Monday, 1 July 2013

Tugas besar Neymar

Rio de Janeiro: Bintang Brazil Neymar (gambar) memikul tugas besar apabila dilabel sebagai ‘pengganti Pele’ sejak membuat penampilan pertama untuk negaranya pada 2010 di East Rutherford, New Jersey.
Pemain yang dilahirkan dengan nama Neymar da Silva Santos Junior itu berjaya menjaringkan gol buat negaranya yang amat mengharapkan wira bola sepak sekali gus harapan diletakkan kepadanya semakin memuncak.

“Kami bermain lebih baik daripada apa yang dijangkakan,” kata Neymar selepas membantu Brazil menumpaskan juara dunia Sepanyol pada final Piala Konfederasi semalam.
“Saya amat gembira. Kami berjaya menggembirakan ramai orang tapi kami tidak boleh leka dengan kejayaan ini,” katanya.

Pele sudah membuat satu penanda aras yang tinggi untuk dicapai Neymar apabila memenangi Piala Dunia pada usia 17 tahun namun pada usia itu Neymar baru saja menyertai bekas kelab Pele, Santos.

Dia juga gagal mengubah nasib malang pada Sukan Olimpik tahun lalu di London.
Foto
BINTANG Brazil meraikan kemenangan mereka.
Bagaimanapun semalam, pemain muda kelahiran Mogo Das Cruzes di Sao Paolo itu membuktikan dirinya boleh diharapkan untuk memenangi kejuaraan antarabangsa selepas mempamerkan aksi menakjubkan menentang Sepanyol apabila menyumbang gol selain turut mencipta gerakan gol buat Fred.

Cara pemain berusia 21 tahun itu memporak-perandakan pertahanan Sepanyol membuktikan dia memiliki keyakinan tinggi untuk mengikut jejak langkah Pele.
Sebelum kejohanan bermula, dia menyatakan skuad yang dibentuk itu tidak cukup bagus untuk muncul juara namun dengan dibarisi ramai pemain berbakat, Selecao kini dianggap pasukan terbaik apabila menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun depan.

Neymar juga akan beraksi di La Liga bersama Barcelona dan dia akan bergandingan dengan Lionel Messi dan jika gandingan itu berjaya, sudah pasti akan mencetuskan kegerunan mana-mana pasukan di Sepanyol dan seluruh Eropah.

“Saya akan menyertai salah sebuah kelab terbesar dunia. Saya harap boleh menyesuaikan diri dengan cepat supaya boleh beraksi baik pada Piala Dunia tahun depan,” kata Neymar. - AFP

No comments:

Post a Comment