SEKIRANYA memiliki kecergasan yang tinggi, Kien Keat (kanan) dan Boon Heong mampu bertahan dan memenangi perlawanan menentang beregu kedua Denmark kelmarin.
PENANTIAN seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan Piala Thomas kembali ke tanah air berterusan apabila skuad Piala Thomas negara akur dengan kehebatan Denmark setelah tewas 2-3 pada aksi separuh akhir di Kompleks Sukan Kunshan, kelmarin.
Meskipun selesa mendahului 2-0 menerusi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei serta pasangan beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, namun skuad negara gagal mengekalkan rentak kemenangan tersebut.
Keletihan serta ketahanan mental dilihat menjadi punca utama Malaysia ditunjukkan jalan keluar oleh gergasi badminton Eropah itu yang juga merupakan pasukan pilihan kedua pada kejohanan tersebut.
Pengurus skuad Piala Thomas 2016, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar kecil) mengakui kelemahan mental serta kurang stamina memberi kelebihan kepada Denmark untuk menguasai tiga perlawanan terakhir sebelum mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.
Menurutnya, Malaysia sepatutnya meraih kemenangan menerusi aksi beregu kedua, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, namun Denmark jelas mengambil kesempatan terhadap dua pemain veteran tersebut yang dilihat beraksi dalam keletihan.
“Tidak dinafikan, saya sangat kecewa dengan kekalahan ini kerana kita sudah berada 2-0 di depan. Bagaimanapun, kita gagal mempertahankan kelebihan tersebut sebelum kecewa dengan kekalahan 2-3.
“Kita lihat pada pasangan beregu kedua (Kien Keat-Boon Heong), sekiranya mereka memiliki kecergasan yang tinggi, saya fikir mereka mampu bertahan dan menang perlawanan tersebut.
“Namun, kita terpaksa akur dengan kekuatan Denmark yang merupakan pilihan kedua kejohanan. Sekiranya bertemu pasukan seperti Denmark, kita sememangnya perlu berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Kunshan.
Chong Wei meraih mata pertama negara apabila menang 23-21, 21-18 ke atas Viktor Axelsen dan rentak sama diteruskan V Shem-Wee Kiong apabila berjaya menewaskan Mathias Boe-Mads Conrad Petersen 21-18, 21-18 pada perlawanan kedua.
Bagaimanapun, Denmark mula mempamerkan kebangkitan menerusi Hans-Kristian Vittinghus yang menewaskan Iskandar Zulkarnain Zainuddin 21-18, 21-18 dan wakil Eropah itu terus menambah tekanan buat skuad negara selepas beregu keduanya, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen menyamakan mata menerusi kemenangan 10-21, 21-8, 21-13 ke atas pasangan Kien Keat-Boon Heong.
Denmark memastikan malam penuh duka buat kem Malaysia apabila Emil Holst melengkapkan kemenangan wakil Eropah itu selepas menewaskan Chong Wei Feng 21-15, 21-18 pada permainan penentuan.
Dengan kekalahan tersebut, Malaysia perlu menunggu dua tahun lagi untuk menamatkan penantian kejuaraan Piala Thomas selepas kali terakhir memenanginya pada 1992 di Kuala Lumpur.
Justeru, Norza yang juga Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan, barisan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM akan menjadikan saingan Piala Thomas dan Sukan Olimpik sebagai kayu ukur untuk memilih pemain yang bakal menggalas tugas pada Piala Thomas 2018.
Kemungkinan besar Chong Wei serta Kien Keat-Boon Heong tidak akan beraksi pada edisi akan datang berdasarkan faktor usia ketiga-tiga pemain tersebut.
“Saya sebagai Pengerusi C&T, ingin menjelaskan kita akan lihat perkara tersebut (pilih pemain) selepas Olimpik. Kita mahu jadikan Piala Thomas dan Olimpik sebagai medan untuk memilih pemain.
“Kita perlu sedar bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung pada pemain-pemain senior. Oleh itu, kita perlu ada perancangan jangka panjang untuk mengetengahkan pemain-pemain yang lebih baik,” tegasnya.
Katanya, para peminat badminton tanah air tidak boleh mengharapkan hasil dalam tempoh singkat kerana ia memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan sebuah pasukan yang mantap.
“Kita sudah tunggu 24 tahun untuk kembali dapatkan Piala Thomas dan perlu tunggu dua tahun lagi. Jadi, kita akan buat post-mortem dengan teliti selain meminta Morten (Frost Hansen) menyediakan laporan bagaimana untuk hadapi perkara ini.
“Jadi perancangan kita adalah memilih pemain untuk menghadapi Piala Thomas pada lima, enam tahun akan datang memandangkan kita tidak mahu ambil pemain sekadar tangkap muat sahaja,” ujarnya.
Wei Feng blows a chance to be Malaysia's hero. - CHAN KAI BOON/The Star
Dalam perkembangan sama, Norza yang mewakili kem negara turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal untuk membawa pulang Piala Thomas ke tanah air.
Malaysia pernah dilabel sebagai salah sebuah kuasa besar badminton dunia apabila mendakap piala paling berprestij itu sebanyak lima kali pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.
No comments:
Post a Comment