|
RIO DE JANEIRO - Luiz Felipe Scolari menegaskan masih banyak yang perlu diperbaiki Brazil biarpun berjaya mendakap trofi Piala Konfederasi buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan Sepanyol 3-0, semalam.
Dalam aksi di Stadium Maracana itu, gol-gol kemenangan skuad samba dicetak oleh Fred (dua gol) dan juga Neymar.
Ketika aksi Piala Dunia hanya tinggal 12 bulan sahaja lagi, Scolari yang memainkan watak penting ketika Brazil kali terakhir mendakap trofi Piala Dunia pada 2002 tidak mahu skuad kendaliannya berasa selesa dengan prestasi semasa mereka ketika ini.
"Pasukan kami masih belum lengkap sepenuhnya.
"Biarpun memiliki pemain yang hebat di segenap posisi, kami masih perlu meningkatkan keupayaan kami.
"Bagi saya, kami berada pada landasan yang betul untuk memberikan cabaran pada Piala Dunia 2014 nanti," kata Scolari.
Pada masa sama, Scolari pantas menghadiahkan kemenangan itu kepada penyokong fanatik Brazil.
"Sudah tentu ia sesuatu yang mengujakan apabila mendengar jeritan penyokong 'pasukan juara sudah kembali'.
"Saya percaya kami lebih dihormati mana-mana pasukan sekarang.
"Namun, kami tidak harus berasa selesa, sebaliknya meningkatkan keupayaan kami supaya menjadi satu pasukan yang lebih baik berbanding sekarang.
"Yang paling penting, setiap pemain bersatu sebagai satu pasukan dan semangat itu wajar dikekalkan sehingga sepak mula Piala Dunia," kata Scolari. - AFP
No comments:
Post a Comment