Sunday, 10 February 2019

Isu suara 'kemek', ini jawapan Sufian Suhaimi

Sufian tidak berasa terkilan kerana kritikan tersebut bukan perkara baharu buatnya.
KUALA LUMPUR - Dilabel bersuara ‘kemek’ sebagai punca tidak menang dalam senarai tiga terbaik menerusi Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33), penyanyi Sufian Suhaimi tidak berasa terkilan kerana kritikan tersebut bukan perkara baharu buatnya.
Sejak muncul dalam industri hampir tiga tahun lalu, bermacam gelaran tidak baik diterimanya termasuklah suara macam kartun, perempuan dan bersuara ‘kepit’.
“Jadi, saya tidak kecewa dengan pandangan sebegitu sebab vokal bukan satu-satunya elemen yang perlu di nilai dalam nyanyian.
“Semua gelaran itu juga yang memberikan satu keunikan buat saya. Kalau nak cari vokal yang merdu, sudah ada ramai penyanyi lain yang memilikinya, cuma untuk cari perbezaan sahaja yang sukar dan saya sangat berbangga dengan keunikan saya ini,” kata penyanyi berusia 27 tahun itu.
Sufian juga akan lebih berhati-hati dalam penciptaan karya lagu-lagu nyanyiannya agar sesuai dengan tahap vokal sendiri.
“Vokal sahaja bukan penentu mutlak kejayaan seseorang penyanyi,”katanya.
Terdahulu, isu suara ‘kemek’ Sufian menjadi perdebatan netizen apabila pengurusnya, Mahadhir Mohamad membidas sebuah artikel berhubung ulasan Ketua Juri AL33, Azmeer tentang kemenangan dan elemen vokal yang mempengaruhi keputusan AJL33.
Azmeer atau nama sebenarnya Mohd. Azhar Abu Bakar dilaporkan telah mengkritik kelemahan vokal Sufian sebagai ‘kemek’ dalam sidang akhbar usai berlangsungnya AJL33 pada malam Ahad lalu.
“Kesan daripada laporan berkenaan terdapat beberapa komen negatif seperti ‘oh si kemek’ dan lama-kelamaan akan menjadi viral (tular). Dalam laporan itu jelas menyatakan nama penyanyi dan penuturnya. Sebagai ketua juri, jika benar, adalah malang bagi kerjaya seni suara Sufian,” kata Mahadhir.
Azmeer bagaimanapun memberi maklum balas terhadap komen berkenaan, sekali gus menafikan ada mengeluarkan kenyataan ‘kemek’ sebagai merujuk mutu vokal Sufian pada malam AJL33.
Katanya, kenyataan tersebut telah disalahtafsir dalam laporan berita berkenaan sehingga menimbulkan fitnah dalam kalangan pengguna laman sosial.
Jelas beliau, komen yang diberikan terhadap mutu vokal para peserta adalah secara umum tanpa menyentuh mana-mana individu.
“Saya telah berbincang perkara ini dengan beberapa kenalan rapat dan tindakan yang boleh diambil. Insya-Allah, perkara ini akan selesai dengan elok,” katanya baru-baru ini.
Dalam entri komen yang sama, Azmeer turut memuji keupayaan vokal Sufian pada malam itu sebagai sebuah persembahan yang baik.
Pada AJL lau, Sufian menyanyikan lagu penuh kontroversi bertajuk Di Matamu sentuhan Rinkarnaen dan Sirkhan dengan hiasan pentas berkonsepkan pelamin anganku musnah merangkul Anugerah Persembahan Terbaik.
Lagu Di Matamu sering dikaitkan dengan kisah putus tunang penyanyi itu dan pelakon Elfira Loy yang kini telah mendirikan rumah tangga bersama pasangan, Faris Khairol Anuar pada Januari lalu. - K! ONLINE

Monday, 4 February 2019

PBB didesak siasat isu etnik Uighur di Xinjiang

Kumpulan hak asasi manusia mendesak PBB menyiasat penahanan etnik Uighur di Xinjiang, China. Foto Agens

GENEVA: Beberapa kumpulan hak asasi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar penyiasat ke wilayah Xinjiang di barat laut China, bagi menyiasat penahanan besar-besaran etnik Uighur dan kaum minoriti Islam lain.
“Penganiayaan yang berlaku di Xinjiang sudah menjadi semakin serius yang memerlukan perhatian masyarakat dunia,” kata ketua Human Rights Watch (HRW), Kenneth Roth kepada wartawan, di sini.
Selain HRW, beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Kongres Uighur Sedunia, turut mengemukakan rayuan kepada badan hak asasi manusia PBB untuk menghantar pasukan penyiasat ke wilayah itu.
PBB yang memetik maklumat yang diperoleh sekumpulan pakar berkata, ketika ini, lebih satu juta etnik Uighur dan kumpulan minoriti lain, kebanyakannya beragama Islam ditahan di kem tahanan di Xinjiang.
Sementara itu, aktivis yang juga presiden Kongres Uighur Sedunia, Dolkun Isa, berkata kepada pemberita menerusi sidang video dari Oslo, bahawa kumpulannya percaya jumlah mereka yang ditahan di Xijiang mungkin mencecah tiga juta orang.
Sebelum ini, Beijing mendakwa ‘pusat pendidikan vokasional’ yang diwujudkan bertujuan menangani kegiatan pengganas dan membantu mereka menyesuaikan diri dalam masyarakat.
Namun, pengkritik menganggap China sedang berusaha mengasingkan penduduk minoriti di Xinjiang, dengan menindas amalan agama dan budaya yang bertentangan dengan ideologi Komunis serta budaya masyarakat Han. - AFP

Baru lima tahun sudah pandai merajuk

KOTA BHARU: Takut dimarahi bapa, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengunci diri dalam kereta kira-kira selama 45 minit.
Tindakannya mendatangkan panik kepada keluarga yang cuba memujuk kanak-kanak itu yang berada di bawah papan pemuka (dashboard) dalam keadaan menutup muka.

Cubaan membuka pintu kereta turut dibantu orang ramai dengan mengetuk cermin dan menggoyangkan kenderaan Hyundai Sonata itu kerana menyangkakan kanak-kanak itu terlelap.
Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga datang dari Kuala Lumpur ingin menjamu selera di restoran Nasi Ulam Cikgu di Jalan Hilir Kota, di sini.
“Mangsa yang mengantuk enggan keluar dari kereta menyebabkan ibunya ingin memberitahu bapanya yang sudah mula berjalan ke arah restoran.
“Sebaik ibunya keluar dari kereta, mangsa terus menutup pintu (kereta) dan menguncinya dalam keadaan enjin terpasang,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Pihak berkuasa segera dihubungi selepas usaha membuka pintu termasuk memujuk kanak-kanak itu gagal.
Anggota bomba dibantu orang ramai berusaha membuka pintu kereta selepas kanak-kanak perempuan itu bertindak menguncikan diri dalam kereta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar(Metro)
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Adnan Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.49 petang dan tiba 20 minit kemudian.
“Seramai tiga anggota ditugaskan dalam operasi menyelamatkan mangsa yang terkunci dalam kereta.
“Anggota bomba mengambil masa selama lima minit untuk menyelamatkan mangsa menggunakan peralatan khas bagi membuka cermin kereta,” katanya ketika dihubungi.

Saturday, 26 January 2019

PRK : BN Menang - Ramli cipta sejarah di Cameron Highland


BARISAN Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Md Noor diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini dengan majoriti lebih besar.
Beliau memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,078 undi keseluruhan daripada 89 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 8.30 malam.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, di Cameron Highlands.
Berdasarkan keputusan rasmi itu, Ramli menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran serta dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan.
Manogaran, yang tiga kali bertanding di kerusi berkenaan sebelum ini memperoleh 8,800 undi, sementara Sallehudin (314 undi), dan 276 undi diperoleh Seng Yee.
Peratus keluar mengundi pula direkodkan sebanyak 68.79 peratus, sementara undi ditolak berjumlah 568 undi.
Dengan kemenangan Ramli itu, menyaksikan sejarah tercipta apabila wakil tunggal mewakili masyarakat Orang Asli bakal diangkat menjadi wakil rakyat bagi mengisi satu slot kerusi di Dewan Rakyat.
Buat pertama kalinya sejak siri PRK selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Mei lalu juga, BN berjaya mencapai kemenangan, biarpun dua PRK terdahulu menyaksikan calonnya tewas iaitu di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan DUN Balakong.
BN tidak meletakkan calon dalam dua PRK iaitu di DUN Seri Setia dan Parlimen Port Dickson, namun memberi sokongan kepada wakil PAS.
Biarpun jumlah undi majoriti dicapai BN bertambah kali ini, keputusan PRK ini tidak mengubah struktur pentadbiran Putrajaya, sebaliknya menyaksikan trend sokongan pengundi di kerusi ini masih kekal sama seperti PRU lalu, di samping bukti kejayaan kerjasama BN dan PAS.
Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385 pengundi kurang upaya.
PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Sivarraajh, pada PRU lalu yang berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim, 81 undi.
PRK ini adalah yang kelima selepas PRU-14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini adalah membabitkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.

Sunday, 20 January 2019

Identiti pemandu kenderaan terhumban ke dalam laut dikenal pasti

Rakaman menunjukkan detik kereta Vios yg terlibat dlm kemalangan jln raya dengan sebuah lagi kereta di kilometer 4.0 jambatan Pulau Pinang pada pukul 2.55 pagi

GEORGE TOWN - Identiti pemandu kenderaan yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi ini telah dikenal pasti.

Rupa kereta Vios yg terlibat dlm kemalangan di jmbtn PP arah Perai

Mangsa seorang lelaki dikenali Moey Yun Peng, berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pemillik kereta yang juga bapa kepada pemandu kenderaan utiliti sukan (suv) Mazda CX-5 itu membuat laporan polis pukul 5 petang selepas anak lelakinya berusia 20 tahun yang memandu kereta itu tidak pulang ke rumah mereka di Butterworth.
Gambar hiasan : 2017-Mazda-CX-5-launch (copy dr website Paultan)
"Lelaki berusia 63 tahun itu membuat laporan polis selepas anaknya tidak pulang dan dia menerima maklumat dari rakan anaknya itu bahawa mangsa disyaki terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sebelum terhumban ke dalam laut.
Menurut bapanya, mangsa adalah pelajar sebuah kolej swasta dan tinggal di Taman Kempas, Butterworth,"  katanya di sini hari ini. - Bernama

Tuesday, 8 January 2019

Jurutera syarikat maut langgar tayar lori tercabut

Mangsa dipercayai telah melanggar tayar sebuah lori yang tercabut dan tercampak ke besi penghadang jalan lebuhraya berkenaan.

KLANG - Seorang jurutera sebuah syarikat minyak maut selepas motosikal ditungganginya melanggar tayar sebuah lori yang tercabut sebelum tercampak mengenai besi penghadang jalan di Kilometer 21.8  Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), di sini hari ini. 
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, Nazarudin Yahya, 27 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala. 
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan ke Mahkamah Shah Alam atas urusan tertentu dari Klang. 
Katanya, mangsa bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak di Pulau Indah. 
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar tayar sebuah lori yang tercabut dan tercampak ke besi penghadang jalan lebuhraya berkenaan. 
"Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 
Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  - K! ONLINE

Thursday, 3 January 2019

Seputar 2018 : Sensasi sepanjang 2018

BAK pelangi yang muncul seketika selepas hujan tengah hari, begitulah suasana yang boleh diibaratkan tentang kepantasan masa yang berlalu pada tahun 2018. Menyingkap kalendar dunia hiburan tempatan tahun ini, banyak pencapaian dan tidak kurang juga insiden telah mewarnai industri seni tanah air.

Lengkap sudah hidup Siti 


Ditilik kembali sensasi dunia hiburan pada tahun ini, tentulah kisah kelahiran puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi antara yang paling diperkatakan.
Masakan tidak, kelahiran Siti Aafiyah ke ribaan Ratu Pop Malaysia itu pada 19 Mac lalu merupakan momen yang paling dinantikan selepas Siti bergelar isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selama 11 tahun.

Setelah dua kali mengalami keguguran, Siti dan suami akhirnya berjaya menimang cahaya mata apabila pasangan tersebut menjalani kaedah in Vitro Fertilisation (iVF). benar kata pepatah, rezeki tidak pernah salah alamat.
Rezeki Di Matamu Sufian

REZEKI datang dalam pelbagai bentuk dan bagi kes Sufian Suhaimi, kehancuran hati kerana putus tunang dengan Elfira Loy diganti dengan kejayaan single Di Matamu menempah tempat ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) tahun hadapan.
Impak Di Matamu bukan sahaja menyentuh jiwa peminat di Malaysia, malah berjaya membuka peluang Sufian di negara seberang apabila dijemput berkolaborasi dengan kumpulan indonesia, Shima band menerusi Di Matamu 2.0.
Tudung Neelofa 
Sewaktu Neelofa memilih pusat hiburan Zouk sebagai lokasi pelancaran koleksi tudungnya, be Lofa pada Februari lalu, ramai yang naik hantu.
Selain memperdebatkan pemilihan lokasi yang sinonim dengan gejala maksiat, khalayak mempersoalkan perjalanan majlis berkenaan yang dianggap tidak sopan dan mencerminkan akhlak buruk golongan wanita.
Menerima teguran secara terbuka, syarikat tudungnya, NH Prima international Sdn. bhd. mengeluarkan permohonan maaf, beberapa hari selepas acara tersebut berlangsung.
Ironi, sungguhpun orang ramai memperkatakan majlis berkenaan, tudung be Lofa laku keras dan habis dijual dalam masa 24 jam selepas dilancarkan. 
Filem tempatan tunjuk taring 
Tahun 2018 boleh disifatkan sebagai tahun paling berjaya bagi industri perfileman tempatan apabila beberapa buah filem telah berjaya memecahkan rekod kutipan yang di luar jangkaan. 
Bermula dengan filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid yang berjaya mencatat RM37.56 juta, sokongan peminat pada karya anak tempatan terus dibuktikan menerusi Munafik 2 yang diterbitkan Skop Productions yang mencecah kutipan RM40 juta.
Menariknya, kebangkitan tersebut bukan hanya dalam kategori tertentu bahkan mencuit semua genre termasuk filem aksi Paskal dan Polis Evo 2 . Kedua-dua filem tersebut telah mencatat rekod kutipan melebihi RM20 juta.