan dahulu, diakui saya sering memujuk Ayu untuk rujuk semula dan kembali ke sisi saya. Namun, selepas dua bulan, saya sedar perlu memperbaiki diri.
Sekarang saya tidak lagi mengejar bekas isteri kerana telah reda dan menerima kenyataan bahawa kami telah berpisah.
Adakah anda masih berhubung dengan bekas isteri?
Ya, kami masih berhubung. Malah, pada Selasa lalu saya ada berjumpa dengannya dan kami bersembang seperti biasa.
Saya tidak mahu perpisahan kami memberi kesan terhadap anak-anak. Saya sayang dan perlukan anak-anak. Mereka adalah kekuatan saya.
Adakah anda merancang untuk menuntut hak penjagaan anak?
Saya tidak berfikir ke arah itu lagi. Buat masa ini tidak. Saya perlu betulkan diri saya terlebih dahulu. Dua kali gagal dalam perkahwinan, saya yakin punca perpisahan tersebut datangnya daripada diri saya sendiri.
Adakah anda bersedia untuk kembali bercinta?
Buat masa ini, biarlah saya sendiri. Saya mengakui hati saya kosong, tetapi tidak mengapa.
Saya perlu bermuhasabah diri kerana tidak mahu hubungan seterusnya gagal. Saya juga tidak mahu kisah saya berkisar hubungan cinta semata-mata. Fokus saya selepas ini adalah terhadap kerjaya seni.
Apakah impak daripada perpisahan anda?
Selain memperbaiki kekurangan diri, sudah tiba masanya saya fokus dengan kerjaya seni.
Rasanya sudah begitu lama saya tidak muncul dengan lagu baharu. Mungkin selepas fasa berpisah saya memiliki idea dan ilham yang lebih baik.
Jadi, saya berharap peminat OAG akan terus setia dan menyokong perjalanan seni saya.