JUARA dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli ternyata sukar ditewaskan oleh mana-mana pencabar apabila mudah menjuarai pingat emas bagi acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 semalam.
Bukan itu sahaja, Ziyad, 27, turut berjaya melakar rekod baharu temasya dengan catatan 16.81 meter (m) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil tersebut.
Atlet dari Gombak, Selangor itu memadam rekod lama, 15.69m yang diciptanya sewaktu memenangi pingat emas di Naypyidaw, Myanmar.
Ia sekali gus membakar semangat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 itu untuk melayakkan diri ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia.
“Saya gembira dengan pencapaian hari ini (semalam). Saya mahu konsisten dengan lontaran sejauh 16m hingga 17m dan kalau boleh mencecah 18m tahun depan.
“Saya akan mencuba yang terbaik untuk layak ke Sukan Asia. Saingan pada kejohanan itu lebih sukar berbanding di sini atau sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini,” katanya.
Pingat perak lontar peluru F20 semalam dimenangi seorang lagi atlet para negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi (12.79m), manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Thailand, Sanepoot Boonkong dengan catatan 11.99m.
Ia menyaksikan Ziyad kini memegang semua rekod acara lontar peluru F20 bermula Sukan Para ASEAN, Sukan Para Asia, benua Asia, Sukan Paralimpik dan dunia.
Jika berjaya layak ke Sukan Asia, Ziyad bakal menjadi atlet olahraga para pertama negara bersaing dengan atlet-atlet normal pada pentas berprestij Asia itu seperti dilakukanya pada KL2017 baru-baru ini.
Pada KL2017, Ziyad muncul atlet olahraga para pertama memenangi pingat apabila meraih tempat ketiga acara lontar peluru.
No comments:
Post a Comment