Monday, 9 June 2014

Ada pihak mahu burukkan suami - Ayu


AYU RAUDAH bakal berbincang dengan Zaquan tentang dakwaan bahawa suaminya itu berbalas pesanan berbaur romantik menerusi WeChat dengan seorang gadis yang dipercayai ahli kumpulan sorak pasukan bola sepak Johor Darul Takzim.











AGAK jarang terbabit dengan cerita sensasi, tiba-tiba terdapat sebuah kontroversi yang membabitkan pemain bola sepak popular, Zaquan Adha Abdul Radzak yang juga suami kepada pelakon Ayu Raudhah.
Dalam sebuah blog hiburan semalam, terdapat sebuah gambar yang memaparkan pemain bola sepak tersebut saling berbalas pesanan menerusi aplikasi WeChat membabitkan kata-kata yang agak romantis dengan seorang gadis yang dipercayai seorang ahli sorak pasukan Johor Darul Takzim.
Ketika Kosmo! menghubungi Ayu untuk mendapatkan komen lanjut mengenai perkara tersebut, pelakon itu mengakui memang ramai pihak yang menghubunginya untuk mengetahui cerita sebenar.
Adik kepada pelakon Rozita Che Wan itu bagaimanapun tidak cepat melatah, sebaliknya dia menjawab segala soalan yang diajukan kepadanya dengan penuh profesional.
Kosmo!: Rasanya Ayu mungkin sudah tahu tujuan saya menghubungi Ayu. Boleh berikan komen mengenai kontroversi yang mendakwa suami anda, Zaquan berbalas pesanan romantis menerusi WeChat dengan seorang gadis dipercayai ahli pasukan sorak pasukan bola sepak Johor Darul Takzim?
AYU: Pada mulanya, saya agak terkejut apabila ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan hal ini. Sebenarnya, saya langsung tidak menyangka ia akan tersebar kepada pengetahuan ramai.
Kenapa anda tidak menyangka pula yang perkara ini akan tersebar?
Saya akui ada pihak yang telah menghantar gambar WeChat berkenaan lewat malam tadi (kelmarin) menerusi e-mel. Pada mulanya saya agak terkejut juga, tetapi tidak sempat hendak bertanya kepada suami memandangkan dia sudah tidur.
Apabila saya melihat kembali gambar yang diterima itu, ternyata nama yang tertera adalah ‘Zaqone’. Sedangkan, suami saya tidak menggunakan nama tersebut untuk akaun WeChatnya.
Jadi, saya syak ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyamar dan mahu memburuk-burukkan suami saya. Bagaimanapun, saya tidak tahu apa tujuan pihak berkenaan berbuat demikian.

INILAH pesanan dalam WeChat yang dikatakan antara Zaquan dan seorang gadis misteri.
Apakah tindakan yang akan diambil oleh anda dan suami?
Saya akan berbincang lebih lanjut dengan suami, mungkin satu laporan polis akan dibuat. Saya anggap perbuatan ini seperti menjatuhkan maruah kami sekeluarga, namun ia langsung tidak menjejaskan hubungan saya dan suami. Tambahan pula, sekarang ini saya masih lagi dalam pantang setelah melahirkan anak yang kedua. Saya tidak mahu cepat melatah dan bersikap tenang, biarpun perkara ini sudah tersebar kepada umum.
Berkenaan dengan kerjaya anda pula, adakah sudah sedia kembali berlakon semula?
Kalau diikutkan ketika tempoh berpantang ini, sudah ada tawaran lakonan yang diterima. Namun begitu, buat masa ini saya lebih fokus untuk membesarkan anak kedua saya terlebih dulu.
Ketika ini, anak kedua saya masih lagi menyusu badan dan kalau saya berlakon, tentu agak sukar. Kalau boleh, biarlah anak saya ini besar sedikit sebelum saya kembali semula berlakon.
Bagaimanakah dengan perniagaan tudung jenama Padusi yang dijalankan anda sekarang?
Saya bersyukur kerana perniagaan saya itu yang dijalankan bersama kakak saya, Che Ta (Rozita Che Wan) semakin berkembang. Selain tudung, kami juga sudah mula menjual jubah dan selepas habis pantang ini saya akan membuat promosi secara lebih aktif memandangkan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment