Chester memilih mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri sendiri pada usia 41 tahun
Bagi peminat band rock Linkin Park, vokalis dengan hampir keseluruhan badannya dicacah tatu, bertindik pada kedua-dua telinganya dan melantunkan vokal rock dengan identitinya tersendiri akan selalu menjadi kesayangan. Malangnya, biar dipuja dan menjadi idola banyak peminat, lelaki itu yang dikenali sebagai Chester Bennington telah mengejutkan dunia dengan cara kematiannya.
Tidak jauh bezanya dengan kebanyakan legenda rock lain yang mengambil keputusan mengakhiri kehidupan mereka melalui cara membunuh diri, begitu juga pilihan yang dilakukan Bennington. Bennington ditemui mati dengan cara menggantungkan diri di kediamannya di Palos Verdes Estates, California, Amerika Syarikat oleh pihak penyelamat sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan). Dia berumur 41 tahun ketika meninggal dunia.
Walaupun ada pihak yang berpendapat beliau memilih kematian tragis seperti itu kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah yang dialaminya sejak sekian lama, namun banyak yang meletakkan kematian teman baiknya, Chris Cornell menjadi pendorong bapa kepada enam orang anak daripada dua buah perkahwinan itu menamatkan riwayatnya sendiri.
Entah kebetulan atau ia merupakan rencana yang telah lama dirancang, beliau mati pada tarikh ulang tahun Cornell iaitu 20 Julai. Cornell sendiri terlebih dahulu ditemui mati akibat bunuh diri di sebuah hotel di Michigan, (AS) pada 18 Mei lalu.
Menjadi satu ironi juga, Bennington telah melancarkan album baharu bersama Linkin Park berjudul One More Light sehari selepas kematian Cornell.
Bennington sendiri pernah mengakui beliau tidak lagi berasa gembira dengan kehidupan sekarang, termasuk perkara yang berlaku di sekelilingnya.
Menerusi temu bual bersama Mirror Online pada Mei lalu, Bennington memberitahu bahawa album tersebut merupakan luahan kekecewaannya dalam mengharungi kehidupan yang sukar dan mencabar.
“Album ini merupakan perkongsian saya bersama kalian tentang kepayahan dalam mengharungi liku kehidupan yang tidak mungkin dapat dikongsikan bersama orang lain kerana ia perlu dilakukan secara bersendiri,” terang Bennington seperti memberi gambaran tentang kematian tragisnya itu.
Fenomena
Sebaik berita kematiannya tersebar, selebriti popular antarabangsa turut mengucapkan takziah atas kematian Bennington di media sosial.
Pengasas bersama Linkin Park, Mike Shinoda, menulis ringkas tentang pemergian sahabatnya: “Mengejutkan dan cukup mematahkan hati, tetapi ia benar. Kenyataan rasmi akan menyusul.”
Wakil daripada kumpulan My Chemical Romance pula menulis: “Kami berasa sedih atas kematian Bennington. Kami mengasihinya. Takziah daripada kami buat seluruh ahli keluarganya, Linkin Park dan mereka yang dikasihi.”
Membuka lipatan sejarah karier Bennington, beliau tampil pertama kali bersama Linkin Park sekitar tahun 2000 menerusi album Hybrid Theory yang menjadi fenomena di seluruh dunia.
Kejayaannya bersama band yang memperjuangkan genre muzik metal dan elektronik itu terbukti apabila album tersebut berjaya menduduki tangga kedua carta Billboard dengan hasil penjualan lebih 10 juta unit.
Linkin Park sendiri pernah dua kali singgah membuat konsert di Malaysia, termasuk pada tahun 2013 menerusi siri konsert jelajah sempena album terkininya pada ketika itu, Living Things.
Terus memberi fokus kepada kerjaya muzik, Bennington melanjutkan kerjaya seni muzik bersama penerbit muzik popular, Steve Aoki dan bintang rap, Jay Z selain beberapa artis popular antarabangsa.
Beliau sebelum ini turut pernah membintangi beberapa filem seperti Saw VII, Crank: High Voltage, Linkin Park: Breaking the Rabbit.
Kematiannya dengan cara menggantung diri sendiri seperti menjadi cerminan kecelaruan atau peperangan emosi seperti bait lirik dalam lagu hit mereka, Crawling yang berbunyi; “There’s something inside me that pulls beneath the surface / Consuming, confusing / This lack of self-control I fear is never ending.”
No comments:
Post a Comment