Yew Ah Tat, 45, yang mudah disapa sebagai 'Uncle Yew', yang dipuji netizen atas tindakannya itu telah menerima sumbangan RM1,000 daripada pengurusan MyCar kerana telah membantu pelanggan yang dalam kesusahan.
Turut menerima sumbangan adalah pelajar semester pertama jurusan Undang-Undang UiTM, Siti Nur Hanini Kamaruddin, 19, sebanyak RM700 sebagai wang saku.
Kedua-dua sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pengurusan Pemandu dan Operasi MyCar, Shamsul Kamal.
Menceritakan semula kisah yang tular di laman sosial itu, Ah Tat yang baharu lima bulan menjadi pemandu MyCar memberitahu menerima tempahan daripada Siti Nur Hanini atau mesra dipanggil Ninie pada hari kejadian untuk pulang ke kampusnya di UiTM Shah Alam daripada sebuah pasar raya di Seksyen 13 di sini. 
Katanya, sebaik tiba di lokasi penumpangnya itu memaklumkan tidak mempunyai wang mencukupi membayar perkhidmatan MyCar susulan kehilangan wang RM50 di dalam sebuah pasar raya. 
"Saya kemudian cuba menenangkan Ninie sebelum membawanya ke sebuah kedai makan untuk membeli makanan.
"Selain itu, saya turut memberikan sedikit wang saku kepada Ninie sebaik tiba di kampusnya dan tidak mengenakan sebarang bayaran atas perkhidmatan yang ditempahnya itu,"katanya ketika ditemui di pejabat MyCar di Setia Alam di sini hari ini. 
Ah Tat menjelaskan pertolongan itu merupakan satu tanggungjawab sebagai rakyat negara ini meskipun berlainan bangsa dan agama. 
"Kita orang Malaysia, tidak kira agama dan bangsa, kita kena tolong semua orang. Bila kita susah orang tolong kita balik," ujarnya yang menetap di Klang.
Sementara itu, Ninie berkata, dia sekadar berkongsi pengalaman tersebut di laman sosial Twitter miliknya dalam menunjukkan sikap prihatin masyarakat di negara ini. 
“Saya tidak sangka ciapan di Twitter tular berikutan hanya mempunyai 97 pengikut saja di platform berkenaan.
“Niat saya hanya berkongsi cerita itu sekadar untuk berkongsi kebaikan dilakukan 'Uncle Yew' dengan harapan sikapnya menjadi contoh buat kita semua,”jelasnya. 
Dalam pada itu, Shamsul Kamal berkata, pihaknya amat berbangga dengan sikap Ah Tat yang merupakan pemandu perkhidmatan itu separuh masa dan mampu menjadi inspirasi kepada pemandu-pemandu Mycar yang lain selepas ini," katanya. - K! ONLINE