KUALA LUMPUR - Rangkul tiga trofi pada musim 2016.
Itu sasaran pertama yang diberikan ahli perniagaan bertaraf selebriti, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman kepada The Red Warriors sebaik saja mencapai persetujuan untuk menaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Lebih dikenali sebagai Dr. Vida, beliau turut memandang serius mengenai pembangunan bola sepak dan sedia memperuntukan sejumlah wang untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Saya mahu Kelantan ‘tapau’ (rangkul) tiga piala musim ini (Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia). Tapi apabila saya meletakkan sasaran seperti itu pasukan lain jangan rasa gerun pula,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dr. Vida dilantik sebagai Penasihat Kehormat Kafa selepas bersetuju untuk memberi tajaan RM16 juta bagi tempoh dua tahun, bagaimanapun penajaan tersebut mampu melebihi RM20 juta untuk tujuan R&D serta pemasaran.
“Selain memberi tajaan saya juga mahu melakukan R&D bagi mencari apakah ramuan terbaik untuk memberi kekuatan kepada pemain Kelantan. Saya lihat kalau pemain bola yang kuat serta laju dalam negara kita mesti datang dari Afrika.
“Jadi saya mahu buat penyelidikan mencari rahsia untuk menghasilkan kekuatan pemain kita biarpun bertubuh kecil. Saya juga nak buat macam mana Kelantan mampu bermain dengan hebat tanpa kehadiran pemain import.
“Selain bola sepak saya juga meminati badminton dan saya lihat pemain China kerap menjadi juara. Jadi saya mahu mencari ramuan seperti itu untuk diaplikasikan ke dalam bola sepak Kelantan,” kata Dr. Vida yang turut mengakui meminati pemain badminton tersohor negara, Datuk Lee Chong Wei.
Biarpun majoriti peminat Kelantan gembira dengan keputusannya untuk memberi tajaan kepada pasukan kesayangan mereka, namun masih terdapat segelintir pihak yang menganggap Dr. Vida cuba memanipulasi keadaan namun beliau menafikan perkara tersebut.
“Saya tidak manipulasi keadaan. Saya faham berkenaan dengan cat warna merah jambu itu mungkin mengundang kemarahan segelintir penyokong Kelantan kerana mereka gemarkan warna merah. Apa pun beri saya peluang kerana saya ada idea tersendiri," ujarnya.
Tambah Dr. Vida beliau tidak menyangka apabila boleh menjadi wanita pertama negara yang mempunyai pengaruh dalam persatuan bola sepak tempatan, namun tidak mahu berasa mendabik dada.
No comments:
Post a Comment