Saturday, 21 May 2016

Badan pesawat EgyptAir ditemui [kosmo]


KAHERAH – Tentera Mesir semalam menemui serpihan pesawat penerbangan EgyptAir, MS804 yang terhempas di Laut Mediterranean ketika pihak berkuasa cuba merungkai misteri mengapa kapal terbang itu tiba-tiba melencong dan terhempas ke dalam laut.
Pasukan mencari mene­mui bahagian badan manusia, barangan peribadi dan beberapa bahagian pesawat jenis Airbus A320 itu sekitar 290 kilometer dari bandar pesisir pantai, Iskandariah, kata seorang jurucakap tentera.
Satu bahagian badan pesawat, tempat duduk dan bagasi juga ditemui oleh pasukan pencari semalam.
“Beberapa jam sebelum ini kami diberitahu (oleh pihak berkuasa Mesir) bahawa satu bahagian badan, dua tempat duduk dan satu atau lebih bagasi ditemui di kawasan pencarian di perairan utara bandar raya Iskandariah,” kata Menteri Pertahanan Greece, Panos Kammenos pada sidang akhbar.
Katanya, beberapa pesawat lain yang terlibat dalam operasi mencari turut melaporkan lebih banyak penemuan tetapi setakat ini pihaknya masih belum mengesahkan ia daripada pesawat hilang itu.
Menteri Penerangan Mesir memberitahu kelmarin bahawa nahas kapal terbang itu dipercayai berpunca daripada serangan pengganas. Pesawat itu hilang daripada radar semasa dalam penerbangan dari Paris ke Kaherah dengan membawa 66 penumpang dan kru.
Bagaimanapun, Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault berkata, masih tiada sebarang petunjuk berhubung mengapa pe­nerbangan itu terhempas.
“Kami meneliti setiap kemungkinan tetapi tidak membuat sebarang kesimpulan kerana kami masih tiada sebarang petunjuk,” katanya kepada stesen te­levisyen Perancis.
Tragedi itu meningkatkan kebimbangan berulangnya pengeboman ke atas sebuah pesawat penumpang Rusia oleh kumpulan militan Islamic State pada Oktober tahun lalu yang menyebabkan ke­semua 224 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.
Pesawat Mesir itu hilang di antara Karpathos dan perairan Mesir pada awal pagi kelmarin tanpa krunya menghantar isyarat kecemasan.
Kammenos berkata, pesawat itu melencong dua kali di ruang udara Mesir sebelum menjunam se­tinggi 6,200 meter dan hilang daripada skrin radar.
Ketua Penerbangan Awam Greece, Constantinos Litzerakos berkata, juruterbang pesawat EgyptAir itu tidak menyebut tentang sebarang masalah dalam komunikasi terakhirnya.
“Pengawal trafik udara menghubungi juruterbang itu pada ketinggian 11,200 meter dan dia tidak menyebut sebarang masalah,” kata Litzerakos.
Setakat semalam, pasukan pengawal pantai dan tentera laut Greece tidak dapat mengesahkan laporan bahawa sebuah kapal melihat sebuah bebola api di langit.
Menurut Litzerakos, sekiranya letupan berlaku, serpihan pesawat itu akan bertaburan di kawasan yang luas.
Dalam perkembangan berkaitan, EgyptAir me­nyatakan bahawa kapal terbang itu dibina dalam tahun 2003 dan merekodkan penerbangan selama 48,000 jam. – AFP

Mental lemah bikin Malaysia merana [kosmo]

SEKIRANYA memiliki kecergasan yang tinggi, Kien Keat (kanan) dan Boon Heong mampu bertahan dan memenangi perlawanan menentang beregu kedua Denmark kelmarin.


PENANTIAN seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan Piala Thomas kembali ke tanah air berterusan apabila skuad Piala Thomas negara akur dengan kehebatan Denmark setelah tewas 2-3 pada aksi separuh akhir di Kompleks Sukan Kunshan, kelmarin.
Meskipun selesa mendahului 2-0 menerusi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei serta pasangan beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, namun skuad negara gagal mengekalkan rentak kemena­ngan tersebut.
Keletihan serta ketahanan mental dilihat menjadi punca utama Malaysia ditunjukkan jalan keluar oleh gergasi badminton Eropah itu yang juga merupakan pasukan pilihan kedua pada kejohanan tersebut.
Pengurus skuad Piala Thomas 2016, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar kecil) mengakui kelemahan mental serta kurang stamina memberi kelebihan kepada Denmark untuk menguasai tiga perlawanan terakhir sebelum mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.
Menurutnya, Malaysia sepatutnya meraih kemenangan menerusi aksi beregu kedua, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, namun Denmark jelas mengambil kesempatan terhadap dua pemain veteran tersebut yang dilihat beraksi dalam keletihan.
“Tidak dinafikan, saya sangat kecewa dengan kekalahan ini kerana kita sudah berada 2-0 di depan. Bagaimanapun, kita gagal mempertahankan kelebihan tersebut sebelum kecewa dengan kekalahan 2-3.
“Kita lihat pada pasangan beregu kedua (Kien Keat-Boon Heong), sekiranya mereka memiliki kecergasan yang tinggi, saya fikir mereka mampu bertahan dan menang perlawanan tersebut.
“Namun, kita terpaksa akur dengan kekuatan Denmark yang merupakan pilihan kedua kejohanan. Sekiranya bertemu pasukan seperti Denmark, kita sememangnya perlu berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Kunshan.
Chong Wei meraih mata pertama negara apabila menang 23-21, 21-18 ke atas Viktor Axelsen dan rentak sama diteruskan V Shem-Wee Kiong apabila berjaya menewaskan Mathias Boe-Mads Conrad Petersen 21-18, 21-18 pada perlawanan kedua.
Bagaimanapun, Denmark mula mempamerkan kebangkitan menerusi Hans-Kristian Vittinghus yang menewaskan Iskandar Zulkarnain Zainuddin 21-18, 21-18 dan wakil Eropah itu terus menambah tekanan buat skuad negara selepas beregu keduanya, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen menyamakan mata menerusi kemenangan 10-21, 21-8, 21-13 ke atas pasangan Kien Keat-Boon Heong.
Denmark memastikan malam penuh duka buat kem Malaysia apabila Emil Holst melengkapkan kemenangan wakil Eropah itu selepas menewaskan Chong Wei Feng 21-15, 21-18 pada permainan penentuan.
Dengan kekalahan tersebut, Malaysia perlu menunggu dua tahun lagi untuk menamatkan penantian kejuaraan Piala Thomas selepas kali terakhir memenanginya pada 1992 di Kuala Lumpur.
Justeru, Norza yang juga Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan, barisan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM akan menjadikan saingan Piala Thomas dan Sukan Olimpik sebagai kayu ukur untuk memilih pemain yang bakal menggalas tugas pada Piala Thomas 2018.
Kemungkinan besar Chong Wei serta Kien Keat-Boon Heong tidak akan beraksi pada edisi akan datang berdasarkan faktor usia ketiga-tiga pemain tersebut.
“Saya sebagai Pengerusi C&T, ingin menjelaskan kita akan lihat perkara tersebut (pilih pemain) selepas Olimpik. Kita mahu jadikan Piala Thomas dan Olimpik sebagai medan untuk memilih pemain.
“Kita perlu sedar bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung pada pemain-pemain senior. Oleh itu, kita perlu ada perancangan jangka panjang untuk mengetengahkan pemain-pemain yang lebih baik,” tegasnya.
Katanya, para peminat badminton tanah air tidak boleh mengharapkan hasil dalam tempoh singkat kerana ia memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan sebuah pasukan yang mantap.
“Kita sudah tunggu 24 tahun untuk kembali dapatkan Piala Thomas dan perlu tunggu dua tahun lagi. Jadi, kita akan buat post-mortem dengan teliti selain meminta Morten (Frost Hansen) menyediakan laporan bagaimana untuk hadapi perkara ini.
“Jadi perancangan kita adalah memilih pemain untuk menghadapi Piala Thomas pada lima, enam tahun akan datang memandangkan kita tidak mahu ambil pemain sekadar tangkap muat sahaja,” ujarnya.
Wei Feng blows a chance to be Malaysia's hero. - CHAN KAI BOON/The Star

Dalam perkembangan sama, Norza yang mewakili kem negara turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal untuk membawa pulang Piala Thomas ke tanah air.
Malaysia pernah dilabel sebagai salah sebuah kuasa besar badminton dunia apabila mendakap piala paling berprestij itu sebanyak lima kali pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.

Saturday, 14 May 2016

Bertarung nyawa lawan babi [kosmo]

BALING – Berpantang maut sebelum ajal. Itu berlaku kepada sepasang suami isteri yang terselamat walaupun terpaksa bertarung nyawa melawan seekor babi hutan yang menyerang mereka ketika menoreh getah di Felda Teloi Timur di sini Rabu lalu.
Mangsa, Halimah Abdullah, 47, berkata, ketika kejadian pada pukul 9.30 pagi, dia bersama suaminya, Abu Seman Ani, 55, yang sedang menoreh getah tiba-tiba diserang seekor babi hutan.
Halimah (kanan) yang berada di sisi suaminya menunjukkan kecederaan yang dialami akibat disondol babi di rumah mereka di Kampung Sri Kenanga, Kuala Ketil, Baling semalam.
Menurutnya, dia cuba berlari ke arah suami yang berada tidak jauh dari tempatnya menoreh tetapi tidak sempat kerana binatang liar itu telah meluru ke arahnya.
“Saya kemudian disondol beberapa kali oleh babi tersebut sehingga cedera. Selepas itu, babi tersebut menyerang suami saya sampai dia terjatuh ke kawasan paya berdekatan dan pengsan.
“Babi itu berpatah balik dan menye­rang saya kali keduanya. Saya cuba melawan dengan memukulnya berkali-kali menggunakan pisau toreh sambil pejam mata kerana takut melihat mukanya yang garang serta bergigi taring yang tajam,” katanya di rumahnya di Kampung Sri Kenanga, Kuala Ketil di sini semalam.
Halimah memberitahu, setelah suaminya tersedar daripada pengsan, Abu Seman menjerit menyuruhnya memanjat pokok bagi menyelamatkan diri namun gagal.
Katanya, dia akhirnya terselamat apabila babi yang sudah lemah itu beredar.
“Saya dan suami yang cedera kemudian membonceng motosikal bersamanya ke Klinik Kesihatan Parit Panjang di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Abu Seman berkata, dia tidak terdaya menolong isterinya ketika diserang babi kerana tiba-tiba pengsan.
“Saya bersyukur isteri saya selamat walaupun dia menerima hampir 50 jahitan pada kedua-dua belah lengan tangan dan paha kanannya,” kata Abu Seman yang turut menerima tujuh jahitan pada betis.

Banjir terburuk di UM [kosmo]

Pekerja Alam Flora membersihkan kesan lumpur di hadapan pintu masuk UM di Jalan Pantai Baru semalam.


KUALA LUMPUR – Banjir kilat yang melanda sekitar Universiti Malaya (UM) di sini kelmarin menyebabkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di tempat kendera­an di pusat pengajian tinggi itu hampir hanyut masuk ke dalam longkang.
Seorang pengusaha kantin di Fakulti Undang-Undang UM, Mohd. Kamal Abdullah, 43, berkata, van miliknya hampir masuk longkang namun disebabkan longkang itu ada penghadang besi, van miliknya tersekat di situ.
“Jika tidak kerana besi penghadang, van saya dan beberapa kenderaan lain sudah tentu terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras,” kata Mohd. kamal ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Menurut peniaga itu lagi, hujan lebat kelmarin menyebabkan, kawasan letak kenderaan berdekatan pos pengawal UM dinaiki air sehingga ke paras pinggang.
“Ini merupakan kejadian banjir kilat terburuk dalam tempoh 11 tahun saya bekerja sebagai pengusaha kantin di UM,” kata beliau ketika ditemui di UM di sini semalam.

Monday, 9 May 2016

Pesawat Noriah disambar petir [kosmo]

PASUKAN mencari dan menyelamat menemui sebahagian lagi serpihan helikopter di Sungai Batang Lupar semalam.

SRI AMAN – Seorang penduduk di rumah panjang Kampung Seduku dekat sini mendakwa, dia ternampak sebuah daripada empat buah helikopter yang terbang melalui perkampunganya terkena panahan petir ketika hujan lebat pada 5 Mei lalu.
Mengimbau detik cemas pukul 4 petang itu, Mona Lipek, 40, berkata, ketika itu dia berehat di beranda rumahnya sebelum ternampak empat buah helikopter terbang menuju ke zon Sebuyau.
“Kampung ketika itu dilanda hujan lebat, ribut, petir dan guruh.
“Ketika duduk, saya mulanya ternampak empat buah helikopter yang terbang seperti berkonvoi.
“Sedang saya mendongak ke langit, secara tibatiba helikopter keempat terkena panahan petir menyebabkan pesawat tersebut menjadi tidak stabil,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Mona memberitahu, dia yang cemas dan takut me­nyaksikan kejadian tersebut terus masuk ke dalam rumah tanpa mengetahui bagaimana keadaaan pesawat tersebut.
Seorang lagi penduduk di kampung sama, Gelang Kadir, 39, pula mendakwa, semasa sedang memasak pukul 4.30 petang, dia menjadi panik apabila rumah dan pokokpokok di sekitarnya bergoyang.
“Saya yang melihat dari tingkap, nampak sebuah helikopter terbang amat rendah seperti mahu melakukan pendaratan cemas,” ujarnya.
Sejurus selepas itu, kata Gelang, dia terdengar bunyi seolaholah letupan namun tidak dapat memastikan sama ada letupan itu berpunca daripada helikopter atau disebabkan petir.
Seorang nelayan, Arif Johari, 40, dari Kampung Lingga pula memberitahu, kawannya yang sedang bertukang mendakwa ternampak sebuah helikopter terbang rendah menuju ke arah Sebuyau sebelum pesawat itu hilang dari pandangan.
Suut Ujang, 72, dari kampung sama pula menceritakan ketika kejadian, kampungnya hujan renyairenyai dan sesekali kedengaran petir.
“Saya ada terdengar enjin helikopter yang sangat kuat sebelun ternampak pesawat itu terbang rendah menghala ke arah Sebuyau,” katanya.
Khamis lalu, helikopter jenis Eurocopter AS350 membawa lima penumpang dan seorang juruterbang yang dilaporkan hilang di Sebuyau dekat sini disahkan terhempas di Batang Lupar. Lima mangsa yang ditemui terbunuh ialah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, suami Noriah, Tuan Asmuni Abdullah.
Turut terkorban Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi, Ahmad Sobri Harun.
Bagaimanapun, sehingga semalam, juruterbang Kapten Rudolf Rex Ragas belum ditemui.