Jasmin Hamid (dua dari kanan) menyaksikan permohonan maaf seorang netizen, Izzatul Hairiyah Abdullah (Kiri sekali) kepada anaknya, Rohana (kanan sekali) sambil diperhatikan oleh peguam Nasser Yusof (dua dari kiri) pada sidang media kes saman fitnah kepada netizen yang menghina anaknya di FINAS, Petaling Jaya, di sini hari ini. - Foto oleh ABDUL NAZIR
PETALING JAYA - Pelakon Jasmin Hamid lega apabila netizen yang memfitnah rupa fizikal anak angkatnya, Rohana Abd. Hamid telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menurut Jasmin, tohmahan yang dilemparkan kepada anaknya dalam media sosial Instagram dianggap keterlaluan kerana menyentuh fizikal dan perwatakan anaknya, Rohana, 32.
“Niat saya mengadakan sidang akhbar permohonan maaf secara rasmi ini hanya mahu melihat individu yang membuat fitnah terhadap anak saya menarik balik tohmahan mereka.
“Nasib anak saya perlu dibela. Dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan kepada netizen, tetapi mengapa diperlakukan seperti itu?
“Urusan fizikal tidak perlu dibuat main kerana semua itu kurniaan Allah,” katanya pada sidang akhbar khas yang diadakan di Kompleks Filem Negara di sini, semalam.
Salah seorang daripada tiga individu yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut iaitu Izzatul Hairiyah Abdullah hadir bagi membuat permohonan maaf dan menarik semula fitnah yang telah dibuatnya.
Menurut Izzatul, tindakan menggelarkan Rohana sebagai ‘bapok’ (mak nyah) hanya sekadar gurauan dan suka-suka sahaja tidak ada membawa maksud yang serius.
“Saya kesal dengan tindakan saya. Laman sosial Instagram saya masih ada, tetapi sudah ditukar nama.
“Niat saya hanya mahu main-main. Saya sangat terkejut apabila menerima surat tuntutan maaf daripada peguam. Harap Kak Rohana dapat maafkan perbuatan,” ujarnya Izzatul.
Jasmin Hamid dan anaknya diwakili peguam Naseer Yusof dari Tetuan The Law Chambers Of Fauzi & Nasser.
Bagi Jasmin sendiri, tindakan memfailkan saman tersebut dilihat sebagai satu cara mengajar netizen agar tidak melakukan buli siber.
Jika sebelum ini khalayak hanya menganggap saman daripada selebriti hanya mainan dan tidak serius, tetapi kini dia membuktikan bahawa artis juga mempunyai hak untuk bersuara.
“Buat dua orang lagi individu, sila beri kerjasama untuk selesaikan masalah ini. Saya juga tidak mahu panjangkan kes sehingga perlu ke mahkamah.
“Jangan berpendapat artis boleh dipijak. Artis bukan milik masyarakat, tetapi penghibur masyarakat. Harap netizen boleh ambil pengajaran dan lebih berjaga-jaga sebelum menghantar komen dalam media sosial,” ujarnya lagi.
Terdahulu, sekitar Mac 2019, gambar Rohana dan Jasmin menjadi tular apabila netizen mula mengutuk dan memberi gelaran melampau batas tentang fizikal anak angkat dramatis popular itu.
Dia juga telah memfailkan saman terhadap tiga individu yang dikenali pasti terlibat pada April lalu. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment