Monday, 20 July 2015

Bekas tentera diami rumah usang [KOSMO]

 INILAH rumah usang didiami Ismail bersama isteri dan dua anak perempuannya di Kampung Bagan Ajam, Butterworth.

SEBERANG PERAI – Biarpun pernah mengangkat senjata mempertahankan negara pada suatu ketika dahulu, namun kehidupan seorang bekas tentera, Ismail Abdullah kini seolah-olah terabai apabila menempuh ke­sempitan hidup bersama isteri dan dua anaknya di sebuah rumah usang.
Ismail, 61, yang mengumpul besi buruk sebagai punca rezeki hanya mampu menumpang di bahagian dapur sebuah rumah usang di Kampung Bagan Ajam Butterworth di sini atas ihsan seorang temannya selepas bahagian utamanya hampir roboh dimakan anai-anai.
Lebih memeritkan, apabila Ismail terpaksa mencari wang lebih demi merawat mata salah seorang anaknya yang tercedera akibat terkena objek jatuh pada Mac lalu.
“Saya tidak mampu menyediakan rumah yang selesa kepada mereka kerana kudrat kini tidak memihak kepada saya, bahkan nak berjalan pun perlu bertongkat.
“Saya hanya mampu mengu-tip besi buruk bagi menyara hidup dan kini perlu berusaha keras mencari wang lebih bagi merawat mata anak bongsu,” katanya baru-baru ini.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang diterima selepas kedua-dua belah kakinya lemah dan sukar berjalan.
Ismail berkata, biarpun hidupnya sukar, dia akan tetap bekerja keras untuk mencari duit lebih bagi merawat mata anaknya, Nur Umi Jamilah, 11, di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
“Masalah matanya itu berpunca akibat terkena objek yang terjatuh dari sebatang pokok berhampiran rumah dan ter­kena bahagian tersebut.
“Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam, dia dinasihatkan bagi mendapatkan rawatan khusus di Sungai Buloh pula,” katanya.
Mereka yang berminat menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Ismail di talian 011-2413 7829 atau menyalurkan sumbangan me­lalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad 07016020529675 atas nama Ismail Abdullah.

No comments:

Post a Comment