Tuesday, 21 July 2015

Hidupkan kembali budaya asal Melayu

 RUMAH Melayu lama yang berusia 100 tahun ini dijadikan sebagai tempat penginapan para pengunjung bermalam di LAW

PERSIS Tun Teja, ayu berbusana seperti srikandi Melayu, gadis berusia 24 tahun itu tersenyum ayu ketika menerima ketibaan pengunjung yang datang ke kawasan ladang berkeluasan kira-kira 9.7 hektar tersebut.
Terletak di No. 48, Jalan Masjid Kampung Tengah, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan, Ladang Alam Warisan (LAW) menjadi tempat buat Nurfarahin Wahida Tajuddin mengabdikan dirinya sejak setahun yang lalu.
Tidak rimas berbaju tradisional Melayu, malah dia berasa bangga kerana masih berpeluang mengenal budaya bangsa yang dipegangnya.
Menjadi pengantara dan pemudah cara kepada pengunjung atau sesiapa sahaja yang ingin mengadakan aktiviti di LAW, gadis yang mesra disapa sebagai Wahida itu berkata, dia mula mengenal sejarah dan budaya bangsanya apabila menerima tawaran untuk bekerja di ladang tersebut yang berkonsepkan Melayu dari segi landskap, busana dan budaya.
“Saya banyak melakukan kerja-kerja promosi dan bertindak sebagai pegawai perhubungan awam selain melakukan kerja-kerja pentadbiran di ladang.
“Yang lebih penting, saya dan pekerja lain menjadi duta buat para pengunjung yang datang ke LAW untuk melihat sendiri keunikannya,” ujar gadis kelahiran Perak itu penuh sopan.
Terang Wahida, berada di ladang ‘Melayu’ tersebut membuatkan dia mengenal sejarah rumah-rumah lama, tahu berkuda dan memanah serta berpeluang berkongsi ilmu yang dipelajari kepada para pengunjung.
Tambahnya, warga dan pengunjung ladang berpeluang menginap di ladang berkongsep inap desa itu, malah boleh melakukan pelbagai aktiviti.
Katanya, ini termasuk menyaksi dan menginap di rumah Melayu lama yang berusia antara 100 hingga 300 tahun, mengenal pelbagai haiwan pelik seperti burung merak biru dan putih, menunggang kuda serta memanah.
Memohon untuk menjadi kakitangan ladang melalui iklan, Wahida memberitahu bahawa dia memang sangat meminati perkara berkaitan kebudayaan khususnya busana Melayu.
“Bagaikan ditakdirkan, saya diterima bekerja di sini. Sudah tentu saya gembira kerana dapat melakukan sesuatu yang selari dengan minat saya.
“Saya tidak kisah bekerja di kawasan ladang yang tidak ada penghawa dingin atau tidak memakai pakaian moden untuk ke pejabat, malah saya bangga menyarung busana Melayu tradisional sambil mengelilingi ladang sambil menghayati dan berkongsi keindahannya,” kongsi lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara tersebut.
Falsafah
Dalam pada itu, Pengasas LAW, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, 33, berkata, ladang yang diasaskan empat tahun lalu merujuk kepada konsep dan falsafah bangsa Melayu.
Muhamad Akmal yang gemar berbusana ala pendekar Melayu memberitahu, dia mahu mewujudkan satu pusat sehenti budaya dan warisan Melayu.
“Ladang ini bukan sahaja mengajak orang luar mengenal Melayu, malah menjadi wadah untuk bangsa saya sendiri mengenal dan kembali kepada asas orang terdahulu sama ada dari segi budaya, pakaian dan adat berteraskan kepada konsep alif, ba dan ta.
Alif merujuk kepada agama, ba bangsa, manakala ta adalah tanah air. Elemen pertama yang ditekankan adalah agama yang seterusnya membawa seseorang individu mengenal bangsanya dan menyintai tanah air sendiri.
“Setakat ini kita cuba menerapkan sebanyak yang mungkin budaya dan aspek kemelayuan dalam LAW supaya menepati intipati asal penubuhannya,” jelasnya yang lebih mesra disapa sebagai Bendahara.
Cara hidup
Sejak ditubuhkan, LAW sering mempromosikan cara hidup orang Melayu lama yang sudah diamalkan sejak 500 tahun dahulu.
Kongsi Bendahara, cara hidup orang Melayu sangat istimewa dan unik serta tidak bermewah, sebaliknya mengikut keperluan sahaja.
“Sebahagian besar masa masyarakat Melayu lama banyak dihabiskan di luar rumah dengan bekerja seperti bertani dan memburu. Jika tidak bekerja, masa banyak dihabiskan dengan berkuda, belajar bersilat dan menyertai aktiviti permainan tradisional bersama orang sekeliling.
“Masyarakat Melayu bukan bersifat individualistik, sebaliknya hidup berkomuniti. Pergi ke mana-mana atau melakukan apa-apa dalam kumpulan. Ukhuwah orang dulu-dulu sangat kuat dan tidak wujud perpecahan,” cerita lelaki yang kadangkala membahasakan dirinya sebagai hamba.
Katanya, dia mahu menjadikan gelaran orang-orang Melayu terdahulu seperti adinda, bonda dan kakanda sebagai budaya yang perlu dihidupkan.
Selain itu, jelas Bendahara, konsep inap desa yang disediakan di LAW cukup sederhana bertepatan dengan gaya hidup masyarakat Melayu terdahulu.
“Di sini segalanya disediakan secara asas sahaja. Tiada tilam empuk seperti di hotel atau penghawa dingin. Segalanya berpunca daripada alam.
“Makanan yang disediakan juga berkonsep tradisional, malah kita cuba menerapkan konsep makan secara berjemaah dengan duduk bersila atau bersimpuh.
“Para pengunjung juga diajar untuk tidak berasa seperti pelawat, sebaliknya menjadikan ladang sebagai rumah mereka.
“Mereka perlu menolong ketika proses menghidang dan bertegur sapa dengan sesiapa sahaja tanpa ada jurang,” ceritanya penuh hemat.
Ladang Alam Warisan pada awalnya dijadikan sebagai tempat rehat peribadi milik keluarga Bendahara sebelum dibuka kepada orang ramai sebagai tempat percutian budaya pada tahun 2011.
Sebagai langkah memperkenalkan kepada orang awam, ia dibuka kepada masyarakat secara percuma sebelum mengenakan bayaran masuk RM3 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak pada Mac tahun lalu.
Terang anak jati Negeri Sembilan itu, bayaran tersebut bukanlah bertujuan mengumpul keuntungan ladang, sebaliknya lebih kepada membiayai kos pengurusan ladang itu sendiri seperti penyelenggaraan, makanan haiwan seperti kuda dan pelbagai jenis ayam dan pentadbiran ladang.
Secara purata, kira-kira 100 orang sehari berkunjung ke LAW khususnya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Selain pengunjung tempatan, ladang tersebut turut menerima kunjungan pelancong luar negara seperti Kemboja, China dan Switzerland yang berminat mengenal budaya bangsa tertua di Nusantara itu.
Tambah aktivis tersebut, pengunjung juga berpeluang melihat demo memanah berkuda selain boleh belajar berkuda dengan bayaran RM5 dan memanah RM10 di LAW.
Selain itu, ia juga turut menawarkan tapak yang sesuai jika ada pihak yang berminat membuat aktiviti seperti kem motivasi, kepimpinan dan perkhemahan yang boleh memuatkan antara 100 hingga 200 peserta dalam satu-satu masa.
Menariknya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan lembu yang ditempatkan satu kandang dengan dengan burung unta. Lembu tersebut kelihatan berjalan seakan-akan rentak burung unta.
Lucu
“Memang secara zahir nampak menarik, namun ia sebenarnya mempunyai simbolik atau maksud yang perlu difikirkan secara mendalam.
“Biar di mana bumi dipijak, kita perlu mengenal usul. Jika ada jati diri, kita tidak akan terpengaruh dengan budaya orang lain,” ujar Bendahara penuh mendalam.
Sementara itu, Azura Hashim, 35, ternyata teruja tatkala kali pertama berkunjung ke LAW berkata, ladang tersebut merupakan tempat yang ideal buat sesiapa sahaja yang mendambakan kedamaian dalam penuh kesederhanaan.
“Sambil mengenal budaya bangsa, banyak aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah memanah dan berkuda selain menangkap ikan di dalam sungai menggunakan tangan.
“Dengan badan penuh berlumpur kerana mahu menangkap ikan, pastinya hilai tawa kedengaran kerana masing-masing berasa lucu melihat aksi setiap orang yang cuba sedaya upaya untuk menangkap ikan,” terang wanita yang bergelar guru di sebuah sekolah di Negeri Sembilan itu.
Sambil menyifatkan penubuhan LAW sebagai usaha yang bagus dalam memartabatkan bangsa Melayu, Azura memberitahu bahawa tempat tersebut sangat mesra alam dan unik.
“Anda tidak akan menyesal jika berkunjung ke sini. Tidak rugi, malah pasti teringin kembali lagi ke sini,” kongsinya yang berniat untuk bercuti lagi di LAW jika mempunyai kelapangan.

No comments:

Post a Comment