Sunday, 13 December 2015

Hilang kawan, diganti tunang

Seminggu selepas kehilangan rakan baik, Tauke bertunang dengan kekasih yang dikenali sejak empat tahun lalu



BAHARU sahaja melangsungkan majlis pertunangannya minggu lalu, ternyata perasaan gembira pelawak ini bercampur dengan kesedihan. Kata Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, mengikut perancangan awal, majlis pertunangannya dengan Nadia Mohd. Affendi, 26, berlangsung pada 29 November, namun atas sebab tertentu mereka menunda pada 5 Disember lalu.

Bagaimanapun melihat pemergian rakan baiknya Yus Jambu secara tiba-tiba pada 30 November lalu, dia tidak menolak ini mungkin hikmah di sebalik keputusan menunda majlis bahagianya.

Walaupun masih sukar untuk mempercayai pemergian Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, kata Tauke, dia reda dengan ketentuan yang sudah tertulis.

“Memang sepatutnya kami bertunang pada 29 November, tetapi saya dan tunang tunda kepada 5 Disember. Memang saat itu tidak fikir apa-apa pun.

“Namun bila Yus pergi secara tiba-tiba Ahad lalu, baru saya faham perancangan yang sudah Allah tetapkan kepada kami. Sebagai teman paling rapat dengan arwah, tidak nafikan kehilangan dia memberi kesan yang sangat besar kepada saya,” katanya.
Jika ada yang menyoal bagaimana dia sanggup meneruskan pertunangan sedangkan baru sahaja kehilangan teman paling rapat, kata Tauke, setelah sekian lama membuat persiapan, baginya tidak salah untuk dia meneruskan majlis pertunangannya.
Malah katanya, tiada sebab orang lain mahu mempersoalkan perasaannya kini memandangkan hanya dia yang menghadapi perkara ini seorang diri.
“Saya sangat sedih dengan kehilangan Yus kerana kami sudah merancang macam-macam untuk karier masing-masing dan kumpulan Jambu sendiri. Tetapi kini tanpa dia, semua perancangan itu hanya akan tinggal kenangan.
“Dalam masa yang sama, saya tidak lihat ada salahnya saya meneruskan majlis pertunangan. Sebenarnya perancangan untuk bertunang ini sudah dilakukan lama. Saya juga tidak sangka akan kehilangan orang yang paling rapat dengan saya dalam waktu terdekat,” katanya.

Berbicara mengenai Yus, kata Tauke, dia tidak melihat ada cara lain buat kumpulan Jambu untuk diteruskan.
Malah katanya dia sudah bersedia untuk membiarkan sahaja Jambu menjadi kenangan seperti rakan baiknya itu.
“Saya tidak akan teruskan Jambu dengan orang lain, tiada siapa yang dapat gantikan tempat Yus. Jika benar pun saya akan tubuhkan kumpulan lain dan akan mulakan benda baharu. Jambu adalah kenangan paling mahal saya dengan Yus.

“Buat masa ini saya masih akan menggunakan nama Tauke Jambu sebab sudah terbiasa, bagaimanapun di masa depan saya yakin nama Jambu hanya akan mengingatkan kita kepada Yus yang selama hayatnya berjuang untuk menghiburkan peminatnya,” katanya.

Berkongsi momen terakhir dengan Yus, kata Tauke, mengenali rakannya itu, arwah bukan seorang yang sombong. Malah antara sikapnya yang paling dikenang sehingga kini adalah bagaimana sisi lembut seorang lelaki seperti Yus itu membuatkan orang luar mudah rasa selesa dengan dirinya.

“Sebenarnya antara impian terakhir Yus, adalah untuk berkahwin. Tetapi tiada jodoh dia dengan bekas kekasihnya.
“Mengenali Yus dia sangat menghormati orang, malah dengan siapa juga yang dia baru berjumpa dia akan buat seseorang itu seperti kawan yang sudah lama dia kenal. Itulah Yus yang saya kenal dan mungkin sukar sebenarnya untuk bertemu dengan orang sepertinya lagi,” katanya sedih.

Mahu cepat kahwin
Bukan niatnya mahu merahsiakan pertunangan, tetapi kata Tauke dengan apa yang pernah dilalui sebelum ini dia yakin tidak perlu untuknya terlalu gah berkongsi secebis kisah bahagia itu.

Jelasnya, selepas mengenali Nadia selama empat tahun dia yakin untuk memperisterikan gadis itu yang dianggap sebagai seorang yang sangat memahami dirinya.

“Saya tidak mahu terlalu berkongsi bukan dengan niat mahu berahsia. Cuma saya pernah melalui perkara di mana bila kita sudah merancang dengan baik tiba-tiba tidak jadi. Saya tidak mahu lalui perkara itu lagi. Lebih baik berhati-hati.
“Mengenali Nadia selama empat tahun saya yakin dia ikhlas berkawan dengan saya, sepatutnya saya mengikat tali pertunangan selama setahun. Namun jika ada rezeki lebih, mungkin akan mempercepatkan tarikh perkahwinan ini,” katanya.

Beza umur 13 tahun dengan bakal isteri kata Tauke bukan isu kerana yang penting buat dirinya ialah sikap matang yang dibawa Nadia.

“Saya percaya dengan jodoh, tua atau muda tidak menjamin kebahagiaan kita.

“Saya lihat Nadia cukup matang dalam membuat keputusan. Jadi tidak perlu rasanya untuk orang luar mempersoalkan umur kami,” katanya.

Friday, 13 November 2015

Kru feri Pulau Pinang dibelasah (kosmo)


Pekerja feri dibelasah oleh sekumpulan lelaki ketika mahu membuka pintu dek di Jeti Pengkalan Raja Tun Uda, George Town kelmarin. Gambar ihsan: Minaq Jinggo

GEORGE TOWN – Seorang kru feri Pulau Pinang patah rusuk kiri selepas dipukul kira-kira 11 lelaki di atas sebuah feri yang sedang berlabuh berdekatan Jeti Pengkalan Raja Tun Uda di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam, mang­sa yang merupakan lelaki berusia 38 tahun dikatakan sedang bersiap untuk membuka pintu dek bawah ketika feri menghampiri jeti itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa mendakwa, terdapat kira-kira 11 lelaki berusia 20-an sedang berkumpul di depan pintu dek berkenaan dan dia telah menegur salah seorang daripada mereka.
“Mangsa dikatakan memberitahu mereka agar beredar kerana mahu membuka pintu dek itu sebelum secara tiba-tiba dia ditolak dari arah belakang oleh salah seorang daripada mereka dan badannya terkena salah seorang lelaki yang lain.
“Kumpulan itu dikatakan memukulnya beramai-ramai menggunakan topi keledar, kaki dan tangan,” katanya di sini semalam. -kosmo

SINAR HARIAN : Kru feri dibelasah 11 remaja

GEORGETOWN - Seorang kru feri Pulau Pinang berusia 38 tahun patah tulang rusuk dan cedera di muka selepas dibelasah oleh sekumpulan remaja lelaki akibat salah faham, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Mior Faridalatrash Wahid berkata, kejadian berlaku apabila mangsa meminta kira-kira 11 remaja berkenaan beredar dari pintu dek feri yang akan berlabuh di Terminal Feri Raja Tun Uda.

“Kru feri itu memberitahu mereka agar beredar dari tempat berkenaan kerana ingin membuka pintu dek (tetapi) dia tiba-tiba ditolak dari arah belakang dan badannya terkena seorang daripada mereka.

“Kumpulan lelaki terbabit bertindak kasar dengan memukul kru feri beramai-ramai menggunakan topi keledar,” katanya semalam.

Mior Faridalatrash berkata kru feri berkenaan cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik pegawai bertugas tetapi kumpulan lelaki terbabit mengejarnya serta terus memukul kru feri berkenaan.

“Ketika kejadian terdapat orang awam yang melihat kejadian itu tetapi tidak mempedulikannya atau cuba membantu...kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara kru feri itu dengan seorang daripada lelaki terbabit,” katanya.

Beliau berkata kru feri itu tidak dapat mengecam lelaki yang menyerangnya dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pelajar maut, kereta dihempap lelaki (Kosmo)



MELAKA – Seorang pelajar sebuah universiti awam maut apabila kereta dipandunya dihempap seorang lelaki yang dipercayai terjun dari tingkat 13 sebuah hotel bertaraf lima bintang di Jalan Parameswara, Banda Hilir di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, mangsa, Arfan Syazani Salahudin, 19, yang menaiki kereta Perodua Viva baru tiba di tempat letak kereta hotel tersebut sebelum dihempap lelaki berkenaan pada bahagian pemandu.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu mengalami kecederaan parah pada kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bumbung keretanya kemik manakala cermin kenderaan tersebut pecah akibat dihempap lelaki ber­kenaan yang mempunyai berat kira-kira 90 kilogram.
Lelaki yang terjatuh di atas bumbung kereta Arfan Syazani dari ketinggian le­bih 40 meter itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, lelaki yang terjatuh itu berusia 43 tahun dan berasal dari Bukit Katil di sini. Dia mendaftar masuk seorang diri di hotel berkenaan pada pukul 9.40 pagi semalam. (Kosmo)



Sementara itu, ibu Arfan Syazani, Aslina Ansari, 43, ketika ditemui berkata anaknya itu sedang bercuti semester 3 daripada pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan baru bekerja di hotel tersebut kira-kira 2 minggu.
“Sebelum pergi kerja pagi tadi dia sempat meminta bekal untuk dibawa ke tempat kerja walaupun biasanya dia tidak berbuat demikian.
“Dia tidak menunjukkan sebarang kelainan pada dirinya, namun pagi tadi saya sempat berpesan pada arwah supaya berhati-hati memandu,” katanya.
Aslina berkata dia dan keluarga reda dengan insiden itu dan mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cina di Melaka. – Bernama

Wednesday, 11 November 2015

Warga Emas dibunuh anak sendiri (kosmo)



KUALA LUMPUR – Polis menemui mayat seorang wanita warga emas dipercayai dibunuh dua anaknya di Blok D, Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mang­sa, Wan Yah Wan Mat, 63, ditemui terbaring di ruang tamu rumah yang berada di tingkat 16 blok tersebut bersama dua anaknya masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 25 dan 22 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihak polis tiba ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang pengadu menyatakan terdapat limpahan air keluar daripada pintu rumah itu.
“Sebaik anggota polis daripada Balai Polis Salak Selatan tiba ke lokasi kejadian, pintu rumah ber­kenaan didapati berkunci.
“Kita meminta bantuan daripada pihak bomba dan penyelamat untuk memecahkan pintu tersebut sebelum menemui wanita warga emas itu terbaring di ruang tamu selain mendapati kedua-dua anaknya berada di dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, pegawai perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Friday, 6 November 2015

Pertaruh beg serba guna [HMetro]

Shah Alam: Syarikat Global Setia Sdn Bhd milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia muncul juara kategori Syarikat Terbaik Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2015 di sini, kelmarin.

Mengetengahkan rekaan beg serba guna, Global Duo Stylist Bag, syarikat itu turut membawa pulang tiga lagi anugerah iaitu Laporan Kewangan Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik dan Pengurus Terbaik.

Pengurus Besarnya, Muhammad Hafi Fuddin Sulhan, 16, berkata, Global Duo Stylist Bag itu diilhamkan daripada idea pengurus pengeluaran syarikat berkenaan, Siti Maisarah Mat Puad, 16.

 Beliau berkata, beg dihasilkan daripada kain itu mempunyai reka bentuk dwifungsi apabila boleh diterbalikkan untuk mendapat corak berlainan.

“Selain boleh digunakan luar dan dalam, beg ini juga direka mengikut trend terkini bagi memenuhi kehendak pasaran terutama golongan remaja yang mahukan kelainan.

“Meskipun produk dan perkhidmatan Global Debit tidak memenangi Anugerah Terbaik PROTUNe, kami tetap berbangga kerana melalui produk ini, kami berganding bahu bekerjasama bagi memastikan syarikat berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvensyen PROTUNe 2015 Peringkat Negeri Selangor anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Maimun Ahmad (tiga kiri) bersama pelajar menunujukkan replika cek serta piala selepas dinobatkan sebagai johan pada Majlis Konvensyen PROTUNe 2015 di Hotel De Palma, Shah Alam.

Kecoh anak terkurung (HMetro)

Wangsa Maju: Tindakan meninggalkan anak lelaki di dalam kereta kerana bimbang diculik, sebaliknya menyebabkan dua kanak-kanak terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.

KANAK-kanak yang terperangkap cuba membuka pintu. Gambar kecil, ibu mangsa memberi keterangan kepada anggota bomba. 

Dalam kejadian jam 8.10 pagi, semalam, ibu kanak-kanak itu dikatakan membeli sarapan berhampiran Bukit Mas, Taman Melawati, di sini, dengan meninggalkan anaknya dalam kereta.

Wanita itu bagaimanapun cemas apabila gagal membuka semula pintu kereta yang dibiarkan dalam keadaan enjin dihidupkan.

Keadaan tambah cemas apabila anak sulung wanita itu berusia lima tahun didapati tertidur di dalam kereta itu bersama-sama adiknya berusia tiga tahun.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.33 pagi sebelum sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju dikerah ke lokasi kejadian.

Ditampar teman lelaki, 
wanita maut jatuh gaung [utusan]

LOKASI kejadian seorang wanita maut terjatuh ke dalam gaung selepas ditampar teman lelakinya di Taman Bukit Permai, Ampang, semalam.

Mangsa, B. Jaspal Kaur, 28

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Seorang wanita maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter dipercayai akibat ditampar teman lelakinya dalam kejadian di Jalan Bukit Permai 1, Taman Bukit Permai, Ampang dekat sini, semalam.
Mangsa, B. Jaspal Kaur, 28, sedang duduk di atas bukit tersebut sebelum berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah malam itu.

Teman lelakinya yang berusia 35 tahun itu kemudian menampar mangsa pada leher menyebabkan mangsa terjatuh dari bukit yang berketinggian 50 meter.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintenden Mohd. Nazri Zawawi berkata, pihaknya tiba ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada saksi yang berada di kawasan terbabit.

“Kami berjaya mengeluarkan mayat mangsa dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah.

“Teman lelaki wanita terbabit yang berada di tempat kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati, kesan tolakan daripada tamparan yang kuat itu menyebabkan ma­ngsa tidak dapat mengawal badannya lalu terjatuh ke gaung tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Nazri, mayat mangsa di bawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses bedah siasat.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Kes 4 mangsa hilang terjawab [utusan]



IPOH 2 Nov. - Mereka dipercayai dibawa ke sebuah bengkel kenderaan untuk dibunuh sebelum dibakar di atas kepingan zink.
Tulang dan abu mayat mereka kemudian dibuang ke dalam sungai untuk menghapuskan bukti.
Ada juga khabar angin yang mengatakan sebelum dibakar kemungkinan daging mangsa dipotong dan diberi makan kepada anjing-anjing yang di­bela di bengkel tersebut.

Itu pembunuhan kejam yang dipercayai dilakukan secara berasingan terhadap empat mangsa termasuk seorang wanita yang dilaporkan hilang di daerah ini sejak 2012 yang mirip kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya iaitu Kamaruddin Shamsudin, Noorhisham Mohammad dan Ahmad Kamil Abdul Karim pada 2010.

Misteri itu berjaya dirungkai polis ekoran penahanan empat sekeluarga di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Pahang, Tapah pada 26 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki pengusaha bengkel kenderaan berat berusia 57 tahun, dua anak lelakinya masing-masing berusia 20 dan 17 tahun serta seorang wanita berusia 54 iaitu isteri kepada suspek pertama.

“Kesemua mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibakar di atas zink dan kemudian serpihan tulang serta abu dibuang ke dalam sungai berhampiran dengan bengkel kenderaan tersebut.

“Polis sedang menyiasat lanjut kes ini dan tidak menolak kemungkinan suspek melakukan lebih daripada empat pembunuhan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Hasnan memberitahu, jenayah kejam itu terbongkar hasil maklumat awam dan risikan ekoran satu laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga seorang ejen hartanah berusia 46 tahun berasal dari Sungai Lah, Chenderiang, dekat sini yang hilang pada 26 Ogos lalu.

Menurutnya, bertindak daripada laporan tersebut, polis membuat tangkapan terhadap keempat-empat suspek terbabit.
Ujarnya, siasatan yang dijalankan terhadap suspek mendedahkan bahawa mangsa yang dilaporkan hilang di Chenderiang itu telah dibunuh de­ngan cara dibakar di kawasan bengkel manakala motosikal mangsa ditinggalkan di tepi jalan menghala ke Cameron Highlands.

Tambahnya, siasatan lanjut terhadap suspek turut mendedahkan tiga lagi mangsa yang dilaporkan hilang di kawasan Tapah sejak 2012, dipercayai telah dibunuh oleh suspek menggunakan modus operandi yang sama.

“Ketiga-tiga mangsa itu ialah seorang wanita pengusaha bas persiaran berusia 56 tahun dilaporkan hilang pada Mac tahun lalu, seorang lelaki jurujual alat ganti ken­deraan berusia 54 tahun hilang pada Jun tahun lalu dan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja di bengkel suspek hilang pada Oktober 2012.

“Polis mengenal pasti motif pembunuhan ialah hutang, urus niaga tanah yang gagal dan pekerja bengkel yang mencuri hak milik majikannya,” katanya.

Hasnan menjelaskan, semakan mendapati suspek utama iaitu peng­usaha bengkel itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau iaitu pecah rumah, menipu dan pecah amanah.

Katanya lagi, pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah menjalankan siasatan di tempat kejadian mulai 30 Oktober lalu di beberapa kawasan di sekitar Tapah.

“Beberapa sampel tulang telah ditemukan dan telah dihantar ke HRPB untuk bedah siasat dan seterusnya proses asid deoksiribonukleik (DNA)," ujar beliau.

Sementara itu di Tapah, polis berjaya mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap keempat-empat suspek yang ditahan sejak 26 Oktober lalu disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman selama empat hari lagi itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Nadia Abdul Razak di Mahkamah Majistret Tapah hari ini.

Monday, 2 November 2015

Siasat pelajar baca Yasin di tepi LPT2 (HMETRO)

Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan Terengganu hari ini mengarahkan pentadbiran Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah di sini menyiasat guru pengiring yang menyuruh pelajarnya membaca Yasin di tepi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) semalam.

Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya juga akan memanggil guru terbabit dalam masa terdekat untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai perkara itu.

"Mereka sepatutnya perlu lebih peka dan berhati-hati kerana program seperti itu boleh membahayakan keselamatan mereka. Sepatutnya program sebegitu dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran kerana ia lebih selamat dan selesa," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, sumber sekolah berkenaan berkata, bacaan Yasin itu tiada dalam senarai program lawatan sambil belajar ke Kemaman yang disertai 35 pelajar dan tiga guru pengiring itu.

"Pelajar dan guru terbabit sebelum itu mengadakan lawatan sambil belajar ke Kemaman selepas tamat peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) dan dalam perjalanan pulang, guru terbabit mendapat idea dan menyuruh pemandu bas berhenti di tepi jalan untuk membolehkan mereka membaca yasin," katanya.

Saturday, 31 October 2015

Jual laksa, bihun sup cuma RM1 (kosmo)



JITRA – Ketika ramai peniaga makanan di negara ini mengeluh dan terpaksa menaikkan harga, seorang usahawan di Jalan Industri Darul Aman 1 di sini masih mampu menawarkan pelbagai hidangan pada harga serendah RM1 sahaja.
Dikenali dengan nama Warung Menu Sejahtera, pelanggan hanya perlu membayar RM1 untuk menikmati semangkuk laksa, mi dan bihun sup, air batu campur, laici kang dan cendol.
Bagi penggemar nasi ayam, ia dijual pada harga RM2 sepinggan manakala minuman pula dijual antara 80 sen hingga RM1.50.
Pemiliknya, Mohd. Nazeri Hashim, 45, berkata, sejak bero­perasi lima bulan lalu, warungnya sering menjadi tumpuan orang ramai terutama para pelajar di institut pengajian tinggi tempatan yang terletak berhampiran.

Lelaki Kashmir tampar imam didenda RM12,000 [kosmo]

Shabir dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Lelaki warga India yang menampar Imam II Masjid Negara, Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim ketika beliau sedang mengimamkan solat Jumaat di masjid tersebut bulan lalu dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhi hukuman tersebut ke atas tertuduh, Shabir Ahmad Khan, 31, selepas dia mengaku bersalah setelah ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Lelaki yang berasal dari Kashmir, India itu berdepan dengan tiga pertuduhan iaitu mencede­rakan imam, mengganggu perjalanan solat Jumaat dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan sosial.
Mengikut pertuduhan, Shabir didakwa menyebabkan kece­deraan terhadap Mohd. Zuhairee, 39, di Masjid Negara, Jalan Perdana, Dang Wangi di sini pada pukul 1.30 petang 18 September lalu.

Saturday, 10 October 2015

Bekas ADUN ditembak > Ketuk pintu sebelum bedil (Metro)

Marang: Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman mengesahkan Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat di sini, selepas solat Jumaat tadi.


Mangsa dipercayai mati akibat ditembak di kepala dalam jarak dekat kira-kira jam 2 petang.
Mangsa ditembak dua lelaki menaiki motosikal Yamaha 125Z sebelum dia dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong namun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Sementara itu, bekas ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad berkata, beliau dimaklumkan oleh isteri bekas wakil rakyat Barisan Nasional itu, Noriha Muhammad, suaminya ditembak di kepala dalam jarak dekat di rumah mereka.

Katanya, kejadian dipercayai selepas Allahyarham pulang daripada solat Jumaat itu dipercayai berlaku selepas mangsa membuka pintu rumah yang diketuk individu tidak dikenali.

"Mengikut apa yang dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, tidak lama selepas pulang dari solat Jumaat, ada individu mengetuk pintu rumah dan arwah membuka pintu sebelum ditembak.

"Tembakan daripada jarak dekat itu dikatakan terkena pada kepala sebelum arwah rebah," katanya.
Allahyarham yang memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dipilih sebagai ADUN Alor Limbat sejak 2004 hingga 2008.

Perkahwinan Annahita berakhir

Tak ada angin tak ada ribut, khabarnya rumah tangga model, pelakon dan pengacara, Annahita Bakavoli, 33, dengan suaminya Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad sudah berakhir baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan bekas suaminya, dia melafazkan cerai talak satu terhadap Annahita pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

“Perkahwinan yang dibina atas rasa cinta itu berakhir selepas lima tahun kami hidup bersama. Kenyataan ini dibuat atas dasar keikhlasan tanpa ada maksud yang terselindung.

“Ia dibuat untuk mengelakkan timbulnya fitnah pada masa akan datang sekiranya masing-masing mengambil keputusan membina hidup baru pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Saiful, keputusan untuk berpisah itu dibuat kerana mereka tiada persefahaman lagi.
“Saya mendoakan Annahita menemui kebahagiaan,” katanya.

Sementara itu, Annahita ketika dihubungi belum bersedia memberi kenyataan berhubung perceraiannya itu.

“Saya kini sedang bercuti di luar negara. Insya-Allah apabila pulang nanti saya akan menjelaskan segala-galanya,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 2010 selepas berkenalan kurang dari setahun. Bagaimanapun, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.


Ibu tak kenal wajah anak (kosmo}

GUA MUSANG – Kurus kering sehingga nampak tulang, tidak bermaya, kelaparan dan ketakutan.
Itulah keadaan Mirsudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, dua daripada tujuh kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui bersembunyi di dalam akar sebatang pokok di tebing Sungai Perias, kira-kira tiga kilometer dari sekolah ber­kenaan di sini semalam.
Kedua-dua kanak-kanak itu yang lengkap berpakai­an dijumpai oleh seorang anggota polis bersama dua penduduk kampung ketika sedang mengadakan operasi mencari dengan menaiki bot di sungai tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Pada masa sama, pasukan mencari turut menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang kemudian disahkan sebagai Ika Ayel, 9, di lokasi berhampiran Mirsudiar dan Norieen dijumpai.
Lebih memilukan, mayat tersebut difahamkan telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang bersembunyi di dalam akar pokok tersebut sedang menangis teresak-esak dan cuba melarikan diri.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak perempuan itu pula ditemui berse­belahan dengan lokasi penemuan kedua-dua murid terbabit.
Katanya, mayat kanak-kanak perempuan itu masih dalam keadaan sempurna dan pihaknya percaya mangsa meninggal dunia beberapa hari lalu dan dijaga oleh dua kanak-kanak tersebut.
“Kedua-dua kanak-kanak ini dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan rapi dan proses pemulihan.
“Pihak hospital di sini akan melakukan bedah siasat terhadap mayat Ika sebelum diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang semalam.
Hilang berat badan 10kg {metro}

Kota Bharu: Dua kanak-kanak Orang Asli yang ditemui semalam kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg).

Berat badan Noreen Yaacob, 10 dan Mirsudiar Aluj, 11, sebelum hilang adalah 25 kg.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, mereka kini dipantau pakar kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nik Nasiruddin Nik Leh dan mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk pulih.

"Dua kanak-kanak itu juga dalam keadaan trauma dan perlu diberi kaunseling oleh pakar psikologi," katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Wad 5 HRPZ II, di sini, hari ini.
Harian Metro semalam melaporkan dua kanak-kanak itu ditemui kira-kira jam 12 tengah hari bersama mayat seorang kanak-kanak.

 
Noreen (gambar kecil) bersama ibunya, Midah Angah, m anakala Mirsudiar bersama ibunya Rosita Bahil di HRPZ II. FOTO Nik Abdullah Nik Omar - 

 
Noreen Yaacob, 10, (kiri) dan Mirsudiar Aluj, 11, ketika ditemui semalam. - Foto NSTP 


Monday, 14 September 2015

Ibadah haji diteruskan (kosmo)

JEMAAH haji berjalan melintasi runtuhan kren di Masjidilharam di Mekah, Arab Saudi kelmarin.
MEKAH – Ibadah haji pada tahun ini akan diteruskan walaupun berlaku tragedi sebuah kren tumbang dan mengorbankan 107 orang di Masjidilharam, kota suci Mekah, kata pihak berkuasa Arab Saudi kelmarin.
Beratus-ratus ribu jemaah tiba di Mekah untuk menunaikan haji apabila sebuah kren gergasi berwarna merah dan putih tumbang dan menghempap sebilangan jemaah haji ketika ribut petir melanda pada Jumaat lepas.
Sebahagian kawasan di Masjidilharam terutamanya sekitar bangkai kren masih ditutup kepada orang ramai kelmarin. Kemalangan itu turut menyebabkan lebih 230 orang cedera.
Tidak ramai jemaah yang berduka akibat kemalangan tersebut. Situasi kelmarin memaparkan ramai jemaah merakam gambar bangkai kren itu dan meneruskan ibadat mereka.
“Saya berharap saya mati dalam kejadian ini kerana ia berlaku pada waktu suci dan di tempat suci (Mekah),” kata jemaah haji Mesir, Mohammed Ibrahim.
Kejadian itu berlaku kira-kira sejam sebelum waktu solat Maghrib pada Jumaat lepas.
Jemaah haji Indonesia dan India ialah antara mangsa yang terkorban dalam tragedi itu , manakala mereka yang cedera pula termasuk dari Malaysia, Mesir serta Iran.
Seorang pegawai Arab Saudi berkata, ibadah haji yang dijangka bermula pada 21 September ini akan diteruskan walaupun tragedi tersebut berlaku.
“Kemalangan ini pasti tidak akan mempengaruhi musim haji, manakala kawasan yang terjejas akan dipulihkan dalam masa beberapa hari,” katanya.
Sementara itu, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman kelmarin menjanjikan siasatan menyeluruh untuk me­ngenal pasti punca kemalangan itu.
“Kami akan menyiasat semua sebab dan kemudian mengumumkan hasil siasatan kepada orang ramai,” kata baginda selepas melawat lokasi kejadian. – AFP


Sunday, 13 September 2015

Seorang rakyat kita terkorban (Hmetro)



Kelana Jaya: Seorang daripada lapan jemaah haji Malaysia yang hilang dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat lalu, disahkan terkorban.

Khabar duka itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada sidang media di sini, malam tadi.

Mangsa yang terkorban ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak.

Jamil Khir berkata, mangsa dikenal pasti pasukan perubatan Tabung Haji (TH) melalui proses pengecaman pada jam 10.30 pagi waktu Arab saudi.

Katanya, pengecaman dibuat daripada 108 gambar jenazah yag dipaparkan pihak Arab Saudi.
"Proses pegecaman turut dilakukan menerusi buku rekod kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah serta ujian DNA sekiranya perlu.

"Saya bagi pihak Perdana Menteri,kerajan Malaysia dan TH mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarham,"katanya.

Menurutnya, jenazah Rusiah akan disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ma'ala.

“Jenazah Allahyarham Rusiah dalam keadaan baik dan dapat dikenali menerusi wajahnya,” katanya.
Jamil Khir berkata, TH akan terus melakukan pencarian terhadap jemaah haji Malaysia yang masih hilang, temasuk mencari di klinik lain di Arab Saudi.

Ribut, petir punca tragedi [utusan]


KEDAAAN kren pembinaan yang terbalik di Masjidilharam Mekah yang dirakam awal pagi semalam. Insiden yang berlaku dalam hujan lebat dan ribut pada petang Jumaat lalu itu mengorbankan sekurang-kurangnya 107 jemaah haji dan mencederakan lebih 238 yang lain. – AP 

DUBAI 12 Sept. - Insiden sebuah kren tumbang yang mengakibatkan 107 orang terbunuh di Masjidilharam semalam dipercayai berpunca akibat petir dan angin kencang, lapor pihak berkuasa Arab Saudi.

Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pertahanan Awam, Jeneral Suleiman al-Amr berkata, hujan lebat, petir dan angin kencang dengan kelajuan luar biasa menyebabkan banyak pokok tumbang, panel jatuh dan sebuah kren tumbang.

Suleiman menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam laman sosial Twitter, berkata, angka kematian mungkin meningkat dan kebanyakan 238 mangsa yang cedera hanya mengalami cedera ringan.

“Sebanyak 15 pasukan mencari dan menyelamat telah dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu membawa mangsa yang cedera ke hospital,” kata Suleimen.
Malah, beberapa agensi berita turut melaporkan berlakunya petir di kawasan Masjidilharam sebelum kren tersebut tumbang.

Menurut laporan portal Saudigazette.com, hujan lebat dan banjir kilat yang melanda Mekah malam semalam merupakan antara yang terburuk sejak beberapa dekad yang lalu.
Katanya, hujan yang diiringi dengan angin kuat itu telah melanda seluruh kota suci umat Islam termasuk beberapa kawasan di pinggir bandar.

“Cuaca buruk itu mengakibatkan banyak kenderaan hanyut dibawa arus deras, pokok tumbang di jalan-jalan utama menyebabkan penutupan beberapa jalan raya sehingga menghalang pergerakan kenderaan untuk keluar masuk.
“Pasukan pertahanan awam, peronda keselamatan, polis trafik serta majlis perbandaran telah digerakkan untuk membersihkan kawasan serta memulihkan semula pergerakan lalu lintas di jalan-jalan utama tersebut.

“Malah, pihak majlis perbandaran juga telah menggerakkan semua anggota serta peralatan untuk membersihkan kawasan yang terjejas apabila lebih daripada 800 peralatan digunakan bagi membersihkan kawasan runtuhan,” kata portal tersebut.