Saturday, 21 October 2017

TOMBIRUO : Lapan hari tayangan kutip RM4j

SALAH satu babak aksi menampilkan watak Ejim (kiri) dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang ditayangkan di pawagam sejak 12 Oktober lalu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR – Selepas lapan hari ditayangkan di pawagam sejak 12 Oktober lalu, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi dari karya novelis thriller nombor satu tanah air, Ramlee Awang Murshid mencatat kutipan melebihi RM4 juta.
Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya berasa amat gembira dengan sambutan orang ramai terhadap filem tersebut.
“Filem ini berdasarkan novel yang disukai ramai tulisan Ramlee Awang Murshid, mempunyai nilai produksi yang tinggi selain babak aksi yang mendebarkan, pelakon yang hebat dan promosi yang bagus,” ujarnya kepada Kos­mo! di sini semalam.
Bagaimanapun Najwa berkata, masih terlalu awal untuk membuat jangkaan tentang sasaran kutipan panggung filem arahan dua pengarah, Nasir Jani dan Seth Larney itu.
“Saya harap sambutan menggalakkan ini akan berterusan dan penonton menyerbu pawagam pada hujung minggu ini bersama ahli keluarga serta rakan-rakan,” katanya.
Sementara itu, teraju utama filem tersebut, Zul Ariffin, 30, berasa amat berbaloi berlakon dalam naskhah yang menelan kos pembikinan sebanyak RM6 juta itu.

Monday, 2 October 2017

Selamat tinggal GP Malaysia

KEHANGATAN saingan F1 di Sepang akan menjadikan kenangan buat rakyat Malaysia selepas penganjuran kali terakhir musim ini.

PENGANJURAN sukan permotoran No. 1 dunia, Formula Satu (F1) untuk saingan Grand Prix (GP) menyaksikan sejumlah 110,604 peminat terhibur dengan perlumbaan berprestij itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berakhir semalam.
Sebagai rekod, rakyat Malaysia terpaksa mengucapkan ‘sayonara’ kepada perlumbaan premier dan termahal pada pe­ringkat antarabangsa itu lebih awal selepas kerajaan Malaysia mencapai persetujuan dengan Persekutuan Automotif Antarabangsa (FIA) untuk menamatkan kontrak yang sepatutnya berakhir pada 2018.
Meskipun mendapat sambutan menggalakkan pada edisi kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali tetap mengakui sebahagian besar tiket dibeli oleh peminat F1 luar negara yang majoriti­nya dari Australia, England dan Singapura.
“Kami telah menerima maklum balas yang cukup positif daripada agensi-agensi pelancongan yang me­laporkan bahawa kehadiran pelancong ke dalam negara adalah disebabkan mahu menyaksikan GP Malaysia.
Mercedes driver Lewis Hamilton of Britain leads the field into turn one at the start of the Malaysian Formula One Grand Prix in Sepang, Malaysia, Sunday, Oct. 1, 2017. (Eric To/AP)

“Sasaran kami adalah untuk menjual seba­nyak 80,000 tiket dan kami berjaya melepasi angka tersebut dan secara keseluruhan, saya cukup ber­puas hati pada pe­nganjuran terakhir ini,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Kehadiran yang direkodkan pada edisi kali ini mencatat peningkatan mendadak berbanding yang diraih sejak tiga musim lepas yang gagal melepasi angka keseluruhan 100,000 penonton sepanjang tiga hari saingan tersebut dilangsungkan.
Bagaimanapun, rekod tersebut masih gagal untuk mengatasi ‘klimaks’ GP Malaysia yang dicatatkan pada edisi 2008 yang me­nyaksikan jumlah kehadiran penonton seramai 126,690, sebelum diikuti edisi 2013 (123,4000).
Sementara itu, Razlan menolak kemungkinan bahawa dominasi pasukan Mercedes yang ditaja oleh syarikat minyak terbesar negara, Petronas bermula 2014 menjadi punca kehadiran penonton semakin merosot sejak tiga edisi lalu.
“Saya rasa alasan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana isu dominasi ini telah berlaku sejak sekian lama dalam kancah F1. Sebelum penguasaan Mercedes, kita terlebih dahulu menyaksikan dominasi Red Bull dan Ferrari,” katanya.
Force India has taken a swipe at McLaren.Source:Getty Images

Turut hadir pada sidang akhbar tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Carey; Pengerusi SIC, Tan Sri Azmah Yahya dan Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Dalam perkembangan sama, Carey mengakui terhutang budi dengan Malaysia sejak penganjurannya pada 1999, sekali gus mengembangkan lagi populariti sukan permotoran itu di mata peminat sekitar Asia Tenggara.

“Kami akui akan terasa kehilangan kehangatan GP Malaysia tetapi saya juga boleh sahkan bahawa ada menerima tawaran daripada beberapa negara Asia yang lain.
“Kami sangat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh penonton Asia tetapi saya percaya slot ini akan diisi de­ngan lebih baik pada kalendar F1 pada masa depan memandangkan kami turut mendapat permintaan yang tinggi dari benua lain,” katanya.

Friday, 22 September 2017

Trump minta PBB bantu etnik Rohingya

AP - SEBAHAGIAN etnik Rohingya menunggu diagihkan bekalan makanan di kem pelarian dekat Kutupalong, Bangladesh kelmarin.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) – Presiden Amerika Syarikat, Do­nald Trump meminta Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah tegas dan cepat untuk menghentikan keganasan terhadap penduduk Rohingya.
Naib Presiden Mike Pence semasa menyuarakan hasrat Trump pada mesyuarat Majlis Keselamatan berkata, krisis di Myanmar itu kini merupakan ancaman kepada keamanan dunia.
Pence menuduh tentera Myanmar bertindak balas terhadap serangan militan di pos-pos kerajaan dengan kekejaman yang dahsyat, membakar kampung serta menghalau penduduk Rohingya dari rumah mereka.
“Melainkan jika keganasan ini dihentikan secara adil, ia hanya akan menjadi lebih buruk. Semua ini bakal menyemai benih kebencian dan huru-hara yang mungkin memusnahkan rantau ini untuk generasi akan datang selain mengancam keamanan kita semua,” kata Pence.
Kenyataan Pence merupakan tindak balas paling lantang kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap ke­ga­nasan di Rakhine yang bermula pada 25 Ogos lalu sehingga memaksa 422,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Diplomat memberitahu, Majlis Keselamatan boleh mempertimbangkan menggunakan kenyataan rasmi jika keadaan masih tidak bertambah baik, tetapi China dan Rusia tidak bersetuju dengan tindakan lebih kukuh yang memerlukan penggunaan resolusi veto.
Pence mengulangi gesaan AS supaya tentera Myanmar menghentikan keganasan dan menyokong usaha diplomatik untuk penyelesaian jangka panjang Rohingya.
Seramai 15 ahli Majlis Keselamatan PBB bertemu sebanyak dua kali secara tertutup sejak krisis Rohingya bermula dan minggu lepas mengeluarkan kenyataan tidak rasmi kepada akhbar yang mengutuk keadaan di negara tersebut serta dan mendesak pihak berkuasa Myanmar menamatkan keganasan. – Reuters

PM Bangladesh minta Myanmar bawa pulang Rohingya

AFP - PELARIAN Rohingya berlindung di dalam paip simen di kem pelarian Kutupalong yang terletak di daerah Ukhia, Bangladesh semalam.

DHAKA, Bangladesh – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina semalam menggesa Myanmar mengambil semula sebahagian daripada 420,000 etnik Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di negara yang didominasi penganut Buddha itu.
Hasina yang bercakap kepada aktivis Bangladesh di New York ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa tekanan lebih hebat antarabangsa terhadap Myanmar berhubung krisis terbaharu yang berlaku sejak tiga minggu lalu, lapor media.
“Kami telah memberitahu Myanmar, mereka adalah rakyat kamu dan kamu mesti mengambil mereka semula, memberikan mereka perlindungan, memastikan mereka selamat dan tiada lagi penindasan serta penyeksaan,” katanya pada mesyuarat lewat kelmarin di New York.
Tambahnya, Bangladesh sedang melakukan usaha-usaha diplomatik untuk memujuk Myanmar membawa pulang pelarian Rohingya.
“Tetapi kerajaan Myanmar tidak bertindak balas terhadap gesaan itu. Malah, Myanmar meletakkan halangan di sepanjang sempadan untuk menghentikan kepulangan etnik Rohingya ke tanah air mereka,” katanya.
Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi berkata dalam satu ucapan pada awalnya bahawa negara itu akan mengambil semula pelarian yang telah disahkan.
Myanmar menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menolak kewarganegaraan mereka, walaupun telah hidup di negara itu sejak beberapa dekad.
Dalam satu mesyuarat negara-negara Islam di luar perhimpunan PBB tersebut, Hasina berkata, Yangon mengetuai kempen propaganda untuk menggelar etnik Rohingya sebagai Benggali, sambil menambah bahawa mereka perlu diberi kerakyatan Myanmar.
Hasina turut meminta bantuan kemanusiaan segera daripada negara-negara Islam untuk mengatasi kemasukan etnik Rohingya yang melarikan diri dengan apa yang digelar pembersihan etnik, lapor agensi berita BSS.
“Ia adalah malapetaka kemanusiaan yang tidak dapat ditanggung. Saya telah melawat mereka dan mendengar cerita-cerita tentang penderitaan mereka, terutamanya wanita dan kanak-kanak.
“Saya ingin anda semua datang ke Bangladesh dan mendengar daripada mereka tentang kekejaman di Myanmar,” katanya.
Seramai 420,000 etnik Rohingya kini berlindung di khemah pelarian dekat bandar sempadan Cox’s Bazar akibat keganasan tentera di Myanmar. – AFP

Ziyad pecah rekod Para ASEAN

ZIYAD meraikan kejayaan merangkul pingat emas bersama para penyokong Malaysia termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

JUARA dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli ternyata sukar ditewaskan oleh mana-mana pencabar apabila mudah menjuarai pingat emas bagi acara lontar peluru kategori F20 (masalah pem­belajaran) pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 semalam.
Bukan itu sahaja, Ziyad, 27, turut berjaya melakar rekod ba­haru temasya dengan catatan 16.81 meter (m) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil tersebut.
Atlet dari Gombak, Selangor itu memadam rekod lama, 15.69m yang diciptanya sewaktu memenangi pingat emas di Naypyidaw, Myanmar.
Ia sekali gus membakar semangat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 itu untuk melayakkan diri ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia.
“Saya gembira dengan pencapaian hari ini (semalam). Saya mahu konsisten dengan lontaran sejauh 16m hingga 17m dan kalau boleh mencecah 18m tahun depan.
“Saya akan mencuba yang terbaik untuk layak ke Sukan Asia. Saingan pada kejohanan itu lebih sukar berbanding di sini atau sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini,” katanya.
Pingat perak lontar peluru F20 semalam dimenangi seorang lagi atlet para negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi (12.79m), manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Thailand, Sanepoot Boonkong dengan catatan 11.99m.
Ia menyaksikan Ziyad kini memegang semua rekod acara lontar peluru F20 bermula Sukan Para ASEAN, Sukan Para Asia, benua Asia, Sukan Paralimpik dan dunia.
Jika berjaya layak ke Sukan Asia, Ziyad bakal menjadi atlet olahraga para pertama negara bersaing dengan atlet-atlet normal pada pentas berprestij Asia itu seperti dilakukanya pada KL2017 baru-baru ini.
Pada KL2017, Ziyad muncul atlet olahraga para pertama memenangi pingat apabila meraih tempat ketiga acara lontar peluru.

Skuad berbasikal para Malaysia cukup luar biasa

SKUAD berbasikal para Malaysia menggungguli 22 pingat emas daripada 26 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 kali ini.

ACARA berbasikal para negara boleh dikategorikan sebagai lubuk emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 selepas mengungguli 22 acara daripada 26 yang dipertandingkan bagi di­siplin trek dan lebuh raya.
Meskipun perlumbaan berbasikal masih baharu dan pertama kali dianjurkan pada Sukan Para ASEAN ini, namun aksi terakhir lebuh raya yang berlangsung di Dataran Putrajaya semalam me­nyaksikan pasukan negara berjaya meraih enam emas daripada tujuh yang dipertandingkan.
Kelmarin, skuad berbasikal para kebangsaan turut merangkul empat emas.
Ketua jurulatih berbasikal para negara, Mohd. Johari Nayan menganggap kejayaan yang diraih oleh pasukan bimbingannya sangat luar biasa dan me­ngatasi jangkaan awal yang ditetapkan.
“Para pelumba ini sa­ngat luar biasa dan melepasi jangkaan 10 emas yang kita sasarkan pada pe­ringkat awal. Alhamdulillah, semua yang kita rancang berjalan lancar.
“Ini merupakan permulaan untuk skuad berbasikal para negara menempa nama pada peringkat antarabangsa.
“Saya rasa kesemua pelumba ini bersemangat dan berlumba-lumba untuk meraih kemenangan, bahkan sukan para ini diberi layanan sama seperti sukan normal termasuk dari segi insentif dan sebagainya,” katanya semalam.
Sebagai rekod, acara berbasikal trek yang membuka tirai pada Ahad dan Isnin lalu telah menyaksikan pasukan berbasikal para negara membolot kesemua 12 emas yang dipertandingkan.
Ia menyaksikan skuad berbasikal menyumbangkan 22 emas, 12 perak dan lima gangsa secara keseluruhan.
Dalam perkembangan sama, pengurus pasukan, Mohd. Asri Abdul Mubin berharap kejayaan luar biasa yang diraih oleh pelumba para negara ini mampu membuka mata banyak pihak.
“Kita berharap sukan berbasikal para ini sema­kin berkembang di Malaysia dan akan muncul lebih ramai bakat baharu pada masa akan datang,” katanya.

Simbah petrol di tingkat tiga

WAN MOHD. NOR mendedahkan hasil siasatan bomba mendapati suspek menyimbah petrol pada rak tuala, rak kasut dan dinding asrama di aras tiga pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan bangunan tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur sengaja dibakar selepas siasatan mendapati suspek me­nyimbah cecair pe­trol pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk asrama di tingkat tiga sebelum menyalakan api.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kebakaran tersebut kemudian merebak ke siling dan membakar pintu masuk dan seluruh bilik asrama.
Jelas beliau, api merebak de­ngan cepat kerana suspek bertindak melepaskan gas daripada dua buah silinder gas petroleum cecair (LPG) yang diletakkan di hadapan pintu bilik asrama itu.
Oleh kerana api marak de­ngan cepat dan bahang semakin me­ningkat, mangsa yang sedang tidur tidak dapat menyelamatkan diri.
TONG gas (dalam bulatan) yang dipercayai diangkat oleh suspek dari tingkat bawah ke tingkat tiga asrama untuk membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur minggu lalu.
“Pasukan penyiasatan kebakaran JBPM telah menemui bahan bukti dalam insiden tersebut iaitu dua buah silinder gas LPG berwarna hijau berbelang merah di hadapan pintu masuk bilik asrama. Kedua-dua silinder tersebut telah kosong dan injap silinder juga dalam keadaan terbuka.
“Selain itu, Unit Pengesan bomba telah mengesan dan mengambil sampel kesan kebakaran di hadapan pintu masuk bilik asrama. Sampel tersebut dianalisa oleh pegawai kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur yang mendapati empat sampel berkenaan me­ngandungi cecair mudah me­nyala jenis petrol.
“Sampel cecair itu pula ditemui pada rak tuala, rak kasut dan dinding hadapan pintu masuk asrama itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM di sini semalam.