TREND bercuti di atas kapal mewah bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Sambil berpeluang merehatkan minda, mata pasti terpukau melihat keindahan lautan yang terbentang luas serta alam semula jadi yang terdapat di sekelilingnya.
Popularitinya menyebabkan banyak syarikat dan agensi pelancongan kini berlumba-lumba menawarkan pelbagai pakej percutian seumpamanya.
Bagaimanapun bagi umat Islam, pandangan skeptikal yang sering dikaitkan dengan percutian di atas kapal persiaran mewah ialah elemen-elemen negatif dan maksiat.
Apatah lagi gaya hidup sedemikian yang bertentangan dengan syariat Islam kerap dipaparkan menerusi filem-filem Barat sehingga menyebabkan ramai yang berfikir berkali-kali sebelum mencubanya.
Menyedari hakikat itu, syarikat pelancongan tempatan, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel & Tours) menganjurkan program Cruise Penyucian Jiwa sejak tahun lalu bertujuan memberi peluang kepada umat Islam bercuti sambil menambah ilmu dan mendekatkan diri dengan Tuhan.
Pengurus dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours, Ida Riswana Idris berkata, bagi tahun ini, pelayaran bertemakan Fun Islamik Cruise Untuk Semua itu dijadualkan bermula pada 17 hingga 20 Disember depan.
Katanya, pada tahun lalu program itu telah disertai kira-kira 1,000 peserta dengan menggunakan kapal Star Cruises SuperStar Gemini melibatkan destinasi persinggahan Singapura, Pulau Pinang dan Langkawi, Kedah.
“Tahun ini, kami menggunakan kapal Star Cruises SuperStar Libra yang bakal memulakan pelayaran dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Phuket dan Krabi di Thailand.
“Kapal ini dilengkapi 695 buah kabin yang mampu memuatkan sehingga 1,500 peserta,“ katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Kekeluargaan
Beliau memberitahu, objektif utama program adalah bagi mengajak peserta menunaikan ibadah di atas kapal, sekali gus meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
IDA RISWANA (kiri) bersama Isfadiah (tengah) dan Muhidin (kanan) sentiasa berbincang bagi memastikan program Cruise Penyucian Jiwa 2017 berjalan lancar.
Apatah lagi katanya, konsep penyucian jiwa sememangnya sinonim dengan Andalusia Travel & Tours yang sebelum ini sering menganjurkan pakej umrah ke Mekah dan percutian ke negara-negara Islam.
“Kapal persiaran berkenaan telah disewa khas dan 100 peratus mengamalkan konsep patuh syariah.
“Misalnya, keseluruhan dapur dan perkakasan masakan yang digunakan juga akan disamak oleh tenaga profesional dan makanan yang disediakan juga dijamin halal serta mendapat sijil pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Malah, segala aktiviti yang bertentangan dengan syariat Islam juga akan dihentikan sepanjang program ini bagi membolehkan peserta beribadah dengan selesa,” ujarnya.
Menyentuh tentang aktiviti yang diadakan, Ida Riswana memberitahu, ia sarat dengan pelbagai program keagamaan dan kerohanian seperti tazkirah dan ceramah agama, solat berjemaah, bacaan al-Quran, qiamullail dan sebagainya.
Selain itu, katanya, pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan turut diselitkan seperti pertandingan membuat teh tarik, makan piza dan senamrobik zapin fitness.
“Turut diadakan pertunjukan busana muslimah oleh pereka-pereka muda dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan persembahan muzik seperti nasyid dan qasidah.
“Pada masa sama, peserta juga boleh menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan di atas kapal seperti gimnasium, kolam renang, trek joging, gelanggang bola keranjang selain berpeluang membeli-belah di premis bebas cukai,” katanya.
Sekolah agama
Tidak cukup dengan itu, peserta juga akan dibawa melawat bandar Phuket dan Krabi serta melihat tarikan di sekelilingnya.
“Semasa di Phuket, peserta berpeluang melawat Muslim Wittaya Phuket School yang merupakan satu-satunya sekolah agama Islam di sana yang menempatkan pelajar dari peringkat tadika, sekolah rendah dan menengah.
Pengalaman bersolat di atas dek kapal yang dilatari langit dan lautan terbentang luas mampu memberi keinsafan kepada peserta.
“Selain beramah mesra dengan pelajar dan kakitangannya, kita juga akan cuba mengumpul dana menerusi beberapa aktiviti untuk disumbangkan kepada pihak sekolah,” katanya.
Berkonsepkan pelayaran santai dan riadah, Cruise Penyucian Jiwa 2017 menampilkan seramai enam penceramah terkenal iaitu Ustaz Lukmanul Hakim, Datuk Ustaz Md. Daud Che Ngah, Ustaz Syamsul Debat, Sheikh Imran Angullia Al-Hafiz, Ustaz Muhidin Mokter dan Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki.
Kesemua mereka sememangnya aktif dalam kegiatan dakwah di negara ini.
Isfadiah memberitahu, terdapat tiga topik utama yang akan dibentangkan sepanjang program tersebut iaitu kekeluargaan, ibadah dan kematian.
Isfadiah berkata, topik kekeluargaan yang akan dikupasnya menjurus kepada aspek kemahiran keibubapaan dalam usaha mendidik dan melahirkan anak-anak yang soleh.
“Topik ibadah pula akan memfokuskan pengurusan harta pusaka, haji dan solat, manakala topik kematian pula akan membincangkan mengenai tanda-tanda akhir zaman dan hari kiamat.
“Selain itu, terdapat juga Forum Perdana di samping pelbagai aktiviti lain seperti solat berjemaah, tazkirah, bacaan al-Quran dan qiamullail,” katanya.
Insaf
Mengulas mengenai konsep pelayaran itu, beliau memberitahu, program itu tidak sekadar melancong ke destinasi pilihan semata-mata, sebaliknya diisi dengan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk membentuk keperibadian unggul umat Islam.
“Apabila kita berada di atas lautan yang terbentang luas, maka seseorang itu akan insaf betapa kerdil dirinya, di samping melihat ciptaan Allah SWT yang tiada tolok bandingnya.
“Lagipun, konsep program ini juga turut mengangkat kisah pelayaran yang pernah dilalui Nabi Khidir, Nabi Nuh dan Nabi Yunus AS termasuk berdepan pelbagai rintangan untuk berdakwah menyebarkan agama Islam,” ujarnya.
Sementara itu, Muhidin berkata, program itu memberi pilihan kepada umat Islam untuk meneroka pengalaman bercuti di atas kapal tanpa sebarang keraguan dari segi syariat.
Katanya, ia secara tidak langsung membuktikan konsep dakwah sangat luas dan tidak terhad kepada ceramah di masjid atau surau.
“Program ini cukup lengkap. Di samping menikmati percutian, peserta berpeluang menimba ilmu dan memperbaiki kekurangan diri.
“Pada masa sama, mereka juga berpeluang membantu dan mengenali umat Islam lain di rantau ini,” ujarnya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini dan promosi menarik yang ditawarkan, kunjungi kios Andalusia Travel & Tours di Hall 2 dan Hall 3, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur sempena pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) bermula dari Jumaat(08/09/17) hingga Ahad ini.
No comments:
Post a Comment