|
JIKA diamati keseluruhan kategori kenderaan penumpang yang ada dalam industri automotif Malaysia pada tahun ini, satu-satunya yang diunjurkan terus berkembang adalah segmen C.
Segmen C ialah kenderaan keluarga saiz sederhana. Boleh dikatakan setiap pengeluar kenderaan dari Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Eropah ada meletakkan produk masing-masing dalam kelas itu.
Antara contoh model dimaksudkan ialah Toyota Corolla Altis, Nissan Sylphy, Mazda3, Mitsubishi Lancer, Honda Civic, Chevrolet Cruze, Ford Focus, Peugeot 408, Volkswagen Jetta, Hyundai Elantra, Kia Forte dan Proton Inspira.
Berdasarkan senarai tersebut dan kelibat semasa kenderaan itu di atas jalan raya, tafsiran yang dapat diberikan adalah inilah kelas kenderaan paling popular di Malaysia.
Dari perspektif pengeluar pula, segmen C adalah medan persaingan yang cukup sengit dan mendapat perhatian daripada konsumer.
Senario segmen C mula berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kehadiran dua jenama Korea iaitu Kia dan Hyundai.
Kia Motors Company sebenarnya adalah syarikat subsidiari Hyundai Motor Company di Korea Selatan. Cuma di Malaysia, pengedar rasminya terdiri daripada dua konglomerat berbeza.
Hyundai berada di bawah payung Sime Darby Bhd. Kia pula diedarkan oleh Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Kia Malaysia). Kia Malaysia ialah anak syarikat Kumpulan Naza.
Kelebihan produk Korea berkait rapat dengan pelbagai ciri dan fungsi melebihi produk pesaing lain. Tidak lupa juga konsep rekaan dan keselesaan yang cukup segar dan relevan mengikut peredaran masa.
Bagi mengukuhkan kedudukan dalam segmen C Malaysia, Kia Malaysia baru-baru ini tampil dengan model pengganti Forte.
Biarpun ia kini dikenali sebagai Kia Cerato, model itu juga masih dikenali sebagai Forte atau K3 di beberapa pasaran lain.
Generasi ketiga kereta sedan sederhana itu telah membuat penampilan sewaktu Pameran Motor Los Angeles pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Kia Malaysia, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar memberitahu, Cerato kini menduduki tangga kedua dari segi jualan terbaik model Kia di pasaran global selepas model kompak Kia Rio.
Untuk pelanggan tempatan, dua varian Cerato dibawa masuk iaitu 1.6 liter dan 2.0 liter. Tumpuan pembelinya ialah mereka yang berada dalam lingkungan usia 26 hingga 40 tahun.
Prospek jualan bagi kedua-dua varian itu kelihatan positif jika dianalisis sasaran pelanggannya. Peringkat umur itu terdiri daripada golongan yang sudah ada karier sendiri dan berkeluarga kecil.
Merujuk laman web Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi penduduk yang berusia 25 hingga 44 tahun merangkumi hampir sembilan juta orang bagi tahun 2011. Sudah pasti inilah lubuk emas bagi pengeluar kenderaan.
Cerato sudah menetapkan penanda aras baharu dalam segmen C dengan pengenalan beberapa ciri baharu.
Tiga mode stereng
Inovasi pertama ialah stereng kuasa pacuan motor (MDPS) dengan sistem Flex Steer.
Sistem itu akan mengubah kawalan stereng dengan hanya menekan butang. Anda dibekalkan dengan tiga mode iaitu Comfort (ringan), Normal (sederhana) dan Sport (berat).
Butang penukaran mode berada di bahagian kanan stereng. Saya mendapati mode Comfort memudahkan usaha untuk memarkir kenderaan dan pemanduan di bandar.
Normal sesuai bagi pemanduan harian di bandar atau pemanduan biasa. Mode Sport pula sesuai ketika memandu laju di lebuh raya.
Bagi varian 2.0 liter, kerusi pemandu dibekalkan dengan sistem pengudaraan tempat duduk. Udara sejuk akan disalurkan pada bahagian belakang badan dan punggung anda. Terasa seperti duduk di atas tuala basah.
Kedua-dua varian Cerato turut memiliki ciri Smart Welcome Light. Jika anda menghampiri kenderaan dengan kunci pintar, pocket light dan puddle light akan menyala secara automatik.
Pocket light berada di belakang hendal pintu. Sementara puddle light ditempatkan di bahagian bawah perumah cermin pandang sisi yang akan menyala di kawasan lantai sekitar pintu kenderaan.
Untuk keselesaan penumpang belakang, kedua-dua varian didatangkan dengan bolong udara pendingin hawa. Reka bentuk kerusi bahagian belakang yang tidak terlalu menegak memberi keselesaan bagi pemanduan jarak jauh.
Keseluruhan ruang kabin didominasi dengan tona hitam. Salutan material kulit lembut pada bahagian dalaman menimbulkan rasa eksklusif.
Reka bentuk Kia Cerato secara keseluruhan kelihatan lebih moden. Ia tidak seperti model sebelumnya yang mengetengahkan penampilan maskulin.
Imej bahagian hadapan diperkukuhkan menerusi gril Tiger Nose dan set lampu utama berserta DRL LED. Jenis lampu digunakan adalah berbeza mengikut varian iaitu halogen untuk 1.6 liter dan HID dengan penyelarasan automatik bagi 2.0 liter.
Bahagian belakang nampak kemas dengan set lampu LED besar dan garisan badan but yang lebih sporty.
Untuk varian 2.0 liter, beberapa penambahan aksesori diberikan seperti bumbung suria, spoiler belakang, material kulit pada kerusi dan panel instrumen jenis Supervision Cluster.
Kia Cerato juga sarat dengan ciri-ciri keselamatan termasuklah ESC, Bantuan Kawalan Brek (BAS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), enam beg udara, sensor pengesan pelanggaran hadapan dan sisi, ISOFIX dan banyak lagi.
Didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu putih, kelabu, perak, merah dan emas, Cerato boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Kia Malaysia di seluruh negara.
Harga atas jalan termasuk insurans bagi varian 1.6 liter ialah RM99,888 seunit. Varian 2.0 liter dijual pada harga RM118,888 sebuah. Jaminan diberikan adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.
No comments:
Post a Comment