Saturday, 1 July 2017

Zoo mini kucing Penang Cat Studio & Spa

Mohd. Azhar (kiri) dan Tengku Alifzaim memberi makan kucing-kucing yang terdapat di spa mereka.
MELIHAT susuk tubuh dua jejaka itu membuatkan ramai tidak percaya bahawa mereka sebenarnya berkongsi minat sama dalam urusan penjagaan kucing.
Tengku Alifzaim Tengku Imran, 28, dan Mohd. Azhar Sharif Hussain, 35, masing-masing bekerjaya sebagai seorang kontraktor merupakan pencinta haiwan itu sejak lebih enam tahun lalu. Hubungan persahabatan yang terjalin itu telah memberi peluang kepada mereka membina sebuah empayar rumah kucing yang dikenali sebagai Penang Cat Studio & Spa pada 15 April lalu.
Premis yang terletak di bangunan Ideal The One, Tingkat Mahsuri, Bayan Baru, Pulau Pinang itu menempatkan 40 ekor kucing pelbagai spesies termasuk yang diimport dari Rusia, Eropah dan Ukrine.
Antaranya ialah mainecoon, bengal marble, scottish fold, bsh blue, golden, cinnamon, British short hair, munchkin, vegdoll, dan Turkish angore.
Hobi
Menurut Azhar, perniagaan tersebut diusahakan kerana masing-masing berkongsi hobi yang sama.
“Semuanya bermula semasa kami duduk bersembang mengenai koleksi kucing-kucing peliharaan. Pada masa itu, saya memelihara tujuh ekor kucing manakala Alif mempunyai enam ekor kucing.
“Idea ini tercetus selepas kami menyatakan hasrat sama untuk membuka perniagaan khas untuk peminat-peminat kucing di negeri ini. Selain memberi peluang kepada mereka bermain dan membelai haiwan peliharaan itu, kami juga turut memasarkannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Azhar, mereka memilih konsep mengenali dan mendekati kucing terlebih dahulu kepada pelanggan sebelum membuat sebarang pembelian.
“Ini perlu kerana pelanggan belum pasti dapat mengenali dengan lebih dekat sifat seekor kucing. Di sini, kami memberi peluang kepada mereka untuk membelai sambil bermain dengannya.
“Dengan cara sebegini, ia dapat membina hubungan antara manusia dan haiwan peliharaan. Kaedah ini dilihat berkesan selain dapat memberi pendedahan kepada pencinta-pencinta kucing mengenai perkara tersebut,” ujarnya.
Menyentuh tentang konsep rekaan premis berkenaan, Tengku Alifzaim memberitahu, pembinaan rumah kucing termasuk reka bentuk dalamannya adalah hasil ciptaan mereka sendiri dengan dibantu seorang kenalan.
Mereka memilih membina rumah kucing di atas siling bersama laluan khasnya bagi tujuan mewujudkan persekitaran yang selesa dan kondusif buat haiwan itu termasuk pelanggan. “Premis ini seperti zoo mini yang menempatkan sebanyak 40 ekor kucing. Pengunjung boleh merasai pengalaman indah apabila menjejaki ke sini. Kucing-kucing ini akan sentiasa mengeliling mereka.
“Pengunjung juga boleh melihat lebih dekat bagaimana kami mendandan dan menenangkan kucing dalam sebuah mesin beraroma terapi yang diimport dari Korea,” katanya pakej spa kucing dua dalam satu ditawarkan pada harga RM70 selama tempoh sejam hingga dua jam.
Selain itu, Penang Cat Studio & Spa turut menawarkan pakej inap kucing pada harga RM10 sehari

No comments:

Post a Comment