Isu yang bertaraf ‘wilayah’ sahaja sebelum ini bertukar menjadi isu nasional apabila aktiviti tersebut menjejaskan kehidupan masyarakat di kawasan itu. Persekitaran hidup mereka diancam pen­cemaran bauksit yang teruk. Penduduk yang sudah tidak tahan hidup menghirup debu bauksit setiap hari melampiaskan kemarahan mereka kepada pihak berkuasa tetapi situasi tidak banyak berubah.

Sesiapa sahaja yang melewati daerah Kuantan sama ada menggu­nakan jalan persekutuan mahupun Lebuhraya Pantai Timur (LPT) boleh nampak dengan jelas ‘suasana’ kawasan perlombongan tersebut. Lori tanah yang mengangkut bauksit bekerja siang malam sehingga menjadikan seluruh kawasan ber­kenaan bertukar warna. Tanah bukit di kawasan ladang kelapa sawit bertukar merah. Warna pokok kelapa sawit pun bertukar. Debu merah yang tebal menyelubungi segenap sudut kawasan terlibat. Ketika cuaca berangin, kepulan debu berarak dibawa angin. Keadaan lebih teruk ketika musim hujan.

Penduduk-penduduk di sekitar kawasan perlombongan hidup tidak ubah di sebuah planet asing yang segala-galanya berwarna merah. Pemandu kenderaan yang menggunakan LPT pun tahu mereka sudah memasuki daerah Kuantan apabila warna lebuh raya yang mereka gunakan tiba-tiba berubah menjadi merah!

Orang ramai yang sekali sekala melalui atau menggunakan laluan di kawasan berkenaan pun tidak tahan melihat situasi sedemikian. Tidak dapat dibayangkan bagaimana penduduk-penduduk setempat melalui rutin hidup seharian dalam pusaran debu bauksit. Dan semua orang pasti bersimpati dengan nasib mereka.

Pengenalan moratorium selama tiga bulan bagi melaksanakan pelan penyelesaian pencemaran bauksit dilihat sebagai langkah awal untuk menyelesaikan isu ini. Walaupun mungkin ada segelintir pihak yang ‘tidak berapa seronok’ dengan pelan tersebut, ini adalah tindakan drastik terbaik setakat ini. Dalam apa-apa tindakan sekali pun kepentingan rakyat mesti menjadi keutamaan.

Isu ini sudah berkembang daripada hanya sekadar isu pencemaran debu menjadi isu politik.
Dalam dunia media sosial menjadi medium penyampaian maklumat paling pantas, kisah pencemaran bauksit sudah merentasi sempadan Pahang dan Malaysia. Kesan buruknya besar dan mungkin menjadi bertambah besar jika tiada tindakan diambil. Maklum sahajalah isu apa pun bila dilagukan dengan rentak politik, iramanya lebih ‘menggegarkan.’ Apatah lagi kalau di dalamnya sudah ada elemen-elemen rasuah.

Semua pihak mesti menghormati tempoh `bertenang’ selama tiga bulan itu. Sekiranya tempoh tiga bulan itu tidak mencukupi dan perlu disambung sehingga setahun, kerajaan Pusat dan negeri perlu melaksanakan tempoh lanjutan itu. Memanglah akan ada pihak yang mendakwa mereka mengalami kerugian kerana kehilangan punca pendapatan atau punca perniagaan. Itu perkara kedua, masalah rakyat mesti dijadikan keutamaan.

Pelan penyelesaian yang dicadangkan itu nanti juga perlu mengambil kira nasib penduduk terlibat. Penduduk di kawasan perlombongan itu tidak boleh di­pinggirkan sama sekali. Mereka me­ngalami banyak kerugian dari aspek mental dan fizikal. Isu ini memberi tekanan yang hebat kepada penduduk terlibat. Trauma hidup dalam `debu merah’ ini akan menghantui mereka sampai bila-bila. Lantas apa sahaja tindak tanduk dalam pelan penyelesaian mesti melibatkan setiap penduduk.
Pengurusan penyelesaian isu ini perlu ditangani dengan tertib. Biar semua pihak mendapat manfaat. Rakyat dapat menghirup semula udara bersih dan mereka yang bergantung kepada aktiviti perlom­bongan ini pula memperoleh kem­bali sumber pendapatan ma­sing-masing. Dalam masa yang sama kerajaan negeri mampu menjana pendapatan dalam suasana negeri yang tidak lagi tercemar. Alangkah cantiknya kalau perkara ini berlaku!