Monday, 29 July 2013

Kartun tiada batasan(Gen-Y/HMetro)

Oleh Shuhada Mansor
Komik, baju-T , ‘action figure’, patung dan cakera padat antara barangan digilai mereka yang obses terhadap kartun. Hingga ada antaranya tidak pernah jemu mengumpul sekali gus memiliki beratus komik dan barangan yang dikumpul sejak kecil.
Meskipun kartun sinonim dengan kanak-kanak tetapi bagi mereka, usia bukan penghalang untuk terus meminati apa yang disukai sejak kecil. Mengakui ada yang memandang sinis apabila mengetahui diri masih meminati kartun, apa yang penting kepuasan diri menjadi keutamaan.
Sehingga kini, kartun atau animasi masih tetap wujud dan tidak ditelan zaman walaupun dunia semakin moden. Difahamkan, kewujudannya sudah lama iaitu sejak zaman perang dunia pertama lagi. Menurut sumber, antara yang popular dan terawal adalah Mickey Mouse.
Hanya untuk lelaki?
Pada zaman sekarang, pelbagai kartun dan animasi dicipta. Ada berpendapat, agak pelik apabila melihat wanita obses terhadap kartun. Benarkah peminat kartun dan animasi ini hanya sesuai diminati kaum lelaki saja? Pada pandangan penulis, ada logiknya. Kenyataan ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan kartunis terdiri daripada lelaki dewasa contohnya Datuk Lat dan Ujang.

Jika diimbas kembali, sejak kecil lagi, kanak-kanak lelaki lebih suka menonton rancangan kartun berbanding kanak-kanak perempuan. Mungkin jiwa lelaki lebih terarah kepada watak adiwira seperti Dragon Ball Z, Suria Perkasa Hitam, Power Rangers dan sebagainya. Namun seiring itu, terdapat juga kartun lain yang berjaya menarik minat si gadis untuk setia meminati hingga kini seperti Power Puff Girls dan Hello Kitty.


Minat terbahagi dua

Menurut beberapa individu tegar, dikatakan peminat kartun, komik ataupun seangkatannya terbahagi kepada dua. Pertama, setakat suka-suka baca tetapi tidak kumpul dan keduanya, mereka yang obses dan kumpul. Bagi kelompok kedua, mereka tergolong dalam kumpulan yang panggil ‘collectors’. 

‘Collectors’ ini juga wujud dalam hobi lain seperti mengumpul barangan antik, setem, poskad, wangian mahupun kasut. Selalunya, mereka yang obses ini mempunyai beratus barangan berkaitan watak kartun yang digilai. Sebagai contoh Transformers, daripada baju, patung, pen, beg, komik, CD hinggalah kepada cadar, kertas dinding bilik dan kereta, semuanya berkaitan Transformers.

Walaupun begitu, dikatakan bilangan peminat tegar semakin berkurangan. Tak ramai remaja atau belia suka kartun dan dianggarkan antara lima hingga 10 peratus saja jumlahnya kerana majoritinya gila bola sepak dan kereta.

Bagi salah seorang peminat kartun, Izlan Fahmi, 26 berkata, jika ditanya mengenai minatnya kepada komik bukanlah sebab pengaruh kawan. Katanya, dia menyukai seni yang ditonjolkan.

“Tidak seperti novel yang penuh melodrama, komik menggunakan bahasa lebih ringan dan mudah difahami. Lagi menarik apabila ceritanya penuh dengan gambar menjadikan pembacaan kita ada visual untuk lebih mengikuti jalan cerita berkenan. Bagi peminat komik tegar, bukan saja penceritaan dalam komik yang diminati, tetapi kebolehan pelukis menggambarkan emosi sesuatu watak sangat dikagumi,” katanya.


Cambah kreativiti

Kebanyakan remaja sekarang yang menonton filem kartun adalah untuk inspirasi kerja seni. Selepas menonton, mereka dimotivasikan dengan jalan cerita dan visual yang dipaparkan dalam filem. Ia membantu mereka untuk berfikir lebih kreatif sama ada menghasilkan filem kartun lebih baik atau imaginasi idea baru.

Jika ada berpendapat kartun hanya sesuai untuk kanak-kanak ternyata tanggapan itu tidak sesuai. Kartun juga bagus untuk remaja dalam mengembangkan daya imaginasi dan cipta sesuatu yang baru. Tiada batasan umur untuk kita letakkan minat seseorang terhadap hobinya tetapi ia haruslah berpada-pada dan tidak terlalu obses hingga mengganggu perbelanjaan bulanan dan orang lain.

Ditanya kepada peminat tegar ini bilakah mereka akan berhenti meminati kartun? Jawapannya hingga mempunyai anak sendiri kerana dikhuatiri koleksi kesayangan dirampas dan dirosakkan.


Pandangan terhadap lelaki suka kartun

Hobi adalah sesuatu yang tak boleh dihalang. Bagi wanita, ada menganggap lelaki yang meminati kartun tidak matang. Tetapi ada juga menyokong dengan berpendapat, selalunya berperwatakan lucu dan tidak terlalu serius. Comel dan mudah disenangi antara sifat yang jelas kelihatan. Hal ini dapat dibuktikan apabila beberapa selebriti tempatan yang obses kartun antaranya Dr Fazley, Afdlin Shauki dan Faizal Tahir.

Bagi penulis sendiri, tak kisah untuk minat kartun hingga hujung nyawa asalkan tahu beza dan tidak terbawa-bawa fantasi kartun itu dalam kehidupan seharian, sudahlah.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

Saturday, 27 July 2013

Pengunjung panik bazar Ramadan dilanda ribut(Kosmo)



BEGINILAH keadaan khemah peniaga yang rosak selepas bazar Ramadan Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak dilanda ribut semalam

TELUK INTAN - Pengunjung bazar Ramadan di Kampung Bahagia, di sini kelam-kabut semalam apabila kawasan itu dilanda ribut selama tiga minit sehingga mengakibatkan beberapa khemah peniaga rosak.
Kejadian pada pukul 3.45 petang itu turut menerbangkan hampir kesemua kuih-muih dan lauk-pauk yang diletakkan di atas meja gerai beberapa orang peniaga.
Seorang peniaga nasi campur, Mohd. Ali Kassim, 47, berkata, kejadian tersebut berlaku sewaktu operasi peniagaan di bazar Ramadan itu baru bermula.
Dia sebelum itu sudah berasa bimbang melihat cuaca mulai mendung sebelum kelihatan pusaran angin umpama puting beliung melanda kawasan peniaga makanan.
"Mujur saya dan beberapa pelanggan yang berada berhampiran gerai sempat menyelamatkan diri.
"Hampir semua lauk-pauk yang saya bawa bertaburan diterbangkan angin kencang," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Bayi 13 bulan tersepit mesin pengadun kuih(Sinar)

Bayi 13 bulan tersepit mesin pengadun kuih
Anggota bomba membantu mengeluarkan tangan bayi tersebut
Bayi 13 bulan tersepit mesin pengadun kuih
Maznah cuba memujuk anaknya yang menangis kesakitan
MUAR – Seorang bayi berumur 13 bulan terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam apabila tangan kirinya tersepit di mesin pengadun ketika mengikut ibunya bekerja membuat kuih raya di sebuah kilang di Taman Utama Bakri, semalam.

Berikutan kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohd Uqshah Iman Ramli bengkak tangan kiri serta berdarah dan bengkak di bahagian mulutnya.

Ibunya, Maznah Osman, 37, berkata, sebelum kejadian Mohd Uqshah bermain-main berhampiran mesin itu yang diletakkan di atas lantai dan dikendalikan olehnya.

“Melihat perbuatannya, saya beberapa kali melarangnya daripada bermain berdekatan mesin itu.

“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan tangisan serta jeritannya dan mendapati tangan kirinya tersepit di mesin tersebut yang sedang bergerak,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia cuba membantu menyelamatkan anaknya tetapi tidak berjaya. Badan Mohd Uqshah bergerak sama mengikut mesin itu yang sedang berpusing sehingga menyebabkan mulutnya terhantuk sebelum berdarah dan bengkak.

“Seorang pekerja bertindak pantas menutup suis mesin, namun tangan anak yang tersepit antara bekas tepung dan badan mesin berkenaan masih tidak dapat ditarik keluar.

“Tiga anggota bomba yang datang membantu terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuka skru sebelum tangan anak berjaya ditarik keluar,” katanya.

Maznah berkata, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan segera.

Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Norhadidah Harun, 43, berkata, semasa kejadian dia berada dalam tandas di tingkat atas sebelum mendengar bayi berkenaan menjerit.

"Mujur salah seorang pekerjanya bertindak pantas menutup suis mesin dan jika tidak dikhuatiri keadaan lebih buruk boleh berlaku," katanya.

Friday, 26 July 2013

Buaya besar tersadai di tebing sungai(HMetro)

KUALA SELANGOR: Penduduk sekitar Bukit Belimbing dekat sini gempar selepas dua nelayan menemui bangkai buaya besar yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing kira-kira lewat malam kelmarin.
Nelayan, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak menyangka suluhan lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang tertumpu pada objek besar yang disangka kayu yang tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai.
“Kami mula menjarakkan sampan dan meneliti dari jauh. Namun, beberapa minit kemudian kami memberanikan diri untuk melihat lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak. Saya cuba menguis menggunakan pendayung dan dapati buaya itu sudah tidak bergerak.

“Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan fizikal buaya itu yang mungkin cedera di mana-mana yang mengakibatkan kematian, namun hanya didapati gigi dan kuku sudah tiada,” katanya ketika ditemui petang semalam.
Foto
Dua nelayan terkejut menemui bangkai buaya yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang.

Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, berkata, penemuan itu menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya sepanjang tempoh 10 tahun menjadi nelayan sungai di kawasan itu kerana berdepan dengan buaya jenis muara tembaga yang cukup besar.

“Namun ramai rakan lain pernah cakap mereka pernah terserempak dengan buaya jenis itu dengan saiz lebih besar namun reptilia itu tidak pernah mengganggu atau mengganas terhadap nelayan yang mencari makan di sepanjang Sungai Selangor yang kaya dengan udang dan pelbagai jenis ikan.

“Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing di kawasan sungai ini tapi tidak pernah haiwan itu mengganggu nelayan atau kaki pancing yang sering mengunjungi Sungai Selangor untuk memancing udang yang terkenal dengan saiz yang agak besar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor Rahim Ahmad menjelaskan, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dengan penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya terbabit ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk bedah siasat.

“Kita tidak boleh memberi sebarang komen buat masa ini berhubung punca kematian, usia, jenis jantina dan saiz sebenar kerana menunggu keputusan bedah siasat nanti dan penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan di negeri ini,” katanya.

“Sebelum ini kita tidak pernah menerima laporan penemuan buaya dengan saiz yang agak besar bagaimanapun sehingga kini kita juga tidak pernah menerima aduan berhubung keganasan buaya di sepanjang sungai ini yang mengakibatkan kematian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

Opick pernah dilamar wanita



OPICK atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus merupakan nama besar dalam industri muzik Indonesia, terutamanya lagu berkonsep ketuhanan.
Bertemu sendiri dengan penyanyi ini pada pelancaran album kesembilannya yang berjudul Ya Maulana di Restoran Hadramawt, Kuala Lumpur baru-baru ini, orangnya cukup ramah.
Penampilannya juga cukup sederhana. Memadai memakai kain sarung dan berserban putih, tutur katanya juga tersusun rapi, sesekali bercanda dengan pihak media.
Walaupun berstatus penyanyi lagu ketuhanan tetapi diakui, ramai yang menghormati keperibadian Opick lebih daripada itu. Ada yang menganggapnya seperti ustaz dan menawarkannya untuk membuat ceramah tetapi ditolaknya dengan baik.
"Saya bukan ustaz tetapi penyanyi. Jika diminta untuk memberi ceramah motivasi, saya tidak keberatan. Namun, jika ceramah agama saya tidak mahu, lebih ramai orang yang bijaksana dan tinggi ilmu agamanya daripada saya," katanya jujur.
Ditebak mengapa tidak mengambil peluang untuk berceramah sedangkan itu merupakan salah satu cara untuk berdakwah.
Jawabnya: "Kalau saya berceramah, saya sudah seperti ustaz, nanti ramai yang protes atau mempersoalkan kenapa ustaz menyanyi?
"Jadi, saya lebih selesa bergelar seniman. Mudah untuk saya masuk ke mana-mana saluran, hiburan boleh, dakwah pun boleh juga."
Bukan itu sahaja, suami kepada Dian Rosita, 30, dan bapa kepada empat cahaya mata itu juga pernah dilamar oleh beberapa wanita yang sudi menikahinya walaupun sedar statusnya sebagai suami orang.
"Godaan itu banyak termasuk ada yang mengajak saya bernikah. Perkara ini memang berlaku tetapi wanita-wanita yang mengajak saya bernikah sekarang hanya mengenali diri saya yang sudah popular dan berimej sopan dengan serban.
"Kalau mereka bertemu ketika saya masih berambut panjang, menyanyi lagu rock, bekerja hanya sebagai pembersih studio muzik dan tidak mempunyai wang rasanya mereka mahu atau tidak mengajak saya kahwin?
"Pastinya tidak, satu-satunya wanita yang mahu menikahi saya ketika itu hanyalah isteri saya sahaja. Dia sahaja yang mahu saya walaupun saya tidak popular dan mempunyai wang," ceritanya panjang lebar.

OPICK cukup bersyukur kerana kehadirannya diterima baik oleh semua peminat.


Godaan Opick
Selain diajak kahwin, Opick juga banyak menerima godaan apabila ramai wanita yang cuba meluahkan perasaan dan masalah kepadanya.
Bagaimanapun, Opick mempunyai cara yang terbaik untuk menghalang hubungan melebihi batas antara peminat wanitanya dengan dirinya.
"Ada yang datang cuba meluahkan perasaan dan masalah masing-masing. Senang sahaja, saya katakan pada mereka, jangan curahkan masalah hati pada saya tetapi curahkan pada Allah sahaja.
"Saya cuba menjaga batas hubungan antara peminat. Bukan apa, saya takut mungkin pada mulanya saya hanya mendengar masalah tetapi lama-lama mungkin orang itu suka pada saya dan saya juga suka pada dia. Itu sudah masalah besar, saya tidak mahu jadi begitu," katanya.
Bercakap tentang poligami, kata Opick jodoh yang ditentukan oleh Allah tidak dapat diramal tetapi sehingga ke hari ini dia hanya setia pada isterinya seorang.
Bahkan, pada majlis pelancaran album itu, Opick turut membawa isterinya sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
"Kebetulan tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada tanggal 15 Julai, jadi saya ajak sekali isteri untuk berkunjung ke Kuala Lumpur.
"Kami hanya berada di Kuala Lumpur sehari sahaja, selepas pulang ke Indonesia, jadual saya cukup padat dengan aktiviti promosi album di beberapa kota," balasnya.
Kehidupan berubah
Bercerita lanjut mengenai masa silamnya, Opick menjelaskan, sebelum ini dia terpesong cukup jauh. Dia bergaul dengan orang yang mengamalkan seks bebas, mengambil dadah dan mengusung muzik rock yang liriknya berkisar tentang protes terhadap kerajaan.
Namun, selepas memperoleh hidayah dan diajak oleh seorang rakan bernama Agus Idwar untuk menyanyi lagu ketuhanan, kehidupannya berubah sama sekali.
"Ketika saya menyanyi lagu rock dan berbangga dengan imej rambut panjang, saya tidak mempunyai wang, bahkan album rock saya tidak laku (ketawa).
"Sejak muncul dengan lagu Ubat Hati yang merupakan lagu ketuhanan saya yang pertama, kehidupan saya berubah dan taraf ekonomi juga makin meningkat selepas itu," ujarnya.

OPICK bersama isterinya, Dian Rosita yang telah dinikahinya selama 11 tahun.


Terangnya, selain berdakwah, menyanyi lagu ketuhanan juga merupakan caranya menasihati dirinya sendiri supaya sentiasa ingat kepada Allah.
"Saya menyanyi untuk hiburkan orang serta berdakwah tetapi pada masa yang sama itu cara untuk saya mengingatkan diri sendiri juga," balasnya.
Menariknya sejak memilih lagu ketuhanan, inspirasi luar biasa datang kepadanya tanpa disedari. Kadangkala bapanya juga mempersoalkan lagu-lagu ciptaannya.
"Saya tidak tahu membaca nota muzik dan bermain piano tetapi bila mencipta lagu saya hanya tekan sahaja piano dan rakam bunyi yang terhasil.
"Kemudian, saya akan panggil pemuzik untuk mendengar bunyi itu dan menulis nota muziknya. Bapa saya sering kata, rasanya bukan saya yang mencipta lagu itu sebaliknya atas bantuan orang lain.
"Saya percaya Allah yang memberi inspirasi kepada saya," tuturnya.

Sunday, 21 July 2013

Lagi kes ibu tinggal anak dalam kereta(Berita harian)

Lagi kes ibu tinggal anak dalam keretaBimbang kejadian budak lemas dalam kereta berulang, orang ramai menggoyangkan sebuah kereta apabila mendapati seorang kanak-kanak tertidur di dalamnya dengan pintunya berkunci di depan pasar raya di Telipok, semalam.
Kota Kinabalu: Tidak sampai sehari selepas seorang kanak-kanak lemas dalam kereta ibunya di Subang Jaya, Selangor, seorang lagi budak hampir menerima nasib sama di sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian terbaru itu, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang sedang tidur ditinggalkan ibunya dalam kenderaan yang dikunci dari dalam serta enjinnya hidup sebelum keluar membeli-belah. 
Bagaimanapun, kali ini, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan orang ramai selepas melihatnya tidur seorang diri dalam kereta berkunci. 


Goyang kereta baru terjaga 

Menurut saksi, orang ramai berjaya mengejutkan kanak-kanak itu dengan menggoyangkan kereta itu beberapa kali sebelum budak perempuan terbabit terjaga setengah jam kemudian dan membuka pintunya. 

Dalam kejadian jam 8.30 malam di Taman Putra Jaya dekat Telipok di sini, wanita lingkungan usia 20-an itu mengaku meninggalkan anaknya berseorangan dalam kenderaan kerana keluar membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya berhampiran. 

Wanita itu memberitahu orang ramai, dia meninggalkan anaknya dalam kereta kerana tidak sihat. 
Khamis lalu, Nawal Iris Samsudin, tiga tahun, ditemui lemas dalam kereta yang ditinggalkan ibunya di pekarangan sekolahnya di USJ4, Subang Jaya. 

Ibu kanak-kanak itu, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dikatakan terlupa anaknya berada dalam kereta ketika tergesa-gesa menghadiri mesyuarat di sekolahnya jam 11 pagi. 

Mayat Nawal ditemui dalam keadaan kebiruan dalam kereta itu jam 5.30 petang ketika ibunya bersiap untuk pulang selepas sesi sekolah. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, menasihatkan ibu bapa supaya tidak mengulangi perkara sama kerana ia bukan saja membahayakan kanak-kanak, malah boleh mengakibatkan kejadian tidak diingini termasuk ancaman jenayah.

Friday, 19 July 2013

Proton Persona pilih deejay(Kosmo)

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA saphilla.isa@kosmo.com

DEEJAY Lin (kiri) tidak memiliki lesen memandu sehingga dia terpilih menjadi duta Persona sempena kempen Proton Persona-Sememangnya Lebih Sempurna.
WALAUPUN takut untuk memandu kereta dan belum memiliki lesen memandu, Roslinda Abdul Majid, 36, atau dikenali dengan panggilan Deejay Lin menyahut cabaran untuk mengambil lesen memandu. Dia kini telah mempunyai lesen L.
Semuanya disebabkan penyampai radio Suria FM itu telah dipilih menjadi duta kereta Proton Persona oleh syarikat Proton Edar Sdn. Bhd.
“Sebelum ini, saya tiada lesen memandu kereta malah tidak pernah memandu kenderaan empat roda itu kerana takut.
“Untuk pergi ke stesen radio tempat saya bekerja, saya akan menunggang motosikal atau menyuruh kawan-kawan hantar.
“Tetapi selepas terpilih menjadi duta kereta Proton Persona, saya sahut cabaran untuk memperoleh lesen memandu kereta,” katanya yang terpilih bersama dua lagi deejay radio iaitu Aanantha dan Jack Lim sebagai duta Proton Persona untuk kempen Proton Persona - Sememangnya Lebih Sempurna.
Ketiga-tiga duta itu akan berperanan sebagai mentor dan berkongsi pengalaman hidup melalui kempen masing-masing.
Sebagai ibu tunggal, Lin akan mengunjungi kediaman ibu-ibu tunggal dan berkongsi pengalaman menjadi ibu tunggal selama lima tahun.


LIN bergambar dengan Pengurus Besar Pemasaran Proton Edar, Abdul Sidik Abdul Hamid (kiri) serta duta kereta Proton Persona, (dari kanan) Jack Lim dan Aanantha.

Berbeza pula dengan Jack Lim yang merupakan deejay bagi stesen My FM.
Lim akan melakukan cabaran memandu selama 15 jam dari Perlis ke Johor dan mengajak beberapa individu untuk turut sama menyahut cabaran itu.
Menurut Pengurus Besar, Bahagian Pemasaran Proton Edar, Sidik Abdul Hamid, kempen Proton Persona - Sememangnya Lebih Sempurna membolehkan syarikat pengedar kereta itu berkongsi pengalaman dengan rakyat Malaysia khususnya dalam memilih kereta yang sesuai dengan keperluan mereka.
------------------------------------------dipetik dr arkib Kosmo : 02/05/2011

Pengganti Kia Forte



JIKA diamati keseluruhan kategori kenderaan penumpang yang ada dalam industri automotif Malaysia pada tahun ini, satu-satunya yang diunjurkan terus berkembang adalah segmen C.
Segmen C ialah kenderaan keluarga saiz sederhana. Boleh dikatakan setiap pengeluar kenderaan dari Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Eropah ada meletakkan produk masing-masing dalam kelas itu.
Antara contoh model dimaksudkan ialah Toyota Corolla Altis, Nissan Sylphy, Mazda3, Mitsubishi Lancer, Honda Civic, Chevrolet Cruze, Ford Focus, Peugeot 408, Volkswagen Jetta, Hyundai Elantra, Kia Forte dan Proton Inspira.
Berdasarkan senarai tersebut dan kelibat semasa kenderaan itu di atas jalan raya, tafsiran yang dapat diberikan adalah inilah kelas kenderaan paling popular di Malaysia.
Dari perspektif pengeluar pula, segmen C adalah medan persaingan yang cukup sengit dan mendapat perhatian daripada konsumer.
Senario segmen C mula berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kehadiran dua jenama Korea iaitu Kia dan Hyundai.
Kia Motors Company sebenarnya adalah syarikat subsidiari Hyundai Motor Company di Korea Selatan. Cuma di Malaysia, pengedar rasminya terdiri daripada dua konglomerat berbeza.
Hyundai berada di bawah payung Sime Darby Bhd. Kia pula diedarkan oleh Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Kia Malaysia). Kia Malaysia ialah anak syarikat Kumpulan Naza.
Kelebihan produk Korea berkait rapat dengan pelbagai ciri dan fungsi melebihi produk pesaing lain. Tidak lupa juga konsep rekaan dan keselesaan yang cukup segar dan relevan mengikut peredaran masa.
Bagi mengukuhkan kedudukan dalam segmen C Malaysia, Kia Malaysia baru-baru ini tampil dengan model pengganti Forte.
Biarpun ia kini dikenali sebagai Kia Cerato, model itu juga masih dikenali sebagai Forte atau K3 di beberapa pasaran lain.
Generasi ketiga kereta sedan sederhana itu telah membuat penampilan sewaktu Pameran Motor Los Angeles pada tahun lalu.

SUSUN atur butang pada stereng dan papan pemuka Cerato ternyata cukup kemas.


Ketua Pegawai Operasi Kia Malaysia, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar memberitahu, Cerato kini menduduki tangga kedua dari segi jualan terbaik model Kia di pasaran global selepas model kompak Kia Rio.
Untuk pelanggan tempatan, dua varian Cerato dibawa masuk iaitu 1.6 liter dan 2.0 liter. Tumpuan pembelinya ialah mereka yang berada dalam lingkungan usia 26 hingga 40 tahun.
Prospek jualan bagi kedua-dua varian itu kelihatan positif jika dianalisis sasaran pelanggannya. Peringkat umur itu terdiri daripada golongan yang sudah ada karier sendiri dan berkeluarga kecil.
Merujuk laman web Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi penduduk yang berusia 25 hingga 44 tahun merangkumi hampir sembilan juta orang bagi tahun 2011. Sudah pasti inilah lubuk emas bagi pengeluar kenderaan.
Cerato sudah menetapkan penanda aras baharu dalam segmen C dengan pengenalan beberapa ciri baharu.
Tiga mode stereng
Inovasi pertama ialah stereng kuasa pacuan motor (MDPS) dengan sistem Flex Steer.
Sistem itu akan mengubah kawalan stereng dengan hanya menekan butang. Anda dibekalkan dengan tiga mode iaitu Comfort (ringan), Normal (sederhana) dan Sport (berat).
Butang penukaran mode berada di bahagian kanan stereng. Saya mendapati mode Comfort memudahkan usaha untuk memarkir kenderaan dan pemanduan di bandar.
Normal sesuai bagi pemanduan harian di bandar atau pemanduan biasa. Mode Sport pula sesuai ketika memandu laju di lebuh raya.
Bagi varian 2.0 liter, kerusi pemandu dibekalkan dengan sistem pengudaraan tempat duduk. Udara sejuk akan disalurkan pada bahagian belakang badan dan punggung anda. Terasa seperti duduk di atas tuala basah.
Kedua-dua varian Cerato turut memiliki ciri Smart Welcome Light. Jika anda menghampiri kenderaan dengan kunci pintar, pocket light dan puddle light akan menyala secara automatik.
Pocket light berada di belakang hendal pintu. Sementara puddle light ditempatkan di bahagian bawah perumah cermin pandang sisi yang akan menyala di kawasan lantai sekitar pintu kenderaan.
Untuk keselesaan penumpang belakang, kedua-dua varian didatangkan dengan bolong udara pendingin hawa. Reka bentuk kerusi bahagian belakang yang tidak terlalu menegak memberi keselesaan bagi pemanduan jarak jauh.

LAMPU utama model Cerato diadun bersama lampu DRL LED.


Keseluruhan ruang kabin didominasi dengan tona hitam. Salutan material kulit lembut pada bahagian dalaman menimbulkan rasa eksklusif.
Reka bentuk Kia Cerato secara keseluruhan kelihatan lebih moden. Ia tidak seperti model sebelumnya yang mengetengahkan penampilan maskulin.
Imej bahagian hadapan diperkukuhkan menerusi gril Tiger Nose dan set lampu utama berserta DRL LED. Jenis lampu digunakan adalah berbeza mengikut varian iaitu halogen untuk 1.6 liter dan HID dengan penyelarasan automatik bagi 2.0 liter.
Bahagian belakang nampak kemas dengan set lampu LED besar dan garisan badan but yang lebih sporty.
Untuk varian 2.0 liter, beberapa penambahan aksesori diberikan seperti bumbung suria, spoiler belakang, material kulit pada kerusi dan panel instrumen jenis Supervision Cluster.
Kia Cerato juga sarat dengan ciri-ciri keselamatan termasuklah ESC, Bantuan Kawalan Brek (BAS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), enam beg udara, sensor pengesan pelanggaran hadapan dan sisi, ISOFIX dan banyak lagi.
Didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu putih, kelabu, perak, merah dan emas, Cerato boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Kia Malaysia di seluruh negara.
Harga atas jalan termasuk insurans bagi varian 1.6 liter ialah RM99,888 seunit. Varian 2.0 liter dijual pada harga RM118,888 sebuah. Jaminan diberikan adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Tauke kosmetik cedera ditembak(Kosmo)


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah seorang tauke barangan kosmetik yang dimasuki penyamun di Taman Kinrara, Puchong semalam.


PUCHONG - Tidak sampai seminggu kejadian dua beranak cedera ditembak tiga penyamun bergelar Geng Hilux yang memecah masuk rumah mereka di Kampar, Perak Ahad lalu, seorang tauke barangan kosmetik di sini pula menerima nasib yang sama.
Kali ini kejadian itu melibatkan tauke kosmetik, Beh Chee Kong, 38, yang ditembak di lengan kanannya ketika terserempak dengan dua penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Kinrara di sini semalam.
Kejadian pukul 5.30 pagi itu berlaku sewaktu penjenayah tersebut masuk melalui pintu depan selepas membuka kunci pagar jeriji besi. Pintu gelangsar pula tidak dikunci.
Mangsa dan keluarganya difahamkan pulang lewat kerana meraikan sambutan hari lahir anak lelaki mereka sehingga terlupa mengunci pintu gelangsar.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, mangsa dan isterinya terkejut daripada tidur apabila terdengar suara abang iparnya dari luar bilik yang menjerit ada perompak di dalam rumah.

Mati kena sembilan das tembakan(Kosmo)

Oleh AHMAD SYAKIR SAZIL Isyakir.sazili@kosmo.com.my

SEORANG lelaki ditemui mati dengan sembilan kesan tembakan di kepala dan badan di Bagan Serai semalam.


BAGAN SERAI - Bahana terlibat dengan kumpulan gengster dan dadah, seorang lelaki menemui ajal yang dahsyat apabila ditembak sebanyak sembilan kali di kepala dan badannya dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Gula menghala ke Semanggol di sini semalam.
Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an yang belum diketahui identitinya itu ditemui terbaring di dalam sebuah kereta jenis Proton Waja pada pukul 2.30 pagi.
Difahamkan, pemeriksaan di tempat kejadian menemui tiga kelongsong peluru bersaiz 9 milimeter jenis Luger.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, semakan mendapati kereta tersebut dilaporkan hilang di Puchong, Selangor baru-baru ini.
"Ketika ditemui, mayat mangsa tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu berada dalam keadaan bersandar pada tempat duduk belakang dengan beberapa kesan tembakan di kepala," katanya.

Lemas ditinggal dalam Myvi ibu(Kosmo)

NAWAL IRIS menemui ajal selepas lemas dalam kereta ibunya di Subang Jaya kelmarin.

SUBANG JAYA - Luluh hati seorang ibu apabila mendapati anak bongsu kesayangannya ditemui mati dalam keadaan muka kebiru-biruan dan bajunya dibasahi peluh selepas lemas akibat ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di bawah panas terik.
Kejadian menyayat hati di sebuah sekolah menengah di USJ4 di sini itu menyebabkan anak bongsu daripada dua beradik, Nawal Iris Samsudin, 3, mati di tempat kejadian akibat lemas selepas ditinggalkan selama enam jam bermula pukul 11.30 pagi kelmarin.
Mayat kanak-kanak tersebut ditemui oleh ibunya, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, selepas selesai mengajar sesi petang di sekolah tersebut pada pukul 5.30 petang. Wanita itu merupakan guru di sekolah berkenaan.
Menurut kakitangan sekolah yang enggan dikenali, guru wanita yang baru selesai mengajar pada sesi petang itu terus meraung apabila menemui anaknya yang sudah kebiru-biruan, tidak lagi bergerak dan pakaiannya dibasahi peluh sebaik membuka pintu kereta Myvi yang berwarna kuning.
"Sebelum itu tiada siapa tahu yang anaknya berada di tempat duduk belakang kereta. Guru wanita itu meraung kuat hingga mengejutkan kami dan apabila dilihat, kami dapati anaknya sudah kaku dalam keadaan basah kuyup dipercayai berpeluh akibat cuaca yang panas terik," ceritanya.

Maut ditinggal lebih 5 jam dalam kereta(Sinar Harian)

PETALING JAYA - Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun mati akibat lemas setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih lima jam dalam kereta di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya, di sini semalam.
   
Nawal Iris Samsudin, yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui oleh ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.
   
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta dengan kesemua tingkap ditutup dan enjin dimatikan sejak pukul 11 pagi sebelum ibunya kembali ke kereta itu pada pukul 5.30 petang.
   
Ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang guru terlupa mengenai anak bongsunya yang sepatutnya dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak sebelum dia ke sekolah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata sebelum ke sekolah, wanita itu menghantar adiknya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

"Setelah habis tugasan si ibu pergi ke kereta pada 5.30 petang dan terkejut melihat muka Nawal Iris kebiruan, bibirnya pucat serta ada kesan muntah dan najis kanak-kanak itu di dalam kereta berkenaan," katanya.
    
Yahaya berkata menyedari keadaan anaknya yang tidak bergerak, wanita berkenaan segera membawa anaknya ke klinik swasta berdekatan di USJ4, Subang Jaya, di sini dan doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
   
Beliau berkata laporan bedah siasat oleh Hospital Serdang yang diperoleh tengah hari ini mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia kerana 'heat stroke'.
   
Sementara itu, tinjauan Bernama di Hospital Serdang mendapati suasana pilu menyelubungi bilik mayat apabila lebih 30 ahli keluarga kanak-kanak itu hadir menunggu proses bedah siasat selesai.
   
Ibu kanak-kanak itu yang menangis teresak-esak serta ahli keluarganya enggan ditemu bual wartawan.
    
Polis mengesahkan jenazah kanak-kanak itu dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, di sini, hari ini.  - Bernama
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  • Shah Sepet ·  ·  Top Commenter · Pengguna Tegar FB at Suka Suki Solutions Sdn Bhd
    Innallilahiwainnallilahirojiun....Ajal maut semua di tangan Allah....si ibu benar2 terlupa...semua dah tertulis sebagai takdir......Takziah untuk keluarga mangsa....semoga kanak2 berjumpa ibunya di Jannah.....

    Nota : Teringat time anak buah berumur 3 tahun tertinggal dalam kereta ketika makan di restoren, Alhamdullilah, tiada benda buruk berlaku coz anak sedara tuu dok menekan hon berkali-kali seleaps dia bangun tidur. Wallahua'lam....

Guru mati ditembak(Sinar Harian)

Guru mati ditembak
Mayat mangsa dalam keadaan tersembam di tempat duduk penumpang kereta dipandunya.
KULIM - Seorang guru lelaki berusia 45 tahun maut ditembak ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat simpang empat Keladi yang menjadi laluannya untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Brapit, Bukit Mertajam Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam. Mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Wish dan tinggal di Taman Bidara keluar rumah seperti biasa untuk ke sekolah.

“Apabila sampai di lampu isyarat simpang empat Keladi, mangsa menghentikan kenderaan dipandunya sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali dari arah belakang kereta dengan menunggang motosikal. Sebaik sahaja berada di sebelah mangsa, seorang daripada lelaki itu melepaskan tembakan dipercayai menggunakan pistol dan mengenai mangsa. Guru yang tidak dapat melarikan diri ditemui maut dalam keadaan terperosok di kerusi penumpang.

"Sehingga kini polis sedang mencari motif pembunuhan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sebanyak 11 kelongsong peluru ditemui bertaburan di tempat kejadian dan beliau mempercayai suspek menggunakan senjata jenis pistol dan bukan revolver.

Menurutnya, ini merupakan kejadian kedua selepas seorang pengusaha premis menjual besi lusuh di ditembak di lampu isyarat Taman Kuchai, di sini kira-kira jam 8.30 malam Mei lalu.

Menurut Ghuzlan, cara pembunuhan seperti ini lazimnya digunakan oleh penembak upahan kerana apabila mangsa berada di dalam kereta dan menghampiri lampu isyarat, tembakan yang dilepaskan pasti mengena sasaran kerana ketika itu kenderaan mangsa tidak bergerak.

Sunday, 14 July 2013

Tidak sedar lawan menteri(Sinar Harian)

Tidak sedar lawan menteri
Tengku Adnan memberi peringatan kepada lelaki memandu kereta Proton Waja itu supaya bersikap lebih beradab.
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berlagak samseng cuba melawan setelah tindakannya menepuk kepala seorang pengawal keselamatan, di Jalan Masjid dihalang Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang secara kebetulan melalui kawasan itu sempena lawatan ke bazar Ramadan, di sini, semalam.

Terdahulu, pemandu Proton Waja terbabit menuju ke laluan keluar parkir sebuah premis di situ, namun di halang pengawal keselamatan berkenaan kerana bertentangan arah.

Sinar Harian difahamkan, lelaki berkenaan tiba-tiba berang dan bertindak keluar kereta sebelum menepuk kepala pengawal keselamatan itu.

Tengku Adnan yang melihat keadaan itu segera menghampiri dan bertindak memegang lengan lelaki terbabit bagi menghalang tindakan lebih agresif dilakukan kepada pengawal keselamatan yang agak berusia itu.

Berikutan itu, lelaki terbabit cuba melawan dengan meninggikan suara, namun ditenangkan seorang wanita dalam kereta sama kemungkinan menyedari ‘lawan’ lelaki itu seorang menteri.

Keadaan kembali tenang apabila lelaki itu dilihat akur dan pada masa sama, Tengku Adnan menasihatkannya supaya lebih beradab.

Dalam lawatan sama, seorang peniaga wanita, menyuarakan rasa tidak puas hati apabila petak perniagaan yang diperoleh hasil undian diubah ke lokasi tersorok dan memohon perhatian Tengku Adnan memindahkannya bersama tujuh peniaga lain ke lokasi lebih strategik.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, perkara berkenaan akan diberi perhatian dan akan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneliti permintaan untuk memindahkan lapan tapak berkenaan ke lokasi berhampiran Semua House.

Menurutnya, rungutan mengenai tindakan peniaga premis memonopoli ruang kaki lima dan permintaan untuk mengekalkan keluasan tapak juga diberikan perhatian.

“Hari ini saya turun meninjau keadaan di sini, dan beberapa bazar Ramadan lain untuk mengetahui sekiranya ada sebarang masalah dihadapi peniaga.

“Saya bersama DBKL akan bincangkan dengan pihak berkenaan pada Isnin depan dalam usaha menyelesaikannya masalah yang disuarakan” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan bersama pegawainya, di sekitar Bazar Ramadan Masjid India dan Pasar Malam Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR).

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut berpuas hati melihat aktiviti perniagaan yang keseluruhannya dijalankan warga tempatan.

“Saya harap keadaan ini dapat dikekalkan dan tiada peniaga yang bertindak menjual tapak atau memberikan kepada warga asing,” katanya.

Friday, 12 July 2013

Indonesia mahu dakwa syarikat Malaysia(Kosmo)


GAMBAR pada 29 Jun 2013 menunjukkan hutan yang dibakar di kawasan perlindungan tanah gambut di Pelalawan, Sumatera, Indonesia.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------

AKARTA - Indonesia akan mendakwa anak syarikat ladang kelapa sawit ketiga terbesar di Malaysia berhubung kebakaran haram yang menyebabkan Singapura dan Malaysia dilitupi jerebu pada bulan lalu, kata polis semalam.
Syarikat tempatan tersebut, PT Adei Plantations merupakan anak syarikat KL Kepong Bhd.
Polis mendakwa firma tersebut menyebabkan jerebu terburuk dalam tempoh 16 tahun melanda Asia Tenggara.
"Mereka akan didakwa kerana menyebabkan kemusnahan alam sekitar," kata jurucakap polis nasional, Ronny Franky Sompie.
Pihak berkuasa masih menyiasat empat syarikat lain kerana turut disyaki terlibat dalam aktiviti pembakaran haram tetapi nama-nama syarikat itu tidak didedahkan.
Pada bulan lalu, Kementerian Alam Sekitar menamakan lapan syarikat Asia Tenggara sebagai suspek.
Dalam pada itu, KL Kepong menafikan pihaknya melakukan sebarang kesalahan.
Menurut firma itu, pihaknya melaksanakan polisi pembakaran sifar, manakala kebakaran yang dikesan pula berlaku di luar kawasan konsesi mereka.
Seseorang individu yang didapati bersalah melakukan pembakaran hutan berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda 10 bilion rupiah (RM3.1 juta).
Pihak berkuasa juga boleh merampas keuntungan dan menutup operasi syarikat yang didapati bersalah.
Polis berkata, lebih 12 orang telah ditangkap kerana melakukan pembakaran terbuka setakat ini.
Namun, tidak jelas sama ada mereka merupakan pekerja mana-mana lapan syarikat terbabit atau petani tempatan.
Sebahagian petani gemar menggunakan kaedah pembakaran hutan untuk membersihkan tanah kerana kosnya yang murah. - Reuters

Budak ditinggal bapa ditemui merayau di tasik(Kosmo)


SEORANG budak berusia tiga tahun telah dituntut oleh bapanya (kiri) selepas ditemui merayau seorang diri di Puchong semalam.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SERDANG - Tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki meninggalkan anak perempuannya yang berusia tiga tahun seorang diri di rumah nyaris mengundang padah apabila kanak-kanak itu diselamatkan selepas ditemui merayau-rayau semalam.
Mangsa yang lengkap berpakaian ditemui bermain seorang diri pada pukul 3 pagi berhampiran sebuah tasik di Taman Wawasan, Puchong, kira-kira satu kilometer dari rumah keluarganya.
Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, mangsa diselamatkan seorang lelaki yang juga ahli persatuan itu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan sama.
"Pada mulanya, dia menyangka kelibat itu adalah hantu namun sebaik diamati rupa-rupanya seorang budak perempuan.
"Lelaki itu cuba mendapatkan maklumat keluarga budak itu namun gagal kerana dia tidak memahami Bahasa Melayu," katanya ketika dihubungi di sini.
Lelaki itu kemudian menyerahkan mangsa kepada polis.

Siasat pasangan blogger melampau(Sinar Harian)

Siasat pasangan blogger melampau
Foto di Facebook pasangan ini yang mencetuskan kontoversi.
Siasat pasangan blogger melampau
Chai Thiam (tiga, kanan) dan pemimpin MCA negeri menunjukkan laporan polis dibuat terhadap pasangan terbabit.
SEREMBAN - MCA negeri membuat laporan polis, semalam berikutan tindakan pasangan blogger, Alvin Tan dan Vivian Lee yang telah mencetuskan kontroversi menerusi foto dipaparkan dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr Yeow Chai Thiam berkata, pihaknya amat kecewa dengan kelakuan pasa-ngan tersebut dan menyifatkan perbuatan mereka sebagai tidak rasional. 

“Bagi kita, ini bukanlah satu perkara lucu yang boleh dibuat main-main. Mereka tidak sepatutnya menghina umat Islam yang sedang menjalani ibadah berpuasa.

“Perbuatan mereka telah menimbulkan kemarahan ramai pihak, termasuk di kalangan kaum Cina sendiri. Sekiranya dibiarkan, kita khuatir akan menjejaskan perpaduan antara kaum dan menimbulkan masalah lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini, semalam.

Kata Chai Thiam, beliau berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pasangan terbabit supaya menjadi contoh, sekaligus amaran kepada orang lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Terdahulu, pasangan blogger berkenaan yang turut mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila memaparkan aksi seks mereka dalam laman blog, telah mengepos satu foto memaparkan mereka sedang menikmati juadah tidak halal sambil mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam. 

Turut tertera, logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada sudut bawah kiri gambar berkenaan.

Saturday, 6 July 2013

Kereta meletup selepas cuci(Sinar Harian)

Kereta meletup selepas cuci
Mohd Nassif menunjukkan kereta yang terbakar selepas dicuci.
SUNGAI PETANI – Sebuah kenderaan yang diparkir di halaman rumah pemiliknya meletup sebelum terbakar di bahagian enjin dalam kejadian di Bandar Laguna Merbok kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Mangsa, Mohd Nassif Mohd Nasir, 20, berkata, dia baru selesai mencuci kenderaan terbabit sebelum membersihkan sebuah lagi kenderaan di halaman rumah.

“Selepas selesai cuci kedua-duanya, saya masuk ke dalam rumah nak membancuh air, namun dalam sekelip mata sahaja terdengar letupan kuat dari luar rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Nassif berkata, kejadian berlaku kira-kira dua jam selepas dia membersihkan kereta terbabit.

Katanya, sebelum kejadian, dia ada terhidu bau hangit dari kenderaan sama tetapi selepas pemeriksaan mendapati tiada apa-apa yang terbakar.

"Namun saya tidak menyangka, kenderaan yang digunakan ibu sejak 2006 itu meletup kuat sehingga merosakkan keseluruhan bahagian hadapan kenderaan terbabit," katanya.

Menurutnya, dia cuba memadamkan api terbabit tetapi tidak mampu apabila ia merebak dengan cepat.

“Saya turut dibantu pengawal keselamatan yang membawa alat pemadam lebih besar.

“Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke sini setelah panggilan dibuat,” katanya.

Mohd Nassif berkata, kejadian sama pernah dilalui jiran dekat perumahan terbabit tetapi tidak menyangka kenderaan ibunya sendiri turut berlaku perkara sama.

“Sebelum ini kami ada dengar dua kereta jiran terbakar dalam kejadian berasingan, tetapi tak sangka ia berlaku sendiri di depan mata,” katanya.

Menurutnya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.