Saturday, 6 May 2017

Pesawat bawa Luluh kembali dalam radar seni


SUDAH sembilan tahun ditubuhkan, Pesawat masih kekal dengan anggota asal mereka yang terdiri daripada Nizam (dari kiri) Camel, Kudux, Jipie, Mann dan Paul.

SELEPAS tiga tahun menyepi daripada radar seni, band Pesawat yang pernah popular dengan lagu Mirage kini bersiap sedia untuk kembali menghiasi pentas muzik dengan buah tangan terbaharu berjudul Luluh.
Pesawat yang masih kekal dengan empat orang anggota iaitu Jipie (vokal dan gitar), Mann (bass), Kudux (dram) dan Nizam Camel (gitar) serta seorang pemain undangan Paul (synthesizer) yakin tahun 2017 merupakan waktu paling tepat untuk mereka membuat kemunculan semula.
"Sepanjang tempoh tiga tahun lalu, kami bukan menghilang, tetapi berehat sebentar daripada muzik untuk memberi fokus pada komitmen lain seperti keluarga, perniagaan dan kerjaya masing-masing.
"Bagaimanapun, kerja seni masih berjalan cuma tidak ada material baharu yang hendak dihebahkan kepada media massa. Selepas tiga tahun kami rasa sudah tiba masanya untuk kembali. Jika terlalu lama menyepi, kami bimbang peminat melupakan Pesawat," kata Jipie.
Hadir dengan single Luluh yang telah mula dimainkan di corong radio, Pesawat menonjolkan sisi matang band tersebut yang berusia hampir 10 tahun.
Biarpun liriknya kedengaran lebih dewasa berbanding lagu-lagu lama yang terkandung dalam album Take Off yang dikeluarkan pada tahun 2011, Pesawat masih mengekalkan identiti muzik mereka.
"Sepanjang tempoh menghilang, kami telah mengumpul hampir 20 buah lagu baharu. Pada mulanya timbul kebimbangan kerana trend muzik berubah-ubah seperti kebelakangan ini lagu berunsur 90-an kembali menguasai carta.
"Namun, kami tekad untuk tidak mengikut trend dan mengeluarkan lagu dengan identiti Pesawat. Sejak awal kemunculan, Pesawat hanya mengeluarkan lagu yang kami suka. Bukan syok sendiri, tetapi band dengan identiti sendiri terbukti lebih bertahan lama dan kami yakin peminat Pesawat masih ada," ujar Mann pula.
Bercakap tentang perjalanan muzik mereka pada tahun ini, Pesawat berharap dapat mengekalkan momentum sama seperti album pertama. Selain lagu Mirage, Pesawat juga cukup popular dengan lagu Mesti Mau yang menjadi lagu tema iklan Twisties. Mereka juga terkenal dengan lagu Rapuh yang merupakan lagu runut bunyi filem Kill.
"Kami berharap momentum terdahulu dapat dikekalkan seperti lagu iklan dan runut bunyi filem atau drama. Sebenarnya lagu Luluh mendapat tawaran penerbit untuk sebuah drama bersiri, cuma ketika itu kami masih belum bersedia kerana mahu lagu tersebut keluar di radio terlebih dahulu," ujar Kudux.
Menyambung bicara, mereka mahu muncul dengan single kedua selepas sambutan Aidilfitri dan single ketiga pada hujung tahun sebelum mengeluarkan album penuh.
"Jika tiada halangan, kami akan melancarkan klip video Luluh selepas sambutan Aidilfitri bersama dengan single kedua. Kami perlu pantas mengeluarkan lagu baharu kerana mahu mengeluarkan album pada hujung tahun ini," kata Jipie.

Jelas Jipie, mereka harus hadir dengan album baharu kerana 2018 merupakan tahun ke-10 single Mirage dirakamkan. Mereka merancang satu sambutan besar-besaran sempena ulang tahun ke-10 single pertama yang telah mengharumkan nama Pesawat di pentas muzik serantau.
"Kami perlu ada buah tangan baharu supaya tahun hadapan Pesawat boleh melakukan sesuatu untuk meraikan 10 tahun lagu Mirage.
"Sehingga ke hari ini, Mirage merupakan lagu tuah dan wajib dimainkan setiap kali kami melakukan persembahan pentas. Kami juga merancang untuk mengeluarkan pakej album baharu atau mengadakan showcase untuk peminat pada tahun hadapan," tutur Jipie.

No comments:

Post a Comment