PATTAYA, Thailand – Seekor gajah terkenal yang menjadi tarikan pelancong asing tiba-tiba rebah sebelum mati Sabtu lalu dipercayai sakit jantung selepas terkejut dengan pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baru bulan lalu.
Gajah dikenali sebagai Samruai itu berusia 50 tahun dan tinggal di Rumah Perlindungan Kebenaran di Pattaya di mana penjaganya mengenakan bayaran untuk pelancong menaiki belakangnya.
“Samruai segera diberikan air garam dan antibiotik selepas ia rebah ketika pihak berkuasa merancang memindahkannya ke sebuah pusat rawatan di wilayah Surin tetapi malangnya gajah itu mati pada malam hari yang sama,” lapor laman web berita, Coconuts Bangkok.
Bangkai gajah tersebut terpaksa dipindahkan menggunakan jentera berat ke satu tapak khas di Kuil Buddha Bang Lamung untuk ditanam.
Penduduk setempat berkumpul di sekeliling haiwan malang itu ketika tapak bersemadinya disediakan sementara beberapa orang sami menjalankan upacara khas sebelum Samruai ditanam.
Seorang jurucakap kepada Pertubuhan Perlindungan Haiwan Sedunia (WAP) menyuarakan kesedihannya melihat Samruai menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai tarikan pelancong sedangkan haiwan itu sepatutnya hidup bebas di dalam hutan belantara. – AGENSI
No comments:
Post a Comment