BALING – Berpantang maut sebelum ajal. Itu berlaku kepada sepasang suami isteri yang terselamat walaupun terpaksa bertarung nyawa melawan seekor babi hutan yang menyerang mereka ketika menoreh getah di Felda Teloi Timur di sini Rabu lalu.
Mangsa, Halimah Abdullah, 47, berkata, ketika kejadian pada pukul 9.30 pagi, dia bersama suaminya, Abu Seman Ani, 55, yang sedang menoreh getah tiba-tiba diserang seekor babi hutan.
Halimah (kanan) yang berada di sisi suaminya menunjukkan kecederaan yang dialami akibat disondol babi di rumah mereka di Kampung Sri Kenanga, Kuala Ketil, Baling semalam.
Menurutnya, dia cuba berlari ke arah suami yang berada tidak jauh dari tempatnya menoreh tetapi tidak sempat kerana binatang liar itu telah meluru ke arahnya.
“Saya kemudian disondol beberapa kali oleh babi tersebut sehingga cedera. Selepas itu, babi tersebut menyerang suami saya sampai dia terjatuh ke kawasan paya berdekatan dan pengsan.
“Babi itu berpatah balik dan menyerang saya kali keduanya. Saya cuba melawan dengan memukulnya berkali-kali menggunakan pisau toreh sambil pejam mata kerana takut melihat mukanya yang garang serta bergigi taring yang tajam,” katanya di rumahnya di Kampung Sri Kenanga, Kuala Ketil di sini semalam.
Halimah memberitahu, setelah suaminya tersedar daripada pengsan, Abu Seman menjerit menyuruhnya memanjat pokok bagi menyelamatkan diri namun gagal.
Katanya, dia akhirnya terselamat apabila babi yang sudah lemah itu beredar.
“Saya dan suami yang cedera kemudian membonceng motosikal bersamanya ke Klinik Kesihatan Parit Panjang di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Abu Seman berkata, dia tidak terdaya menolong isterinya ketika diserang babi kerana tiba-tiba pengsan.
“Saya bersyukur isteri saya selamat walaupun dia menerima hampir 50 jahitan pada kedua-dua belah lengan tangan dan paha kanannya,” kata Abu Seman yang turut menerima tujuh jahitan pada betis.
No comments:
Post a Comment