Saat namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ke 32 (ABP32) pada malam Ahad lalu, wanita yang hadir dengan busana serba putih itu tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut.
Masakan tidak, selepas 6 tahun bergelar anak seni inilah kali pertama aktres yg popular dgn drama Pujaan Hati Kanda itu memenangi anugerah besar dalam ABP.
Selain Bintang Paling Popular, Mira turut membawa pulang anugerah Pelakon TV Popular, Pelakon filem wanita popular & gandingan serasi drama popular menerusi Pujaan Hati Kanda bersama aktor Remy Ishak.
Ironinya, nama Mira awal-awal lagi telah diramal menang besar dalam ABP32 bersandarkan populariti yang diraih menerusi deretan drama fenomena lakonannya termasuk Sweet Dream bersama Ben Amir yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Meskipun begitu, pemilik nama Nur Amirah Filzah Badioezaman itu mendedahkan, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk merangkul anugerah paling berprestij dalam ABP32.
“Alhamdulillah, ini adalah rezeki dari Allah. Saya sendiri tidak menjangkakan untuk membawa pulang anugerah Bintang Paling Popular walaupun tahun ini menerima enam pencalonan secara keseluruhannya.
“Saya ada meletakkan harapan, tetapi pada beberapa kategori sahaja. Sejujurnya, saya memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk kategori utama. Bagaimanapun syukur, rezeki berpihak kepada saya dan ini adalah hasil sokongan peminat yang tidak berhenti mengundi siang malam,” ujarnya yang turut membawa pulang trofi kemenangan dan sebuah kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid.
Anugerah terindah
Pelakon berumur 26 tahun itu menyifatkan kemenangan yang dirangkul adalah anugerah terindah buat dirinya.
Bukan mudah untuk Mira sampai ke tahap yang dicapai pada hari ini. Sungguhpun merasakan dirinya masih terlalu hijau dalam bidang lakonan, Mira tetap memastikan setiap naskhah lakonannya memberi impak dan kepuasan kepada penonton.
“Saya percaya kemenangan kali ini adalah impak daripada drama lakonan yang secara kebetulan baru menamatkan siarannya dan filem Sangkar masih ditayangkan di pawagam. Mungkin kerana itu nama saya masih menjadi sebutan.
“Oleh itu, saya berharap peminat dan penonton lebih menghargai bakat seni saya berbanding kontroversi mahupun gosip,” kata Mira yang baharu sahaja menapak dalam layar perak menerusi karya Sangkar.
Sokongan peminat
Menjawab jika ada pihak mempersoalkan kemenangannya dalam ABP32 memandangkan bersaing dengan nama-nama besar lain, Mira menegaskan kemenangan yang diraih adalah atas sokongan peminat.
“Kita semua tahu undian ABP adalah 100 peratus atas talian. Saya hanya duduk diam, sebaliknya peminat yang berusaha keras. Terima kasih diucapkan kepada kumpulan peminat yang tidak putus-putus mengundi.
“Saya berasa masih seorang pelakon baharu biarpun telah enam tahun berada dalam industri. Sebenarnya bakat saya hanya benar-benar diberi perhatian pada tahun kelima. Oleh sebab itu, saya sangat bersyukur apabila drama-drama lakonan saya diterima peminat,” tutur Mira.
Selepas memenangi anugerah Bintang Paling Popular, secara automatik saham Mira dalam industri seni naik mendadak Ditebak, adakah kemungkinan akan bersikap selektif terhadap karya dan meningkatkan harga bayaran selepas ini, jawapan balas Mira cukup spontan: “Tidak ada harga paling popular bagi saya.
“Hal ini kerana, sejak dari awal kemunculan dalam dunia lakonan, saya berpegang pada bakat. Jika kita dikenali dengan bakat perjalanan seni boleh pergi lebih jauh.
“Biarlah bakat saya selari dengan gelaran Bintang Paling Popular. Saya mahu meningkatkan usaha dan kualiti lakonan seiring kepercayaan yang telah diberikan kepada saya.
Pencapaian
Sementara itu, kumpulan nasyid Raihan telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka selama 23 tahun dalam pembangunan industri seni tempatan mahupun luar negara.
Bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular dan Artis Baharu Wanita Popular masing-masing dimenangi oleh pelakon Adam Lee dan Haneesya Hanee, manakala Janna Nick mengungguli kategori Artis Versatil Popular.
“Biarpun memenangi kategori Artis Versatil Popular, tetapi bakat lakonan, nyanyian dan pengacaraan saya masih perlu digilap. Saya masih belum berada pada tahap terbaik dalam bidang seni,” ujar Janna.
Selain itu, pelawak dan pelakon Zizan Razak berjaya mempertahankan trofi Artis Komedi Popular selama tiga tahun berturut-turut, manakala DJ Lin yang terkenal dengan segmen Suria Cinta membawa pulang anugerah Penyampai Radio Popular buat kali kedua.
“Saya telah mengendalikan segmen Suria Cinta selama 13 tahun, jadi kekuatan saya adalah jenama DJ Lin yang begitu kukuh dalam industri radio.
“Pengorbanan yang saya berikan untuk fokus terhadap karier telah terbalas dengan kemenangan ini,” ulas DJ Lin yang merupakan penyampai radio Suria FM.
Tidak ketinggalan, penyanyi Siti Nordiana berjaya memenangi trofi Penyanyi Wanita Popular dan Pengacara TV Popular, manakala pasangan ‘sedang ingin bercinta’ Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini pula diumumkan sebagai pemenang Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.
Dalam pada itu, dua kategori baharu yang diperkenalkan pada ABP32 iaitu Artis Indonesia Popular telah dirangkul oleh aktres Laudya Cynthia Bella, manakala Artis Korea Popular menjadi milik kumpulan BTS.
Menyentuh tentang perjalanan keseluruhan acara, ABP32 boleh disifatkan sebagai cukup menghiburkan.
Biarpun terdapat beberapa isu berbangkit, seperti pakaian kontroversi Stacy dan gurauan kasar Datuk AC Mizal kepada pasangan pengacaranya Elly Mazlein, namun penonton tetap dapat menikmati persembahan hebat daripada barisan penyanyi seperti Aishah, Liza Hanim, Ernie Zakrie dan nyanyian duet Akim bersama Hazama yang berjaya memukau penonton di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad lalu.
Bakat seni dan pengaruh yang dibina pelakon Mira Filzah selama enam tahun, akhirnya terbayar apabila diiktiraf merangkul empat anugerah termasuk Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-32.