Saturday, 6 May 2017

Batas sensitiviti Megadeth


Penantian selama 15 tahun kumpulan rock thrash metal terkenal kelahiran Amerika Syarikat (AS), Megadeth untuk mengadakan konsert sulung di Malaysia akhirnya berbaloi apabila mereka menghipnosis kira-kira 3,500 penonton di Stadium Negara, Kuala Lumpur kelmarin dengan laungan dan iringan muzik yang luar biasa.
Sukar dilupakan pada tahun 2001, kumpulan yang dianggotai oleh Dave Mustaine yang juga vokalis serta pemain gitar utama kumpulan itu, David Ellefson (bass), Kiko Loureiro (gitaris) dan Dirk Verbeuren (drum) dilarang melunaskan konsert di sini untuk mempromosikan album baharu mereka ketika itu, The World Needs A Hero.
Alasannya, muzik ‘keras’ yang mereka perjuangkan tidak bersesuaian dengan norma dan budaya masyarakat tempatan. Ada yang melabelkan mereka sebagai pemuja syaitan, duta keganasan dan sebagainya lantas membantutkan keghairahan pengikut tegar kumpulan tersebut untuk menyaksikan idola mereka beraksi di bumi Malaysia.
Hal itu jelas dibuktikan pada malam Jumaat lalu. Atmosfera di Stadium Negara seakan mengiyakan kunjungan sulung Megadeth di sini kali ini. Cuaca yang baik dan penonton berduyun-duyun datang berbilang kaum. Baik Melayu, Cina dan India, mereka ‘turun padang’ atas nama muzik metal bagi menyaksikan persembahan berdurasi kira-kira dua jam yang cukup energetik.
Sebelum melangkah masuk ke stadium, terdetik dalam hati bahawa memang tidak adil untuk menghakimi baik buruk seseorang hanya berpandukan citarasa muzik. Hal ini kerana, yang datang memburu muzik Megadeth pada malam itu bukan hanya mereka yang berimej rock metal.
Ada yang datang wajahnya seperti alim ulamak, relaks dan tenang sahaja penampilannya.
Ada juga yang berimej rock keras tetapi bukan calang-calang orang kerana mempunyai kerjaya yang mampu membuatkan orang ternganga jika dicanang. Tidak kurang, golongan wanita; tidak kira bertudung atau pun tidak, mereka membuktikan bahawa muzik itu tiada batasan dan mampu menjadi ejen penyatu.
Penonton histeria
INSTAGRAM: Usai menghiburkan peminat di Kuala Lumpur kelmarin, Megadeth mengucapkan selamat malam yang ditujukan khas kepada rakyat Malaysia di Instagram rasmi mereka.
Bermula sekitar pukul 9 malam, sebelum empat lelaki yang dikatakan sudah ‘tamat tempoh’ menjelma di atas pentas, penonton yang hadir sudah seperti terkena histeria menyeru nama Megadeth sehingga kelibat mereka berada di hadapan mata.
Dengan pencahayaan pentas jelas memaparkan identiti Megadeth sebagai kumpulan yang kaya dengan bunyi bingit serta nukilan lirik berkisar peperangan, politik dan kematian, empat lelaki tersebut pantas memulakan persembahan dengan lagu Hangar 8, Wake Up Death, In My Darkest Hour dan Threat Is Real.
Bagi empat lagu pertama itu sudah cukup untuk memanaskan badan pemuja tegar Megadeth yang duduk di bangku. Tanpa segan silu sebahagian daripada mereka mengekpresikan jiwa keras mereka. Ada yang bangkit dan terus menggoyangkan kepala sambil melaungkan bersama setiap bait lirik lagu-lagu tersebut.
Sebelum menggemakan stadium dengan lagu berikutnya, Mustaine sempat berkomunikasi dengan para penonton. Kata lelaki berusia 55 tahun itu,: "Saya harap anda berseronok pada malam ini kerana kami amat seronok dapat datang ke Malaysia. Sudah lama kami menunggu untuk mengadakan persembahan di sini."
Lagu yang dipetik daripada album terbaharu Dystopia berjudul Conquer Or Die mula berkumandang. Sememangnya, muzik Megadeth tidak pernah mati walaupun tiga tahun berehat daripada menghasilkan sebarang material album selepas kehadiran album, Supper Colllider pada 2013.
BINGIT: Megadeth sememangnya diminati ramai dengan muzik bingit dan pantas yang menjadi kegilaan ramai peminat rock metal seluruh dunia.
Dystopia memberi signifikan luar biasa kerana selepas 12 pencalonan dalam Anugerah Grammy tanpa sebarang kemenangan, Megadeth kini mampu tersenyum apabila pertama kali menggenggam trofi anugerah berprestij tersebut menerusi kategori Persembahan Lagu Metal Terbaik pada Anugerah Grammy ke-59 lalu.

Persembahan terus memuncak dengan karya-karya head banging daripada album tersebut menerusi lagu Lying Instead dan dua lagu malar hijau berjudul Sweating Bullets dan Trust yang dipetik daripada album Countdown To Extinction (1992) serta Cryptic Writing (1997).
Melihat aksi Mustaine di atas pentas, sesekali apabila dia menghuraikan rambut ke bawah sambil memetik gitar, boleh dilihat sebahagian rambut di belakangnya sudah botak. Bagaimanapun, tenaga dan semangatnya menghiburkan peminat memang amat dikagumi. Usianya barangkali sudah melewati senja namun dia tetap raja rock metal di pentas.
Mustaine dan tiga rakannya menyedari bahawa kehadiran mereka di Malaysia punya batas yang perlu dituruti. Menghormati budaya dan adat resam di Malaysia, mereka turut melahirkan kekecewaan apabila konsert mereka kali ini turut mendapat bantahan oleh segelintir pihak sebelum diluluskan.
Hormat
HEBAT: Sistem pencahayaan dan bunyi konsert Megadeth Live In Malaysia berada pada tahap yang memuaskan lantas melahirkan persembahan pentas yang hebat.
"Saya memang sudah lama berniat untuk datang ke Malaysia untuk mengadakan persembahan. Negara ini sangat cantik. Sebelum ini, hasrat kami terpaksa dilupakan. Malam (kali) ini, kami berasa sangat bertuah untuk menghiburkan anda semua," ujar Mustaine usai melantunkan lagu She Wolf, Poisonous Shadows, Fatal Illusion dan Atout Le Monde.
Dalam pada itu, lelaki itu sempat meluahkan kesediaannya di Twitter kerana terpaksa mengeluarkan beberapa lagu yang tidak bersesuaian gaya hidup masyarakat Malaysia.
"Terima kasih. Kalau ada lagu yang menyinggung rakyat Malaysia atau kepercayaan mereka, beritahu saya. Saya tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak di sini. Di China pun, kami sedia memotong mana-mana lagu yang tidak bersesuaian," tulis Mustaine dalam laman Twitter miliknya.
Nuansa semakin rancak apabila lagu berjudul Tornado dimainkan sebelum lagu Post American World dan Dystopia mengambil alih atmosfera pentas. Penonton seakan-akan dirasuk apabila Symphony of Destruction dilaungkan. Buat penggemar muzik Megadeth, lagu itu adalah antem paling terkenal.
Persembahan ditutup kemas dengan dua lagu ikonik yang mempromosi kedamaian dan kesaksamaan politik Peace Sells dan Holly Wards. Saat Peace Sells dimainkan, hadir satu maskot berpakaian seperti ahli politik sebagai gimik seakan memberi gambaran bahawa dunia tidak pernah lari daripada korupsi yang merosakkan umat manusia.
Satu kesimpulan konsert yang dianjurkan oleh IME Malaysia itu, sebagai negara yang berbilang bangsa, usah mudah melatah hanya kerana sesuatu elemen atau perihal itu begitu asing kerana sebagaimana majmuknya rakyat di negara ini, banyak perkara yang mampu menyatukan walau secara luarannya ia bersifat negatif ataupun terlalu asing.

No comments:

Post a Comment