Mohd. FARHAN OSMERA
Mohd. Farhan maut selepas hampir 12 jam bertarung nyawa di Pusat Perubatan Hospital Universiti Malaya (PPUM) akibat cedera parah selepas diserang enam lelaki dipercayai bersaudara di Apartmen Permai, dekat Damansara, malam kelmarin.

Mangsa difahamkan baru sahaja bertugas sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Damansara dan dikatakan mahu meringankan bebanan bapanya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah agensi kerajaan di situ.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa dikatakan telah berselisih faham dengan seorang rakan sebaya­nya di gelanggang futsal, kira-kira pukul 8 malam.
Pertelingkahan itu berjaya di­leraikan orang ramai namun ia tidak berkesudahan di situ apabila suspek bertindak memanggil sa­nak-saudaranya untuk menye­rang mangsa kira-kira sejam kemudian.
Ibu mangsa, Suiria Hasibi, 47, berkata, dia menyedari anak kedua­nya itu keluar rumah selepas pulang dari bermain futsal dan tidak menyangka itu adalah kali terakhir dia bercakap dengan Mohd. Farhan.

“Dia meminta izin untuk keluar rumah dan selepas itu seorang jiran memberitahu anak saya tidak sedarkan diri di bawah apartmen kerana diserang sekumpulan lelaki.

“Saya turun dan melihat Mohd. Farhan telah dikerumuni orang ramai. Saya minta seorang jiran membawanya ke hospital kerana dia masih bernafas namun takdir Allah apabila dia disahkan me­ninggal dunia sekitar pukul 10 pagi semalam,” katanya ketika ditemui di bahagian forensik PPUM, di sini hari ini.

Jelas Suiria, dia tidak mengenali kumpulan suspek yang menyerang anaknya itu namun berdasarkan maklumat dari jiran-jirannya, me­reka tinggal di blok apartmen bersebelahan.

“Saya tidak tahu kenapa mereka bertindak sedemikian dan saya difahamkan, terdapat seorang bapa di kalangan suspek. Sampai hati dia membunuh anak saya dan saya berharap mereka mendapat balasan yang sewajarnya,” katanya.
Suiria juga menjelaskan, Mohd. Farhan merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah mencari musuh, malah dia juga sanggup mencari kerja untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung ayahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Dae­rah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, enam lelaki berusia 14 hingga 43 tahun telah ditahan polis kelmarin untuk membantu siasatan kes itu.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang mengejek dan menyindir mangsa atas kematian neneknya. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya.