Saturday, 21 June 2014

Itali mangsa kedua Costa Rica (Utusan)

 PENYERANG Itali, Alessio Cerci (kanan) hanya mampu melihat ketika pemain-pemain Costa Rica meraikan kejayaan mereka menumpaskan Itali 1-0 dalam perlawanan Kumpulan D Piala Dunia di Recife semalam. 

RECIFE - Costa Rica berjaya menukar ramalan penyokong terhadap pasukan pilihan masing-masing pada Piala Dunia 2014 atau sekurang-sekurangnya menukar jangkaan setiap orang terhadap pasukan itu.
Costa Rica memulakan kejutan dengan menewaskan Uruguay dan kemudian sebuah lagi pasukan hebat yang pernah menjadi juara sebanyak empat kali iaitu Itali 1-0 semalam untuk layak ke pusi­ngan kalah mati. Dan dalam proses itu mereka membuatkan England tersingkir daripada Piala Dunia.

Bermula sebagai pasukan yang dijangka bakal menjadi mangsa belasahan dalam Kumpulan D ke­rana perlu bersaing dengan tiga negara bekas juara dunia, kini Costa Rica sebaliknya mendahului.
"Mungkin orang tidak meletakkan harapan kepada kami disebabkan kami berada di dalam kumpulan maut.
"Namun, terdapat pihak lain yang kini menjadi pasukan yang maut dan kami pula yang berjaya ke pusingan seterusnya," kata ke­tua pasukan Costa Rica, Bryan Ruiz yang menjaringkan gol pasukannya semalam.
Ruiz menjaringkan gol untuk Costa Rica pada minit ke-44 de­ngan menanduk masuk di bawah palang gol selepas mendapat hantaran silang Junior Diaz.

Teknologi garisan gol digunakan bagi menunjukkan bahawa bola itu melantun melepasi garisan selepas terkena palang.

Penghujung babak pertama menyaksikan perdebatan berlaku beberapa minit sebelum Ruiz menjaringkan gol, apabila rayuan penalti Costa Rica ditolak setelah penyerangnya, Joel Campbell dikasari oleh pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini.

Costa Rica kini menerajui Kumpulan D dengan enam mata, sementara Itali dan Uruguay ma­sing-masing memiliki tiga mata.

England pula tanpa mata selepas kalah kepada Itali dan Uruguay.
Itali, juara Piala Dunia 1934, 1938, 1982 dan 2006 manakala Uruguay (1930 dan 1950), sementara England juara pada 1966.

Satu-satunya kejayaan Costa Rica mara ke peringkat kalah mati sebelum ini ialah pada Piala Dunia 1990, apabila pasukan itu mengalahkan Sweden dan Scotland di bawah pimpinan jurulatih berpengalaman, Bora Milutinovic sebelum disingkirkan oleh pasukan Czechoslovakia.

"Kepada mereka yang tidak menyokong kami, boleh mempercayai kami sekarang,’’ kata Ruiz.
Sementara itu, Itali, masih berpeluang ke peringkat 16 pasukan terakhir jika menang atau seri de­ngan Uruguay pada perlawanan 25 Jun ini (waktu Malaysia), kerana mereka memiliki kelebihan perbezaan jaringan yang merupakan kriteria pertama kelayakan untuk ke pusingan seterusnya.

"Kami telah berusaha yang terbaik. Mereka berjaya menyekat semua hataran bola kami. Tiada perlu bimbang. Kami sekarang hanya perlu mengumpul semula tenaga,’’ kata jurulatih Itali, Cesare Prandelli.

"Tiada Cinderella lagi dalam bola sepak, terutamanya dalam pertandingan seperti Piala Dunia," ketua pasukan Itali, Gianluigi Buffon pula mengulas. - AGENSI

Lah Ahmad temui cinta baharu (Utusan)

 Majlis pelancaran album Lah Ahmad berjudul Jalan Untuk Kembali di Restoran Sampan, Bayan Mutiara, Pulau Pinang, baru-baru ini.

SELEPAS lama menyepi dan tidak lagi bergandingan dengan kumpulan VE, kini Lah Ahmad atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad mengakui telah menemui cinta sebenar dalam kehidupannya.
Tanpa berselindung, Lah yang ditemui Hits baru-baru ini dalam majlis pra pelancaran album solo sulungnya di sebuah restoran di Persiaran Bayan Mutiara, Bayan Baru, Pulau Pinang memberitahu hidupnya kini lebih tenang dan gembira.

Jelasnya, dia kini merasa amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk kembali menyulam cinta terhadap yang Maha Esa.

Katanya, tidak tergambar perasaannya ketika ini apabila dapat menghasilkan nukilan yang lebih sempurna dalam usaha mendekatkan diri dengan Allah dan Rasulullah S.A.W.
“Sebelum ini mungkin saya terlalu leka dengan urusan-urusan duniawi dan terlepas pandang tentang kewajipan sebagai seorang hamba di muka bumi ini.
“Banyak lagu yang dihasil dan dinyanyikan dahulu lebih memuji-memuji manusia dan mengagungkan cinta sesama insan.

“Namun Alhamdulillah, dengan kesempatan yang diberikan ini, saya dapat kembali untuk mengejar cinta dan mendekatkan diri dengan Allah," katanya.

Tambah Lah, tidak tergambar perasaannya ketika ini apabila diberi kesempatan untuk kembali mengungkapkan cinta dan kasih kepada Allah yang terlalu menyayangi sekalian hamba-hambanya.
Ujarnya, kepuasan dan kegembiraan dalam menghasilkan karya dan menyampaikan lagu-lagu bersifat Islamik memberinya lebih makna sekali gus memberikan dirinya ketenangan dalam kehidupan.
“Bukanlah saya hendak menonjolkan diri sebagai seorang insan yang baik. Saya sedar, saya ini adalah 'budak nakal' dan masih banyak yang perlu dipelajari.
“Namun apa yang dilalui ketika ini memberikan pengertian yang lebih mendalam dalam hidup saya yang selama ini banyak terleka," katanya.

Masih mencari ilmu, berdakwah melalui nyanyian

Sedar masih banyak yang perlu didalami bagi menambah ilmu di dada, Lah memberitahu, kekurangannya muncul di hadapan peminat sekarang ini adalah disebabkan banyak menghadiri kelas-kelas dan kuliah-kuliah agama.

Bagaimanapun tegasnya, bidang nyanyian masih tetap diteruskan dan dia masih menerima undangan persembahan cuma tidak segalak dahulu.

“Banyak lagi yang perlu saya belajar bagi mencukupkan bekalan hidup di dunia ini.
“Namun sekiranya ada tawaran persembahan yang datang, insya-Allah saya akan cuba meluangkan masa tetapi konsep lagu-lagu yang akan dinyanyikan tidaklah seperti di zaman VE dahulu.
“Sebagai penyanyi kepakaran saya adalah pada suara dan saya cuba sedaya upaya untuk bersama para peminat khususnya golongan belia untuk terus melangkah mendekatkan diri dengan yang Maha Esa," ujarnya.
Bagaimanapun tegas Lah, sebagai anak seni, dia mungkin tidak akan berpaling dan meninggalkan dunia hiburan tetapi pendekatannya ketika ini adalah lebih kepada berdakwah.

“Jika dahulu saya mengajak orang menyanyi dan bersiul-siul dengan lagu-lagu yang memuji manusia tetapi kini semua itu mungkin tidak lagi.

“Saya sekarang lebih senang untuk bersama dengan para peminat menyanyikan lagu-lagu yang mendekatkan diri dengan Allah. Inilah cinta sebenar yang saya rasakan kini.
“Saya hanya tahu menyanyi dan insya-Allah dengan bakat yang dikurniakan kepada saya ini akan digunakan dengan sebaiknya untuk mengajak masyarakat khususnya peminat saya agar dapat bersama kembali menyulam cinta hakiki terhadap yang maha Esa," jelasnya.

Namun, biarpun kini banyak menghasilkan lagu-lagu bersifat kerohanian di samping terselit sedikit sebanyak pengalaman yang ditempuhi dalam perjalanan hijrahnya, tegas Lah, dia lebih selesa untuk berkongsi rasa hatinya itu melalui lagu-lagu yang dihasilkan.

“Saya amat terbuka dan menghargai sekiranya diundang untuk menyanyi kerana kepakaran saya ada di situ tetapi kalau boleh janganlah menjemput saya untuk memberikan ceramah.

“Masih belum sampai tahap saya untuk berceramah atau bercakap di hadapan orang berkaitan dengan usaha-usaha dakwah ini kerana banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari dalam kehidupan ini," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

KRU Music mahu bersemuka (Utusan)

 (DARI kiri) Black, Joe, Awie dan Eddie.

VOKALIS kumpulan Wings, Awie, mendakwa yang dia kesal dengan pengurusan KRU Studios yang dianggap tidak mengambil berat berhubung empat lagu mereka dari album Menakluk Kosmo telah dicetak rompak sebelum sempat dilancarkan kepada peminat.

Menurut Awie, pelbagai usaha dilakukan bagi meminta penjelasan daripada pihak pengurusan KRU Studios, namun sehingga kini masih lagi tiada jawapan kukuh bagi menerangkan apa sebenarnya berlaku sehingga lagu-lagu tersebut terlepas kepada pihak luar.

Ikuti temu bual dengan Presiden KRU Music, Norman Abdul Halim yang bertindak sebagai penerbit album Wings bagi mengetahui perkara sebenar.

Hits: Awie mendakwa yang pihak KRU tidak ambil berat tentang 4 buah lagu mereka yang telah dicetak rompak sebelum dilancarkan?

Norman: Pihak kami telah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) pada 6 Mei 2014 melalui Persatuan Syarikat Rakaman Malaysia iaitu pada hari yang sama pihak kami mendapat maklumat daripada Joe Wings tentang kewujudan empat lagu tersebut di laman web haram. Ini adalah sekitar dua minggu sebelum Wings sendiri membuat laporan polis di Taman Melawati. Seterusnya pihak kami telah membuat laporan polis berkenaan cetak rompak secara fizikal pada 26 Mei 2014 di Balai Polis Cyberjaya. Perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pihak kami juga telah membuat pemantauan dan mendapati cakera padat (CD) haram yang dikeluarkan adalah versi album penuh dengan kulit album (artwork) yang sama dengan album Menakluk Kosmos dan ditambah dengan lagu-lagu popular Wings sebelum ini iaitu Sejati, Misteri Mimpi Syakila, Taman Rashidah Utama, Intanku Kesepian dan Bernafas Dalam Lumpur.

Album cetak rompak yang ada di pasaran kebanyakannya adalah versi ini. Pihak kami memandang serius perkara ini dan pastinya pihak kami juga tidak mahu kerugian setelah membuat pelaburan yang besar bagi album Menakluk Kosmos. Jadi dakwaan pihak KRU tidak mengambil berat tentang perkara ini adalah tidak benar.

Cubaan Awie untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak KRU gagal, adakah anda cuba lari daripada masalah ini?

Saya sentiasa berhubung dengan Joe Wings sejak mula menjalinkan kerjasama dengan Wings. Segala urusan penerbitan serta promosi adalah melalui hubungan baik saya dan beliau. Sejak kes ini didedahkan oleh Awie, saya telah cuba menelefon Awie tetapi tidak berjaya. Seterusnya beberapa kali menghantar pesanan melalui Whatsapp kepada Awie tetapi saya difahamkan Awie masih marah berkenaan kes ini. Saya juga memohon Joe mengatur pertemuan dengan semua anggota Wings agar dapat sama-sama menyelesaikan masalah ini tetapi Joe menyatakan masa tidak sesuai kerana Wings sibuk dengan persiapan konsert Tanpa Distortion di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) ketika itu.

Saya turut pergi ke konsert tersebut untuk menunjukkan sokongan kepada Wings walau bagaimanapun berasakan tidak sesuai untuk berjumpa dengan mereka di hadapan orang ramai. Saya masih menunggu peluang untuk berjumpa dengan Wings agar dapat menyelesaikan salah faham ini. Untuk mengatakan saya lari daripada masalah ini adalah tidak benar sama sekali. Saya masih menanti peluang untuk berjumpa dengan mereka bukan kerana isu cetak rompak semata-mata tetapi bagi mengatur pelbagai aktiviti promosi yang ingin kami lakukan.

Sebelum ini, Norman ada mengeluarkan komen menerusi YouTube berhubung isu ini, kenapa tidak bersemuka dan selesaikan secara baik?

Saya tidak diberi peluang untuk bersemuka dengan mereka ketika isu ini hangat diperkatakan. Saya berasa amat penting untuk orang ramai mengetahui situasi dari mulut saya sendiri. Tidak ada cara yang lebih baik dapat dilakukan ketika itu melainkan membuat penjelasan melalui rangkaian YouTube KRU Music. Saya juga memanggil pihak Melodi, Galaksi serta Buletin Utama pada hari yang sama untuk merakamkan kenyataan saya.

Awie tidak memasang niat untuk menyambung lagi kontrak bersama dengan KRU, jadi apa komen Norman?
Kontrak kami bersama Wings hanyalah untuk satu album. Sememangnya tidak pernah ada perbincangan kedua-dua belah pihak tentang masa depan bersama untuk jangka panjang. Apa yang penting kini album Menakluk Kosmos mendapat sambutan luar biasa dari sudut penjualan fizikal ketika ini dan ramai yang memuji lagu-lagu di dalam album ini. Saya hanya berharap dapat bersemuka dengan Wings untuk membincangkan hal-hal promosi termasuk tindakan seterusnya bagi membanteras masalah cetak rompak secara bersama. Pertelingkahan secara terbuka di antara syarikat rakaman dan artis tidak dapat menyelesaikan masalah tetapi memberi peluang kepada pihak- pihak lain yang ingin menangguk di air yang keruh untuk memburukkan keadaan. Saya juga tidak suka membuat kenyataan media tentang hal-hal dalaman.

Ada yang mengatakan puncanya datang daripada pihak pengurusan KRU sendiri yang terlepas pandang sehingga lagu-lagu mereka boleh dimuat naik secara percuma di beberapa aplikasi, sejauh mana kesahihan dakwaan itu?

Sebenarnya prosedur operasi standard (SOP) bagi pihak pengurusan adalah memuat naik lagu-lagu baharu di dalam platform digital termasuk YouTube bagi tujuan promosi. Tiga lagu utama dari album ini seperti Ingatkan Dia, Peti Pandoramu serta Bisa Yang Tertunda telah dimasukkan di YouTube secara berperingkat sebelum album Menakluk Kosmos dikeluarkan bagi tujuan promosi dan lagu-lagu ini juga telah diedarkan ke stesen-stesen radio sebelum album Menakluk Kosmos dikeluarkan.

Apabila sudah diedarkan ke radio dan sebelum pihak lain memuat naik ke YouTube adalah wajar bagi pihak kami memuat-naik lagu-lagu tersebut bagi mengawal kegiatan promosi di laman sosial. Radio memainkan peranan utama untuk menimbulkan kesedaran tentang pengeluaran sesuatu album dan ada pengaturcara (programmer) yang membuat pemilihan lagu untuk siaran juga berpandukan jumlah pandangan (views) lagu di YouTube. Strategi ini telah dimaklumkan kepada Joe, Eddie dan Black di satu perbincangan di KRU Music. Walau bagaimanapun Awie tidak berada di dalam perbincangan tersebut.

Pihak kami akui ada sebuah lagu yang tidak sepatutnya dikeluarkan secara digital ketika itu ialah lagu Hey Lihat Di Sini yang juga sepatutnya menjadi lagu tema filem Dendam Orang Mati terbitan KRU Studios. Lagu ini tidak termasuk di dalam album Menakluk Kosmos dan juga bukan single utama dari album ini. Walaupun lagu ini dikeluarkan sebelum waktunya, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tetap menggunakan tiga single utama Menakluk Kosmos bersama lagu-lagu Wings sebelum ini untuk melariskan penjualan album yang di cetak rompak.

Orang ramai harus tahu situasi saiz pasaran digital kini adalah hampir 70 peratus daripada keseluruhan penjualan muzik di Malaysia. Penjualan fizikal sudah turun jauh lebih rendah dan oleh sebab itulah pengiktirafan Platinum yang dikeluarkan oleh RIM telah diturunkan dari penjualan 50,000 unit ke 10,000 unit. Pihak kami tidak boleh mengelak dari penggunaan laman-laman media sosial untuk mempromosikan produk-produk kami. Saya cuma berharap dapat bersemuka dengan Wings khususnya Awie bagi memberikan penjelasan.

Sebagai orang yang lebih muda, saya menghormati abang-abang Wings dan jauh tidak berniat untuk menyinggung perasaan mereka. Saya juga kecewa dengan pengendalian sidang media yang dilakukan oleh kakitangan saya yang ketika itu saya berada di luar negara untuk urusan rasmi. Tindakan serta teguran telah dibuat terhadap kakitangan saya dan saya sendiri telah memohon maaf kepada Awie dan Joe tentang insiden tersebut melalui Whatsapp. Walau bagaimanapun, masalah cetak rompak ini adalah perkara yang lain. Saya juga menjadi mangsa (sebagai pemilik syarikat rakaman) sama seperti Wings.

Tuesday, 10 June 2014

MSL Results - 11/06/14

Kelantan 2
* Ahmad Fakri Saarani (m-30)
* Khairul Izuan (m-59)
Lions XII 1
* Faris Ramli (m-68)
Photo: #bolatime LIGA SUPER: Pemain Kelantan Hussein Alaa diasak pertahanan Lions XII, Mohd Afiq Yunus pada pertemuan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV. FOTO Fathil Asri

Kelantan       2
* Ahmad Fakri Saarani (m-30)
* Khairul Izuan (m-59)
Lions XII       1
* Faris Ramli (m-68)
ATM 2
* Juan Manuel Arostegui (m-56)
* Bruno martelotto (m-77) 
Pahang 2
* Ahmad Fauzi Saari (ATM - gol sendiri, m-20)
* Saiful Nizam Miswan (m-69)
Photo: #bolatime LIGA SUPER: Pemain Pahang, Saiful Nizam Miswan (dua kiri) mengasak  barisan benteng ATM di Stadium Selayang. FOTO Hasriyasyah Sabudin

ATM             2
* Juan Manuel Arostegui (m-56)
* Bruno martelotto (m-77) 
Pahang         2
* Ahmad Fauzi Saari (ATM - gol sendiri, m-20)
* Saiful Nizam Miswan (m-69)
PKNS 1
* Mohd Arip (m-31)
Perak 3
* Mohd Norhakim Isa (m-5)
* Hasan Daher (m-17)
* Milan Purovic (m48)
Photo: #bolatime LIGA SUPER: Pemain Perak, Hasan Daher meraikan gol jaringannya ke atas PKNS di Stadium Shah Alam. FOTO  Osman Adnan 

PKNS            1
* Mohd Arip (m-31)
Perak            3
* Mohd Norhakim Isa (m-5)
* Hasan Daher (m-17)
* Milan Purovic (m48) Pemain Perak, Hasan Daher meraikan gol jaringannya ke atas PKNS di Stadium Shah Alam. FOTO Osman Adnan 
Sarawak 2
* Muamer Salibasic (m-27)
* Joseph Kalang Tie (m-55)
T-Team 0
Photo: #bolatime LIGA SUPER: Pemain Sarawak cuba melepasi pertahanan T-Team di depan pintu gol T-Team di Stadium Negeri Sarawak. FOTO Azahan Rosli

Sarawak        2
* Muamer Salibasic (m-27)
*  Joseph Kalang Tie (m-55)
T-Team         0

Imam Besar Masjid Sultan Saluddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam meninggal dunia

Imam Besar Masjid Sultan Saluddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Ahmad Mustafa Mohd Sidin Al-Muqri meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, 9.07 malam 9 Jun 2014.



BIODATA ringkas Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Allahyarham Ahmad Mustafa Mohd Sidin Al-Muqri yang pulang ke Rahmatullah 9.07 malam semalam. Semoga Allah mencucuri rahmat yang tak terhingga buat beliau.


Tarikh Lahir: 26 Disember 1974
Tempat Lahir: Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor

Pendidikan:
1990 - Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu, Selangor. Markas Tahfil Al-Quran Wal Qiraat Masjid Negeri (MARTAH)
1994 - Diploma Tahfiz Al-Quran wal Qiraat (Darul Quran, Malaysia)
1998 - Ijazah Tahassus Qiraat (University Al-Azhar, Mesir)
2010 - Master Syariah dan Pengurusan di KUIS.

Pengalaman:
· Imam Masjid (1) Masjid Negeri Selangor
· Imam Besar Masjid Negeri Selangor (hingga kini)
· Guru Sekolah Agama Menengah Tinggi, Kuala Kubu Bharu
· Pensyarah Jemputan Darul Quran Kuala Kubu Bharu
· Pensyarah Jemputan UITM
· Pensyarah Jemputan UNISEL
· Tetamu Rancangan Tilawah Radio Selangor F.M.
· Tetamu Rancangan Kalam Suci Oasis Astro
· Tetamu Rancangan Tanyalah Ustaz TV9
· Ahli Mesyuarat MAIS
· Setiausaha Jawatankuasa Tahfiz Negeri Selangor
· Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Negeri Selangor
· Ahli Jawatankuasa Halal Negeri Selangor
· Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor
· Ahli Jawatankuasa Dakwah Negeri Selangor
· Ahli Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor
· Ahli Jawatankuasa Ithbat Hafazan Negeri Selangor
· Hakim Majlis Ujian Tahfiz Peringkat Negeri Selangor
· Hakim Marhaban / Berzanji Peringkat Kebangsaan (KEMAS)

Anugerah:
· Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 2001
· Ahli Mahkota Selangor (AMS) 2009
· Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2001 & 2009

Monday, 9 June 2014

Ada pihak mahu burukkan suami - Ayu


AYU RAUDAH bakal berbincang dengan Zaquan tentang dakwaan bahawa suaminya itu berbalas pesanan berbaur romantik menerusi WeChat dengan seorang gadis yang dipercayai ahli kumpulan sorak pasukan bola sepak Johor Darul Takzim.











AGAK jarang terbabit dengan cerita sensasi, tiba-tiba terdapat sebuah kontroversi yang membabitkan pemain bola sepak popular, Zaquan Adha Abdul Radzak yang juga suami kepada pelakon Ayu Raudhah.
Dalam sebuah blog hiburan semalam, terdapat sebuah gambar yang memaparkan pemain bola sepak tersebut saling berbalas pesanan menerusi aplikasi WeChat membabitkan kata-kata yang agak romantis dengan seorang gadis yang dipercayai seorang ahli sorak pasukan Johor Darul Takzim.
Ketika Kosmo! menghubungi Ayu untuk mendapatkan komen lanjut mengenai perkara tersebut, pelakon itu mengakui memang ramai pihak yang menghubunginya untuk mengetahui cerita sebenar.
Adik kepada pelakon Rozita Che Wan itu bagaimanapun tidak cepat melatah, sebaliknya dia menjawab segala soalan yang diajukan kepadanya dengan penuh profesional.
Kosmo!: Rasanya Ayu mungkin sudah tahu tujuan saya menghubungi Ayu. Boleh berikan komen mengenai kontroversi yang mendakwa suami anda, Zaquan berbalas pesanan romantis menerusi WeChat dengan seorang gadis dipercayai ahli pasukan sorak pasukan bola sepak Johor Darul Takzim?
AYU: Pada mulanya, saya agak terkejut apabila ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan hal ini. Sebenarnya, saya langsung tidak menyangka ia akan tersebar kepada pengetahuan ramai.
Kenapa anda tidak menyangka pula yang perkara ini akan tersebar?
Saya akui ada pihak yang telah menghantar gambar WeChat berkenaan lewat malam tadi (kelmarin) menerusi e-mel. Pada mulanya saya agak terkejut juga, tetapi tidak sempat hendak bertanya kepada suami memandangkan dia sudah tidur.
Apabila saya melihat kembali gambar yang diterima itu, ternyata nama yang tertera adalah ‘Zaqone’. Sedangkan, suami saya tidak menggunakan nama tersebut untuk akaun WeChatnya.
Jadi, saya syak ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyamar dan mahu memburuk-burukkan suami saya. Bagaimanapun, saya tidak tahu apa tujuan pihak berkenaan berbuat demikian.

INILAH pesanan dalam WeChat yang dikatakan antara Zaquan dan seorang gadis misteri.
Apakah tindakan yang akan diambil oleh anda dan suami?
Saya akan berbincang lebih lanjut dengan suami, mungkin satu laporan polis akan dibuat. Saya anggap perbuatan ini seperti menjatuhkan maruah kami sekeluarga, namun ia langsung tidak menjejaskan hubungan saya dan suami. Tambahan pula, sekarang ini saya masih lagi dalam pantang setelah melahirkan anak yang kedua. Saya tidak mahu cepat melatah dan bersikap tenang, biarpun perkara ini sudah tersebar kepada umum.
Berkenaan dengan kerjaya anda pula, adakah sudah sedia kembali berlakon semula?
Kalau diikutkan ketika tempoh berpantang ini, sudah ada tawaran lakonan yang diterima. Namun begitu, buat masa ini saya lebih fokus untuk membesarkan anak kedua saya terlebih dulu.
Ketika ini, anak kedua saya masih lagi menyusu badan dan kalau saya berlakon, tentu agak sukar. Kalau boleh, biarlah anak saya ini besar sedikit sebelum saya kembali semula berlakon.
Bagaimanakah dengan perniagaan tudung jenama Padusi yang dijalankan anda sekarang?
Saya bersyukur kerana perniagaan saya itu yang dijalankan bersama kakak saya, Che Ta (Rozita Che Wan) semakin berkembang. Selain tudung, kami juga sudah mula menjual jubah dan selepas habis pantang ini saya akan membuat promosi secara lebih aktif memandangkan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Wednesday, 4 June 2014

Akhil Hayy kesal penampilan disekat (kosmo)


TINDAKAN stesen televisyen menyekat penampilan sesetengah artis bukan perkara luar biasa. Namun, jika tindakan itu dilakukan tanpa sebarang alasan, ia mungkin menimbulkan tanda tanya bukan sahaja terhadap artis itu sendiri, malah kepada para peminat.
Ketika berpeluang menemui Akhil Hayy selepas majlis pelancaran single terbaharunya yang berjudul, Andai Esok di Butik Pua Heritage, Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, dia memberitahu, penampilannya di sebuah saluran di stesen televisyen berbayar tempatan seperti tidak disenangi oleh pihak atasan.
Tambah Akhil Hayy atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai, 45, dia diperlakukan begitu tanpa diberi sebarang alasan mahupun sebab sehinggakan kemunculannya di beberapa saluran syarikat televisyen itu disekat perlahan-lahan.
Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Akhil Hayy:
Kosmo!: Akhil mendakwa penampilan anda seperti disekat oleh pihak televisyen tersebut. Boleh ceritakan dengan lebih lanjut?
AKHIL HAYY: Beberapa bulan lalu, Mawi ada menawarkan saya watak untuk dilakonkan bagi telemovie hari raya terbitannya berjudul Rock Sangkut. Setelah nama dicadangkan, Mawi pergi berjumpa dengan pihak atasan stesen TV berbayar tersebut. Namun, setelah mereka lihat nama saya, mereka terus meminta Mawi mencari pelakon lain bagi membawakan watak tersebut.
AKHIL HAYY kini muncul dengan single terbaharunya, Andai Esok.


Siapakah yang memberitahu anda tentang perkara ini?
Mawi sendiri datang kepada saya dan memberitahu bahawa nama saya telah ditolak. Padahal, watak lakonan saya di dalam telemovie itu hanya sebagai seorang ustaz.
Adakah penampilan anda yang disekat selain telemovie tersebut?
Sepatutnya, saya adalah antara nama-nama awal yang dicadangkan untuk menjadi panel juri bagi rancangan Pencetus Ummah. Namun, nama saya ditarik pada tanpa sebab dan alasan yang munasabah. Selain itu, lagu-lagu serta azan yang menggunakan suara saya juga tidak lagi disiarkan.
Pada pendapat anda, apakah sebab utama penampilan anda disekat?
Saya pun tak pasti. Saya berharap, jika benar saya telah melakukan sebarang kesilapan, ada pihak yang boleh datang bersemuka dengan saya dan menyatakan di mana silap saya sebenarnya.
Adakah disebabkan perkara ini karier anda sebagai penceramah terjejas?
Alhamdulillah, walaupun saya kurang muncul di kaca televisyen, banyak tawaran lain diterima. Cuma, saya berasa sedikit penat kerana terpaksa menjelajah beberapa buah negeri berbanding hanya menjalankan penggambaran di dalam studio sahaja sebelum ini.
Bolehkah anda ceritakan tentang single Andai Esok ini?
Lagu ini dicipta oleh Badrihisham dan liriknya hasil nukilan Hairul Anuar Harun. Ia bakal dimuatkan dalam album terbaharu saya yang akan dipasarkan tidak lama lagi. Isteri saya, Waheeda bakal menyumbangkan dua buah lagu dalam album itu nanti.