Saturday, 21 June 2014

KRU Music mahu bersemuka (Utusan)

 (DARI kiri) Black, Joe, Awie dan Eddie.

VOKALIS kumpulan Wings, Awie, mendakwa yang dia kesal dengan pengurusan KRU Studios yang dianggap tidak mengambil berat berhubung empat lagu mereka dari album Menakluk Kosmo telah dicetak rompak sebelum sempat dilancarkan kepada peminat.

Menurut Awie, pelbagai usaha dilakukan bagi meminta penjelasan daripada pihak pengurusan KRU Studios, namun sehingga kini masih lagi tiada jawapan kukuh bagi menerangkan apa sebenarnya berlaku sehingga lagu-lagu tersebut terlepas kepada pihak luar.

Ikuti temu bual dengan Presiden KRU Music, Norman Abdul Halim yang bertindak sebagai penerbit album Wings bagi mengetahui perkara sebenar.

Hits: Awie mendakwa yang pihak KRU tidak ambil berat tentang 4 buah lagu mereka yang telah dicetak rompak sebelum dilancarkan?

Norman: Pihak kami telah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) pada 6 Mei 2014 melalui Persatuan Syarikat Rakaman Malaysia iaitu pada hari yang sama pihak kami mendapat maklumat daripada Joe Wings tentang kewujudan empat lagu tersebut di laman web haram. Ini adalah sekitar dua minggu sebelum Wings sendiri membuat laporan polis di Taman Melawati. Seterusnya pihak kami telah membuat laporan polis berkenaan cetak rompak secara fizikal pada 26 Mei 2014 di Balai Polis Cyberjaya. Perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pihak kami juga telah membuat pemantauan dan mendapati cakera padat (CD) haram yang dikeluarkan adalah versi album penuh dengan kulit album (artwork) yang sama dengan album Menakluk Kosmos dan ditambah dengan lagu-lagu popular Wings sebelum ini iaitu Sejati, Misteri Mimpi Syakila, Taman Rashidah Utama, Intanku Kesepian dan Bernafas Dalam Lumpur.

Album cetak rompak yang ada di pasaran kebanyakannya adalah versi ini. Pihak kami memandang serius perkara ini dan pastinya pihak kami juga tidak mahu kerugian setelah membuat pelaburan yang besar bagi album Menakluk Kosmos. Jadi dakwaan pihak KRU tidak mengambil berat tentang perkara ini adalah tidak benar.

Cubaan Awie untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak KRU gagal, adakah anda cuba lari daripada masalah ini?

Saya sentiasa berhubung dengan Joe Wings sejak mula menjalinkan kerjasama dengan Wings. Segala urusan penerbitan serta promosi adalah melalui hubungan baik saya dan beliau. Sejak kes ini didedahkan oleh Awie, saya telah cuba menelefon Awie tetapi tidak berjaya. Seterusnya beberapa kali menghantar pesanan melalui Whatsapp kepada Awie tetapi saya difahamkan Awie masih marah berkenaan kes ini. Saya juga memohon Joe mengatur pertemuan dengan semua anggota Wings agar dapat sama-sama menyelesaikan masalah ini tetapi Joe menyatakan masa tidak sesuai kerana Wings sibuk dengan persiapan konsert Tanpa Distortion di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) ketika itu.

Saya turut pergi ke konsert tersebut untuk menunjukkan sokongan kepada Wings walau bagaimanapun berasakan tidak sesuai untuk berjumpa dengan mereka di hadapan orang ramai. Saya masih menunggu peluang untuk berjumpa dengan Wings agar dapat menyelesaikan salah faham ini. Untuk mengatakan saya lari daripada masalah ini adalah tidak benar sama sekali. Saya masih menanti peluang untuk berjumpa dengan mereka bukan kerana isu cetak rompak semata-mata tetapi bagi mengatur pelbagai aktiviti promosi yang ingin kami lakukan.

Sebelum ini, Norman ada mengeluarkan komen menerusi YouTube berhubung isu ini, kenapa tidak bersemuka dan selesaikan secara baik?

Saya tidak diberi peluang untuk bersemuka dengan mereka ketika isu ini hangat diperkatakan. Saya berasa amat penting untuk orang ramai mengetahui situasi dari mulut saya sendiri. Tidak ada cara yang lebih baik dapat dilakukan ketika itu melainkan membuat penjelasan melalui rangkaian YouTube KRU Music. Saya juga memanggil pihak Melodi, Galaksi serta Buletin Utama pada hari yang sama untuk merakamkan kenyataan saya.

Awie tidak memasang niat untuk menyambung lagi kontrak bersama dengan KRU, jadi apa komen Norman?
Kontrak kami bersama Wings hanyalah untuk satu album. Sememangnya tidak pernah ada perbincangan kedua-dua belah pihak tentang masa depan bersama untuk jangka panjang. Apa yang penting kini album Menakluk Kosmos mendapat sambutan luar biasa dari sudut penjualan fizikal ketika ini dan ramai yang memuji lagu-lagu di dalam album ini. Saya hanya berharap dapat bersemuka dengan Wings untuk membincangkan hal-hal promosi termasuk tindakan seterusnya bagi membanteras masalah cetak rompak secara bersama. Pertelingkahan secara terbuka di antara syarikat rakaman dan artis tidak dapat menyelesaikan masalah tetapi memberi peluang kepada pihak- pihak lain yang ingin menangguk di air yang keruh untuk memburukkan keadaan. Saya juga tidak suka membuat kenyataan media tentang hal-hal dalaman.

Ada yang mengatakan puncanya datang daripada pihak pengurusan KRU sendiri yang terlepas pandang sehingga lagu-lagu mereka boleh dimuat naik secara percuma di beberapa aplikasi, sejauh mana kesahihan dakwaan itu?

Sebenarnya prosedur operasi standard (SOP) bagi pihak pengurusan adalah memuat naik lagu-lagu baharu di dalam platform digital termasuk YouTube bagi tujuan promosi. Tiga lagu utama dari album ini seperti Ingatkan Dia, Peti Pandoramu serta Bisa Yang Tertunda telah dimasukkan di YouTube secara berperingkat sebelum album Menakluk Kosmos dikeluarkan bagi tujuan promosi dan lagu-lagu ini juga telah diedarkan ke stesen-stesen radio sebelum album Menakluk Kosmos dikeluarkan.

Apabila sudah diedarkan ke radio dan sebelum pihak lain memuat naik ke YouTube adalah wajar bagi pihak kami memuat-naik lagu-lagu tersebut bagi mengawal kegiatan promosi di laman sosial. Radio memainkan peranan utama untuk menimbulkan kesedaran tentang pengeluaran sesuatu album dan ada pengaturcara (programmer) yang membuat pemilihan lagu untuk siaran juga berpandukan jumlah pandangan (views) lagu di YouTube. Strategi ini telah dimaklumkan kepada Joe, Eddie dan Black di satu perbincangan di KRU Music. Walau bagaimanapun Awie tidak berada di dalam perbincangan tersebut.

Pihak kami akui ada sebuah lagu yang tidak sepatutnya dikeluarkan secara digital ketika itu ialah lagu Hey Lihat Di Sini yang juga sepatutnya menjadi lagu tema filem Dendam Orang Mati terbitan KRU Studios. Lagu ini tidak termasuk di dalam album Menakluk Kosmos dan juga bukan single utama dari album ini. Walaupun lagu ini dikeluarkan sebelum waktunya, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tetap menggunakan tiga single utama Menakluk Kosmos bersama lagu-lagu Wings sebelum ini untuk melariskan penjualan album yang di cetak rompak.

Orang ramai harus tahu situasi saiz pasaran digital kini adalah hampir 70 peratus daripada keseluruhan penjualan muzik di Malaysia. Penjualan fizikal sudah turun jauh lebih rendah dan oleh sebab itulah pengiktirafan Platinum yang dikeluarkan oleh RIM telah diturunkan dari penjualan 50,000 unit ke 10,000 unit. Pihak kami tidak boleh mengelak dari penggunaan laman-laman media sosial untuk mempromosikan produk-produk kami. Saya cuma berharap dapat bersemuka dengan Wings khususnya Awie bagi memberikan penjelasan.

Sebagai orang yang lebih muda, saya menghormati abang-abang Wings dan jauh tidak berniat untuk menyinggung perasaan mereka. Saya juga kecewa dengan pengendalian sidang media yang dilakukan oleh kakitangan saya yang ketika itu saya berada di luar negara untuk urusan rasmi. Tindakan serta teguran telah dibuat terhadap kakitangan saya dan saya sendiri telah memohon maaf kepada Awie dan Joe tentang insiden tersebut melalui Whatsapp. Walau bagaimanapun, masalah cetak rompak ini adalah perkara yang lain. Saya juga menjadi mangsa (sebagai pemilik syarikat rakaman) sama seperti Wings.

No comments:

Post a Comment