Tuesday, 9 May 2017

Hijjaz tidak terkesan dikritik

Sepanjang tiga minggu bersaing dalam program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV), setakat ini kumpulan nasyid popular tanah air Hijjaz tidak pernah mengecewakan dan sering mendapat komen positif daripada peminat.
Namun, persembahan minggu ketiga kumpulan yang terkenal dengan lagu Sumayyah pada malam Sabtu lalu menerima kritikan. Ada sesetengah peminat mengecam tindakan Hijjaz yang menggunakan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai masalah pada kaki kanan sebagai bahan untuk menarik perhatian penonton. Tidak kurang juga, ada yang memandang strategi tersebut adalah cara untuk Hijjaz meraih simpati penonton.
Pada minggu tersebut, Hijjaz yang dianggotai oleh Munif, Isman, Faizal dan Ariffin membawakan lagu popular milik Datuk Hattan berjudul Rendang Tak Berbuah bersama artis jemputan, Lan Kristal.
Wakil kumpulannya, Munif berkata, Hijjaz langsung tidak terkesan dengan segala kritikan seperti itu kerana bagi mereka apa yang penting adalah objektif untuk menyampaikan mesej berguna kepada masyarakat, tercapai.
KOSMO!: Berikutan kritikan yang diterima oleh Hijjaz pada persembahan kalian dalam program GGV minggu ketiga yang dikatakan mempergunakan lelaki OKU, apa yang Munif boleh jelaskan?
MUNIF AHMAD: Sejujurnya, Hijjaz langsung tidak menyangka segala idea dan konsep yang kami bawakan dalam GGV akan dipandang serong oleh masyarakat. Hakikatnya, apa yang kami cuba ketengahkan adalah penyampaian mesej dalam setiap persembahan. Berkenaan lelaki OKU yang kami gunakan sebagai pelakon, sebenarnya tidak timbul soal mempergunakan golongan ini. Pelakon lelaki tersebut adalah rakan baik kami sendiri iaitu Salman sejak bersama kumpulan Nada Murni lagi. Dia memang seorang pelakon dan kehadirannya dalam program GGV tempoh hari dibuat atas kehendak dirinya sendiri untuk membantu kami. Pada mulanya, kami fikir dia akan membuat lakonan yang biasa-biasa sahaja tetapi tidak sangka dia memberi seluruh jiwanya pada persembahan itu.
Adakah konsep dan idea seperti itu kalian amalkan untuk pertandingan GGV semata-mata?
Kami bertapak dalam dunia nyanyian selama 20 tahun. Persembahan yang ada konsep dan tema seperti ini sudah menjadi satu kebiasaan dan menjadi ‘makanan’ buat kami. Satu hal yang perlu masyarakat faham adalah program GGV sangat berbeza dengan rancangan hiburan lain.
Ia sebuah medium untuk menyampaikan mesej, bukan untuk berhibur semata-mata. Jadi, setiap kali mendapat tugasan lagu, ia menjadi tanggungjawab kami sebagai penyanyi untuk mencari idea dan konsep yang bersesuaian. Kami perlu memberi nilai tambah dalam persembahan, bukan sekadar hanya menyanyi di atas pentas.
Adakah kerja keras yang kalian lakukan dalam program itu bersandar kepada objektif untuk menang?
Sebenarnya sejak dari awal, Hijjaz tidak mahu menyertai program GGV. Namun, selepas beberapa kali dipujuk oleh pihak Astro, barulah kami bersetuju. Jujurnya, apabila difikirkan kembali, untuk apa kami terima tawaran itu andai tidak memberikan yang terbaik? Kami dikenali sebagai ikon nasyid, jadi adakah Hijjaz hanya mahu beri sebuah persembahan biasa.
Memang pada awalnya kami masuk bertanding bukan untuk menang, tetapi apabila sudah mampu bertahan sehingga minggu ketiga, biarlah alang-alang sampai ke pentas final pula.
Apakah komen anda tentang pemikiran segelintir peminat yang kurang gemar dengan konsep yang dibawakan Hijjaz dalam GGV?
Kami tidak mampu puaskan hati semua orang. Hijjaz tidak tertekan dengan kritikan seperti ini cuma kami mengaku agak pelik mengapa ada orang tidak suka dengan cara penyampaian mesej yang kami cuba sampaikan. Senang kata, mungkin individu seperti itu seorang yang mempunyai jiwa kacau.
Bagaimana pula dengan respons lain yang kalian terima sejak berada dalam GGV?
Alhamdulillah, kalau ada seorang yang tidak suka, ada 100 yang lain suka dengan persembahan kami. Selama tiga minggu, kami mendapat bermacam-macam respons daripada peminat yang rata-ratanya suka dan tersentuh dengan mesej dalam persembahan Hijjaz.
Ada yang mengaku mereka menangis menonton persembahan kami. Keadaan itu seperti satu kejayaan buat kami kerana berjaya membuatkan penonton tersentuh. Bukan sekadar menghibur, tetapi apa yang penting adalah mesej yang cuba sampaikan berjaya melekat dalam jiwa penonton.

No comments:

Post a Comment