TINDAKAN stesen televisyen menyekat penampilan sesetengah artis bukan perkara luar biasa. Namun, jika tindakan itu dilakukan tanpa sebarang alasan, ia mungkin menimbulkan tanda tanya bukan sahaja terhadap artis itu sendiri, malah kepada para peminat.
Ketika berpeluang menemui Akhil Hayy selepas majlis pelancaran single terbaharunya yang berjudul, Andai Esok di Butik Pua Heritage, Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, dia memberitahu, penampilannya di sebuah saluran di stesen televisyen berbayar tempatan seperti tidak disenangi oleh pihak atasan.
Tambah Akhil Hayy atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai, 45, dia diperlakukan begitu tanpa diberi sebarang alasan mahupun sebab sehinggakan kemunculannya di beberapa saluran syarikat televisyen itu disekat perlahan-lahan.
Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Akhil Hayy:
Kosmo!: Akhil mendakwa penampilan anda seperti disekat oleh pihak televisyen tersebut. Boleh ceritakan dengan lebih lanjut?
AKHIL HAYY: Beberapa bulan lalu, Mawi ada menawarkan saya watak untuk dilakonkan bagi telemovie hari raya terbitannya berjudul Rock Sangkut. Setelah nama dicadangkan, Mawi pergi berjumpa dengan pihak atasan stesen TV berbayar tersebut. Namun, setelah mereka lihat nama saya, mereka terus meminta Mawi mencari pelakon lain bagi membawakan watak tersebut.
Siapakah yang memberitahu anda tentang perkara ini?
Mawi sendiri datang kepada saya dan memberitahu bahawa nama saya telah ditolak. Padahal, watak lakonan saya di dalam telemovie itu hanya sebagai seorang ustaz.
Adakah penampilan anda yang disekat selain telemovie tersebut?
Sepatutnya, saya adalah antara nama-nama awal yang dicadangkan untuk menjadi panel juri bagi rancangan Pencetus Ummah. Namun, nama saya ditarik pada tanpa sebab dan alasan yang munasabah. Selain itu, lagu-lagu serta azan yang menggunakan suara saya juga tidak lagi disiarkan.
Pada pendapat anda, apakah sebab utama penampilan anda disekat?
Saya pun tak pasti. Saya berharap, jika benar saya telah melakukan sebarang kesilapan, ada pihak yang boleh datang bersemuka dengan saya dan menyatakan di mana silap saya sebenarnya.
Adakah disebabkan perkara ini karier anda sebagai penceramah terjejas?
Alhamdulillah, walaupun saya kurang muncul di kaca televisyen, banyak tawaran lain diterima. Cuma, saya berasa sedikit penat kerana terpaksa menjelajah beberapa buah negeri berbanding hanya menjalankan penggambaran di dalam studio sahaja sebelum ini.
Bolehkah anda ceritakan tentang single Andai Esok ini?
Lagu ini dicipta oleh Badrihisham dan liriknya hasil nukilan Hairul Anuar Harun. Ia bakal dimuatkan dalam album terbaharu saya yang akan dipasarkan tidak lama lagi. Isteri saya, Waheeda bakal menyumbangkan dua buah lagu dalam album itu nanti.
No comments:
Post a Comment