KAHERAH – Tentera Mesir semalam menemui serpihan pesawat penerbangan EgyptAir, MS804 yang terhempas di Laut Mediterranean ketika pihak berkuasa cuba merungkai misteri mengapa kapal terbang itu tiba-tiba melencong dan terhempas ke dalam laut.
Pasukan mencari menemui bahagian badan manusia, barangan peribadi dan beberapa bahagian pesawat jenis Airbus A320 itu sekitar 290 kilometer dari bandar pesisir pantai, Iskandariah, kata seorang jurucakap tentera.
Satu bahagian badan pesawat, tempat duduk dan bagasi juga ditemui oleh pasukan pencari semalam.
“Beberapa jam sebelum ini kami diberitahu (oleh pihak berkuasa Mesir) bahawa satu bahagian badan, dua tempat duduk dan satu atau lebih bagasi ditemui di kawasan pencarian di perairan utara bandar raya Iskandariah,” kata Menteri Pertahanan Greece, Panos Kammenos pada sidang akhbar.
Katanya, beberapa pesawat lain yang terlibat dalam operasi mencari turut melaporkan lebih banyak penemuan tetapi setakat ini pihaknya masih belum mengesahkan ia daripada pesawat hilang itu.
Menteri Penerangan Mesir memberitahu kelmarin bahawa nahas kapal terbang itu dipercayai berpunca daripada serangan pengganas. Pesawat itu hilang daripada radar semasa dalam penerbangan dari Paris ke Kaherah dengan membawa 66 penumpang dan kru.
Bagaimanapun, Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault berkata, masih tiada sebarang petunjuk berhubung mengapa penerbangan itu terhempas.
“Kami meneliti setiap kemungkinan tetapi tidak membuat sebarang kesimpulan kerana kami masih tiada sebarang petunjuk,” katanya kepada stesen televisyen Perancis.
Tragedi itu meningkatkan kebimbangan berulangnya pengeboman ke atas sebuah pesawat penumpang Rusia oleh kumpulan militan Islamic State pada Oktober tahun lalu yang menyebabkan kesemua 224 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.
Pesawat Mesir itu hilang di antara Karpathos dan perairan Mesir pada awal pagi kelmarin tanpa krunya menghantar isyarat kecemasan.
Kammenos berkata, pesawat itu melencong dua kali di ruang udara Mesir sebelum menjunam setinggi 6,200 meter dan hilang daripada skrin radar.
Ketua Penerbangan Awam Greece, Constantinos Litzerakos berkata, juruterbang pesawat EgyptAir itu tidak menyebut tentang sebarang masalah dalam komunikasi terakhirnya.
“Pengawal trafik udara menghubungi juruterbang itu pada ketinggian 11,200 meter dan dia tidak menyebut sebarang masalah,” kata Litzerakos.
Setakat semalam, pasukan pengawal pantai dan tentera laut Greece tidak dapat mengesahkan laporan bahawa sebuah kapal melihat sebuah bebola api di langit.
Menurut Litzerakos, sekiranya letupan berlaku, serpihan pesawat itu akan bertaburan di kawasan yang luas.
Dalam perkembangan berkaitan, EgyptAir menyatakan bahawa kapal terbang itu dibina dalam tahun 2003 dan merekodkan penerbangan selama 48,000 jam. – AFP
No comments:
Post a Comment