ACARA berbasikal para negara boleh dikategorikan sebagai lubuk emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 selepas mengungguli 22 acara daripada 26 yang dipertandingkan bagi disiplin trek dan lebuh raya.
Meskipun perlumbaan berbasikal masih baharu dan pertama kali dianjurkan pada Sukan Para ASEAN ini, namun aksi terakhir lebuh raya yang berlangsung di Dataran Putrajaya semalam menyaksikan pasukan negara berjaya meraih enam emas daripada tujuh yang dipertandingkan.
Kelmarin, skuad berbasikal para kebangsaan turut merangkul empat emas.
Ketua jurulatih berbasikal para negara, Mohd. Johari Nayan menganggap kejayaan yang diraih oleh pasukan bimbingannya sangat luar biasa dan mengatasi jangkaan awal yang ditetapkan.
“Para pelumba ini sangat luar biasa dan melepasi jangkaan 10 emas yang kita sasarkan pada peringkat awal. Alhamdulillah, semua yang kita rancang berjalan lancar.
“Ini merupakan permulaan untuk skuad berbasikal para negara menempa nama pada peringkat antarabangsa.
“Saya rasa kesemua pelumba ini bersemangat dan berlumba-lumba untuk meraih kemenangan, bahkan sukan para ini diberi layanan sama seperti sukan normal termasuk dari segi insentif dan sebagainya,” katanya semalam.
Sebagai rekod, acara berbasikal trek yang membuka tirai pada Ahad dan Isnin lalu telah menyaksikan pasukan berbasikal para negara membolot kesemua 12 emas yang dipertandingkan.
Ia menyaksikan skuad berbasikal menyumbangkan 22 emas, 12 perak dan lima gangsa secara keseluruhan.
Dalam perkembangan sama, pengurus pasukan, Mohd. Asri Abdul Mubin berharap kejayaan luar biasa yang diraih oleh pelumba para negara ini mampu membuka mata banyak pihak.
“Kita berharap sukan berbasikal para ini semakin berkembang di Malaysia dan akan muncul lebih ramai bakat baharu pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment