REMBAU MOST WANTED barangkali sebuah lagu yang dihasilkan secara suka-suka oleh seorang jejaka dengan pengenalan nama Waris.
Bagaimanapun, ia meledak seperti 'bom' apabila lagu tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan. Loghat Negeri Sembilan yang digunakan Waris telah membuat dirinya 'terpilih' untuk masuk sebagai pendatang baharu dunia seni suara tanpa perlu bersusah payah.
Muzzammil Alias, begitu nama asal penyanyi yang baru berusia 24 tahun ini. Kini, selepas hampir setahun bergelumang dalam dunia seni, dia semakin hampir dapat menggapai impiannya.
Salah satu impian yang sekian lama dipendam ialah untuk berduet dengan penyanyi terkenal, Datuk Hattan. Dan, akhirnya, impian itu termakbul.
Menerusi lagu Ke Jelobak Ke Jolobu ciptaan Waris sendiri, Hattan bersetuju menyanyikan lagu itu bersamanya malah, pelantun lagu Biso Bonar itu cukup percaya dengan kreativiti penyanyi itu.
"Saya mengenali dia (Waris), malah saya juga diberitahu Waris meminati saya dan ingin berkolaborasi. Saya setuju dan percaya 300 peratus dengan kreativiti Waris," tutur Hattan ketika ditanya mengenai Waris.
Lagu Ke Jelobak Ke Jolobu tersebut sekali gus menjadi single ketiga Waris selepas lagu 'berhantu', Rembau Most Wanted dan Botingkek (nyanyi bersama penyanyi rap Juzzthin).
Mengulas mengenai single ketiganya itu, ungkap Waris, jika lagu Botingkek mengisahkan tentang padah apabila berbelanja tanpa berpada-pada, lagu Ke Jelobak Ke Jolobu pula menceritakan mengenai nama tempat.
"Sudah lama sebenarnya saya meminati Datuk Hattan dan teringin untuk berkolaborasi dengannya.
"Syukur, dia terima. Single ketiga saya bersama dia (Hattan) masih mengekalkan dialek Negeri Sembilan," ujarnya.
Ditebak sama ada dia begitu taksub dengan negeri kelahirannya kerana semua lagu-lagunya dinyanyikan dalam dialek Negeri Sembilan, ternyata penyanyi kelahiran Rembau itu mempunyai jawapannya.
|
Idam anugerah
Jelasnya, dia bukan terlalu taksub sehingga tidak mahu menyanyikan lagu bahasa Melayu tetapi mengakui mempunyai semangat kenegerian.
Begitupun, dedah Waris, selain loghat Negeri Sembilan, dia juga akan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk dimuatkan dalam album pertamanya.
"Saya merancang untuk keluarkan album pada tahun ini. Walau bagaimanapun, bukan semua lagu dalam album saya nanti dinyanyikan dalam dialek Negeri Sembilan.
"Saya turut menyanyikan beberapa buah lagu bahasa Melayu dan Inggeris," ujarnya yang menyerahkan tugas membuat persiapan album itu kepada DJ Fuzz.
Disoal mengenai keberaniannya menghasilkan album saat artis lain lebih cenderung menghasilkan single sahaja, ulas Waris, dia memasang impian untuk menggondol anugerah dalam mana-mana pertandingan muzik.
Jelas Waris yang bernaung di bawah syarikat rakaman Mixology Music, sebagai seorang pemuzik yang mempunyai impian sebegitu (dapat anugerah), dia harus mempunyai sebuah album.
Mengulas kenapa menggunakan nama pentas Waris, ujarnya, dia sudah menggunakan nama Waris sejak aktif dalam muzik underground lagi.
"Nama Waris ini gelaran bagi suku sakat di Negeri Sembilan. Saya sudah guna nama Waris sejak dulu lagi iaitu semasa mula-mula terlibat dalam muzik underground. Lagipun, nama Waris kelihatan nogori (negeri) sikit," jelasnya sambil ketawa.
Siapa Waris
Mengenali Waris dengan lebih dekat lagi, mungkin masih ada peminat yang keliru mengenai identitinya.
Waris menegaskan, dirinya bukan hanya bergerak solo dan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan. Cuma, jelasnya, dia hanya berkolaborasi bersama penyanyi rap lain seperti Juzzthin.
"Ramai yang masih keliru sama ada Waris itu nama bagi artis berkumpulan. Saya sebenarnya bergerak solo dan bukan berkumpulan.
"Individu lain yang sering bersama saya ketika beraksi adalah teman kolaborasi dan gandingan yang saya undang untuk memeriahkan lagu dan persembahan sahaja. Selebihnya saya bergerak solo," jelasnya.
|
Fokus pelajaran
Waris yang merupakan pelajar tahun kedua Kejuruteraan Awam di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor itu juga mengakui sehingga kini dia masih tidak percaya dengan populariti yang dikecapinya dalam sekelip mata menerusi YouTube.
Sejak lagu Rembau Most Wanted dimuat naik oleh Waris di YouTube sekitar bulan Februari lalu, ia telah meraih perhatian yang cukup meluas.
Buktinya, selama dua bulan di laman sosial YouTube, jumlah tontonannya mencecah lebih 600,000 orang malah Rembau Most Wanted juga meraih perhatian DJ Fuzz.
"Saya tidak pernah sangka lagu itu akan meletop (popular). Begitupun, saya akui ramai yang mengenali lagu tersebut tetapi bukan penyanyinya. Kawan-kawan saya di universiti juga tidak mengenali saya ketika itu," tuturnya yang turut mendapat tawaran berlakon.
Mengulas mengenai tawaran itu, ujar Waris, ia berlaku secara tidak sengaja.
"Saya pernah berlakon dalam sketsa Untuk Dia yang disiarkan menerusi TV1.
"Sebenarnya saya tidak teringin pun hendak berlakon. Saya tahu saya kaku, tetapi bila dapat tawaran dan lihat jalan ceritanya okey, saya terima," ujarnya sambil ketawa.
Mengulas mengenai kesibukannya sebagai penyanyi dan dalam masa yang sama belajar, Waris mengakui, dia perlu bijak membahagikan masa.
Jelasnya, walau bagaimanapun keluarganya memintanya supaya fokus kepada pelajaran berbanding muzik.
"Keluarga memang sentiasa meminta saya mengutamakan pelajaran berbanding muzik dan saya akur dengan permintaan mereka itu.
"Disebabkan itu, jika belajar saya akan fokus. Bila cuti semester pula saya akan fokus pada muzik," ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.
No comments:
Post a Comment